Categorised | Columns

Stigma terhadap teater


(© Emil Bacik/sxc.hu)

PERNAH seketika dulu, sedang kami sibuk membuat pementasan di sekolah, kami didatangi wartawan dari rancangan remaja. Rancangan itu memberi fokus kepada aktiviti-aktiviti remaja di Malaysia, amnya, dan di Kuala Lumpur, khususnya. Tidak kiralah aktiviti jenis apa, sama ada remaja yang menggemari tarian breakdance hinggalah remaja yang gemar berteater. Untuk remaja yang memilih teater sebagai aktiviti masa lapang ataupun carma (cari makan), sumber untuk rancangan itu adalah kami.

Kami bagaikan orang mengantuk disorong bantal apabila wartawan rancangan remaja itu datang sendiri untuk menemubual kami, di samping membantu mempromosikan pementasan teater kami waktu itu. Kami berikan penghargaan pada seluruh tenaga produksi untuk rancangan itu.

Rancangan apa? Kami pun dah lupa sebab ini kejadian dua tahun lepas. Bukan kami cepat lupa, cuma laju sangat peristiwa seharian masuk ke dalam kepala kami dan kami terpaksa menolak kejadian-kejadian lama, termasuklah bab percintaan (ooops!).

Walau bagaimanapun, satu soalan telah menyentap jiwa dan raga kami sehingga kami rasa seolah-olah usus perut dipicit dan dipulas sehingga mahu berlari ke tandas. Wartawan itu, yang juga remaja, bertanya: “Kamu rasa belajar teater ni boleh cari makan ke? Berapa ramai graduan teater yang hilang entah ke mana. Apa komen?”

Kalaulah kami ini selebriti terkenal tanahair sehinggakan perkahwinan kami akan ditaja dan dirakamkan, mahu saja kami jawab: “No komen.” Tapi malangnya kami bukan.


(© Loveliestdreams/Dreamstime)
Tidaklah kami katakan soalan itu salah. Kalau dia betul-betul tidak tahu, dan ingin tahu, apa salahnya? Tapi dalam konteks Malaysia sekarang, soalan itu seolah-olah menyarankan kami agar berhenti membuat teater dan belajar menjadi doktor atau engineer — pekerjaan yang akan menjamin masa depan.

Maksud tersirat

Masa depan. Ya, itulah maksud tersirat di sebalik soalan tadi. Teater dikatakan tidak menjamin masa depan anak muda ataupun golongan yang sudah lama berkecimpung dalam dunia teater. Pernah sekali guru kami juga memberi amaran agar jangan berharap untuk memiliki kereta BMW jika hendak menjadikan teater sebagai kerjaya.

Namun kami berkeras memilih teater. Pada kami, tidak kira jurusan apa sekalipun, kalau kita lakukan dengan penuh kesungguhan dan minat yang mendalam, insya Allah kejayaan akan menanti. Jikalau kami belajar perubatan atau engineering tetapi kami malas dan tidak berminat, pun tidak guna. Tapi persoalannya sekarang ialah, kenapa bidang yang kami pilih ini dipandang dengan satu macam pandangan oleh orang sebegini?

Mungkinkah kerana teater itu tidak popular? Tapi adakah populariti itu menandakan kejayaan? Sebenarnya kami sendiri pun tidak tahu dari mana punca atau permulaannya pemikiran sebegini. Kami juga tidak menolak kata-kata dari guru kami: “Jangan berangan nak kaya kalau nak buat teater.”

Benar, kami mengaku kebenaran kenyataan itu sebab kalau kita tengok tokoh-tokoh teater di Malaysia sebelum ini pun, gaya hidup mereka tidaklah semewah penerbit, pengarah, pelakon, atau selebriti lain. Tapi adakah mereka mengejar kekayaan material apabila memilih untuk menjadikan teater sebagai kerjaya? Kami percaya tidak.


Industri teater di Malaysia belum lagi macam Broadway
(© Sergey Rogovets/Dreamstime)
Memanglah kita tidak akan kaya jika memilih teater sebagai kerjaya seumur hidup. Kami percaya jika hendak bertahan di dalam industri ini, kita sekurang-kurangnya kena ada dua kerja. Kami juga pernah membincangkan hal ini dalam artikel kami yang lepas, Seni vs Hiburan: Siapa Juri?. Mana-mana cabang industri seni di Malaysia ini tidak menjanjikan kekayaan yang hebat kalau hanya memiliki satu kemahiran. Apatah lagi dunia teater yang masih sedang merangkak.

