• Skip to main content
  • Skip to secondary menu
  • Skip to primary sidebar
  • Skip to footer
  • Home
  • About
  • Contact
  • RSS
  • Archives
  • Subscribe
The Nut Graph

The Nut Graph

Making Sense of Politics & Pop Culture

  • Projects
    • MP Watch
    • Found in Conversation
  • Current Issues
    • 6 Words
    • Commentary
    • Features
    • Found in Quotation
    • News
  • Columns
  • Interviews
    • Exclusives
    • Found in Malaysia
  • Multimedia
    • Audio
    • Pictures
    • Videos
  • Corrections
  • Letters to the Editor
  • Vault
    • Found in Translation

Wanita belum memimpin

Oleh Rohana Arifin

December 23, 2008

WANITA telah berkecimpung dalam parti politik sejak 1940an lagi, termasuklah dalam Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Umno, dan juga Parti Komunis Malaya (PKM).

Sumbangan mereka dalam parti-parti politik ini adalah aktif walaupun bilangan mereka amat kurang berbanding ahli lelaki, kecuali dalam Umno. Dalam tahun-tahun 1950an, MIC, MCA, PRM — iaitu Parti Rakyat Malaya, yang berasal-usul daripada PKMM, tetapi terpaksa bertukar nama kerana PKMM diharamkan oleh kerajaan kolonial pada 1948 — dan PAS, semua telah menubuhkan sayap wanita. Dan pada tahun-tahun berikutnya DAP, Gerakan, dan Parti Progresif Penduduk (PPP) juga mempunyai ahli wanita.

Jadi setelah lama aktif dalam parti politik, mengapa wanita masih tidak menduduki 30% dari pucuk pimpinan politik, jauh sekali dalam badan-badan sosio-ekonomi penting yang membuat dasar?

Benar, tidak dapat dinafikan terdapat peningkatan perwakilan sejak kemerdekaan 1957. Jika dilihat pada tahap persediaan dan permulaan kemerdekaan, dalam Majlis Perundangan Persekutuan — yang menyerupai Parlimen masa itu — daripada 52 kerusi, hanya terdapat seorang perwakilan wanita. Dan di majlis negeri pula hanya ada satu wanita atau tiada langsung. Yang ada satu perwakilan wanita ialah di Johor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

Pada 1953, walaupun Umno mempunyai ahli wanita hampir 45%, namun hanya empat wakil wanita yang menghadiri kongres Umno berbanding dengan 400 wakil lelaki.

Namun ada juga parti pembangkang yang memperjuangkan hak wanita seperti Parti Buruh dalam tahun 1954, yang menyarankan supaya menyamakan gaji antara lelaki dan wanita, dan membentuk satu Piagam Wanita. Malangnya ia tidak diterima oleh pemerintah dan parti ini tidak dapat menarik ramai ahli, termasuk wanita, sebab parti berbilang kaum kurang diminati rakyat Malaya buat masa itu.

Seterusnya, mulai dekad 1980an, peratusan wanita yang keluar mengundi meningkat daripada 49% kepada 56%. Bagi calon wanita yang  bertanding, kejayaan kemenangan adalah 90%. Dari tahun 1980an sehingga kini, perwakilan wanita dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telah meningkat perlahan-lahan dari 5%, ke 10%, dan kemudian ke 15%. Tetapi perwakilan wanita masih tidak mencecah 20%. Dalam Persidangan Beijing pada Sept 1995, Malaysia telah mempersetujui perjanjian untuk memastikan 30% wanita dalam semua susunan jawatan penting, termasuk pucuk pimpinan politik.  

Namun apakah yang telah terjadi? Mengapakah wanita yang menjadi kira-kira 50% jumlah penduduk dan 46% jumlah pekerja tidak mendapat perwakilan yang sewajarnya? Mengapa kedudukan wanita masih sekunder dari segi hak-hak persamaan jantina  dan kemudahan awam?

