Categorised | Columns

Mengapa Sesetengah Orang Islam yang Alergi dengan Hak Asasi Manusia?

IQRA! ‘Bacalah!’ Itulah wahyu pertama dari Tuhan pada Nabi Muhammad s.a.w. Ia bermakna membaca dan mendapatkan ilmu merupakan suatu hak asasi manusia yang dijamin oleh Tuhan.

Hak asasi manusia. Kenapa sesetengah orang Islam merasa alergi dengan ungkapan itu? Jakim contohnya, baru-baru ini menuduh bahawa beberapa hak asasi yang diperjuangkan oleh Comango dan NGO-NGO hak asasi manusia sebagai mencabar kedudukan Islam. Perjuangan hak kebebasan agama didakwa sebagai propaganda fahaman pluralisma yang boleh menyesatkan. Perjuangan agar orang-orang LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual) tidak didiskriminasi dan menjadi mangsa kekerasan dianggap sebagai bertentangan dengan ajaran Islam yang patut ditolak sama sekali. Seterusnya, Jakim menekankan bahawa dalam Islam, manusia tidak memiliki kebebasan mutlak.

Mengapa hak asasi manusia dan hak kebebasan sering dianggap ciptaan atau agenda Barat dan Yahudi, dan sesuatu yang bertentangan dengan Islam? Bukankah hak asasi manusia juga merupakan sesuatu yang asas dan sudah ada dalam Islam?

sumber: Facebook.com/COMANGO

Mengapa hak asasi manusia dianggap bertentangan dengan ajaran Islam? (sumber: Facebook.com/COMANGO)

Apa itu hak asasi manusia?

Hak asasi manusia ialah hak-hak asas yang memang sudah dimiliki oleh setiap insan. Sebaik saja kita dilahirkan, kita memang sudah memiliki hak-hak untuk:

  • bernafas, makan, minum, buang air, dapat tempat tinggal — Hak untuk hidup
  • ketawa, menangis, berkata-kata, marah, menyanyi, menulis, melukis — Hak bersuara dan berekspresi
  • merangkak, berjalan, berlari — Hak untuk bergerak
  • punya tempat berteduh dan kediaman — Hak tempat tinggal
  • membaca, berbincang, belajar, berkomunikasi — Hak pendidikan
  • bersendirian, menyimpan rahsia peribadi — Hak privasi
  • berkasih sayang, bercinta dan berkeluarga — Hak berkasih sayang
  • meyakini atau beriman, beribadat, membaca kitab suci dan mengamalkan ajaran agama — Hak beragama atau berkepercayaan
  • punya wang dan harta benda — Hak memiliki harta
  • mendapat keadilan — Hak terhadap keadilan

Pendek kata, setiap orang dari kita semua mempunyai hak-hak asas ini, yang mana kalau disekat salah satu dari hak-hak asas ini, maka hidup kita akan sangat terjejas atau boleh menyebabkan kita mati.

Tiada seorang manusia pun yang tidak mahu menikmati hak-hak asasi bagi dirinya sendiri. Anda sendiri pun pasti marah dan berhak untuk melindungi hak-hak anda dari dicabuli dan dipijak-pijak oleh orang atau pihak lain.

Hak-hak asasi kita ini tiada siapa pun yang boleh mengganggu gugat atau merampasnya, termasuklah suami, isteri, pemimpin, kerajaan ataupun Raja.

Islam dan hak asasi manusia

Cuba lihat balik senarai di atas — Hak-hak asasi manusia yang manakah yang bertentangan dengan Islam?

Imam Abu Hamid al-Ghazali (w 1111M) dan Imam Abu Ishaq al-Shatibi (w 1388M) menggariskan beberapa prinsip Maqasid Shariah iaitu maksud-maksud (tujuan-tujuan) Shariah. Antaranya ialah jaminan Islam memberi perlindungan dan menegakkan hak-hak asasi manusia terhadap:

  • Hak bernyawa (Nafs)
  • Hak menggunakan akal (Aql)
  • Berkeyakinan atau beragama (Din)
  • Hak berkeluarga (Nasl)
  • Hak mempunyai harta benda (Mal)

Sesetengah ulama lain seperti Shihab al-Din al-Qarafi (w. 1285M) telah menambah ciri maqasid Shariah sebagai:

  •  Hak kehormatan diri (al-ird).

