Categorised | Columns

Islam membenarkan bapa kahwin anak kandungnya?

ADAKAH Islam membenarkan seorang bapa mengahwini anak kandungnya? Menurut sesetengah pendapat Mazhab Shafi’e, begitulah. Anak yang dilahirkan di luar pernikahan, boleh dikahwini oleh bapa kandungnya sendiri.

Di Malaysia, yang lebih memberatkan pendapat Mazhab Shafi’e, Fatwa Kebangsaan Malaysia 1971 menyatakan bahawa anak tak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan bapanya dan bapanya tidak boleh menjadi wali untuk anaknya. Ini bermakna bapa kandungnya dianggap bukan muhrim anak itu. Di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), walaupun kedua ibu bapa mengakui bayi itu anak mereka, pegawai-pegawai masih tidak akan mencatat nama bapa di sijil kelahiran anak tersebut.

Dr Juanda Jaya (Wiki commons)

Isu anak tak sah taraf ini dibincangkan semasa forum dianjurkan Sisters in Islam bertajuk Apa Ada Pada Nama. Ketua Hakim Syariah Terengganu Datuk Ismail Yahya dan mufti Perlis Dr Juanda Jaya adalah antara panelis. Mereka memanggil untuk penamaan anak tak sah taraf disemak semula kerana dikatakan tidak menepati konsep Islam serta mengaibkan. Mengapa di Malaysia masih tidak boleh membenarkan seorang bapa mengakui anak kandungnya sendiri di sisi undang-undang?

Nasab yang penuh kekeliruan

Semasa saya sendiri memperbaharui kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara baru-baru ini, di papan kenyataannya ada keratan akhbar soal jawab bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ia menerangkan bahawa tujuan anak tak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan bapanya ialah agar tidak wujud kekeliruan dalam nasab keturunannya.

Alasan kekeliruan itu menjadikan saya keliru. Takut keliru nasab keturunan, tapi tidak takut kalau anak itu terkahwin dengan bapa kandungnya sendiri? Atau dengan adik beradiknya sendiri, iaitu anak-anak bapanya dengan isteri lain, atau dengan adik beradik bapanya? Bukankah itu lebih huru-hara jadinya?

Mungkin saya saja yang keliru. Jakim sepertinya tidak keliru. Dengan jelas, Jakim menerangkan bahawa anak yang dilahirkan di luar pernikahan dianggap bukan muhrim bapa kandungnya dan juga bukan muhrim pada ahli keluarga bapa kandungnya.

Maka, oleh kerana secara perundangan fiqah, mereka tiada pertalian keluarga, bermakna dari segi hukum Syariah di Malaysia, seorang anak boleh mengahwini bapa kandung atau ahli keluarga bapa kandungnya.

Orang Islam takut ilmu?

Orang Islam suka benar petik hadith Nabi “Carilah ilmu sampai ke negeri Cina”. Nak tunjuklah betapa Islam cintakan dan meraikan ilmu pengetahuan. Tapi, apakah yang memetik hadith itu sendiri sebenarnya mahu mengikut saranan Nabi ini?  Sepertinya ramai yang tidak.

Ramai orang Islam di Malaysia seolah-olah takut dengan ilmu. Seperti ada ilmu yang halal dan ada ilmu haram, ada ilmu yang datang dari Allah dan ada ilmu yang bukan datang dari Allah.

Jadi bila ada masalah dalam masyarakat, yang dicari hanyalah “sumber-sumber Islam” iaini kitab-kitab lama dan pendapat ulama zaman silam yang hidup beratus atau lebih seribu tahun dahulu.

Itu pun ditapis lagi, iaitu yang diambil sebagai sumber rujukan hanyalah ulama yang dia setujui sahaja. Jadi, jangankan nak baca buku-buku dan pendapat sarjana dari Cina, India atau Barat, malah kitab-kitab tulisan dari mazhab-mazhab lain dalam ahli sunnah wajamaah sendiri pun dia takut nak rujuk. Takut terkeliru.

