• Skip to main content
  • Skip to secondary menu
  • Skip to primary sidebar
  • Skip to footer
  • Home
  • About
  • Contact
  • RSS
  • Archives
  • Subscribe
The Nut Graph

The Nut Graph

Making Sense of Politics & Pop Culture

  • Projects
    • MP Watch
    • Found in Conversation
  • Current Issues
    • 6 Words
    • Commentary
    • Features
    • Found in Quotation
    • News
  • Columns
  • Interviews
    • Exclusives
    • Found in Malaysia
  • Multimedia
    • Audio
    • Pictures
    • Videos
  • Corrections
  • Letters to the Editor
  • Vault
    • Found in Translation

Panggilan misteri daripada polis

By Fahmi Fadzil

December 23, 2009


Tidak pernah dan tidak akan muncul di kedai
buku berdekatan

LEBIH sebulan sudah berlalu sejak kejadian percubaan rasuah di Balai Polis Tun HS Lee yang saya ceritakan dahulu. Kini, saya cuba memberanikan diri untuk melaporkan kejadian tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tapi hajat masih belum tercapai sebab sibuk.

Tetapi semasa menunggu sampai sempat ke SPRM, saya menerima satu panggilan misteri pada 2 Dis 2009. Beginilah ceritanya. 
 
Saya berada di pejabat, sibuk menyiapkan kerja sebelum menyambung sesi latihan wayang di waktu malam. Lebih kurang jam 3 petang, saya menerima satu panggilan: “Hello, ni En Fahmi ke? Sebentar, saya sambungkan panggilan.” 
 
Apa hal ni, agaknya, fikir saya dalam hati. 
 
Pemanggil: Hello, assalamualaikum. Nama saya Chief Inspector Razlam. Ini En Fahmi ke?

Saya: Ya, ini Fahmi. Ini berkenaan dengan apa?

Pemanggil: Hari tu En Fahmi ada buat laporan tentang anggota polis rasuah tu kan? Boleh tak saya jumpa En Fahmi… esok boleh?

Saya: Umm… boleh… tapi, nak jumpa pasal apa?

Pemanggil: Ada perkara yang saya nak tanya pasal kejadian tu.

Saya: Oh, ok. Bila?

Pemanggil: Ok, kalau macam tu, boleh datang ofis saya esok? Oh, kalau boleh, bawakkan resit yg En Fahmi buat bayaran saman hari tu, ya? 
 

Kenapa di Pusat Bandar
Damansara?

Hati berdebar-debar. Pasal apa ni… Terus saya kata ok, lalu Chief Inspector (CI) Razlam memberi saya alamat pejabatnya di Pusat Bandar Damansara. 

 

Kenapa di Pusat Bandar Damansara? Hati saya mulai risau. 
 
Dengan pantas saya menelefon Puspawati Rosman yang telah pergi bersama saya ke Bukit Aman tempoh hari dan saya menceritakan panggilan misteri tadi kepadanya. “Ganjil… Kenapa dia nak buat satu lagi meeting… ok, saya boleh ikut,” kata Puspa. Lega sedikit rasa dalam hati. “Tapi kenapa dekat Pusat Bandar Damansara, ya?” 
 
Di Pusat Bandar Damansara

Setahu saya, Pusat Bandar Damansara itu tempat imigresen dan ada juga Kolej HELP. Pasaraya Giant pun ada. Tapi pejabat polis untuk soal selidik kes rasuah? Aneh.

Hal ini membuatkan hati saya bertambah resah. Setelah menelefon beberapa teman, saya dinasihat untuk membawa bersama ibu saya berjumpa chief inspector berkenaan.

Untuk pengetahuan para pembaca budiman, ibu saya, Fauziah Ramly, adalah seorang pegawai kanan kerajaan dengan pengalaman bekerja lebih 30 tahun. Ibu saya seorang yang kuat semangat, yang berani mencabar sesiapa pun — mereka yang sudah bekerja dalam perkhidmatan awam pasti mengenali suaranya dari jauh! Dan ibu saya banyak kabel. Fakta terakhirnya menunjukkan yang kehadirannya boleh menjadi aset, dan juga satu liabiliti, dalam mana-mana situasi. 
 
Contoh: 2004. Saya dan beberapa teman ditahan pihak polis di hadapan Bukit Aman atas “kesalahan” berhimpun secara haram. Masa itu, saya sedang merakamkan perhimpunan orang ramai yang hendak menyerahkan memorandum mengenai keganasan polis dan kematian dalam tahanan. Kami diletakkan di Balai Polis Hang Tuah, yang pada waktu itu berada dalam kawasan Penjara Pudu (al-fatiha).