Dan Ibn Taymiyyah (w.1328M) menambah pelbagai lagi ciri lain seperti:

  • Hak pemenuhan perjanjian.

Ulama-ulama masakini seperti Yusuf al-Qardhawi seterusnya berpendapat  bahawa

  • Hak kebebasan (freedom); dan
  • Hak mendapat bantuan

juga merupakan sebahagian penting dari maqasid atau objektif  Shariah.

Jelas bahawa ulama-ulama yang prihatin terhadap kepentingan manusia, akan sentiasa menilai kembali wawasan-wawasan al-Qur’an yang sangat mementingkan keadilan dan kesejahteraan manusia, dan memastikan hak-hak asasi manusia sentiasa ditegakkan dan dilindungi.

presscon

Ulama yang prihatin terhadap kepentingan manusia akan memastikan hak-hak asasi manusia sentiasa ditegakkan

Menegakkan keadilan

Selain membaca al-Qur’an, hadith dan kitab-kitab agama dalam usaha memastikan wawasan Islam terhadap penegakan keadilan, para ulama juga tidak dapat lari dari ‘membaca’ realiti kehidupan masyarakat di sekeliling dan di eranya. Penentuan memastikan sesuatu itu adil atau tidak bukanlah tugas yang mudah kerana biasanya isu dan kes-kes yang diadili sangat kompleks.

Negara dan masyarakat akan menjadi jahanam jika ulama atau hakim mengambil sikap simplistik dan melihat sesuatu hanya dengan kacamata hitam putih. Setiap isu harus mempertimbangkan dan mengambil kira pelbagai bidang keilmuan termasuklah ilmu sains sosial dan kemanusiaan, semua undang-undang yang tergunapakai di negaranya serta pemahaman mendalam tentang hak-hak asasi manusia.

Orang Buat Maksiat dan Jenayah juga Dijamin Hak Asasi Manusianya

Jika kita mengkaji sejarah Islam, kita akan dapati Islam memang mengambil berat dan menekankan hak-hak asasi manusia. Malahan, orang-orang yang berbuat maksiat dan jenayah pun tetap dilindungi hak-hak asasinya.  Apakah anda tidak percaya?

Prinsip ini telah dijunjung  oleh Sayidina Umar al-Khattab r.a. Riwayat mengisahkan Sayidina Umar yang mengesyaki seseorang sedang berbuat maksiat di dalam rumahnya lalu baginda pun memanjat masuk ke rumah orang itu melalui bumbung. Umar pun mahu menangkap dan menghukum orang yang telah melakukan maksiat itu. Namun sebaliknya, orang yang telah berbuat maksiat itu menempelak Sayidina Umar dengan mengatakan bahawa dia hanya melakukan satu maksiat, namun Umar pula telah melakukan tiga maksiat iaitu :

i) mengintai dan dengan sengaja mencari kesalahannya sedangkan Al-Quran menetapkan hak asasi manusia dari disangka buruk, diintip/hendap dan dengan sengaja dicari kesalahannya (Surah Al-Hujurat 49:12).

ii) memasuki rumahnya melalui bumbung, sedangkan Allah swt telah menetapkan bahawa antara hak asasi manusia ialah agar orang masuk ke rumahnya dengan beradab, dengan melalui cara yang lazim iaitu melalui pintu ( Surah Al Baqarah 2: 189).

iii) masuk ke rumah tanpa memberi salam dan minta kebenaran masuk, sedangkan Allah swt telah menetapkan bahawa antara hak asasi manusia ialah perlindungan dari tempat kediamannya dimasuki orang lain tanpa izin (dicerobohi) (Surah An-Nur 24:27).

Apabila mendengar hujah-hujah si pesalah itu, Sayidina Umar tidak jadi menangkapnya, tetapi sekadar meminta dia bertaubat pada Tuhan. Jelas dari riwayat ini bahawa pemerintah atau negara sekali pun tidak punya hak untuk melanggar hak asasi rakyatnya iaitu:

i) hak untuk tidak dicari-cari kesalahannya dan dihendap oleh orang lain atau oleh pemerintah (hak setiap orang dianggap tidak bersalah kecuali setelah terbukti dia bersalah); dan

ii) hak privasi iaini hak untuk tidak diceroboh masuk rumah kediamananya.

Namun, kita lihat jabatan agama masih mengamalkan tindakan membuat serbuan ke dalam rumah orang seperti dalam operasi mencegah maksiat, yang dengan sengaja mencari-cari kesalahan orang yang dilakukan di dalam rumah mereka.