Ulama Islam dulu pelajari pemikiran Barat

Ibnu Rushd (Wiki commons)

Umat Islam juga suka benar berbangga tentang kehebatan saintis-saintis Islam, yang semuanya hidup di zaman silam, seperti Ibnu Sina dan Ibnu Rushd. Tapi mereka lupa bahawa ramai saintis Islam agung itu juga menimba ilmu dari Barat seperti Yunani (Greece) atau kerajaan Rom. Ramai ulama besar seperti Imam Ghazali dan Al-Farabi juga mempelajari falsafah Aristotle, Plato dan Socrates. Sama ada mereka setuju dengan kesuluruhan pemikiran ahli falsafah Barat itu atau tidak, itu hal kedua. Yang penting, mereka tidak sensor atau mengharamkan diri mereka atau orang lain dari terdedah pada pemikiran Barat yang hebat.

Berapa ramai agaknya tokoh agama di Malaysia yang pernah baca dan pelajari ilmu falsafah Barat?

Saya pernah mengunjungi Formaci (Forum Mahasiswa Ciputat), sebuah persatuan mahasiswa di Universiti Islam Negeri, Jakarta dan bertemu dengan beberapa mahasiswa di sana. Saya rasa nak menangis bila melihat di papan putih mereka tersenarai jadual diskusi yang membincangkan buku pemikir-pemikir hebat seperti Plato dan Aristotle dan juga Karl MarxFriedrich HegelImmanuel Kant dan sebagainya. Mahasiswa dari pelbagai jurusan bertemu beberapa hari sekali untuk berdiskusi kerana mereka mengatakan semasa di pesantren (madrasah), mereka hanya terdedah pada ilmu-ilmu keagamaan. Maka, bila sudah di universiti mereka mahu mengambil peluang untuk memahami dan terdedah pada pemikir-pemikir hebat dari Barat.

Maka tidak hairanlah mengapa Indonesia boleh mempunyai pemikir dan sarjana yang hebat seperti Cak Nur (Nurcholis Majid) dan Gus Dur (Abdur Rahman Wahid). Mereka tidak takut pada ilmu.

Membolehkan anak dibin atau dibintikan bapanya

Ulama dahulu bukan saja tidak takut mencari ilmu, tapi mereka juga tidak gentar atau cepat keliru dengan perbezaan pendapat.

Ramai ulama besar dalam Mazhab Maliki, Hanbali, dan Hanafi yang berpendapat anak yang dilahirkan di luar pernikahan boleh dibin atau dibintikan bapa kandungnya. Mereka juga menggunakan dalil-dalil agama yang kuat.

Apa berani kita mengatakan mereka salah atau ilmu mereka cetek? Mengapa tidak kita kaji apakah hujah-hujah yang mereka utarakan? Manalah tahu ada antara pendapat mereka lebih bersesuaian dengan konteks masyarakat kita di Malaysia sekarang ini. Lagipun, banyak juga pendapat mazhab lain yang turut digunapakai di Malaysia seperti dalam hal pembayaran zakat fitrah.

Bukankah Islam meraikan kepelbagaian pendapat, dan objektif utama Islam ialah untuk memudahkan dan mencapai keadilan?

Hak asasi anak

Jakim dan undang-undang Mahkamah Syariah di Malaysia menetapkan bahawa bapa kandung anak tak sah taraf tidak dipertanggungjawabkan untuk menafkahi anaknya.  Tanggungjawab memberi nafkah, saraan dan penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu. Anak tak sah taraf juga tidak boleh mewarisi harta bapa kandungnya.

Adilkah undang-undang ini terhadap anak yang tidak berdosa?

Bukankah orang Islam sendiri yang selalu kata setiap bayi yang dilahirkan itu suci bersih? Dia tidak berdosa dan tidak menanggung dosa orang lain.

