• Skip to main content
  • Skip to secondary menu
  • Skip to primary sidebar
  • Skip to footer
  • Home
  • About
  • Contact
  • RSS
  • Archives
  • Subscribe
The Nut Graph

The Nut Graph

Making Sense of Politics & Pop Culture

  • Projects
    • MP Watch
    • Found in Conversation
  • Current Issues
    • 6 Words
    • Commentary
    • Features
    • Found in Quotation
    • News
  • Columns
  • Interviews
    • Exclusives
    • Found in Malaysia
  • Multimedia
    • Audio
    • Pictures
    • Videos
  • Corrections
  • Letters to the Editor
  • Vault
    • Found in Translation

Nasyid rock!

Oleh Shanon Shah

January 5, 2009

NASYID rock? Itulah label yang digunakan oleh kumpulan Algebra untuk menerangkan konsep muzik mereka. Mengambil nama sempena cabang ilmu hisab yang diterokai oleh sarjana Islam, al-Khawarizmi, Algebra mengaku orang ramai mungkin merasa janggal jika melihat mereka buat pertama kali.

Siap dengan berserban, vokalis Ahnaf Jamal mengaku, “Kami tak segan dengan imej yang ditonjolkan. Lagipun apa yang kami mahu tunjuk ialah Algebra adalah kumpulan band yang membawakan lagu-lagu dakwah.”


Algebra (Sumber: algebra.nasyeed.my)

Lima remaja anggota Algebra berhasrat menyampaikan mesej dakwah melalui muzik beriringan gitar, drum, dan keyboard. Kemunculan Algebra sekaligus memeriahkan arena nasyid tanahair, yang sudah biasa dengan artis hebat seperti Raihan, Rabbani, Yasin dan Waheeda, yang rata-ratanya berminat bereksperimen dengan genre nasyid.  

Saya tertarik dengan pelbagai aspek tentang kumpulan Algebra.

Pertamanya, mereka bermain instrumen sendiri. Ini bukannya asing bagi industri muzik tanahair, tetapi merupakan satu ciri yang unik untuk kumpulan nasyid. Ada pendapat di kalangan ulama Islam bahawa bermain muzik adalah haram sama sekali, kerana ia dikaitkan dengan pekerjaan yang melalaikan umat. Instrumen muzik seperti gitar, piano, dan biola adalah haram dimainkan sama sekali.

Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa bermain dan mendengar muzik sebenarnya halal asalkan ia tidak membawa mudarat kepada insan dan umat. Oleh itu, pendapat ulama golongan ini menegaskan di dalam keadaan tertentu, muzik boleh diharamkan, tetapi ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. 

Jadi, jelasnya kumpulan Algebra sedang mengambil satu pendirian yang penting tentang mesej mereka dan cara penyampaiannya.

Saya juga kagum kerana Algebra membawa beberapa buah lagu hasil pena bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Lagu Asri juga dirakamkan oleh kumpulan Kopratasa, tetapi baru-baru ini salah sebuah lagu tersebut, Aku Bukan Musuh Harta, digam oleh pihak RTM. RTM menegaskan bahawa lagu tersebut bukannya diharamkan, tetapi dianggap tidak sesuai untuk diputarkan di udara. Pelik tetapi benar.

Dan akhir sekali, saya tertarik dengan konsep nasyid rock itu sendiri. Ya, saya pernah menulis tentang fenomena hip-hop versi Islam, tetapi saya mulanya menganggap budaya tersebut hanya tertumpu kepada komuniti Islam di Barat. Akan tetapi, inilah kali pertama saya sendiri mendengar tentang kumpulan muzik tempatan yang terang-terang melabelkan muzik mereka nasyid rock.

Saya masih ingat lagi apabila kerajaan negeri Kedah yang diterajui oleh PAS mengumumkan pengharaman sebarang konsert pop, rock, reggae, dan dangdut. Kerajaan PAS mendakwa muzik tersebut boleh membawa kepada keruntuhan akhlak. Bagi saya, mungkin ulama atau ahli politik PAS yang membuat kenyataan sedemikian sebenarnya tidak mendengar atau mengkaji muzik.

Jadi saya teringin untuk melihat apa yang akan terjadi jika kumpulan Algebra mahu membuat persembahan untuk ulama PAS. Adakah Algebra akan diharamkan kerana membawa muzik rock, atau dialu-alukan kerana menyampaikan mesej dakwah?