Wanita didalangi lelaki


(Dari atas) Rafidah Aziz (domain
awam)
; Indira Gandhi (domain
awam)
; Benazir Bhutto (domain
awam)
; Aung San Suu Kyi (do-
main awam)
; Gloria Macapagal
Arroyo (© World Economic Forum) 
Banyak sekali andaian yang boleh dibuat. Satu ialah sikap pergantungan wanita dalam berparti politik. Iaitu pergantungan kepada pemimpin lelaki dan imej mereka yang perlu dijaga. Misalnya, semasa Tan Sri Rafidah Aziz ditentang oleh Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman pada 1996, khabarnya sokongan kuat pemimpin lelaki kepada Siti yang membolehkan beliau menewaskan Rafidah. Tetapi setelah pemimpin ini jatuh, Siti juga kemudian tumbang bersama.

Pergantungan ini juga terdapat dalam kebanyakan parti politik termasuk parti pembangkang di mana kaitan dengan sesuatu pemimpin lelaki itu menjadi fakta pengaruh. Ini selari dengan unsur pergantungan wanita kepada lelaki dalam masyarakat Malaysia ini yang terbawa-bawa ke dalam parti politik. Lain-lain negara Asia pun berkongsi ciri ini seperti arwah Benazir Bhutto di Pakistan, Aung San Suu Kyi di Burma, Gloria Macapagal Arroyo di Filipina, Indira Gandhi di India, dan wanita lain dari keturunan — atau menjadi isteri — pemimpin lelaki.

Kedua, perjuangan wanita dalam parti politik lebih cenderung kepada kepentingan parti daripada kepentingan kaum wanita amnya. Jika wanita lantang sangat menyuarakan isu wanita, mereka takut dilabelkan feminis. Terdapat prasangka dan tohmahan yang konsep feminisme adalah dari Barat, di mana wanita Barat suka membakar coli, bertindak militan dan bersikap anti-lelaki.

Jadi, ini tidak dapat diterima dalam budaya wanita di sini yang beranggapan wanita perlu terus berlemah lembut dan tidak berkonfrontasi. Apakah terjadi kepada wanita yang lantang itu? Baru-baru ini, tersebar berita persaingan Rafidah dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dan juga  persaingan zaman lepas antara calon wanita termasuk arwah Khatijah Sidek yang dikatakan terlalu “agresif  dan mendahului  zamannya“.    

Ini adalah pandangan  pihak pemimpin lelaki dalam Umno pada zaman itu. Khatijah telah disingkirkan dari kedudukannya sebagai pemimpin Wanita Umno. Beliau kemudiannya telah menyertai PAS (PMIP, atau Pan-Malayan Islamic Party, buat masa itu). Mengikut  sumber sejarah, beliau hanya meminta supaya lebih ramai calon wanita dari Wanita Umno diberi peluang untuk menjadi pemimpin parti dan juga menduduki teraju kerajaan. Tetapi presiden Umno Tunku Abdul Rahman tidak setuju. Khatijah telah diganti oleh calon wanita lain yang dianggap lebih “moderate” untuk memimpin Wanita Umno.

Walaupun beliau tidak boleh dianggap sebagai seorang feminis radikal, namun perjuangan beliau adalah secara reformis dan boleh digolongkan sebagai feminis liberal.

Kenangan seorang feminis

Terkenang saya kepada Khatijah Sidek yang saya berkenalan semasa muda dan bertugas di Felda ketika tahun 1970an. Satu hari, ketua jabatan  memanggil kami ke pejabatnya lalu mengenalkan kami kepada seorang wanita yang berselendang dan berbaju kurung. Beliau mempunyai seyuman yang manis dan bertutur dengan lemah lembut selepas diperkenalkan. Terkejut saya bila menemui Khatijah Sidek sebab saya pernah membaca mengenainya dalam ilmu sejarah di Universiti Malaya. Masa itu umur beliau dalam lingkungan lima puluhan.