Pasti ada yang bertanya, jika begitu, apakah pihak berkuasa tidak boleh buat serbuan di rumah-rumah penjenayah? Pada saya, pertama sekali, harus dibezakan antara kesalahan moral (maksiat atau dosa pada Tuhan) dengan kesalahan jenayah (jenayah terhadap manusia dan negara). Dalam kes jenayah berat termasuk kes bunuh sekali pun, pihak polis tidak boleh menyerbu masuk rumah seseorang yang disyaki begitu saja tanpa mendapatkan waran dari mahkamah terlebih dahulu.  Waran gelidah juga tidak akan diberikan dengan mudah dan polis harus mengemukakan hujah atau bukti yang mantap dan boleh meyakinkan mahkamah bahawa premis tersebut digunakan untuk aktiviti jenayah.

Sayidina Ali r.a. contohnya, juga menghormati hak seorang penjenayah yang telah mencuri baju besinya.  Walaupun Sayidina Ali tahu bahawa orang itu telah mencuri hartanya, namun oleh kerana baginda tidak dapat membuktikan bahawa baju besi itu memang kepunyaannya, maka baginda pun menerima keputusan hakim yang melepaskan pencuri itu dari sebarang tuduhan dan hukuman. Sayidina Ali menghormati hak manusia yang asas iaitu:

i) seseorang tertuduh berhak untuk mendapat pembelaan di mahkamah; dan

ii) seseorang harus dianggap tidak bersalah kecuali telah terbukti di pengadilan yang dia memang bersalah.

Isu hak asasi manusia memerlukan perbincangan dan perdebatan yang panjang. Insyaallah, saya akan menyambung artikel ini minggu depan dengan menyentuh isu hak kebebasan bersuara dan berekspresi, keadilan gender, hak kebebasan beragama dan hak orang-orang LGBT dari didiskriminasi dan diperlakukan kekerasan.  Saya akan mengutarakan hujah-hujah yang didukung oleh teks dan sejarah Islam sendiri, bahawa hak-hak asasi tersebut memang sudah ada dan dilindungi oleh Islam. The Nut Graph


Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , ,

16 Responses to “Mengapa Sesetengah Orang Islam yang Alergi dengan Hak Asasi Manusia?”

  1. Hairi says:

    [serious question]

    Perhatikan senario contoh ini: Seorang remaja mengumumkan “Hi kawan-kawan. Saya ingin menganjurkan pesta seks di rumah saya. Jemputlah hadir. Privasi terjamin.” Rumah tersebut rumah persendirian. Makin lama makin ramai yang hadir. Walaupun yang hadir orang-orang awam, penganjur menegaskan itu majlis “pintu tertutup”.

    Jika dikatakan pihak berkuasa tidak berhak mencampur tangan perihal moral orang lain yang dilakukan secara sulit, apakah kaedah alternatif untuk membendung masalah ini?

    • Kong Kek Kuat says:

      @ Hairi

      Astagfirullah, aku tak pernah pun dalam otak ku yang dilindungi tengkorak tebal berfikir sesuatu senario seperti dalam contoh awak.

      Kuatnya iman awak.

      • Flag of Truth says:

        @ kong kek kuat

        kalau tak pernah berfikir itu sebenarnya masalah kamu. Edward De Bono pun pun dalam Teorinya “six thinking hats” menyatakan salah satu penyelesaian masalah adalah melalui negative thinking.

        “prevention is better than cure”

        Lagipun apa yang dibantah adalah usaha Kerajaan melalui pihak berkuasa agama (yang mana memang jadi tanggungjawab mereka pun dalam memastikan umat islam bebas unsur maksiat).

    • KW Mak says:

      @ Hairi

      (serious answer)

      In the scenario you painted, the authorities have every right to intervene. Privacy does not mean you can use the premises as you like until it disturbs the neighbourhood. It is the same as you not wanting your neighbour to run a restaurant which promotes heavy traffic with lots of people coming and going and therefore disturbing your right to peace and quiet.

      So the authorities do have a right to intervene, but they are not intervening based on morality, just taking action based on the illegal use of the premises.

      Regards.

