• Skip to main content
  • Skip to secondary menu
  • Skip to primary sidebar
  • Skip to footer
  • Home
  • About
  • Contact
  • RSS
  • Archives
  • Subscribe
The Nut Graph

The Nut Graph

Making Sense of Politics & Pop Culture

  • Projects
    • MP Watch
    • Found in Conversation
  • Current Issues
    • 6 Words
    • Commentary
    • Features
    • Found in Quotation
    • News
  • Columns
  • Interviews
    • Exclusives
    • Found in Malaysia
  • Multimedia
    • Audio
    • Pictures
    • Videos
  • Corrections
  • Letters to the Editor
  • Vault
    • Found in Translation

Durian tidak boleh dimakan?

Asam Pedas by Norhayati Kaprawi

August 1, 2011

*Corrected on 5 Aug 2011, 9.30am: This was earlier published as “suami lelaki bujang”.

DURIAN itu halal. Makan durian juga halal. Tapi kalau ada penyakit darah tinggi, mungkin sekali doktor nasihatkan jangan makan. Lalu, apakah doktor itu berdosa besar kerana melarang kita dari makan makanan yang dihalalkan dalam Islam? Tentu tidak, kerana ia bertujuan untuk mengelakkan kita dari mendapat mudarat.

(Pic by fatbong / sxc.hu)
(Pic by fatbong / sxc.hu)

Halal dan haram

Agama Islam bertujuan untuk memberi rahmat dan manfaat pada manusia. Apa-apa yang baik sangat digalakkan dan segala yang buruk minta dijauhkan. Perkara yang haram seperti memakan ular, pun boleh dihalalkan dalam keadaan darurat bagi memastikan manusia tidak mati kebuluran. Begitu juga sebaliknya, perkara yang halal juga boleh menjurus ke arah haram iaini tidak dibenarkan, jika ia memudaratkan manusia.

Biasanya sesuatu itu diharamkan terutamanya apabila ia memudaratkan orang lain atau pun jika ia boleh memberi kesan buruk pada diri sendiri. Jika tidak haram pun, mungkin menjadi makruh iaitu tidak digalakkan.

Seringkali juga, halal haram ditentukan menurut fikiran dan pertimbangan manusia. Contohnya, dadah itu pada dasarnya adalah halal dan digunakan dalam perubatan. Namun, ia diharamkan walaupun tiada ayat Qur’an atau hadith yang mengharamkannya kerana realiti menunjukkan penyalahgunaan dadah banyak memberi kesan buruk pada manusia. Sehingga kini juga, para ulama masih hangat berdebat sama ada rokok itu patut diharamkan atau tidak.

Menolak poligami

Pada 7 Julai 2011,  kita terbaca kenyataan Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Akram Sabri yang disiarkan oleh Berita Harian, bahawa wanita yang menolak poligami tidak berdosa. Dr Akram berpendirian wanita mempunyai hak menuntut syarat ke atas suami supaya tidak berpoligami.

Datuk Nooh Gadut (Source: umno- online.com)

Keesokannya, penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut terus mengeluarkan kenyataan balas di Berita Harian. Nooh mendakwa “tindakan bakal isteri atau isteri yang sejak awal dan terang-terangan menolak syariat menuntut bakal suami atau suami tidak berpoligami dengan menandatangani perjanjian juga boleh membawa jatuh hukum murtad”.

Berat sekali hukuman murtad Nooh Gadut itu – seperti mengkafirkan orang. Adakah bermakna Imam Masjid Al-Aqsa itu telah murtad kerana mendukung wanita yang menolak poligami?

Nabi Muhammad s.a.w

Bukankah fakta sejarah menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w sendiri membantah keras hajat Sayidina Ali yang ingin memadukan Fatimah? Baginda s.a.w dengan tegas menyuruh Sayidina Ali untuk menceraikan dahulu puterinya Fatimah jika Ali mahu berkahwin lagi.

Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa apa jua yang menyakiti hati Fatimah juga menyakiti hati baginda. Cucu Sayiditina Fatimah yang bernama Sakinah juga turut meletakkan syarat di dalam surat perjanjian nikahnya bahawa suaminya tidak boleh berkahwin lain selagi mereka masih bersama. Kemudian di zaman kerajaan Uthmaniyyah, ramai wanita meletakkan syarat untuk mendapatkan hak cerai sekiranya suaminya berkahwin lain.

Sarjana Islam

Ada juga sarjana Islam yang menolak poligami. Abdullah Yusuf Ali, penterjemah Al-Qur’an yang termasyhur tegas berpendirian bahawa memandangkan syarat yang dinyatakan di dalam Al-Qur’an di dalam Surah An-Nisaa (4:3), “Jika kamu khuatir tidak akan berlaku adil, maka kahwinlah satu sahaja … itu adalah lebih baik agar kamu tidak terjurus ke arah ketidakadilan”, sangat sukar dipenuhi, maka beliau berpendapat bahawa saranan Al-Quran lebih menjurus ke arah monogami.