Beliau telah dilantik oleh Felda untuk memberi semangat kepada peneroka wanita supaya membangunkan diri. Beberapa kali beliau mengikuti saya ke beberapa perkampungan Felda dan bertemu kaum wanita di situ. Ucapan beliau kepada wanita di sana selalunya penuh semangat untuk wanita berdikari dan menuntut hak-hak yang sama dengan kaum lelaki.

Pada satu ketika semasa pertengahan 1970an, beliau membawa saya menyertai Kongres Muslimat Pas bertempat di Dewan Bahasa. Buat masa itu kebanyakan peserta wanita memakai selendang saja sebab tudung belum menjadi aliran fesyen atau popular lagi. Saya tidak ingat apa yang telah dihujahkan oleh Khatijah Sidek, tetapi beliau telah bangun dan berpidato dengan suara lantang dan berapi-api. Wah, saya kagum dengan ceramah beliau. Masa kanak-kanak pernah juga saya mendengar pidato Sukarno, bekas presiden Indonesia, melalui radio dan sangat kagum dengan cara  penyampaiannya. Pidato Khatijah Sidek sama berapi-api seperti Sukarno!


Khatijah Sidek (sumber: wanitaumno2u.com)
Setelah  meninggalkan Felda, saya tidak menemui beliau sehinggalah menemubualnya pada 1979 untuk majalah Nadi Insan (terbitan organisasi Insan). Soalan saya banyak mengenai penglibatan beliau dalam perjuangan kemerdekaan. Masa itu, beliau agak sakit tenat dan banyak duduk dan serba berbaring dan menetap di rumah anak perempuannya. Senyumannya masih mesra dan muka beliau sentiasa senyum walaupun dalam kesakitan. Bila bercerita tentang menuntut hak-hak kemerdekaan dan hak-hak wanita dalam Umno, semangatnya masih berkobar-kobar. Ya, dalam keadaan tidak sihat itu pun, beliau mempunyai semangat perjuangan yang masih tebal di dada dan pemikiran yang amat jelas.

Feminis atau seksis?

Jika wanita dalam politik takut dilabel feminis, mengapa lelaki dalam politik boleh bersikap seksis dan macho? Seksisme masih pekat dalam budaya di Malaysia. Mengapa ahli politik lelaki boleh terus bersikap seksis dan terus diundi dan menduduki jawatan dalam parti politik? Buktinya kata-kata seksis yang dilemparkan kepada  wakil wanita di Parlimen. Dan mengapa pula hanya segolongan kecil wakil wanita yang memprotes walhal lebih ramai perwakilan wanita yang hanya membisu? Adakah ini membayangkan yang wakil wanita tidak boleh menentang pendapat wakil lelaki dari parti politik yang sama, walaupun perkara dan perkataan itu merendahkan kaum wanita?

Bila isu-isu seperti rogol, keganasan terhadap wanita dan pelacuran dibahaskan, bermacam-macam komen seksis yang terdengar di Parlimen oleh wakil lelaki. Di luar Parlimen juga, dalam kehidupan seharian, terdapat ahli parti politik lelaki yang bersikap ketagih seks dan juga tamak rasuah, tetapi masih diterima parti politik tersebut, malah terus menerajui parti.


Toni Kasim (sumbangan WCI2)
Oleh kerana ramai yang tidak berpuas hati dengan kemajuan kepentingan wanita di Parlimen, maka pada pilihan raya 2008, terdapat cubaan oleh beberapa NGO untuk mempertandingkan seorang calon atas tiket bebas. Tetapi malangnya calon tersebut, arwah Zaitun (Toni) Mohamed Kasim sedang sakit tenat pada masa itu.

Kesimpulannya, masih kurang perwakilan wanita di semua tahap Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, dan dalam institusi-institusi pembuat dasar sosio-ekonomi. Maka hegemoni kaum lelaki baik dalam politik mahupun budaya akan berterusan sehinggalah kaum wanita membangun dan memperjuangan hak-hak mereka hingga tercapai keadilan dalam semua aspek kehidupan.

Merobohkan struktur kapitalis-patriarki dan budaya penindasan hegemonik, akan menjadi satu cabaran besar bagi golongan feminis, perempuan dan lelaki, untuk mencapai kesaksamaan yang tulen.