(agastecheg / sxc.hu)

(agastecheg / sxc.hu)

Setiap bayi yang dilahirkan di dunia ini mempunyai banyak sekali hak-hak asas. Di peringkat antarabangsa, inilah yang dinamakan sebagai hak asasi manusia. Antara hak-hak asas setiap bayi atau kanak-kanak di muka bumi ini ialah hak untuk mendapatkan:

  perlindungan dan kasih sayang;
  makan dan minum;
  pendidikan;
  kehormatan diri (self-dignity);
  perlindungan dari penganiayaan;
  keadilan.

Jadi, jika anda mengatakan hak asasi itu ciptaan Barat dan merupakan sesuatu yang asing dalam Islam, maka bermakna anda sendiri yang mengakui sememangnya Barat lebih hebat dari Islam.

Teladan Indonesia

Alhamdulillah, tidak perlu menoleh ke Barat, negara jiran kita pun telah mengambil langkah berani dalam memberi keadilan kepada anak yang berstatus tak sah taraf.

Pada 17 Feb 2012, Mahkamah Konstitusi Indonesia telah meminda undang-undang perkahwinan Indonesia. Pindaan itu mengiktiraf hubungan darah dan hubungan sivil antara anak tak sah taraf dengan bapa dan keluarga bapa kandungnya, yang boleh dibuktikan berdasarkan ilmu pengetahuan, teknologi atau alat bukti lain.

Ketua Mahkamah Konstutusi Mahfud MD berkata bahawa dengan itu, beban bukan lagi ditanggung oleh ibunya saja tetapi juga bapa anak itu. Ia juga bermakna bahawa anak tak sah taraf juga mempunyai hak penuh sebagai anak kandung, termasuk hak waris.

Bilakah Malaysia mahu melangkah ke depan seperti Indonesia?

Masyarakat Islam Malaysia masyarakat penghukum?

Bila ada kes perempuan buang bayi, maka berteriaklah sesetengah orang Islam mencaci maki dan mahu menghukum perempuan yang membuang bayinya. Marahlah juga mereka pada rumah-rumah perlindungan untuk wanita-wanita yang hamil di luar pernikahan kerana dikatakan menggalakkan zina.

Apabila ada wanita yang belum berkahwin hamil, masyarakat terus menghukum dan tidak peduli apakah mungkin wanita itu telah diperkosa, diperdaya atau terjebak dalam pemerdagangan manusia. Tiada langsung belas ihsan. Mereka juga tidak mahu mempertanyakan mengapa mahkamah syariah tidak mempertanggungjawabkan bapa kandung anak itu untuk menafkahinya.

Orang Islam suka kata Islam itu adil, tapi masalahnya ialah ramai antara kita sendiri yang tidak tahu bagaimana menterjemahkan keadilan itu. Tambah celaka lagi bila kita yang tidak berupaya memahami dengan mendalam dan merealisasikan keadilan itu mengatakan “inilah Islam”. 


Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , , , ,

19 Responses to “Islam membenarkan bapa kahwin anak kandungnya?”

  1. melayukahaku says:

    Orang Islam Melayu Malaysia memang pemikiran sempit… ini fakta!

  2. MelayuKahEngkau says:

    Terutama yang dari Semenanjung…

  3. gua says:

    Kalau fikir tentang Islam di konteks Malaysia, yang datang ke minda ialah “ini tak boleh itu tak boleh”. Mungkin lama kelamaan, orang Islam di Malaysia akan kena rujuk “ensaiklopedia khusus dari Jakim” untuk apa yang boleh dan tak boleh untuk orang Islam di Malaysia. Mungkin juga untuk menghafalkannya?

  4. Kong Kek Kuat says:

    Itulah yang disebut ‘sexism’ dan ‘bigotry’. Tak hairanlah mana-mana pun ada, daripada masa silam sampai ke hari ini. Siapa yang lebih suci (seperti lelaki-lelaki yang beragama Islam), dialah lebih berhak daripada yang kurang suci atau kafir. Akan tetapi sexism dan bigotry ni lebih nyata dan ketara dalam kebanyakan masyarakat Islam masa kini. Mereka yang pada permukaan menggalak atau menetapkan sesuatu kehidupan suci yang dikatakan telah dilafazkan oleh Allah (s.a.w.) atas kamu turut tidak akan meninggalkan kemudahan masa kini dan (sebagai contoh) menunggang unta dalam perjalanan harian mereka. Siapa yang salah – mereka yang seperti anak yang berpemikiran songsang atau emak yang membiarkan dan berdiam diri?

