Categorised | Columns

Is this a Malay column?


Ahli-ahli kumpulan Gerakan Mansuhkan PPSMI, yang menentang pengajaran dan pembelajaran
sains dan matematik dalam bahasa Inggeris; 31 Jan 2009

MACAM ada yang tidak kena dalam perbincangan tentang isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sepanjang tahun yang lepas, dasar ini ditentang dengan hebat oleh parti komponen Pakatan Rakyat dan pembela bahasa ibunda. Akhirnya pada 8 Julai 2009, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pemansuhan dasar PPSMI.

Dari awal, saya memang merasakan bahawa isu ini amatlah rumit. Hujah-hujah yang bernas telah dikemukakan oleh mereka yang menyokong dan juga yang membantah dasar ini. Namun, banyak juga hujah yang saya rasa tidak masuk akal, malah menghina akal.

Contohnya, dalam rencana ruangan Sastera akhbar Berita Harian edisi 16 Julai, bertajuk PPSMI: Papar wajah sebenar Melayu, Abdul Ahmad dari Angkata Sasterawan Indera (Aksara) dipetik berkata, “Kemelut ini juga membuktikan bahawa semangat kebangsaan dan patriotik hanya bersifat kulit dan tidak pada nurani sesetengah orang Melayu, seolah-olah perjuangan kemerdekaan ibarat hanya pada kibaran bendera, tetapi tidak pada jiwa raga bangsa Melayu.”

Seolah-olah kesimpulan yang ingin diketengahkan ialah bahawa orang Melayu yang menyokong PPSMI bukan Melayu jati. Bukannya saya menyokong PPSMI, tapi bagi saya kritikan perlulah berdasarkan sama ada PPSMI benar-benar membantu meningkatkan pencapaian akademik dan memperkembangkan pemikiran pelajar di seluruh negara. Janganlah pula keluar tajuk dan mengibarkan bendera perkauman apabila membahaskan isu ini.

Apakah orang Melayu Malaysia yang berbahasa Inggeris merupakan kekasih penjajah dan bukan Melayu tulen? Apakah orang Cina Malaysia yang tidak berbahasa Mandarin bukan orang Cina tulen? Bagi saya, bukankah lebih baik jika setiap rakyat Malaysia fasih dalam pelbagai bahasa?


Jose Rizal (Domain awam)
Ambillah contoh wira kebangsaan Filipina abad ke-19, Jose Rizal. Dengan menguasai lebih daripada 20 bahasa, dia memilih untuk mengarang fiksyen dalam bahasa penjajah Filipina ketika itu — Sepanyol. Pada masa itu, bahasa Sepanyol hanya difahami oleh pihak penjajah dan golongan Filipina yang elit. Akan tetapi, kritikan pedas Rizal telah menggegarkan pihak penjajah dan menerima sokongan umum di Filipina, malah sampai dia akhirnya dijatuhkan hukuman mati oleh pihak penjajah. Adakah patriotisme Rizal “hanya bersifat kulit” kerana menggunakan bahasa Sepanyol di dalam karyanya?

Dalam konteks zaman kini, lihatlah saja pemenang anugerah Booker dari India, Arundhati Roy, yang menulis di dalam bahasa Inggeris. Walaupun menulis di dalam bahasa bekas penjajah India, novel Roy, The God of Small Things, berjiwa India. Lebih tepat, ia berjiwa Kerala, wilayah asal Roy. Esei-esei Roy pula cuba menegakkan prinsip demokrasi, tolak-ansur dan hak asasi manusia di India. Bolehkah kita menuduh Roy bukan seorang warga India tulen kerana menulis di dalam bahasa Inggeris?

Pergolakan identiti dan jiwa

Saya sendiri sentiasa mengalami konflik tentang isu penggunaan bahasa. Secara jujur, saya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia atau, lebih tepat, bahasa Kedah. Namun, saya lebih selesa berbahasa Inggeris berbanding bahasa Malaysia.

Kenapa? Bagi saya, sebabnya ialah apabila saya menuntut di sekolah rendah dan menengah, saya sudah dicap sebagai “Melayu speaking” atau “Melayu celup” kerana selesa berbahasa Inggeris. Banyak rakan sekelas memandang saya elit kerana fasih berbahasa Inggeris, walaupun kedua-dua ibu bapa saya bekerja sebagai guru di sekolah kerajaan. Kadang-kadang, apabila orang lain sudah melemparkan stereotaip terhadap kita, kita pula yang akan menjadi lemah semangat.

Jadi tiap-tiap kali saya berucap di dalam bahasa Malaysia, rakan-rakan Melayu “tulen” mentertawakan dan mengejek saya. Benar, saya bukanlah pakar sastera, tapi saya pun bukannya teruk sangat bercakap dalam bahasa Malaysia. Bila saya membuat liputan pilihanraya kecil di Bukit Selambau dan Penanti, ramai yang menyangka — dengan tepat — bahawa saya berasal dari utara semenanjung.


Kulit buku Hikayat Merong Mahawangsa
terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
Tapi benar juga, saya amatlah cinta pada bahasa Inggeris. Saya suka menonton rancangan televisyen dan filem dari Amerika Syarikat dan United Kingdom. Sama juga dengan muzik yang saya suka layan. Sama juga dengan puisi dan karya sastera yang menggerakkan hati saya. Tetapi ini tidak bererti saya tidak juga cinta pada bahasa Malaysia. Hikayat Merong Mahawangsa, lagu-lagu M Nasir dan Ramli Sarip, puisi Usman Awang — ini juga warisan identiti dan jiwa saya. Malah, penghayatan bahasa Hokkien juga sudah ada dalam darah daging saya — bukan bahasa Mandarin, ya, tetapi bahasa Hokkien. Dan saya bangga dengan hakikat ini.

