Categorised | Columns

Mahu dukung demokrasi atau diskriminasi?

SUDAH banyak yang diperkata, diperdebat dan didemokan tentang Seksualiti Merdeka.  Banyak juga yang menuduh bukan-bukan. Pesta seks bebas lah, mengajar orang supaya jadi gay lah, dan macam-macam tuduhan yang kreatif.

Sayangnya, ramai orang termasuk wartawan, lebih suka menuduh dan mensensasikan isu dari cuba memahami dan memberi maklumat berguna pada orang ramai. Seperti biasa, ramai yang mencaci-maki dan berdemo-demo mengutuk sesuatu acara, tidak pernah menghadirinya sendiri.  Jika tidak, pasti mereka akan lebih memahami apa isu-isu yang diketengahkan oleh Seksualiti Merdeka sebenarnya.

Pentingnya acara seperti Seksualiti Merdeka agar kita semua memahami apa itu LGBTIQ (Lesbian, Gay, Biseksual,Transeksual, Interseks dan Queer) dan sedar bahawa orang-orang LGBTIQ juga mempunyai hak-hak asasi mereka, sama seperti anda juga.

Logo Seksualiti Merdeka

Logo Seksualiti Merdeka

Hak asasi untuk saya, anda dan semua

Apabila sebut hak asasi manusia, masih ramai yang mencebik dan memandang kotor perkataan itu. Seperti hobi kebanyakan kita, apa-apa saja yang kita tidak faham, semuanya pukul rata tuduh sebagai agenda Barat, Yahudi dan kafir. Sebenarnya hak asasi itu milik anda, saya dan kita semua di muka bumi ini tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit, jantina dan umur.

Hak asasi bukan sekadar konsep barat, ia juga konsep dalam Islam. Ia bermakna kita semua sejak dilahirkan lagi sudah mempunyai hak-hak asas yang memang tidak boleh dirampas atau diinjak-injak oleh sesiapa pun. Setiap orang, sesiapa pun jua dia, mempunyai hak-hak asas yang sama yang antaranya ialah:

Hak untuk hidup;

Hak untuk berfikir;

Hak untuk menyuarakan pendapat;

Hak untuk menyayangi dan disayangi;

Hak terhadap perlindungan;

Hak untuk selamat dan tidak dizalimi;

Hak mendapatkan ilmu;

Hak berkeyakinan dengan apa jua kepercayaan dan agama;

Hak agar privasi nya tidak diganggu atau dicerobohi; dan

Hak untuk bertemu dan berhimpun.

Sebenarnya, jabatan agama dan pihak berkuasa sudah lama tahu mengenai acara Seksualiti Merdeka. Beberapa orang ustaz dari jabatan agama malah pernah berkunjung mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli dan penganjur acaranya. Secara dasarnya pegawai-pegawai jabatan agama tersebut menyatakan pendirian mereka bahawa orang-orang LGBTIQ tidak boleh didiskriminasi atau dizalimi dan dilakukan kekerasan terhadap mereka.

Penyekatan hak

Namun, hak-hak kita ini kemudiannya disekat satu persatu atas pelbagai sebab dan alasan.  Kadang-kadang atas nama tata susila, kebudayaan, moral, undang-undang negara atau agama.

Yang kemudiannya menyekat dan membatasi hak-hak itu bukan saja negara atau kuasa-kuasa besar, tetapi termasuklah kita semua.

Anak perempuan berhak untuk berlari-lari dan melompat-lompat seperti budak lelaki. Namun, haknya untuk berlari dan melompat mula dibatasi oleh ibubapa, guru, ahli keluarga dan masyarakatnya apabila budak perempuan itu semakin dewasa. Pembatasan ini dibuat atas nama tata susila, moral dan budaya.

(sxc.hu)

(sxc.hu)

Setiap orang bebas untuk ke mana-mana.  Namun pada suatu masa dulu, orang-orang kulit hitam di Barat dan orang berkasta rendah di India, tidak boleh memasuki sebarang bangunan, keramaian malah kenderaan yang bercampur dengan orang kulit putih atau yang berkasta tinggi. Untuk berkahwin apatah lagi, memang tidak boleh. Penyekatan hak bergerak, bergaul dan berkahwin itu dilakukan atas nama adat, perbezaan darjat dan kulit serta agama.

Sesiapa saja antara kita yang mempunyai kelayakan yang cukup, sebenarnya layak jadi pemimpin. Namun, masih ramai yang menganggap perempuan tidak layak menjadi pemimpin. Hak perempuan untuk memimpin disekat akibat dari persepsi budaya atau pun agama, walaupun sejarah membuktikan ada ramai pemimpin perempuan yang hebat dan disegani.

Begitulah juga, persepsi serong masyarakat telah menyekat hak-hak orang LGBTIQ untuk menjalani hidup mereka dengan aman dan selamat tanpa sebarang diskriminasi dan kekerasan.