Sheikh Muhammad Abduh (Wiki commons)

Begitu juga Fazlur Rahman dan Syeikh Muhammad Abduh. Abduh menolak poligami kerana beliau memberi pertimbangan berat terhadap Surah An-Nisa (4:129), “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil terhadap isteri-isterimu, walaupun kamu mahu…”, serta realiti yang menunjukkan banyaknya keluarga yang porak peranda dan tidak bahagia akibat poligami.

Mantan Menteri Agama Indonesia Maftuh Basyuni malah berpendapat poligami boleh menjadi haram apabila suami tidak dapat berlaku adil seperti lebih memihak kepada salah satu isteri atau menyakiti isterinya.

Perbezaan pendapat
Yang jelas, terdapat perbezaan pendapat dan pendirian dalam isu poligami dan tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh tokoh-tokoh besar seperti Abdullah Yusuf Ali, Fazlur Rahman dan Abduh tidak memahami atau menentang Al-Qur’an, apatah lagi murtad.

Islam bukanlah agama yang memperkenalkan dan menggalakkan poligami. Sebenarnya, poligami telah lama diamalkan oleh banyak tamadun termasuk masyarakat Arab.  Ayat 4:3 diturunkan untuk mengekang amalan poligami yang berleluasa pada waktu itu dengan menghadkannya pada empat isteri. Ini diikuti dengan amaran bahawa jika bimbang suami mungkin tidak dapat berlaku adil, maka lelaki hendaklah berkahwin satu sahaja.  Justeru, para sahabat yang beristeri ramai sehingga sepuluh isteri atau lebih, langsung gundah-gulana apabila turunnya ayat an-Nisaa (4:3) itu kerana mereka terpaksa menceraikan isteri-isterinya yang lain.

Tokoh-tokoh yang tidak bersetuju dengan poligami memberi pertimbangan berat terhadap faktor keadilan yang ditekankan oleh Al-Qur’an. Jelas pendekatan Al-Qur’an dalam isu poligami adalah mengambil langkah pencegahan sebelum ketidakadilan berlaku.

Tanggungjawab

Jika kita memohon pinjaman bank,  pihak bank akan membuat siasatan terperinci terhadap status dan sejarah kewangan kita kerana bimbang kemungkinan kita bukan seorang pembayar hutang yang baik. Maka, segala slip gaji, penyata bank dan sebagainya perlu diberi dan semakan dibuat dengan Bank Negara untuk memastikan kita tidak pernah lewat bayar ansuran bulanan atau disenarai hitamkan oleh mana-mana institusi kewangan.

Jika bank mendapati rekod kewangan yang tidak baik, permohonan kita akan terus ditolak. Sekiranya sesesorang yang tidak dapat buat pinjaman lalu terus mencuri atau merompak, maka haruskah kita menyalahkan pihak bank? Tentu tidak.

Namun, mengapa langkah berhati-hati yang sama tidak diambil dalam proses permohonan poligami?

Jika kita benar-benar menganggap perkahwinan adalah sebuah institusi suci, mengapa mudah sekali membiarkan lelaki yang belum tentu bertanggungjawab untuk berkahwin lagi? Selain dari membuat semakan terhadap status kewangannya yang seharusnya cukup untuk menampung lebih dari satu keluarga, siasatan perlu juga dibuat untuk mengetahui latarbelakang pemohon poligami seperti:

Adakah dia seorang suami dan bapa yang penyabar, mesra dan sentiasa prihatin terhadap isteri dan anak-anaknya atau adakah dia seorang yang pemarah dan bengkeng terhadap anak isteri?

Adakah dia punya cukup waktu untuk bersama anak-anak dan memberi tunjuk ajar dalam pelajaran dan mendengar masalah mereka pada setiap hari atau dia sentiasa sibuk dan jarang di rumah?

Adakah wang perbelanjaan keluarga diberi dengan cukup atau sering tidak cukup wang untuk belanja rumah, malah punya hutang keliling pinggang?

Adakah dia seorang penyelesai masalah yang baik atau suka lari dari masalah atau cepat mengambil jalan kasar seperti memukul anak isteri atau orang lain?

Jika dengan keluarga yang sedia ada pun dia tidak dapat menunaikan dengan penuh tanggungjawabnya, bagaimana boleh dipastikan yang dia boleh memberi keadilan jika dia berkahwin lagi dan mempunyai keluarga baru?

(Wiki commons)

Tindakan untuk ketidakadilan

Dalam proses hutang bank juga, sebaik saja kita tidak membayar hutang dengan baik, dengan cepat bank mengambil tindakan seperti menarik balik kereta atau melelong rumah.

Namun, apakah tindakan mahkamah apabila suami tidak berlaku adil terhadap isterinya? Contohnya, apakah ada hukuman terhadap suami yang lebih banyak tinggal bersama keluarga isteri mudanya? Apakah hukuman undang-undang terhadap suami yang sering marah-marah pada isteri dan anak-anak yang kurang disayanginya? Seperti tidak ada.