Cuma keyakinan saya dalam menggunakan bahasa Malaysia dan Hokkien agak rendah berbanding keyakinan saya berbahasa Inggeris. Namun, saya tetap mencuba. Album pertama saya 100% memuatkan lagu-lagu Melayu. Naskhah teater saya yang sulung, Air Con, saya anggar memuatkan 70% dialog di dalam bahasa Kedah. Dan apabila saya mula bertugas di The Nut Graph, pengarang dan majikan saya, Jacqueline Ann Surin, amatlah berbesar hati apabila saya mahu menulis kolum saya di dalam bahasa Malaysia.

Dan bagi saya, maklumbalas yang paling memberangsangkan ialah apabila warga bukan Melayu di Malaysia yang meminati atau mengikuti karya saya. Persembahan Air Con dihadiri oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, jantina dan kecenderungan politik. Seorang peminat album Dilanda Cinta saya berkata, “Terima kasih kerana membikin lagu-lagu Melayu yang boleh dihayati oleh orang bukan Melayu juga.”

Sehingga hari ini, inilah maklumbalas yang paling memuaskan hati saya. Sebab saya rasa di Malaysia, kita sebenarnya kaya dengan warisan dan identiti. Bahasa Hokkien itu merupakan bahasa orang Malaysia. Bahasa Iban, Punjabi, Malayalam, Kelantan, Thai, Jawa — semuanya ialah bahasa orang Malaysia. Dan bahasa Inggeris juga bahasa orang Malaysia.

Isunya sekarang ialah, bagaimana kita mahu memperkayakan dan menguatkan perpaduan antara kita? Bolehkah kita mencapai perpaduan yang menyeluruh sambil menghormati kepelbagaian bahasa dan budaya di Malaysia? Dan, bagi saya, ini ialah isu yang sudah keluar dari tajuk PPSMI. Isu PPSMI ialah isu pendidikan — iaitu sama ada ia mampu membangunkan intelek anak-anak Malaysia zaman kini. Kalau mampu, kita rancang betul-betul dan laksanakan betul-betul. Kalau tidak, kita cari jalan yang lebih berkesan. Tetapi janganlah kita biarkan isu PPSMI dijajah pula oleh puak-puak yang mempunyai tafsiran sempit tentang bahasa, budaya dan warisan bangsa.


Shanon Shah wishes he were a polyglot, because both his parents certainly are. Instead, he is pained to be merely bilingual. He speaks terrible Hokkien, and lost the ability to speak Punjabi soon after kindergarten. He has an enduring envy towards that great Malaysian polyglot, Datuk Mahathir Lokman.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , ,

6 Responses to “Is this a Malay column?”

  1. Azizi Khan says:

    Shanon,

    Bukan sahaja setakat mencabar “keMelayuan” dengan Bahasa Melayu, selain daripada itu apakah dibuat dengan Bahasa Melayu ?

    Di negara Jepun, Germany and China banyak buku-buku dalam bahasa asing diterjemah dalam bahasa mereka. Di negara Germany dikatakan sebaik sahaja buku dikeluarkan dalam bahasa asing ia akan diterjemah dalam masa tiga puluh hari.

    Di Malaysia bagaimana pula Dewan Bahasa dan Pustaka? Mana buku-buku dalam bahasa Melayu boleh dipakai dalam peringkat universiti?

    Sebelum kita gian sangat nak cakap pasal bahasa penjajah, bahasa sendiri mesti dipupuk. Di media bahasa Melayu hancur dicemari bahasa Ingeriss.

    Kalau macam ini macam mana nak tingkatkan bahasa Melayu ?

    AK

  2. Norani Othman says:

    Shanon, don’t despair. One does not need to be a polyglot in order to be cosmopolitan — i.e. appreciating and embracing difference and pluralism.

  3. Azmi says:

    Hear hear. Yes and you will be a polyglot one day I’m sure

  4. TPHC says:

    Dilanda Cina!!!!!

  5. Main says:

    Spot on man …

  6. yati says:

    Bahasa Malaysia perlu diperbetulkan semula kedudukannya sebagai bahasa nasional, sebagai bahasa integrasi dan bahasa ilmu juga. Ia adalah bahasa yang dipertuturkan oleh rakyat Malaysia.

    Ia tidak boleh dirujuk kepada satu-satu bangsa, iaitu bangsa Melayu. Kita ambillah contoh seperti bahasa Indonesia, bahasa Jerman, bahasa Perancis dan lain-lain yang digunakan sebagai bahasa integrasi oleh rakyat negara tersebut. Lagipun orang Melayu cakap Melayu kebanyakannya tak betul pun, jadi siapakah orang Melayu untuk mendakwa mereka pakar bahasa Melayu?

    Inilah yang terjadi jika bahasa itu dikaitkan dengan satu bangsa sahaja. Bangsa lain akan salah faham dengan konsep sebenar bahasa kebangsaan dan tentulah mereka akan menyangka kerajaan sekali lagi cuba memelayukan mereka atau mempraktikkan konsep ketuanan Melayu …

    Konsep 1 bangsa boleh dicapai sekiranya pemimpin di Malaysia jujur untuk mencapainya tanpa mementingkan diri sendiri. Kita tengoklah sendiri bagaimana ia dilaksanakan. Mudah-mudahan orang Melayu [Malaysia] tidak takut untuk menerima perubahan baru dan sudah tiba masanya untuk bersedia bersaing secara samarata, menerima kelemahan diri dan cuba memperbaikinya dengan mempelajari melalui mereka yang lebih baik.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site