Mahu demokrasi untuk diri saja

Kita mahukan demokrasi kerana kita mahu suara kita didengar dan tidak mahu didiskriminasi. Mungkin ramai antara kita yang merasa tertindas atau teraniaya atas sesuatu sebab. Mungkin ada yang rasa didiskriminasi kerana kita miskin, atau kerana kita perempuan, kerana kita dari golongan etnik minoriti, kerana kita penganut agama tertentu atau mungkin hanya kerana kulit kita tidak putih.

Pasti pedih hati dan sakit bila kita didiskriminasi orang.

Maka, walaupun anda mungkin tidak dapat menerima hubungan yang bukan heteroseksual, namun tidak bermakna anda boleh mendiskriminasi dan menzalimi orang-orang LGBTIQ.

Sebenarnya, sama ada kita suka atau tidak, memang ada rakyat Malaysia yang mencintai dengan orang yang sama jantina, termasuklah orang-orang Islam dan Melayu. Ini realiti. Orang-orang itu mungkin saja ahli keluarga atau sahabat yang anda sayangi, atau setidaknya seseorang yang anda kenal selama ini. Mungkin anda kata anda tidak kenal seorang gay pun sepanjang hidup anda.  Tapi, tidak nampak bukan bermakna tidak ada, kerana mungkin saja mereka menyembunyikan hakikat itu dari anda.  Manakan tidak, mereka takut anda akan mengutuk mereka.

Sebagai seorang manusia dan sebagai seorang warganegara Malaysia, mereka mempunyai hak-hak asasi.  Hak-hak asas ini tidak boleh dirampas dan diinjak-injak oleh sesiapa pun, termasuklah orang-orang yang berkuasa dan mana-mana parti politik.

Demokrasi berpelembagaan dan berundang-undang bermakna pihak majoriti tidak boleh sewenang-wenangnya mendiskriminasi golongan minoriti.  Tanggungjawab negara dan kerajaan ialah untuk melindungi pihak yang lemah dan minoriti dari sebarang kezaliman, penganiyaan dan diskriminasi.

Bibit-bibit diskriminasi

Pada awal bulan ini, saya menghadiri sebuah bengkel anjuran pertubuhan wanita Islam di Jakarta yang bernama Rahima.  Mereka menganjurkan bengkel bersama guru-guru agama dan saya tertarik dengan penerangan yang diberikan oleh narasumber di bengkel tersebut, Dr Irsyad Ridho.  Beliau mengingatkan bahayanya sikap berprasangka yang akan menyebabkan diskriminasi:

 Yang paling ringan, orang mula melahirkan perasaan prasangkanya melalui ucapan, seperti kata-kata sindiran dan ejekan;

 Kemudian, prasangka kita dilahirkan dengan lebih ketara apabila kita mula menghindarkan diri dan mengelak dari bertemu dengan orang-orang yang kita curigai itu;

Diskriminasi seterusnya dilakukan melalui sistem seperti apabila kita meminta kerajaan membuat dasar dan undang-undang yang merampas hak orang-orang yang tidak kita senangi;

Yang keempat, prasangka dan diskriminasi diwujudkan dalam bentuk kekerasan sosial;

 Diskriminasi dan prasangka yang paling buruk adalah apabila kita melakukan atau merelakan keganasan atau pembunuhan terhadap orang-orang tersebut.

Tanpa kita sedari, mungkin kita telah melakukan tahap 1 dan 2 itu.  Namun sering terjadi pihak-pihak yang mempunyai kuasa dan pengaruh besar, telah melakukan  tahap 3 dan 4 dan ditakuti akan menjurus ke tahap 5.

Sama ada anda sedari atau tidak, selama ini orang-orang LGBTIQ telah turut gigih berjuang dalam memastikan hak-hak anda sendiri tidak dirampas dan diinjak-injak. Maka, marilah kita melihat dan menghormati sesama sendiri sebagai manusia.


Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem. Filem dokumentarinya Mencari Kartika dan Aku Siapa menimbulkan perbincangan yang rancak dan menjadi bahan mengajar di banyak universiti di dalam dan luar negara.

 

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , ,

2 Responses to “Mahu dukung demokrasi atau diskriminasi?”

  1. johanssmKhunPana says:

    And they too pay their taxes. They don’t bother us, so why should we bother them? All those pious and holier-than-thou people better pray hard that their children are not born gay, lesbian or transsexual.

    It is already difficult to live together as Malaysians today. There are too many obstacles in place by the religious and racist, most of whom are just self-serving hypocrites. Politicians should just do their jobs and ensure fairness and equality among all human beings. Stop playing the roles of Moses and Mohammad. Most of the Datuks and Tan Sris interviewed by reporters a half-baked and tend to claim that all religions are anti-homosexuality. We can live more peacefully without these hypocrites. [...]

  2. syafiq says:

    Maaf, tapi dalam al-Quran tetap mengatakan bahawa kaum Adam sahaja yang boleh jadi pemimpin. Sememangnya wujud wanita-wanita yang mempunyai sifat kepimpinan yang sangat tinggi. Akan tetapi hukum lazimnya kaum Adam itu akan tetap pemimpin bagi wanita dan keluarga dan juga masyarakat.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site