  5. Asrul Husni Bin Hussain says:

    Islam adalah agama fitrah manusia, Islam datang bukan atas bangsa, atas warna kulit, keturunan dan pangkat atau darjat. Islam seorang Perdana Menteri, seorang Sultan dan seorang Pengali Kubur, yang membezakan antara bertiga adalah takwa terhadap Allah.

    Kita terlalu taksubkan sesuatu dan juga ada yang terlalu mengambil mudah dan menggunakan asas logik akal untuk menyampaikan hujah, sedangkan kita perlu merujuk kepada Al-Qu’ran dan Hadith Nabi s.a.w sebagai panduan kita.

    Berhubung dengan isu bin atau binti bapa kepada anak yang dilahir di luar nikah, kita perlu melihat kembali apa yang telah diputuskan oleh nas-nas dan juga melihat kepada hukum-hakam yang diputuskan oleh ulama’ dahulu. Sekiranya tiada perlu untuk kita merujuk bukan sahaja ulama di Malaysia tetapi juga ulama muktabar lain yang ada sama ada di negara2 Arab atau negara Islam lain juga.

    Yang lebih utama adalah permasalahan kenapa timbul begitu ramai anak luar nikah, maka kepincangan didikan agama yang diambil ringan oleh pihak berwajib dan juga ibu bapa adalah punca kepada gejala sosial yang berleluasa.

    Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini tidak termasuk data tahun 2009 ke 2011, yang saya rasa juga adalah tinggi.

    Kita lebih mendewakan artis, bintang filem, bintang sukan etc. Berapa ramai yang bila ditanya siapa Nama sebenar Imam Syafie, siapa nama anak2 nabi s.a.w sebagai contoh yang dapat menjawabnya.

    Berbalik kepada persoalan bin dan binti bapa, adakah ianya suatu yang diwajibkan atas seorang Muslim atau ia lebih merupakan adat?

    Seperti juga kita yang menyatakan saudara-saudara baru perlu di binkan Abdullah, adakah ianya dari syariat Islam atau dari adat? Sudah tiba masa untuk kita kembali kepada mencari ilmu yang berlandaskan Al- Qu’ran, Hadith, Ijma’ dan Qias, bukan logik akal, bukan menurut perasaan kita. Wallahu’Alam.

    • Kong Kek Kuat says:

      @ Asrul Husni Bin Hussain

      Jadi, mengikut Al-Qur’an dan Hadith, bolehkah atau tidak boleh seseorang anak yang dilahir di luar pernikahan dibinkan atau dibintikan oleh bapak kandungnya? Dan jikalau tidak boleh, adakah hadith Nabi Muhammad (s.a.w.) atau Allah membenarkan atau tidak membenarkan seseorang bapak mengahwini anak kandungnya yang telah dilahir di luar pernikahan?

  6. AAkmal says:

    ”Ramai ulama besar dalam Mazhab Maliki, Hanbali, dan Hanafi yang berpendapat anak yang dilahirkan di luar pernikahan boleh dibin atau dibintikan bapa kandungnya. Mereka juga menggunakan dalil-dalil agama yang kuat.” Tolong namakan rujukan kitab mana. Norhayati Kaprawi jangan main tulis.

  7. didi says:

    Kalau Islam itu fitrah manusia, ia tentulah bersifat sejagat atau universal. Jika bapa boleh berkawin dengan anak, di mana universality nya? Ianya kelihatan seperti tidak lulus Biology peringkat SPM.

  8. mummy says:

    Bukankah orang yang berzina itu hukumnya adalah rejam sampai mati?

