SAYA dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Tiang pada Pilihanraya ke-11, dan kemudiannya sekali lagi pada 8 Mac 2008.
Persoalan yang selalu saya terima akhir-akhir ini adalah: Macam mana sekarang jadi pembangkang?
8 Mac selalu membawa saya termenung. Berfikir mungkin atau tidak ia membawa perbezaan sekiranya saya tahu Barisan Nasional (BN) akan kalah di negeri Kedah.
Pada 2004 saya menjadi calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri Sg Tiang, Pendang. Pada masa itu, saya memegang jawatan Ketua Puteri Kedah, Bendahari Puteri Malaysia dan Ketua Puteri Bahagian Pendang.
Cabaran utama pada masa itu adalah meyakinkan pengundi bahawa sebagai pemimpin muda, saya boleh melaksanakan tugas sekiranya terpilih.
Alhamdulillah, keyakinan dapat disampaikan dengan baik. Saya menang dengan majority 4,250 undi.
Perlu memohon maaf
Pada pilihanraya ke-12 kali ini, saya dicalon semula di tempat yang sama, tetapi berhadapan cabaran yang berbeza. Saya terpaksa pula meyakinkan pengundi bahawa segala masalah, kesilapan dan kekurangan yang dihadapi oleh rakyat akan sentiasa menjadi perhatian utama dan akan diperbaiki dari masa ke masa kerana perjuangan akan berterusan.
Cabaran kali ini lebih hebat. Tidak pernah saya diberitahu bahawa untuk menghadapi saat ini saya perlu memohon maaf kepada begitu ramai orang. Banyak juga silap saya, banyak juga salah saya. Ini perlu saya pelajari supaya lebih mudah menjalankan kerja-kerja dan meneruskan perjuangan saya selepas ini.
Saya ingat lagi bagaimana pada satu masa sewaktu menjadi wakil rakyat, saya mendirikan surau di sebuah kampung. Surau yang lama agak uzur. Tidak disangka rupanya ketua kampung amat tidak menyenanginya kerana ianya tidak melalui beliau. Kata beliau ini bukan hal mendapat kemudahan, tetapi yang lebih penting sesuatu urusan kerja perlu mengikut tatacara yang betul, melibatkan ahli kampung, ketua kampung, penghulu dan yang teratas sekali pegawai daerah.
Bagi saya ia amat meletihkan kerana terlalu banyak birokrasi, kerana pada pandangan saya sebagai orang muda, kita perlu menyelesaikan sesuatu kerja dengan cepat dan mudah untuk kepentingan pengundi dan orang ramai sesuai dengan keperluan semasa, dan yang lebih penting kerajaan dapat menyediakan prasarana yang diperlukan oleh rakyat.
Rupanya tidak, pandangan saya salah dari segi hirarki politik kerana semua orang perlu dilayan selayaknya. Berhemah dalam kerja adalah segalanya. Ia pasti melambatkan urusan kita tapi ia disenangi oleh semua penjawat jawatan. Hal ini telah saya belajar, dan saya perlu terus bersabar supaya lebih berhemah.
Selepas diumumkan saya menang dengan majoriti 3,006 undi, saya tidak menyangka pula bahawa negeri Kedah akan jatuh ke tangan pembangkang.
Perasaan saya?
Pelbagai perkara datang ke benak saya, dan saya memikirkan cara bagaimana berhadapan dengan rakyat di kawasan saya, sehinggalah ke cara menjalankan tugas seharian.
Hilang keyakinan diri
Pengalaman yang lalu banyak kesannya kepada saya. Dan saya mengaku, saya sekarang ada juga perasaan hilang keyakinan diri untuk menjalankan tugas seharian sebagai wakil rakyat pembangkang.
Macam mana ya nak mohon jalan supaya ditar semula?
Macam mana ya nak mohon agar bantuan rumah yang terbakar dapat diberi, sedangkan Kerajaan Negeri berbeza parti dengan kita?
Keliru saya selama beberapa minggu. Saya fikir rakyat belum merasai perbezaan sebenar hasil “peralihan” mereka.
Tapi saya amat bersyukur kerana Kerajaan Pusat masih di bawah pimpinan BN. Memang terlalu banyak yang perlu diperbaiki dari segi pentadbiran; tetapi sebagai wakil rakyat BN, saya masih mempunyai tempat untuk merujuk segala persoalan dan bantuan.
Sekarang kerja seharian saya masih tertumpu kepada kerja di dalam kawasan dan pejabat guaman. Di samping itu, saya dapat memberi ruang yang lebih sedikit kepada keluarga, berbanding dahulu.
Setelah enam bulan selesai pilihanraya ke-12, saya ingin membawa perpaduan di kalangan penduduk Pendang. Agenda utama: pendidikan dan ekonomi.
Segala janji pilihanraya telah saya usahakan untuk ditunaikan secepat mungkin. Setakat hari ini saya boleh kata 80% telah sempurna.
Sebati Rakyat
Namun, perjalanan masih jauh. Saya berharap agar rakyat memahami bahawa wakil rakyat adalah jambatan mereka kepada agensi, jabatan dan segala operasi pentadbiran Kerajaan Negeri itu. Sama ada Kerajaan Negeri itu bukan sama dengan parti kita, ianya tidak lagi releven.
Perlu difahami juga bahawa Kerajaan Negeri perlu memberi perhatian kepada wakil rakyat, sama ada wakil rakyat itu dari parti yang sama dengan mereka atau tidak, kerana wakil rakyat tersebut telah terpilih dengan sah.
Saya tidak pasti macam mana kerajaan negeri BN terdahulu “melayan” wakil-wakil rakyat pembangkang. Yang saya pasti tempat-tempat, sama ada wakil rakyatnya BN atau pembangkang, tidak pernah dijadikan ukuran untuk bantuan diturunkan. Mungkin “cara” turunnya bantuan tersebut berbeza.
Agenda membasmi kemiskinan tegar adalah agenda utama kerajaan BN. Di dalam usaha ini, saya nampak kerajaan BN tidak mengira parti dan mengamalkan kesamarataan di mana kita sama-sama cuba membendung isu besar negara.
Saya masih dengan prinsip saya yang satu ini — “Sebati Rakyat” — iaitu pergi kepada rakyat, belajar daripada mereka, hidup bersama mereka. Mulakan dengan apa yang mereka sedia ketahui, bangunkan dengan apa yang mereka sedia miliki.
Kesimpulannya, segala masalah rakyat adalah masalah wakil rakyat dan perlu menjadi beban kepada Kerajaan Negeri untuk sama-sama membantu. Kita ketemu lagi nanti.
Suraya Yaacob sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Dia mempunyai firma guaman sendiri yang berpejabat di Alor Setar dan Kuala Lumpur.
Jasraj SAndhu says
In lieu of the state of Kedah now being under Pakatan stewardship, you have cited that at least the Federal Government is still led by BN and thus I can assume that you can still refer to the federal level for assiatance whenever required.
Therefore can you now ‘understand’ how did the opposition MP & Aduns of yesteryears have to survive on their own without any significant backing from the federal government ?
How did they still do their job and ultimately successfully capture 5 states away from BN rule?
Thus I think all BN Aduns and MPS should re-evaluate matter as they are right now and changes your ways and the ways of your parties and their outdated lines of thought.
To put it simply, WAKE UP!