Fauziah Ramly (gambar oleh
The Fairly Current Show)
Tiada peguam yang dibenarkan masuk selama lebih kurang setengah hari kami ditahan. Tiba-tiba, ibu saya muncul bersama Anne James, isteri Ahli Parlimen R Sivarasa, yang membawa ubat untuk suaminya. Teman-teman bertanya, siapa perempuan ini? Ibu saya terus menuju saya dan dalam keadaan gembira sambil marah, memintal telinga saya dikhalayak ramai. “FAHMI! KENAPA BUAT MACAM NI?!” jerit ibu saya. Lesap respek teman-teman… 
 
Jadi, apabila ibu saya berkata beliau boleh dan mahu ikut bersama, saya memanjatkan doa kesyukuran dan doa keselamatan buat diri saya dan Puspa. 
 
3 Dis 2009. Kami tiba di Pusat Bandar Damansara, Blok I, aras 2. Lampu kalimantang layu menjemput kami masuk; papan tanda Bahagian Tatatertib Urusetia KPN hanya kelihatan setelah keluar lif. Apabila ditanya mengapa tiada papan tanda di aras bawah, pegawai bertugas yang tidak beruniform menjelaskan, “Ini tempat rahsia” sambil tersenyum. Saya tak pasti samada ini benar atau tidak. 
 
Seketika kemudian, CI Razlam menjelma. “Maaf, tempat ni susah sikit nak parking.” Ya, Pusat Bandar Damansara memang terkenal dengan masalah meletak keretanya.

“Kes kecik”

Kami dibawa melalui bilik rehat yang dipenuhi meja plastik ke bilik-bilik para pegawai. “Sebenarnya saya tak biasa jaga hal ni, tapi sebab bilangan fail dah bertimbun dekat Bukit Aman, diorang suruh saya ambik. Dia bagi fail ni semalam, terus saya call En Fahmi.”

Saya, ibu, dan Puspa mengambil tempat duduk. CI Razlam seterusnya meminta resit saman saya dan membuat salinan fotokopi. Dia membuka MS Word, dan mula bertanya maklumat peribadi saya.

Ganjil. “Kan hari tu dah bagi tahu?” kata saya. “Ya, tapi ini untuk report yang baru,” jelas CI Razlam.

Puspa mengingatkan saya supaya tidak meletakkan maklumat peribadi yang terlalu spesifik. “Tak ada kaitan dengan kes rasuah, tak payah letak.” Syukurlah ada peguam! Kalau tak, mungkin warna kegemaran pun saya dah letak.

Proses seterusnya boleh dianggap sama seperti proses yang dahulu, sewaktu saya membuat laporan pertama di Bukit Aman. Yang membezakan proses kali ini hanyalah penyertaan maklumat terperinci (contoh: “Pintu 3/Stor Kertas Siasatan”). Dan berlainan dengan laporan pertama, tiada penggunaan perkataan kurang profesional seperti “ulat”. Ada perkataan lain — “titik” — tapi nanti dulu.


Rasuah sebenarnya kes kecik? (© Mohd Nor Azmil Abdul Rahman / Flickr)

Puspa bertanya apakah tindakan yang bakal dikenakan ke atas S, nama samaran saya untuk anggota polis peminta rasuah itu. “Kalau S didapati bersalah, dia mungkin menerima amaran dan akan ditahan kenaikan gaji selama setahun.”

Puspa terus menyoal, “Mungkin ke dia digantung kerja?” CI Razlam menjawab, “Kes kecik macam ni, biasanya tak akan digantung kerja.” 

Kes kecik ya? Oh, rasuah ni sebenarnya kes kecik. Tapi saya tak berani bertanya, maklumlah, kita di “tempat rahsia.”


Tempat rahsia?
“Titik”

Kembali ke perkataan “titik” tadi. CI Razlam ada berkata yang kerja di bahagian tatatertib ini agak sukar. Kalau boleh, dia ingin berhenti dan jadi pensyarah undang-undang. Dia dilatih di Universiti Malaya dan fasih berbahasa Inggeris. “Sebab kalau kita investigate setengah pegawai, especially yang dah berpangkat atau ada title Datuk… kita mungkin kena ‘titik’. Nanti, kalau kita kena transfer masuk unit dia… habislah.” Oh, balasan dendam, maksudnya.

Ibu saya, yang selama 45 minit sebelum ini hanya duduk diam (rekod baru! Haha!), kini bersuara. “Tuan, PDRM tak ada badan bebas untuk soal selidik kes-kes macam ni?”

“Tak. Kita selalunya akan lantik pegawai — SUP, ASP, DSP — yang akan membaca rekod-rekod pesalah, dan pegawai ini akan membuat keputusan yang dibawa ke pihak atasan. Kemudian baru hukuman dikenakan. Tapi biasanya susah anggota polis nak kena hukuman gantung kerja; mungkin kalau kes-kes berat macam mencederakan orang ke…” 
 
Ibu saya seterusnya menceritakan perihal anggota perkhidmatan awam yang lain, yang disoalsiasat dan dikenakan hukuman melalui badan bebas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Saya memberitahu CI Razlam tentang jawatan terakhir ibu saya di Jabatan Perdana Menteri, dan dia mengangguk kepala. 
 