    Tetapi Malaysia tidak mengguna pakai hukuman tersebut.
    Adakah pada zaman Rasulullah wujudnya anak tak sah taraf ini? Sebagaimana yang diketahui, dalil yang mengatakan tidak boleh menukar bin / binti kanak-kanak adalah merujuk kepada anak angkat. Seelok-eloknya dipanggil dengan nama bapa kandung dan jika tidak mengetahui siapa bapa kandung, panggilah dengan 99 nama Allah.

    Kes masyarakat sekarang, terlalu banyak kes penzinaan hingga terhasil anak luar nikah. Sedangkan hukuman yang pertama (penzinaan – rejam) tidak digunapakai. Namun, melibatkan anak kita merujuk kepada dalil dsb. Dimana keadilan yang sebenar? Belum lagi kes rogol hingga menghasilkan anak. Wallahualam…

  9. didi says:

    Dalam Quran mana ada ayat kalau berzina kena rejam sampai mati. Yang ada kena rotan 100 kali. Itupun kena ada 4 saksi. Kalau tak ada 4 saksi, mana boleh hukum rotan, pakai law of the land atau ta`zir. Siapa pulak yang pandai sangat nak berzina di khalayak ramai. Rogol adakah disebut hukumnya dalam Quran? Itu sebab orang-orang Islam jadi confuse sebab tak biasa pakai akal. Habis kalau tak disebut dalam Quran tak ada undang-undang lah…begitu?

    • kiddymanny says:

      Cik Puan, belajarlah agama sebanyak boleh. Anak Li`an (anak x sah taraf) memang tak boleh dibinkan dgn bapanya dan haram bagi bapa menyentuh anaknya (jika perempuan) tetapi anak ini dinasabkan dengan keluarga ibunya.

      Anak ini juga tidak akan dapat sedikitpun pembahagian harta pusaka jika dibahagi mengikut faraid kerana anak ini dikategorikan sebaga orang luar dan tak layak menjadi waris. Memang anak ini tak salah tetapi kesalahan ibu bapanya berzina membuatkan dia terpaksa menerima semua itu.

      Jika anak ini hendak berkahwin (perempuan) sekalipun, dia tidak boleh berwalikan sesiapa selain wali hakim.

      Cik Puan berlagak pandai, pengikut mazhab Muhammad bin Idris telah mendahului Muhammad bin Idris sendiri. Mungkin Cik Puan sendii tidak kenal Muhammad bin Idris ini. Cakap macam orang bodoh membohongi orang bodoh, maka semakin bodohlah orang bodoh itu.

  10. didi says:

    Tapi yg paling penting sekali, orang-orang Islam nak selesaikan masalah ke nak menambah masalah?

  11. Asrul Husni Bin Hussain says:

    Assalammualikum dan Salam Hormat,

    Di dalam Al-Quran juga tiada ayat yang terangkan bagaimana kita perlu solat, bagaimana angkat takbir, sujud dan rukuk. Apa yang ada diambil dari Hadith-hadith Nabi s.a.w, dalam melihat hukum agama ada yang derived from Al-Quran dan ada juga dari Hadith, di dalam ketiadaan Nas dari kedua-dua ini hukum Qias dan Ijma’ pula digunakan.

    Saya bukan seorang pakar di dalam bidang agama, kita perlu merujuk kepada mereka yang pakar. Agama bukan mengikut akal semata-mata, ada perkara yang ikut akal tidak logik tetapi ianya telah menjadi ketetapan di dalam nas yg sahih. Maka sebagai seorang Muslim, kita dengar dan kita taat atas perintah Allah dan RasulNya. Berhubung hukum rejam ada Hadith Sahih yang menceritakan hukuman ini dilaksanakan, dan Nabi s.a.w kemudiannya meyembahyangkan jenazah sahabat yg direjam, justeru hukum rejam bersandarkan Hadith ini dan Hadith yang lain. Moga Allah berikan hidayah buat kita agar dapat menerima Islam secara syumul and bukan bahagian yg kita suka sahaja. Hukum bapa anak luar nikah dibolehkan berkahwin dengan anak luar nikah adalah qaul dari Mazhab Syafie, rujuk ulama’ muktabar, ini adalah kerana anak luar nikah tidak boleh menerima harta arwah sebagaimana anak tiri tidak boleh menerima harta pusaka melalui faraid. Tetapi kita rujuk dari mazhab lain ada yang tidak membenarkan pernikahan anak luar nikah dengan bapanya, justeru ada dua pendapat dan yang terbaik is to rujuk kepada mereka yang lebih arif di dalam bidang ini.

