Categorised | Columns

Ke arah “perundingan dan persefahaman”

Nasrudin Hassan

PERHATIAN kini tertumpu kepada muktamar PAS ke-55. Walaupun terdapat saingan yang mungkin sengit untuk jawatan timbalan presiden parti, di peringkat Dewan Pemuda PAS, keadaan nampaknya tenang.

Jawatan ketua Dewan Pemuda PAS dimenangi tanpa bertanding oleh Nasrudin Hassan at Tantawi.

The Nut Graph sempat berbual dengan Nasrudin, menerusi e-mel, untuk mengetahui corak kepimpinannya kelak, serta perasaan barisan pemuda secara amnya mengenai perubahan dan cabaran dalam parti.

TNG: Apakah pendapat ustaz mengenai isu saingan di antara puak “ulama” dan puak “profesional / Erdogan”, yang dikatakan akan berlaku di muktamar ke-55 ini?

Nasrudin: Sebenarnya ia bukan pertembungan antara “ulama” atau “profesional”. Kedua-dua golongan ini sudah bergandingan sejak sekian lama dalam PAS. Jujurnya saya sebut, apa yang berlaku dalam PAS hari ini ialah pertembungan individu dengan individu tertentu, yang tidak sewajarnya mengheret karisma “ulama” dan “profesional”.

Pemilihan perlu dilakukan dengan melihat kepada tokoh yang layak. Kelayakan itu mesti melihat kepada ilmu, akhlak dan kemampuan memimpin.

Oleh kerana PAS adalah sebuah gerakan Islam, maka siapa jua yang ingin memimpinnya mestilah mempunyai ilmu mengenai Islam — secara mendalam. Jika tidak, bagaimana mereka mahu memimpin parti yang membawa dasar Islam ini? Jika mereka jahil mengenai Islam, dibimbangi pembawaan dan gerak-kerjanya akan salah.

Saya ulangi, isunya ialah kelayakan dan salah satu syarat layak ialah ilmu. Walau seorang profesional, jika ia mampu memahami kitab suci al-Quran dan sunnah Nabi dengan baik, maka ia telah memiliki syarat kelayakan untuk memimpin.

Demikian juga akhlak atau keperibadian. Pemimpin mestilah memiliki keperibadian yang tinggi dan disiplin serta adab berjamaah. Ini agar penampilan, ucapan dan perilakunya tidak merosakkan imej parti. Walau ia seorang yang berilmu tinggi (ulama) tetapi jika tidak berakhlak maka dia tidak layak memimpin.

Pull Quote: Pertentangan antara dua sumber tenaga dalaman parti ini hanya akan merugikan masa depan perjuangan. Kami para pemuda sangat mengharapkan tidak berlaku pertembungan.

Terdapat persepsi bahawa ada pertentangan fikiran di antara kedua-dua puak ini. Apakah pendapat orang muda dalam PAS mengenai isu ini?

Sepatutnya tiada pertembungan. Sebaliknya apa yang wajar ialah menyelaraskan pemikiran agar membentuk wehdatul fikri (kesatuan berfikir) dan bergandingan dalam tindakan, kerana ia lebih mengukuhkan parti.

Pertentangan antara dua sumber tenaga dalaman parti ini hanya akan merugikan masa depan perjuangan. Kami para pemuda sangat mengharapkan tidak berlaku pertembungan. Andai benar berlaku, tamatkan segera dan cari satu mekanisme bagaimana damai boleh dicapai.

Adakah perbezaan fikiran itu sesuatu yang baik untuk pembangunan PAS? Ataupun adakah isu ini mungkin menjadi sesuatu yang memecah-belahkan parti?

Perbezaan fikiran tidak mengapa, dan sememangnya kita tidak boleh seragam atau serupa pada semua ketika. Cuma perbezaan itu mestilah dalam kerangka saling menghormati. Berbeza pandangan wajar dengan penuh adab susila.

Jangan biarkan perbezaan menjadi perbalahan. Berbeza pandangan kadangkala membawa kesan positif, justeru ia menghala kepada keluasan berfikir. Kita boleh menilai lebih jauh dari tahap yang dicapai oleh fikiran kita sendiri.

Apakah rancangan ustaz sebagai ketua Dewan Pemuda PAS? Pada pendapat ustaz, apakah isu terpenting yang perlu ditangani Pemuda PAS?

Pertama, saya ingin meneruskan usaha baik generasi dahulu untuk terus mempersadakan perjuangan ini. “Political engagement” serta “Duta Penyelamat dan Kasih Sayang” akan terus berjalan, malah akan lebih digiatkan dan diperluaskan lagi.

Kedua, satu mekanisme akan diputuskan demi memastikan tunggakan tugas dan amanah perjuangan ini dapat ditunai dan dilangsaikan dengan baik. Di samping itu, saya akan memberi komitmen tanpa tangguh untuk menjelaskan tanggungjawab semasa terhadap perjuangan yang didokong, agar tiada tunggakan baru.

