Categorised | Columns

Hamba abdi zaman kini


(© Sophie / sxc.hu)

DALAM abad ke-21 ini ramai orang menyangka bahawa penghambaabdian itu tidak wujud lagi. Jika ada pun, ia melibatkan bilangan kecil seperti pelacur dan pekerja yang dieksploitasi tanpa dibayar gaji atau dibayar upah sangat rendah, tidak memadai dengan beban kerjanya. Anggapan ini benar tetapi tidak menyeluruh.

Menjadi hamba ini ada dua bentuk, iaitu realiti kedudukannya dalam masyarakat (seperti golongan yang disebutkan tadi) dan alam minda seseorang itu. Yang sangat merbahaya ialah penghambaan minda — mengikut ideologi, fahaman tertentu, ajaran agama dan pengaruh-pengaruh luar yang bukan sahaja mengaburi mata tetapi juga mengelirukan kewarasan pemikiran.


Patung pihak British (© Maggie Hannan / Flickr)

Itulah sebabnya penjajah British lebih berjaya dari penjajah Belanda dan Perancis dalam abad-abad yang lepas. Pihak British kurang menggunakan keganasan atas rakyat yang dijajahinya jika dibandingkan dengan Belanda dan Perancis. Walaupun kekerasan digunakan juga, namun strategi penjajahan yang lebih ketara ialah pendidikan yang berpihak kepada fahaman penjajahan dan kelebihan yang dibawa penjajah seperti Bahasa Inggeris, budaya dan kesusasteraan mereka. Jika tidak, bagaimana sebuah negara yang kecil seperti Britain dapat menakluki India yang besar, berpenduduk padat, sekaligus menerapkan kesinambungan pemikiran yang pro-Barat?

Dua fahaman

Kebelakangan ini, dua pengaruh besar melanda kebanyakan masyarakat, iaitu budaya konsumerisme-kapitalisme dan fahaman agama yang keterlaluan dan konservatif. Sistem fahaman agama yang konservatif merebak pada dekad 1970an dengan kebangkitan menentang pencerobohan imperialis Barat dan ideologi kapitalisme yang berleluasa.

Satu perkembangan yang jelas dalam aliran konservatif ini ialah sekatan yang dikenakan ke atas kaum wanita, baik dari segi hak, peranan mahupun pakaian. Wanita digalakkan supaya kurang kelihatan dalam ruangan awam serta kembali ke ruangan domestik, termasuklah supaya melahirkan anak yang ramai.

Ini juga berlaku sekitar 1970an di Malaysia. Ketika ini, muda mudi Melayu banyak berhijrah ke bandar untuk meneruskan pelajaran kerana Dasar Ekonomi Baru. Ramai juga mencari pekerjaan di kilang-kilang Zon Perdagangan Bebas yang banyak dibuka dengan modal asing termasuk Amerika Syarikat.

Di bandar, mereka menghadapi budaya yang agak berbeza dari suasana kampung. Oleh itu, pegangan agama menjadi satu faktor yang menjamin keselesaan hidup mereka dalam menghadapi cabaran ini. Ini adalah antara pandangan beberapa pengkaji masa itu termasuklah Dr Chandra Muzaffar dan Zainah Anwar. Selain itu, dengan wujudnya Akta Universiti dan Kolej Universiti sejak tahun 1971, siswa-siswi tidak digalakkan melibat diri dalam isu-isu masyarakat. Galakan diberi hanyalah untuk pelajaran akademik dan akibatnya timbullah pemikiran hanya berpaksikan diri sendiri dan tidak peka kepada perkembangan masyarakat di luar.

Menyekat wanita


(© JadeGordon / sxc.hu)
Aliran konsumerisme-kaptalisme dan agama konservatif agak bertentangan, di mana agama konservatif menghentam budaya konsumerisme yang dikatakan dari Barat. Namun, ada kalanya kedua-duanya sama-sama memberi tekanan dan pengaruh yang kuat ke atas kaum wanita. Tekanan ini berasaskan patriarki di mana wanita dipaksa memilih peranan yang sempit — menjadi wanita moden-sekular atau wanita yang moden-beragama.

Misalnya, jika mahu bersifat moden-sekular dalam dunia korporat, wanita perlu memakai pakaian yang memenuhi ciri-ciri majikan lelaki dan mengenakan solekan yang sesuai a la siri drama Amerika Lipstick Jungle. Bagi wanita yang mahu kombinasi moden-beragama pula, bertudung, berpakaian labuh, dan bersolek dengan cara tertentu dijadikan syarat untuk mereka.

Wanita yang terus patuh kepada peranan kewanitaan dan keibuan dalam rumahtangga pula ditekan supaya terus melahirkan anak, bertungkus lumus menyimpan rumah, dan mematuhi arahan suami.

Persoalannya, mengapa pula wanita lebih tertekan jika dibandingkan dengan kaum lelaki dalam peranan-peranan ini? Dan mengapa pula ramai wanita terus mematuhi peranan-peranan luaran ini tanpa bantahan?

Terkenang saya kepada pemikiran ahli falsafah British, Bertrand Russell, yang relevan dalam situasi sekarang. Katanya, “There is something feeble … about a man who cannot face the perils of life without the help of comfortable myths … he believes in them because they are comforting. But he dare not face these thoughts.” Perkataan “man” dahulu digunakan untuk mewakili lelaki dan perempuan. Sekarang lebih politically correct menggunakan “women dan men”.