(© Alex Bruda / sxc.hu)
Christian rock

Dalam masyarakat Kristian di Barat, terdapat juga fenomena “Christian rock”. Antara kumpulan popular yang pernah dilabelkan begitu termasuklah Creed, Evanescence, dan Switchfoot.

Tetapi yang mengundang cemuhan pemimpin Kristian arus perdana adalah penyanyi dan komposer seperti Amy Grant dan Sam Phillips yang cuba menyampaikan mesej gospel melalui genre pop. Grant dilabelkan pengkhianat agama kerana perwatakannya terlalu “seksi”. Nyata sekali mereka yang anti-Grant pada masa itu belum lagi terhidang dengan aksi Britney Spears dan Christina Aguilera.

Kisah Phillips pula lebih menarik. Kalau anda pernah meminati siri televisyen Gilmore Girls, anda pasti pernah terdengar iringan muzik latar Phillips dengan harmoni vokalnya dalam setiap episod rancangan itu.

Ketika dia masih remaja, Phillips selalu memetik gitar dan ingin mendalami ilmu agama. Dengan menggunakan nama Leslie Phillips, dia mengeluarkan tiga album berunsurkan tema Kristian.

Tetapi dia mendapati bahawa industri muzik Kristian terlalu komersial, cetek pemikiran, dan mengongkong. Anda mungkin terfikir, “Mestilah, pihak gereja pastinya tidak mahukan dia berlagak terlalu seksi.” Tetapi kongkongan yang dialami oleh Phillips bukannya dari segi cara pemakaian atau persembahannya. Malah, kongkongan tersebut adalah terhadap hasratnya untuk belajar dengan lebih mendalam tentang agama Kristian.


Sam Phillips (© Sam Phillips, sumber:
samphillips.com)
Kata Phillips dalam wawancaranya dengan akhbar Boston Globe, April 1989, “Mereka mahukan propaganda, bukannya muzik.” Dalam wawancaranya dengan Vancouver Sun, Feb 1992 pula, Phillips berkata dia akhirnya sedar industri muzik Kristian sebenarnya berkait rapat dengan puak berhaluan kanan yang tidak demokratik. “Perut saya mula memulas-mulas, dan saya memang tidak bersetuju, saya tidak memegang kepercayaan yang sama.”

Akhirnya, demi memuaskan cita-citanya untuk mencipta muzik sebagai seorang penganut agama Kristian, Phillips terpaksa meninggalkan industri muzik Kristian. Untuk mendalami agama Kristian, dia terpaksa memeluk industri muzik sekular. Pelik tetapi benar.

Persamaan BN dan Pakatan Rakyat

Adakah kumpulan seperti Algebra akan menemui nasib yang sama seperti Phillips?

Kita hanya perlu mengimbas beberapa perkembangan dalam tahun 2008 untuk meneka jawapannya. Pengharaman buku tentang Islam yang lebih “liberal” berleluasa di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN). Larangan mempersoalkan fatwa tentang yoga dan pengkid juga dikeluarkan oleh mereka yang memegang jawatan di bawah kerajaan BN.

Akan tetapi, di kalangan pihak Pakatan Rakyat, PAS beberapa kali menyuarakan hasratnya untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya memerintah negara. PAS Pulau Pinang mengugut untuk berdemonstrasi hanya kerana kerajaan negeri yang diketuai oleh DAP mahu menganjur pertandingan tarian beramai-ramai. Manakala itu, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, belum lagi menyuarakan pendiriannya tentang isu ini.

Nampaknya, penyekatan kebebasan berfikir dan bersuara dipelopori secara sama rata oleh BN dan Pakatan Rakyat. Pelik tetapi benar.

Tetapi saya masih bersikap optimis. Saya ingin melihat perkembangan kumpulan muzik seperti Algebra dalam tahun 2009 ini. Jika mereka mengalami nasib yang sama seperti Phillips, saya tidak khuatir. Saya memiliki beberapa album Phillips daripada zaman “sekularnya”. Labelnya saja sekular. Tetapi kandungannya amatlah spiritual, menyentuh perasaan dan merangsang akal. Saya tutup dengan satu rangkap lagu Baby, I Can’t Please You daripada album Martinis and Bikinis:

I know you say love when you mean control,
You buy the truth and your heart is cold,
So you live in shadows,
Baby, I can’t please you.


(© Jesse Hamble / sxc. hu)


Shanon Shah terfikir kalau-kalau kumpulan nasyid girl-pop á la Sugababes akan muncul dalam tahun 2009. Jangan guna nama al-Gulabeb cukuplah.