Ketiga, apa yang penting buat masa ini ialah saya akan memberi lebih tumpuan kepada pemerkasaan organisasi parti dan gerak-kerjanya. Beberapa tranformasi pada carta dan struktur organisasi akan dilakukan, sekaligus memastikan proses pemantapan fikrah (pemikiran) dan ukhuwwah (solidariti dalaman parti).

Pull Quote: saha memberi penjelasan mengenai dasar perjuangan PAS akan lebih dipergiatkan, melepasi sempadan parti, agama dan bangsa.  Pelan ini termasuk usaha memastikan Sabah, Sarawak dan Wilayah Labuan turut mendapat perhatian serius. Saya namakannya sebagai projek "Semenanjung dua".

Demikian juga, usaha memberi penjelasan mengenai dasar perjuangan PAS akan lebih dipergiatkan, melepasi sempadan parti, agama dan bangsa.

Pelan ini termasuk usaha memastikan Sabah, Sarawak dan Wilayah Labuan turut mendapat perhatian serius. Saya namakannya sebagai projek “Semenanjung 2″. Sebagaimana tumpuan penerangan dan gerak kerja pemuda selama ini banyak tertumpu kepada Semenanjung Malaysia, maka sesi ini akan menjadikan Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai Semenanjung kedua.

Apakah kedudukan ustaz tentang “conversion” — terutamanya isu ibu atau bapa memaksa anak-anak bawah umur mereka memeluk suatu agama secara “unilateral”, tanpa izin ibu / bapa yang lagi satu, seperti dalam kes M Indira Gandhi?

Penyelesaian mestilah melalui rundingan dan toleransi. Perkara ini perlu berlaku di bawah pengawalan undang-undang [kerana] jika sebarang rundingan dan toleransi gagal dicapai, suatu yang tidak diingini tidak [akan] tercetus.

Tetapi saya percaya kepada kuasa rundingan. Islam memandang serius perkara ini: biar apa pun agama yang dianuti, hubungan antara anak dan ibu atau bapanya tidak boleh dipisahkan. Ibu bapa tetap mempunyai hak ke atas anak mereka — demikian juga sebaliknya.

Di sinilah peranan rundingan mampu merungkai masalah yang dihadapi. Ulama Islam membahas panjang perkara ini, dan secara prinsipnya Islam sangat anti-ketidakadilan, demikian juga anti-kebinasaan ke atas anak tersebut.


Indira Gandhi
Segala polemik berbentuk kaum dan agama yang boleh mencetuskan sengketa sewajarnya dielak oleh semua pihak.

Di bawah kemimpinan dulu, dewan Pemuda PAS telah mengadakan protes terhadap beberapa konsert oleh artis wanita, sekaligus menuntut supaya konsert sebegitu diharamkan. Adakah ini akan terus berlaku di bawah kepimpinan ustaz?

Apa yang kita bantah bukan hiburan. Islam tidak pernah menghalang manusia berhibur. Yang kita bantah ialah pergaulan bebas yang mendorong berlakunya jenayah seksual. Atau tarian dan penampilan artis yang menjolok mata dan boleh mengundang kepada keruntuhan akhlak.

Saya konsisten dalam hal ini. Cuma mungkin saya akan perbaiki pendekatan pemuda agar ia lebih hikmah dan lunak. Berunding, berbincang dan mencari persefahaman melalui kekuatan hujah dan budaya intelektual akan mewarnai kepimpinan saya kelak.

Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai budaya, di kalangan kaum yang berlainan mahupun di kalangan umat Islam sendiri. Bagaimanakah Dewan Pemuda akan bertindak untuk menghormati kepelbagaian kepercayaan atau nilai ini, di samping menerajui pendirian sendiri?

Kini Pemuda PAS telah berjaya melangkah ke ruang tersebut. Kita telah menubuhkan Kelab Penyokong Muda yang dianggotai oleh kaum Cina dan India [bangsa Malaysia] — bahkan pelbagai agama.

Islam adalah agama yang kaya dengan semangat toleransi dan saling menghormati, biarpun merentas budaya dan agama. Bahkan Islam melarang penganutnya mencela agama lain, dan memaksa mereka memeluk ajaran Islam.

Selama ini Islam disalahtafsir, angkara pihak yang tidak bertanggungjawab, sehingga menimbulkan rasa resah dan takut di
Nik Aziz
kalangan non-Muslim, serta melahirkan sikap prejudis terhadap Islam.

Pemuda akan lebih menggiatkan aktiviti yang mampu menterjemah Islam yang sebenar, dan sekaligus kita akan jawab isu ini secara praktikal.

Terutama jika kita diberi mandat untuk memimpin dan memerintah negara. Banyak agenda dan perkara yang boleh kita lakukan dengan lebih berkesan. Buat masa ini, negeri Kelantan dengan kepimpinan ulama di bawah teraju Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjadi role model.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , ,

Comments are closed.

Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site