• Skip to main content
  • Skip to secondary menu
  • Skip to primary sidebar
  • Skip to footer
  • Home
  • About
  • Contact
  • RSS
  • Archives
  • Subscribe
The Nut Graph

The Nut Graph

Making Sense of Politics & Pop Culture

  • Projects
    • MP Watch
    • Found in Conversation
  • Current Issues
    • 6 Words
    • Commentary
    • Features
    • Found in Quotation
    • News
  • Columns
  • Interviews
    • Exclusives
    • Found in Malaysia
  • Multimedia
    • Audio
    • Pictures
    • Videos
  • Corrections
  • Letters to the Editor
  • Vault
    • Found in Translation

Semuanya aman di Bukit Aman

Oleh Fahmi Fadzil

December 9, 2009


Tidak pernah dan tidak akan muncul di kedai buku berdekatan

TANGGAL 16 Nov 2009. Sudah lebih dua minggu kejadian percubaan mendapatkan saya membayar rasuah kepada S (nama samaran anggota polis trafik) berlaku, tapi saya masih gementar untuk melaporkan kejadian. Maklumlah, persepsi orang ramai terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) belumlah mencapai tahap memuaskan sejak akhir-akhir ini, dan saya langsung tidak tahu-menahu bagaimana proses membuat laporan. 
 
“Ish, Fahmi, baik-baiklah ya bila nak pergi tu,” jelas mak saya, pada pagi saya memilih untuk membuat laporan. “Pastikan Fahmi tak pergi seorang diri!” kata mak lagi.  
 
Sebenarnya saya memang sudah buat keputusan pada hari kejadian itu, yang saya akan pergi ditemani sekurang-kurangnya seorang peguam. Kenapa? Sebab peguam fasih hal-hal perundangan — penggunaan bahasa yang tepat adalah penting.  
 
Saya ditemani saudari Puspawati Rosman, seorang peguam di Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur dan juga seorang peguam hak asasi manusia. Dalam perbincangan saya dengan Puspa, kami memutus untuk melapor kejadian ini kepada dua pihak: Bahagian Tatatertib PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mengapa? Kerana Bahagian Tatatertib PDRM merupakan badan yang bukan bebas sepenuhnya, yakni ianya masih berada di dalam PDRM, manakala SPRM seharusnya lebih bebas. 
 
Maka pada 16 November, saya dan Puspa berhajat membuat laporan di Bahagian Tatatertib PDRM yang terletak di Bukit Aman. 
 
Di pos kawalan, kami ditanya tujuan kami ke situ. 
 
“Kawan saya nak buat laporan tentang salah laku anggota polis,” jelas Puspa, tenang. 
 
“Pasal apa?” tanya anggota polis di belakang kaunter. 
 
“Rasuah.” Anggota polis itu mengangkat gagang telefon dan membuat satu panggilan. 
 
Kami dimaklumkan ada empat tingkat untuk membuat laporan mengenai kes rasuah melibatkan polis, dan dia harus pastikan tingkat yang berkenaan.

kambing
Senyum kambing (© Jos van Galen / sxc.hu)
Dua puluh minit berlalu. Pengawal bertanya Puspa, “Muka awak ni macam pernah tengok je.” “Selalu datang,” jelas si peguam, sambil senyum kambing. 
 
Telefon berdering. Kami diminta ke tingkat 13 — Unit Pengaduan (Tatatertib), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN). Lobi bangunan itu mengingatkan saya pada filem The Matrix, sewaktu Neo dan Trinity hendak menyelamatkan Morpheus dan mereka masuk bangunan berkawalan ketat itu dengan beg dipenuhi bahan letupan dan senjata api. Cuma bila Puspa dan saya masuk, telefon bimbit dan MyKad kami terpaksa ditinggalkan di pintu masuk tadi. “Cis, tak boleh guna Twitter,” terlintas di fikiran. “Nasib baik ada pen dan kertas.” 
 
“Biasanya, PDRM akan letak pegawai berkelulusan psikologi, dan pegawai tu biasanya akan layan orang dengan baik. Itu strategi dia,” bisik Puspa setiba lif kami di tingkat 13. 
 
Peraduan psikologi

Kami bertemu Sarjan Nazita Nokman. Biliknya berukuran lebih kurang 10′ x 10′, dan sebaik sahaja kami duduk (pintu tak muat nak ditutup, begitu kecilnya bilik Sjn Nazita) saya diminta menulis butir-butir peribadi ke dalam satu buku catatan besar. Kemudian, saya diminta menceritakan kejadian percubaan rasuah yang dimaksudkan beberapa kali. 
 
Kali pertama, Sjn Nazita mendengar sahaja, untuk memastikan dia faham situasi yang saya ceritakan. 
 
Tapi sehabisnya penceritaan kali pertama ini, Sjn Nazita cuba mengalih perhatian saya pada aspek lain dalam kejadian tersebut: 
 
Sjn Nazita: Itulah, lain kali kalau nak buat rayuan, awak pergi je ke kaunter.

Saya: Tapi saya nampak nota yang tulis “Kemalangan tak boleh rayu.”

Sjn Nazita: Betul ke? Eh, takkan kot…

Sjn Nazita mengangkat gagang telefon dan bertanya tentang hal ini pada seorang pegawai lain. Sempat lagi bertanya khabar, sihat ke tak.