Share this:

  • Click to share on Twitter (Opens in new window)
  • Click to share on Facebook (Opens in new window)
  • Click to share on LinkedIn (Opens in new window)
  • Click to share on WhatsApp (Opens in new window)
  • Click to email a link to a friend (Opens in new window)

Related Stories

Filed Under: Columns Tagged With: Algebra, Christian rock, musik, nasyid rock

Reader Interactions

Comments

  1. Zedeck says

    January 5, 2009 at 9:58 am

    al-Gulabeb is a brilliant name for a band.

  2. Lord says

    January 5, 2009 at 12:52 pm

    Coming soon, The Ramohds – Khey Kho, Insyaalah, Let’s Go!

  3. Singam says

    January 5, 2009 at 1:41 pm

    Nasyid Rock can only be good for Islam. If Islam is meant to be for all time, then the religion should be able to absorb elements of modern culture without risk to its fundamental solidity. Those who would confine the trappings of the religion to medieval Arabic culture are merely imposing their own fears and limitations on something far greater than them.

  4. Karcy says

    January 6, 2009 at 7:42 am

    This is an awesome article, and Nasyid Rock sounds like an awesome concept. I am always amazed by how progressive Muslims in Malaysia can be.

  5. kopisejuk says

    January 11, 2009 at 1:47 pm

    Untuk pengetahuan saudara, Amy Grant dan Sam Phillips bukanlah Christian rock sebenarnya. Lagu mereka tak dapat dikategorikan sebagai berunsurkan ketuhanan, dan mungkin juga faktor politik gereja dan pemimpin gereja yang sempit fikiran.

    Band-band Christian rock ramai yang popular, seperti Hillsong United, Delirious – ini band Australia dan dari Amerika lagi ramai.

    Manakala yang Asia punya hanyalah di Indonesia, iaitu Giving My Best yang diterajui oleh Bams dari kumpulan Samson sekarang ini – ini yang famouslah.

    Sebenarnya muzik dapat menyampaikan dakwah, malah ia sangat berkesan. Terutamanya kepada remaja, yang kadang-kadang hilang panduan arah. Saya menyambut baik perubahan yang dilakukan seperti kumpulan Algebra ini.

    Dari pengalaman saya berkecimpung dalam Christian rock, muzik merupakan satu cara yang sangat berkesan untuk menyampaikan mesej ketuhanan dan keamanan kepada masyarakat.

    Maka, bagi saya, penganut agama Islam harus menerima baik perkembangan nasyid seperti Algebra. Mana tahu, kami pun boleh meminati mereka.

    Untuk pengetahuan semua, bagi orang Kristian seperti kami, satu cara untuk menguatkan silaturahim antara penganut kami terutamanya remaja adalah melalui lagu – mengadakan konsert dan pelbagai aktiviti remaja.

    Oleh itu, remaja Islam boleh membuat perkara yang sama, berlandaskan agama kamu sendiri.

Primary Sidebar

Search

Twitter

My Tweets

Recent Comments

  • Wave33 on The Nut Graph stops publication
  • Adam on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • Andre Lai on The Nut Graph stops publication

Recent News

  • The Nut Graph stops publication
  • Nasihat tentang sepupu yang mengganggu perasaan
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: The Sunni-Shia split and the answer to Muslim unity
  • Why Malaysia needs the national unity bills
  • Challenging government in the digital age: Lessons from Kidex
  • Najib’s failure
  • Babi, anjing, pondan: Jijik orang Islam Malaysia
  • Kidex and the law – What the government’s not telling you
  • Beyond Dyana Sofya
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: Does Malaysia need hate speech laws?

Tags

Abdullah Ahmad Badawi Anwar Ibrahim Barisan Nasional BN Bukit Selambau by-election dap Deborah Loh Ding Jo-Ann Election Commission elections Found in Malaysia Found in Quotation Gan Pei Ling government high court Hishammuddin Hussein ISA islam Jacqueline Ann Surin Khairy Jamaluddin KW Mak Lim Guan Eng Malaysia MCA Menteri Besar MP Watch Muhyiddin Yassin muslim Najib Razak Pakatan Rakyat Parliament Parti Keadilan Rakyat pas Penang Perak PKR police politics prime minister Selangor Shanon Shah Umno Wong Chin Huat Zedeck Siew

Footer

  • About The Nut Graph
  • Who Are We?
  • Our Contributors
  • Past Contributors
  • Guest Contributors
  • Editorial Policy
  • Comments & Columns
  • Copyright Policy
  • Web Accessibility Policy
  • Privacy Policy
The Nut Graph

© 2023 The Nut Graph