  2. ellese says:

    Rubbish write. Why must noripah insult our intelligence again? First, don’t be selective. Why cant she refer to all sources. She knows most haven’t read the Comango paper and thus trying to con her way. Since she’s from Sisters in Islam I assume she’s read it. If not I ask her to Iqra’ herself. if she feels she can insult people’s intelligence, don’t complain people [are] insulting hers. I will tell her the Comango paper is utterly rubbish on some of the points there. How can she and Sisters in Islam put a face by arguing its part of human rights to promote and implement a public policy of segregating our young by race until adulthood. This is utter nonsense but what Comango did. Further how can she use argument of maqasid against taking actions against deviant groups when there’s so many Islamic justifications including maqasid itself to take actions against them? The authority advises and guides them to the true teaching, failing which they take legal action. Apa benda this Norhayati is arguing ni? Got all her islamic jurisprudential basis terbalik or upside down. She thinks people cannot see her maqasid argument as shallow ke?

    If she had been objective and not selective she would have been reasonable. But as in her past write, the biasness or kejumudan pemikiran affects her assessment. Stop insulting us. Why was other Muslims association be consulted? Is it because you disagree with their views? And you call this upholding human rights? Iqra konon.

    • muallaf says:

      Keluarlah dari Tempurung dan lihatlah dunia yang sebenar.

    • Bamboo says:

      Penulis dapat sokong hujah-hujahnya dengan petikan dari buku-buku agama Ialam. Tapi pemikiran tertutup macam Ellesse tidak mahu lihat fakta sebenarnya.
      Fatwa yang dikekuarkan oleh Ulama majlis agama tidak menyakinkan langsung kerana tiada sokongan dari petikan Quran, Hadith dll buku-buku agama Islam, sebaliknya berbau politik untuk mengawal umat Islam di Malaysia..

      • Flag of Truth says:

        @ Bamboo

        Saya rasa bagai nak ketawa bila membaca komen di atas. Sebenarnya fikiran yang tertutup itu adalah kamu atau mungkin kamu tidak pernah melihat bagaimana sesuatu fatwa dikeluarkan. Bagaimana mungkin boleh kamu mengatakan yang fatwa yang dikeluarkan oleh ‘majlis agama’ atau lebih tepat lagi Majlis Fatwa Kebangsaan tidak langsung berlandaskan nas-nas atau petikan al-Quran.

        Kamu lebih meyakini hujah penulis yang cuma menulis berdasarkan nafsu mereka sahaja. Apa sahaja yang memberi kebaikan kepada mereka akan mereka tonjolkan akan tetapi mereka menolak apa sahaja yang boleh merugikan mereka.

        Atau kamu ini tidak tahu apa-apa langsung mengenai Islam? :)

  3. Kakynologyst says:

    Thank you for the informative article. I’ve learnt a lot despite being a stranger to the verses and the Quranic personnel.

  4. halim says:

    Orang jahil cuba nampak berpengetahuan jadi macam ni la, merapu.

  5. Flag of Truth says:

    Saya setuju dengan ellese. “it is an insult to our intelligence” Saya baru mengetahui yang penulis adalah dari S.I.S dan kalau benar dakwaan ini, saya tidak terkejut dengan pandangan peribadi yang cuba beliau ‘paksakan’ kepada khalayak pembaca. S.I.S memang terkenal dengan pandangan yang sangat liberal dan moderate :) .

    Tidakkah beliau mengetahui bahawa hak asasi manusia sangat perlu dibataskan dengan undang-undang, dalam konteks negara ini undang-undang sivil dan undang-undang syariah. Manusia ni fitrahnya sangat bengkok.. sentiasa tertarik kepada nafsu dan saya percaya penulis menulis berdasarkan logik akal dan nafsu beliau semata-mata.

    Nasihat saya kepada penulis.. janganlah ambil Islam ni separuh sahaja. iaitu mengambil perkara yang memberi keuntungan kepada kamu tetapi menolak perkara yang tidak memberi manfaat pada nafsu kamu. Islam harus diterima seluruhnya. Kamu mengambil dalil-dalil yang yang berat sebelah. kenapa tidak ambil dalil yang mengatakan bahawa zina ini perkara yang sangat terkutuk?.

    Saya nak ingatkan kepada penulis dan diri saya, zina adalah dosa besar dalam Islam. Dan adalah menjadi tugas seluruh anggota masyarakat untuk mendidik anak-anak kita supaya menjauhi zina sepertimana Firman Allah dalam surah al Isra’ (17:32)

    “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”

    Apa yang penulis gambarkan dalam artikel ni adalah untuk menumpulkan usaha-usaha umara’/kerajaan dalam membasmi zina.