Industri teater di Malaysia ini belum cukup mewah seperti di luar negara. Tidak seperti di Amerika dan Broadwaynya, tidak seperti United Kingdom dan West Endnya. Di sana, apa-apa industri sekalipun cukup luas, besar, dan mewah sehinggakan bermain sarkas pun juga boleh dijadikan kerjaya seumur hidup.

Namun, inilah yang sedang kami cuba lakukan, iaitu memperluaskan lagi industri yang sedang membesar, sedikit demi sedikit.

Usaha memajukan teater

Akan tetapi, agak susah bagi kami dan penggiat teater lain memajukan teater sedangkan ada pihak yang enggan membantu sama-sama menaikkan industri teater di Malaysia. Dan pihak ini juga tergolong dalam industri seni dan hiburan, tapi kami nampak mereka lebih berpihak kepada medium yang lain.

Ibu bapa di rumah juga seharusnya menyumbangkan peranan. Sudah ramai keluhan dari rakan sebaya yang memilih untuk mempelajari bidang teater: keluarga serta saudara-mara menghalang terlibat dalam teater dengan alasan masa depan tidak terjamin dan sebagainya.

Bukanlah kami menolak kerjaya yang lain, seperti doktor perubatan. Tapi kalau dah semua orang jadi doktor, siapa yang nak jadi pesakit?


Krishen Jit (Sumber: kyotoreviewsea.org)
Apa yang membuatkan kami terus berpihak kepada teater ialah dengan menjadikan penggiat-penggiat teater yang sudah bertapak sebagai panduan dan motivasi. Sebut sahaja nama mendiang Krishen Jit, perkataan teater yang akan terpancul keluar. Tidak lupa juga nama-nama penggiat teater yang lain, yang sudah dikenali kerana kesabaran serta minat mereka terhadap teater, seperti Jo Kukathas, Jit Murad, Nam Ron, Ahmad Yatim, Norani Yusof, Roslina Khir, dan ramai lagi. Jika kami taipkan semuanya, nescaya tertutuplah suara-suara sumbang yang menyebarkan gosip liar bahawa teater tidak ada masa depan.

Ibarat kita hendak berkahwin: jika ditanya pada orang yang sudah bercerai-berai 10 kali, tentulah perkahwinan itu bunyinya sungguh menakutkan. Tetapi jika ditanya pada pasangan sudah bahagia selama 20 tahun, tentulah tak sabar kita nak kahwin.

Sama juga seperti teater, jika ditanya pada orang yang sudah berputus asa, yang sudah tidak lagi mahu membuat teater, tentulah bunyinya seperti tidak ada masa depan. Tetapi, jika ditanya pada penggiat yang sudah lebih 10 tahun tetap kental berkarya, tentulah semangat kita lebih berkobar-kobar. Apa yang penting bagi kami adalah tujuan sebenarnya kita hidup dan fungsi serta siapa kita kepada masyarakat.

Benar, ramai yang percaya bahawa hanya dengan sains dan teknologilah kita akan dapat menyulam masa depan yang cemerlang, terutamanya mereka yang terlalu banyak menonton rancangan televisyen tempatan. Inilah permasalahannya bila kecemerlangan dan kejayaan hanya diukur dari sudut material. Ia seolah-olah menjadikan hidup ini hanya untuk mengejar kekayaan duniawi semata-mata.

Jadi persoalannya akan kembali pada kita: hidup untuk makan atau makan untuk hidup?


Fared Ayam dan Zahiril Adzim adalah graduan baru Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Mereka sering bekerjasama dalam menghasilkan karya teater yang mencerminkan realiti masyarakat Malaysia.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , ,

3 Responses to “Stigma terhadap teater”

  1. kopi says:

    Hai…Saya bersetuju dgn pendapat ni. Budak-budak sekarang memang susah nak buat pilihan hidup diorang. Contoh macam nak pilih course untuk sambung belajar. Nak ikut kata hati atau nak ikut pandangan mak ayah? Bagi saya, walaupun saya jarang tengok teater, pelakon teater ni lebih nampak jiwa, emosi, dan ekspresi. Semua berbalik pada kita jugak. Yang penting kita seronok dengan apa yang kita pilih.

  2. sampah yg boleh dikitar semula says:

    Kalau kau diberi pilihan, mana yang kau pilih?

    Memilih atau dipilih?

  3. kopi says:

    Memilih..sekarang macam keadaan tu terkena balik kat diri sendiri…


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site