    http://islamqa.info/en/ref/85043

    Wallahua’llam, Ana faqir illaAllah.

  12. Ummulislam says:

    Salam kepada semua,

    Cuba ambil saat untuk fikir jika anda menjadi “anak tak sah taraf”? Perjalanan hidup anda macam mana? Kalau perempuan tak sah taraf? Macam mana?

    Apa salahnya jika seorang bapa kandung kepada anak tak sah taraf ingin melindungkan, memberi nafkah, mendidikan anaknya itu? Demi masa depan, demi menembus kesalahanya? Ya mungkin dari masa ke semasa ia akan rasa sangat kasih sayang dan bangga terhadap anaknya itu. Salah ke? Jahat ke?

    Pernah belaku seorang wanita bersama suaminya telah membuat satu rancangan untuk buat duit free. Si suami suruh si isterinya berzina dengan anak orang kaya dan apabila berjaya melahirkan anak, hasil dari pelakuan zina itu, telah mengunakan anak tak sah taraf tersebut untuk peras-ugut keluarga kaya itu.

    Jadi patut ke kita membiarkan anak tak sah taraf itu semata-mata kepada si ibu dan ahli keluarga ibu?

    Ia, masalah anak tak sah taraf makin besar di masyarakat sekarang. Adakah kerana anak-anak muda ini rasa berat atau susah bernikah? Atau mereka sudah tidak sayang agama mereka lagi disebabkan mereka telah terasa kecewa dengan sistem pentadbiran syariah di Malaysia seperti tidak dapat nafkah sempurna dari bapa mereka yang kerap mencari perempuan buat isteri kedua, ketiga dan sebagainya?

    Haruslah kita memajukan Islam demi masalah yang mebebani ummat sekarang (termasuklah anak tak sah taraf).

    Harus kita melihat ke masa depan dan teknologi yang ada sekarang serta mencari jalan untuk membangunkan masyarakat ke tahap yang lebih sempurna.

    Allhu’alam.

  13. along says:

    Ya…saya orang Malaysia, tapi saya sangat bersetuju dengan ulasan ini, di Indonesia berani kepada ilmu pengetahuan, di Malaysia ini penakut!

    Saya suka ulasan yang mengatakan, “Adilkah undang-undang ini terhadap anak yang tidak berdosa? Bukankah orang Islam sendiri yang selalu kata setiap bayi yang dilahirkan itu suci bersih? Dia tidak berdosa dan tidak menanggung dosa orang lain.”

    Bagus ulasan ni, saya sokong 100%.

  14. Yosri says:

    Yang membolehkan “Islam membenarkan bapa kahwin anak kandungnya?” adalah Norhayati Kaprawi, bukan Islam.

    Dalilnya adalah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6767 (Kitab al-Faraidh, Bab orang yang menyandarkan…):

    مَنْ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ.

    Sesiapa yang menyandarkan nasabnya kepada seseorang yang bukan ayah (biologi)nya padahal dia mengetahui bahawa itu bukan ayah (biologi)nya maka syurga diharamkan ke atasnya.

    الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ.