    Kalau nak menulis pun.. biarlah ada kredibiliti. :) bukan hentam kromo aje.

  6. AfterDark says:

    “hak orang-orang LGBT dari didiskriminasi dan diperlakukan kekerasan”??

    Kepada penulis artikel ini, fikirkan baik-baik sebelum menulis. Jika artikel ini menyebabkan ada pembaca yang menjauhi dari hukum Allah, maka sahamnya akan mengalir kepadamu walaupun seribu tahun selepas kematianmu.

    Bacalah (Iqra) maksud Al-Munafiquun :

    Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.
    [2]
    Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
    [3]
    (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).

  7. Adam says:

    Yet another thought-provoking article which has obviously ruffled quite a few feathers. As I see it, Islam, as practised in most Muslim-majority countries, is not compatible with some basic human rights. That is why these countries do not ratify the Universal Declaration of Human Rights (UDHR) but they are signatories to the Cairo Declaration of Human Rights in Islam (CDHRI) which falls short of the UDHR on quite a few points.

    It is my personal opinion that there is only one basic human right that Islam will find most difficult to comply with. If this one right can be accepted, other rights would not be a problem anymore. I am talking about Article 18 of the UDHR which reads “Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance”.

    Islamic authorities have been running in circles trying to justify punishment for apostasy to keep their adherents in. The fear of apostasy has brought about all kinds of Catch 22 situations. In matters of faith, the best approach would be the soft method. Counseling would be about the most the authorities should go for to convince any would-be apostates. Once coercion such as rehabilitation and punitive sentences are imposed, you can forget about bringing the apostates back and the vicious cycle continues.

    Muslims must look for the causes of apostasy instead of just treating the symptoms. Educating and strengthening the faith of the adherents would be one way to prevent apostasy. Once apostasy is allowed, that human right will not be violated and any Muslim such as LGBT who feels uncomfortable living under Islamic laws, could opt out and live under civil laws. There will be no Catch 22 situation nor any conflict then.

  8. Norhayati Kaprawi says:

    Terima kasih saudara Izaan Azalan yang memberi pandangan terhadap artikel saya.

    Untuk makluman, kisah Sayidina Umar tidak tergolong dalam hadith kerana hadith hanya menyangkuti ucapan Nabi Muhammad s.a.w, manakala perbuatan baginda dalam kategori Sunnah. Jadi, tidak timbul isu hadith dhaif.

    Riwayat Sayidina Umar ini tercatat dalam Kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam Al Ghazali pada Jilid 2 di bawah bab ‘Tanggungjawab menjalankan Ama Ma’ruf Nahi Munkar’.

    Saya sertakan petikan terus dari kitab Ihya Ulumuddin di sini iaitu:

    “Jika seseorang melakukan maksiat setelah menutup pintunya, maka untuk membuat siasatan secara rahsia adalah tidak sah. Pernah Hazrat Umar secara sembunyi-sembunyi memasuki sebuah rumah dan mendapati orang di dalam rumah itu sedang melakukan maksiat. Apabila ditanya, orang itu berkata: ‘Jika aku telah melakukan satu dosa, maka kau telah melakukan tiga dosa.’ Apabila kenyataannya dipertanyakan, dia menjawab: ‘Tuhan berfirman: Jangan mencari-cari kesalahan orang lain, tapi kau melakukannya. Jangan memasuki rumah orang melalui cara belakang – namun kau memanjang tembok rumah. Tuhan berfirman: Jangan memasuki rumah orang kecuali setelah dapat izin dari tuan rumahnya dan dengan memberi salam – sedangkan kau tidak meminta izin ataupun mengucapkan salam pada orang di dalamnya.’ Setelah itu, Hazrat Umar melepaskan pembuat maksiat itu dan hanya meminta dia bertaubat.”

    Riwayat ini juga dicatatkan oleh Mawardi dalam Ahkam, Dawani di Sharh, Zurqani di Sharh dan Fasawi dalam Ma’rifa’.

    Banyak pandangan-pandangan ulama klasik lain yang tidak menyokong konsep ‘skuad pencegah maksiat’ yang fokusnya sengaja mencari-cari kesalahan moral orang.

    Harus dibezakan kesalahan moral dengan jenayah.

  9. farha says:

    Keep writing, Sis Norhayati. Don’t ever stop, no matter how ruffled people’s ‘feathers’ can be.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site