Banyak juga pernikah poligami yang bukan dilakukan di Thailand atau negara lain, tetapi diluluskan oleh sebuah negeri di Malaysia yang sering mempromosikan agar suami-suami di Malaysia memohon dan mendaftarkan poligami mereka di negeri itu. Jika alasan mempercepatkan proses poligami (tanpa sebarang siasatan dibuat terhadap wujudnya kemungkinan suami tidak akan berlaku adil) hanyalah agar suami tidak melakukan zina, maka adakah ini bermakna mahkamah hanya melihat poligami sebagai jalan untuk suami memuaskan nafsu seks semata-mata?

Persoalannya adalah apakah lelaki bujang* itu langsung berzina? Jika lelaki bujang pun boleh tunggu bertahun-tahun sehingga dia rasa mampu dan sedia untuk berkahwin, takkanlah yang dah ada isteri tak boleh ditahan-tahan untuk mengawal nafsu seksualnya?

Janganlah umat Islam sendiri yang merendahkan Islam dengan berfikiran sedemikian. Sudah tiba masanya kita melihat poligami bukan sekadar dari perspektif dan kepentingan suami, tetapi juga dari perspektif dan kepentingan isteri dan anak-anak. Kita tidak boleh bertolak ansur dalam memastikan keadilan jika kita mahukan masyarakat dan negara yang adil.

 

Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem. Filem dokumentarinya Mencari Kartika dan Aku Siapa menimbulkan perbincangan yang rancak dan menjadi bahan mengajar di banyak universiti di dalam dan luar negara.
[related-posts]

Share this:

  • Click to share on Twitter (Opens in new window)
  • Click to share on Facebook (Opens in new window)
  • Click to share on LinkedIn (Opens in new window)
  • Click to share on WhatsApp (Opens in new window)
  • Click to email a link to a friend (Opens in new window)

Related Stories

Filed Under: Columns Tagged With: Asam Pedas, durian, islam, Norhayati Kaprawi, poligamy

Reader Interactions

Comments

  1. didi says

    August 3, 2011 at 2:24 pm

    bagus!!! kita lantik saja norhayati jadi mufti atau imam. nampaknya sesetengah lelaki malaysia tak berfikiran waras. sebenarnya lelaki lebih emosional daripada wanita….itu yang saya nampak

  2. farha says

    August 5, 2011 at 7:47 pm

    Interesting article. This just goes to show that even Islamic scholars have differing views and opinions of something. And that’s just using the example of polygamy!

  3. Dunia Luas says

    December 11, 2013 at 5:19 am

    Yang halal bagi satu-satu agama tidak semestinya halal bagi agama yang lain. Yang baik untuk saya tidak semestinya bagus untuk anda.

    Cita rasa manusia adalah pelbagai, itulah sebabnya ada yang manis, masin, pahit, pedas dan sebaginya. Terpulanglah kepada seorang individu untuk memilih yang mana dia suka. Manusia itu sendiri juga berbilang bangsa dan bermacam-macam warna kulit.

    Agama didunia ini juga banyak, dan ajarannya walaupun hampir sama akan tetapi tidak sama seratus peratus.

    Pekerjaan juga bermacam-macam.

    Pendek kata, apa yang ada didunia ini tiada seorang pun dapat mengiranya. Namun demikian, seorang itu dapat menilai dan memilih yang mana baik dan sesuai untuknya.

    Ini bermakna Tuhan memberi kebebasan untuk memilih apa yang dia mahu. Jika kebebasan disekat maka rosaklah dunia.

Primary Sidebar

Search

Twitter

My Tweets

Recent Comments

  • Wave33 on The Nut Graph stops publication
  • Adam on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • PSTan on The Nut Graph stops publication
  • Andre Lai on The Nut Graph stops publication

Recent News

  • The Nut Graph stops publication
  • Nasihat tentang sepupu yang mengganggu perasaan
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: The Sunni-Shia split and the answer to Muslim unity
  • Why Malaysia needs the national unity bills
  • Challenging government in the digital age: Lessons from Kidex
  • Najib’s failure
  • Babi, anjing, pondan: Jijik orang Islam Malaysia
  • Kidex and the law – What the government’s not telling you
  • Beyond Dyana Sofya
  • Uncommon Sense with Wong Chin Huat: Does Malaysia need hate speech laws?

Tags

Abdullah Ahmad Badawi Anwar Ibrahim Barisan Nasional BN Bukit Selambau by-election dap Deborah Loh Ding Jo-Ann Election Commission elections Found in Malaysia Found in Quotation Gan Pei Ling government high court Hishammuddin Hussein ISA islam Jacqueline Ann Surin Khairy Jamaluddin KW Mak Lim Guan Eng Malaysia MCA Menteri Besar MP Watch Muhyiddin Yassin muslim Najib Razak Pakatan Rakyat Parliament Parti Keadilan Rakyat pas Penang Perak PKR police politics prime minister Selangor Shanon Shah Umno Wong Chin Huat Zedeck Siew

Footer

  • About The Nut Graph
  • Who Are We?
  • Our Contributors
  • Past Contributors
  • Guest Contributors
  • Editorial Policy
  • Comments & Columns
  • Copyright Policy
  • Web Accessibility Policy
  • Privacy Policy
The Nut Graph

© 2023 The Nut Graph