Categorised | Columns

Kontroversi fatwa berterusan


(© Ilker / sxc.hu)

ADA perkembangan terbaru dalam isu fatwa di Malaysia. Tanggal 2 Dis 2008, Utusan Malaysia melaporkan yang Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan mengaku tidak boleh memaksa kerajaan negeri mewartakan fatwa berkaitan rokok. Alasannya kerana kuasa mewartakan fatwa terletak di bawah Jabatan Mufti Negeri masing-masing.

Sebelum ini, ahli parlimen PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa, telah bertanya ketika sidang Dewan Rakyat kenapa fatwa pengharaman rokok yang diputuskan pada tahun 1997 belum diwartakan di setiap negeri.

Dalam laporan yang sama, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria berkata bahawa mewartakan fatwa pengharaman rokok itu “tidak penting”. Sebaliknya, pihak berkuasa perlu menghentikan import rokok.

Bandingkan maklumbalas rasmi ini dengan gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya fatwa pengharaman pengkid diwartakan secepat mungkin di Wilayah Persekutuan. Malah, Zahid telah memberi amaran tegas khusus kepada rakyat bukan Islam supaya jangan mempersoal fatwa tersebut. Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, juga memberi amaran yang sama kepada rakyat bukan Islam.

Jelas sekali, pendekatan pihak berkuasa tidak sama terhadap semua jenis fatwa. Ada yang dikatakan tidak penting untuk diwartakan, seperti fatwa mengharamkan rokok. Ada pula yang dianggap sangat penting, seperti fatwa pengharaman pengkid dan yoga.

Suara rakyat?


Penjara dua tahun jika menentang fatwa (
© Sanja Gjenero / sxc.hu)

Memang tepat amaran yang diberikan oleh Zahid dan Musa. Menurut Seksyen 12, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997:

“Mana-mana orang yang memberikan, mengembangkan atau menyebarkan apa-apa pendapat tentang ajaran Islam, hukum syarak atau apa-apa isu yang bertentangan dengan mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Akan tetapi, isu mencabar fatwa yang sudah diwartakan merupakan hanya satu aspek yang perlu dikaji. Bagaimana pula dengan sumbangan suara rakyat sebelum sesuatu fatwa dikeluarkan?

Ini yang saya ingin tahu sebagai rakyat beragama Islam di Malaysia — apakah proses yang dilalui sebelum sesuatu fatwa itu dikeluarkan, dan semasa ia diwartakan? Maksud saya, fatwa yang diwartakan akan membawa kuasa perundangan ke atas diri saya. Beraneka jenis fatwa pula merangkumi pelbagai perkara terperinci seperti sama ada saya menghisap rokok, atau mengamalkan senaman yoga di True Fitness.

Contohnya, jika saya kekal menghisap rokok sekiranya fatwa mengharamkan rokok diwartakan, saya mungkin didenda atau dipenjarakan. Jadi, hanyalah adil jika saya dilengkapi dengan segala maklumat tentang proses yang dilalui sebelum sesuatu fatwa dikeluarkan dan diwartakan. Bukankah logik jika saya dan rakyat di seluruh negara diberikan peluang untuk bertanya pelbagai soalan tentang sesuatu fatwa dan memberikan pendapat kami sebelum ia dikeluarkan atau diwartakan?

Proses fatwa di Malaysia


Menurut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam — saya memetik Seksyen 31 enakmen negeri Selangor —  fatwa oleh mufti yang dicetak dalam Warta akan memperolehi kuasa perundangan secara automatik. Dengan kata lain, fatwa boleh menjadi undang-undang tanpa sebarang pembentangan atau perbahasan dalam Dewan Perundangan Negeri. Jadi di Selangor, contohnya, fatwa akan menjadi undang-undang sekadar diperkenan oleh Sultan dan dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Di wilayah-wilayah persekutuan pula, fatwa oleh Mufti Wilayah Persekutuan hanya perlu diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong sebelum ia diwartakan.