Diakhiri tahun 2008 dengan serangkap pantun:

Burung enggang bersama enggang,
Pipit pula dihalau pergi,
Kian lama wanita berjuang,
Namun undur, jangan sekali.


Rohana Ariffin dilatih dalam bidang sosiologi dan telah berkhidmat selama lebih dua dekad di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Dia bersyarah dalam bidang perhubungan industri dan kajian gender. Kini, dia menyandang jawatan naib presiden Parti Rakyat Malaysia.

Filed Under: Columns

Reader Interactions

Comments

  1. Melissa says

    December 23, 2008 at 9:54 am

    It’s about time someone wrote this article! I’m glad that you’ve highlighted these very important and oft-dismissed issues that have successfully kept most women away from the political world. We must fight for our rights because no one else will do it for us. People can label me a feminist if they like, but all I seek is equality for both genders. If I’m doing the same job as a male colleague, with the same qualifications, how on earth can it possibly be justified that I do not receive the same salary?

    Women NGOs need to urge MPs and Aduns (men and women alike) to pay more attention to this issue – not “after Pakatan Rakyat has taken over” or “after the economic situation has been resolved” or whatever excuses they will surely provide, but NOW.

    How else will we ever learn to respect women?

  2. liumx says

    December 23, 2008 at 4:46 pm

    Kepentingan wanita dalam kehidupan seharian tidak dapat dinafikan mana-mana pihak, namun di pentas politik pula terpinggir, ini satu fakta yang perlukan fahaman mendalam dari berbagai sudut.

    Agak hairan bagi saya ketika belajar tentang adat perpatih yang berunsurkan Minangkabau, Sumatera pada zaman persekolahan, di mana hak dominasi cenderung ke pihak ibu, tetapi tidak tercermin pula di peringkat pemerintah.

    Tidak dapat dinafikan bahawa kesaksamaan sejagat amat sukar tercapai. Kesedaran adalah prasyarat yang terutama, bahawa wanita sebenarnya dapat melaksanakan tugas yang perlu rancangan seperti politik.

    Unsur kurang keganasan sebenarnya bukan satu faktor negatif tetapi satu “construct” yang sengaja dipupuk tanpa disedari. Bagi saya, pengetahuan ini penting untuk memulakan langkah memimpin.

Primary Sidebar

Search

Recent Comments

  • Wave33 on The Nut Graph stops publication
  • Adam on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • Andre Lai on The Nut Graph stops publication

Recent News

  • The Nut Graph stops publication
  • Nasihat tentang sepupu yang mengganggu perasaan
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: The Sunni-Shia split and the answer to Muslim unity
  • Why Malaysia needs the national unity bills
  • Challenging government in the digital age: Lessons from Kidex
  • Najib’s failure
  • Babi, anjing, pondan: Jijik orang Islam Malaysia
  • Kidex and the law – What the government’s not telling you
  • Beyond Dyana Sofya
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: Does Malaysia need hate speech laws?

Tags

Abdullah Ahmad Badawi Anwar Ibrahim Barisan Nasional BN Bukit Selambau by-election dap Deborah Loh Ding Jo-Ann Election Commission elections Found in Malaysia Found in Quotation Gan Pei Ling government high court Hishammuddin Hussein ISA islam Jacqueline Ann Surin Khairy Jamaluddin KW Mak Lim Guan Eng Malaysia MCA Menteri Besar MP Watch Muhyiddin Yassin muslim Najib Razak Pakatan Rakyat Parliament Parti Keadilan Rakyat pas Penang Perak PKR police politics prime minister Selangor Shanon Shah Umno Wong Chin Huat Zedeck Siew

Footer

  • About The Nut Graph
  • Who Are We?
  • Our Contributors
  • Past Contributors
  • Guest Contributors
  • Editorial Policy
  • Comments & Columns
  • Copyright Policy
  • Web Accessibility Policy
  • Privacy Policy
The Nut Graph

© 2025 The Nut Graph