Pilih kasih?

Dua perkara menarik sewaktu kami berangkat pulang. 
 
 
Puspa meminta salinan laporan dari CI Razlam. Berlainan dengan laporan tempoh hari, CI Razlam membenarkan kami mengambil satu salinan laporan tapi tanpa tandatangannya! “Sepatutnya tak boleh.” Ini membuatkan saya keliru… boleh ke tidak? Kalau boleh, kenapa tak bagi saja? Kalau tak, kenapa diberi? 
 
Sewaktu kami keluar, CI Razlam mengucapkan terima kasih kepada kami bertiga, dan khususnya pada ibu saya. “Terima kasih lah, Datin.” Mula-mula saya tak perasan. Tapi, bila keluar, baru saya teringat: saya tak perkenalkan ibu saya sebagai “Datin”. 
 
Alangkah naifnya saya. Pihak polis pasti menyelidik latar belakang diri saya. Saya masih ingat soalan pertanyaan Sarjan Nazita di Bukit Aman tempoh hari: “Mak ayah awak masih hidup?” Oh… 
 
Sewaktu kami bertiga berjalan ke tempat letak kereta, soalan yang bermain di hati saya, “Adakah ini satu kes pilih kasih?” 
 
“…dia bagi fail ni semalam, terus saya call En Fahmi.” 
 
Mungkin idea badan bebas untuk siasat salah laku polis itu masih relevan. Itulah sebabnya saya dan Puspa akan meneruskan perjalanan kami ke SPRM. Favicon


Fahmi Fadzil mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihormati rakyat. Tapi untuk itu, PDRM juga harus menghormati rakyat. 

Seterusnya: Sudah tiba di penghujung cerita?

Baca juga:
Peristiwa di balai polis
Semuanya aman di Bukit Aman

The Nut Graph memerlukan bantuan anda

Filed Under: Columns Tagged With: Fahmi Fadzil, fauziah ramly, kecik, kes, Malaysia, PDRM, polis, PRDM, puspa rosman, rahsia, rasuah, tempat

Reader Interactions

Comments

  1. Firdaus says

    December 24, 2009 at 3:57 am

    Ala Mi… Kan lebih bagus kalo ko dah bayar rasuah tu? Lebih kukuh bukti rasuah. Diorang mesti kate Mi ni yg salah — sebab bayar rasuah — dari segi undang² dan bla bla bla.

    Tapi takpe, bagaikan kamikaze! Mari kita mati bersame-same!

  2. Main says

    December 25, 2009 at 10:52 am

    Langkah yg berpadanan. Moga ada sambungan cerita seterusnya.

  3. SH says

    December 27, 2009 at 12:02 pm

    Lu kira nasib baik la ada Lu punya mother yang berdatin dan lu mampu upah lawyer… bayangkan rakyat marhaen yang tak punya semua itu. Kalau kita baca buku2 tahanan ISA polis ni selalu kata macam2 pada tahanan yang berprinsip sosialis @ komunis. Tak percaya Tuhan… tak reti sembahyang… sedangkan polis ni […] kalau depa percayakan Tuhan depa tak akan seksa orang macam malaikat di neraka.

    […]

Primary Sidebar

Search

Recent Comments

  • Wave33 on The Nut Graph stops publication
  • Adam on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • Andre Lai on The Nut Graph stops publication

Recent News

  • The Nut Graph stops publication
  • Nasihat tentang sepupu yang mengganggu perasaan
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: The Sunni-Shia split and the answer to Muslim unity
  • Why Malaysia needs the national unity bills
  • Challenging government in the digital age: Lessons from Kidex
  • Najib’s failure
  • Babi, anjing, pondan: Jijik orang Islam Malaysia
  • Kidex and the law – What the government’s not telling you
  • Beyond Dyana Sofya
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: Does Malaysia need hate speech laws?

Tags

Abdullah Ahmad Badawi Anwar Ibrahim Barisan Nasional BN Bukit Selambau by-election dap Deborah Loh Ding Jo-Ann Election Commission elections Found in Malaysia Found in Quotation Gan Pei Ling government high court Hishammuddin Hussein ISA islam Jacqueline Ann Surin Khairy Jamaluddin KW Mak Lim Guan Eng Malaysia MCA Menteri Besar MP Watch Muhyiddin Yassin muslim Najib Razak Pakatan Rakyat Parliament Parti Keadilan Rakyat pas Penang Perak PKR police politics prime minister Selangor Shanon Shah Umno Wong Chin Huat Zedeck Siew

Footer

  • About The Nut Graph
  • Who Are We?
  • Our Contributors
  • Past Contributors
  • Guest Contributors
  • Editorial Policy
  • Comments & Columns
  • Copyright Policy
  • Web Accessibility Policy
  • Privacy Policy
The Nut Graph

© 2025 The Nut Graph