    Wanita-wanita yang jahat adalah untuk laki-laki yang jahat, dan laki-laki yang jahat untuk wanita-wanita yang jahat;
    dan (sebaliknya) wanita-wanita yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk wanita-wanita yang baik. [al-Nur 24:26]

    Dalam Islam ada syarat lain yang menyebabkan perkahwinan antara lelaki dan perempuan, ayat 23-24 dari surah al-Nisaa’ yang tidak menyenaraikannya sebagai wanita yang haram dinikahi:

    Telah diharamkan kepada kamu untuk berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak kamu, adik-beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu kamu, anak-anak saudara perempuan daripada adik-beradik lelaki dan perempuan kamu, ibu-ibu susuan kamu dan adik-beradik susuan kamu, dan ibu-ibu isteri-isteri kamu, anak-anak tiri hasil perkahwinan terdahulu isteri-isteri kamu yang telah kamu nikahi (setelah mereka bercerai) kecuali jika kamu menceraikan mereka sebelum bersetubuh, maka tidak salah kamu (berkahwin dengan anaknya). Dan (haram juga bagi kamu untuk berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak lelaki kamu sendiri yang berasal dari benih kamu sendiri. Dan diharamkan ke atas kamu menghimpunkan dua orang perempuan adik-beradik sekaligus sebagai isteri-

  15. saifullah says:

    Dalam setiap masalah kita perlu lihat ‘root cause’. Hal meletakkan “bin” pada nama anak seharusnya TIDAK BERLAKU, malah ia diburukkan lagi dengan satistik yang terlalu tinggi di negara. Apakah status anak tidak sah taraf dalam sistem keluarga? Hak-hak anak ini? Punca kepada lahirnya anak ini? Semuanya perlu berbalik kepada Al Quran dan assunah.

    Masalah ini telah berlaku dan akan berterusan di masa hadapan, tetapi ia tetap takut untuk dibincangkan sama ada di peringkat tertinggi dalam kerajaan mahupun intitusi-institusi Islam dan NGO.
    Orang Melayu sememangnya takut kerana mereka takut dengan perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Mereka yang seharusnya bertanggungjawab dalam perlaksanaannya tetapi berhujah mengharamkan undang-undang ini. Mereka inilah yang akan dilihat bodoh, dilaknat, dikutuk dan hal mereka ini akan pasti menjadi perbincangan ilmiah generasi mendatang. Saat ini kita telah melihat impak pada kerajaan yang memerintah.

    Bila ditegur dia berbalik pada siapa yang meletakkan negara pada keadaan sekarang dan mana kekurangannya tetapi golongan ini tidak sedar rakyat sebenarnya modal kepada kemajuan negara sekarang dan rakyat ini adalah rakyat meletakkan etika, disiplin dan spiritual dalam kehidupan, dalam mengubah kedudukan negara dan rakyat ini juga yang mengubah landskap politik negara.

    Pemimpin Melayu ini dan masyarakat Melayu ini sememang takut dalam kebanyakkan hal lebih-lebih lagi dalam isu undang-undang Islam kerana undang-undang ini akan menentang secara menyeluruh tradisi mereka dalam berzina, mencuri, merompak, rasuah, melobi, meneguk arak, dan membunuh serta menutup kes-kes jenyah tertentu tanpa sebab yang munasabah. Sebaliknya berusaha untuk orang ramai melihat undang-undang Islam sebagai tidak relevan dan ketinggalan. Orang Melayu ini hebat mengatasi bangsa lain dalam kebanyakan hal, itu yang mereka sebut-sebutkan sedangkan hakikatnya tidak!!!

    • Kong Kek Kuat says:

      @ saifullah

      “Pemimpin Melayu ini dan masyarakat Melayu ini sememang takut dalam kebanyakkan hal lebih-lebih lagi dalam isu undang-undang Islam kerana undang-undang ini akan menentang secara menyeluruh tradisi mereka dalam berzina, mencuri, merompak, rasuah, melobi, meneguk arak, dan membunuh serta menutup kes-kes jenayah tertentu tanpa sebab yang munasabah.”

      Astagfirullah… Melayu-Melayu UMNO, Melayu-Melayu bercampur darah asing, dan Melayu-Melayu wannabe (seperti Prof Muallaf tu) yang bersalah, Melayu tulin dan original pulak yang disalahkan.


Most Read (Past 3 Months)

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site