Fatwa di peringkat negeri dan di wilayah persekutuan selalunya berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Apa pula proses pengeluaran fatwa oleh majlis ini?

Susah untuk dikenalpasti — jika anda melayari laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mustahil sekali mengesan pautan untuk menerangkan apa sebenarnya fungsi dan mandat majlis tersebut. Jakim adalah pihak yang bertanggungjawab untuk menyelaraskan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia. 

Apa yang tertera di laman Jakim ialah senarai ahli muzakarah jawatankuasa tersebut. Tapi ia tidak mudah dicari. Jika anda kurang peka, anda mungkin tidak dapat mengesannya — terpaksa anda mencarinya melalui peta laman.

Apa yang ada juga ialah portal e-fatwa, yang memuatkan fatwa-fatwa dari seluruh Malaysia. Jadi anda boleh menyemak fatwa-fatwa yang diwartakan di setiap negeri, termasuk teks penuh fatwa tersebut dan tarikh pewartaannya.

Ketelusan ini memang perlu dipuji, akan tetapi ia masih tidak menjawab persoalan tentang proses pengeluaran dan mewartakan fatwa. Saya sendiri telah cuba mengatur wawancara dengan pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, untuk menjernihkan perbincangan ini. Saya diberitahu oleh setiausaha kanannya bahawa beliau tidak bersedia untuk diwawancara.

Ketelusan proses fatwa

Dalam tulisan terakhirnya sebagai Mufti Perlis untuk ruangan Pena Mufti dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 30 Nov, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menceritakan pengalamannya dengan majlis fatwa kebangsaan.

Asri menulis, “Jakim pula tidak akan melantik saya dalam sebarang panel fatwa, walaupun mufti negeri lain dilantik.” Tulisnya lagi, “Bahkan rakan-rakan sejawatan beberapa negeri menghalang saya berceramah di negeri mereka. Selangor umpamanya membenar semua mufti berceramah, kecuali Mufti Perlis.”

Mungkinkah kerana Asri mempunyai pendapat alternatif sebagai mufti? Asri memberikan contoh terkini, “Sehingga pada saat-saat ini pun apabila saya memberikan sedikit alternatif tentang isu yoga, ada pihak yang mendakwa PhD saya bukan dalam bidang agama dan saya tidak layak memberi pandangan di hadapan golongan agama yang sudah lama berjawatan. Padahal PhD yang ditulis dalam Bahasa Arab itu dicetak oleh UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), dan cetakan kedua diterbitkan oleh pencetak buku ternama di Beirut, Lebanon.”

Tetapi kenapa Asri dilayan sebegini? Sedangkan mufti lain juga tidak sunyi daripada melontarkan pendapat yang agak mengejutkan. Contohnya, pada tahun 2005, mufti Perak menghalalkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas Ayah Pin dan pengikutnya. Pendapat ini bertentangan dengan pendirian beberapa alim ulama yang lain, terutamanya dari PAS yang merupakan komponen Gerakan Mansuhkan ISA.

Jika fatwa menghalalkan ISA diwartakan di negeri-negeri yang ditadbirkan oleh Barisan Nasional, adakah pemimpin-pemimpin PAS yang membantah fatwa itu akan didakwa di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah? Sebaliknya, jika negeri yang ditadbirkan oleh Pakatan Rakyat mewartakan fatwa mengharamkan ISA, adakah ulama yang menyokong ISA seperti Harussani pula akan didakwa di bawah akta yang sama?

Contoh saya ini mungkin nampak keterlaluan, tetapi ia bukannya mustahil. Penelitian yang diberikan terhadap soalan ini perlu melibatkan setiap sektor rakyat — merangkumi mereka yang bersetuju, membantah, atau keliru — dan perlu bebas daripada tekanan politik.


Shanon Shah berharap tiada fatwa mengharamkan album baru Sugababes.

Rujuk juga:

Menjawab pempolitikan agama

Fatwa boleh dicabar

Fatwa dalam pembangunan masyarakat

Fatwas shouldn’t be law

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , , ,

Comments are closed.

Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site