Sjn Nazita: Tak, semua saman boleh dikurangkan, kecuali saman masa Ops Sikap. Lagipun, lain kali, awak boleh datang terus ke Bukit Aman. Boleh kurang kat sini. Hari Selasa ke Khamis.

Saya: …

Puspa: Puan, kami nak laporkan kesalahan seorang anggota polis trafik… 
 
Syukurlah saya datang dengan seorang peguam! 

Kali kedua, Sjn Nazita menaip semula insiden percubaan rasuah tersebut dalam format soalan/jawapan, dan pada waktu ini penggunaan bahasa yang tepat adalah paling penting. Contoh: “Kelakuan yang menjurus kepada percubaan mendapatkan rasuah.”

Tapi sebelum itu, maklumat lanjut mengenai diri saya diminta: Nama bapa, alamat rumah, adakah kedua ibu-bapa masih hidup. Pungutan maklumat untuk tujuan risikan? 


Ulat S (© Mario Alberto Magallanes Trejo / sxc.hu)

Oh, satu soalan ganjil pada akhir sesi menulis laporan: “Bagaimana anda tahu nama dan nombor badan ulat ini?” (Ulat = S, anggota polis trafik yang dimaksudkan.)

Sama ada Sjn Nazita mahu saya berasa yang dia “berpihak” dengan saya atau mahu menyatakan perasaan sebenarnya terhadap S, saya berasa penggunaan bahasa sedemikian agak kurang profesional. 
 
“Saya nampak lencana pada uniform penuh anggota polis trafik tersebut,” saya menjawab. 
 
“Oh.” 
 
Selain soalan ganjil ini, satu lagi kelakuan Sjn Nazita yang kurang profesional adalah mengambil panggilan sewaktu kami di situ — polis masih boleh guna telefon bimbit dalam kawasan Bukit Aman — mengakibatkan proses ini mengambil masa hampir dua jam.

Telus? 

Dua jam. Itulah sekurang-kurangnya tempoh masa yang rakyat Malaysia harus tanggungi demi melaporkan salah laku seorang anggota polis.


Dua jam diperlukan untuk melaporkan
salah laku seorang anggota polis
Sebelum pulang, kami bertanya apakah tindakan yang boleh dikenakan pada S. “Itu bergantung, saya tak boleh nak cakap,” jelas Sjn Nazita. “Mungkin Peraturan 36, mungkin Peraturan 37… tapi tengok proses dia macam mana.” 
 
“Puan, boleh tak kami dapatkan salinan laporan ni?” tanya Puspa. 
 
“Oh, maaf, tak boleh. Ini bukan balai polis, kami tak bagi salinan,” kata Sjn Nazita. “Tapi kalau nak, mungkin dalam seminggu dua awak boleh telefon pejabat ni dan tanya pada Tuan Azahari.” 
 
Jam 1.30 petang. Perut lapar, fikiran semakin berkecelaru. Saya dan Puspa berjalan keluar dari bangunan itu, letih tapi masih penuh semangat. Kerana kami masih punya satu lagi destinasi: SPRM.


Fahmi Fadzil mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihormati rakyat. Tapi untuk itu, PDRM juga harus menghormati rakyat. 

Rencana berikutnya: Panggilan misteri!

Filed Under: Columns Tagged With: Bukit Aman, Fahmi Fadzil, peguam, polis, PRDM, pusat bantuan guaman, rasuah, rayuan, siasatan, SPRM, suruhanjaya pencegahan rasuah, ulat

Reader Interactions

Comments

  1. Viknesh says

    December 9, 2009 at 9:30 am

    They force stupid questions and make you wait that long to teach us that it’s pointless to report such incidents. […]

  2. pusparos says

    December 9, 2009 at 1:19 pm

    Herm. Kambing tu…

Primary Sidebar

Search

Recent Comments

  • Wave33 on The Nut Graph stops publication
  • Adam on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • Andre Lai on The Nut Graph stops publication

Recent News

  • The Nut Graph stops publication
  • Nasihat tentang sepupu yang mengganggu perasaan
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: The Sunni-Shia split and the answer to Muslim unity
  • Why Malaysia needs the national unity bills
  • Challenging government in the digital age: Lessons from Kidex
  • Najib’s failure
  • Babi, anjing, pondan: Jijik orang Islam Malaysia
  • Kidex and the law – What the government’s not telling you
  • Beyond Dyana Sofya
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: Does Malaysia need hate speech laws?

Tags

Abdullah Ahmad Badawi Anwar Ibrahim Barisan Nasional BN Bukit Selambau by-election dap Deborah Loh Ding Jo-Ann Election Commission elections Found in Malaysia Found in Quotation Gan Pei Ling government high court Hishammuddin Hussein ISA islam Jacqueline Ann Surin Khairy Jamaluddin KW Mak Lim Guan Eng Malaysia MCA Menteri Besar MP Watch Muhyiddin Yassin muslim Najib Razak Pakatan Rakyat Parliament Parti Keadilan Rakyat pas Penang Perak PKR police politics prime minister Selangor Shanon Shah Umno Wong Chin Huat Zedeck Siew

Footer

  • About The Nut Graph
  • Who Are We?
  • Our Contributors
  • Past Contributors
  • Guest Contributors
  • Editorial Policy
  • Comments & Columns
  • Copyright Policy
  • Web Accessibility Policy
  • Privacy Policy
The Nut Graph

© 2025 The Nut Graph