Jadi mengapakah wanita itu sanggup mematuhi syarat-syarat ini tanpa banyak menyoal? Adakah ini disebabkan mereka takut kepada realiti kehidupan seharian, takut tidak diterima masyarakat sekeliling, atau takut kepada kekurangan dan kekuatan diri sendiri? Adakah ia disebabkan oleh sistem pengasuhan keluarga, sistem pendidikan di sekolah dan lain-lain institusi masyarakat yang mematikan semangat ingin tahu, pemikiran rasional dan keberanian di kalangan kaum wanita?


Germaine Greer (© Maggie Hannan / Flickr)
Saya teringat pula kepada beberapa tokoh wanita yang sangat berani mempersoalkan kedudukan wanita yang lemah berbanding lelaki. Antaranya termasuklah Shulamith Firestone dari Perancis, Alexandra Kollontai dari Russia, Kate Millet dan Germaine Greer dari USA dan Australia/Britain, Kumari Jayawardena dari Sri Lanka, dan Nawal el-Saadawi dari Mesir. Banyak lagi wanita, terlalu ramai untuk disebutkan di sini, yang bukan sahaja menentang patriarki tetapi juga sistem a la kapitalis yang menindas kaum wanita. Tetapi pemikiran dan diri mereka diancam kuat oleh pihak patriark dan konsevatif. Malah ada tokoh wanita ini yang perlu lari ke luar negeri untuk menyelamatkan diri daripada ancaman ke atas nyawa mereka.

Jadi dalam banyak masyarakat termasuk Malaysia, jelas kelihatan segolongan besar wanita yang akur tanpa sedar kepada fahaman kapitalisme-konsumerisme, atau kepada puak agama konservatif. Ada pula golongan wanita yang cuba menggabungkan kedua-dua fahaman ini. Dalam kekeliruan ini, ramai yang menjadi konformis, tanpa memahami yang pemikiran mereka telah dibentuk oleh sistem patriarki yang mengawal peranan lelaki mahupun perempuan pada masa kini.

Ungkapan kata dalam lagu Reflections oleh Christina Aguilera banyak membayangkan kedudukan dan perasaan wanita: ” Who is that girl I see, staring straight back at me? Why is my reflection someone I don’t know? Must I pretend that I’m someone else for all time?”

Hasilnya, ramai wanita yang mahu memaparkan yang mereka “orang baik” dan patuh kepada kemahuan masyarakat. Dengan itu terbentuklah lebih ramailah anggota masyarakat yang menjadi hamba kepada konformiti.

Jangan hanya turut

Bagaimana untuk membebaskan diri daripada menjadi “pak turut” atau “mak turut”? Bagi saya ada dua cara.

Satu, menerapkan sikap ingin tahu terhadap segala ideologi, isu dan masalah masyarakat. Bukan menerima sahaja bulat-bulat pandangan orang lain tetapi mengkaji dengan sendiri apakah padangan itu benar, adil dan berperikemanusian? Membaca, berbincang dan terus mengkaji dari apa saja sumber yang boleh diperolehi.

Kedua, mengamalkan kejujuran kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling. Apa perlunya kita menyenangkan pandangan orang lain jika kita sendiri menyeksa badan? Apa gunanya berpakaian ketat, mendedah tubuh atau menyelubungi seluruh badan jika tidak selesa? Mengapa kita menyeksa badan dan pemikiran sendiri dengan kemahuan yang ditetapkan oleh orang lain? Kita bertanggungjawab kepada pemilihan dan tingkah laku sendiri. Asalkan kita tidak mengeksploitasi orang lain dan mengelakkan dari tingkah laku yang tidak beretika dan tidak berperikemanusian, cukuplah.


Rohana Ariffin dilatih dalam bidang sosiologi dan telah berkhidmat selama lebih dua dekad di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Dia bersyarah dalam bidang perhubungan industri dan kajian gender. Kini, dia menyandang jawatan naib presiden Parti Rakyat Malaysia.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

10 Responses to “Hamba abdi zaman kini”

  1. Orenjuz says:

    I agree with this article.

    There’s alot of harm in mindlessness (i.e. light is on and nobody’s home! = automatic/preprogrammed behaviour) where it promotes narrow self-image and perpetuates a limited mindset (trapped in categories).

  2. Jason says:

    The gross generalisations are disgustable.

  3. FourJ says:

    I like this article a lot and I think I now aspire to be a Marxist feminist! I would like to thank Cik Arrifin on her very insightful and yet simple advice; question why and the truth will sets us all – women and men – free! Keep up the good work and thanks Nut Graph!

  4. Nikki says:

    Thank you so much for another well-written article. Your ideas have inspired me to take up women’s studies as my major. My gratitude also goes to the editor and staff of The Nut Graph. I hope one day, I would be able to learn to completely liberate myself from all the limitations set on my identity as a woman. Thank you again!

  5. aidan says:

    Thanks Cik Rohana for expressing so well what I’ve been feeling all this time. Thanks to The Nut Graph too!

  6. Daniel says:

    Disgustable is not a word.

    The giant patung was made by a French theatre company called Royal de Luxe that presented in London and some other European cities. It’s a wonderful example of the richness of Western creativity and imagination, which I guess is part of the brighter things that come out from the competitiveness of an extremely capitalistic-consumerist society.

  7. Sabic says:

    Nasihat penulis “Jangan jadi pak turut dan mak turut” adalah intipati dalam penulisan beliau.

    Bukan sahaja kaum wanita, tetapi keseluruhan umat manusia apabila mereka berpaut kepada mana-mana idealogi sama ada politik atau agama tanpa mengunakan fakulti pemikiran dan menggunakan hikmah diri sendiri untuk menimbang sama ada sesuatu kepercayaan itu baik atau buruk – mereka akan terperangkap dalam bebanan-bebanan yang akan membelenggukan diri mereka sendiri termasuklah kepercayaan karut-marut.

    Bagi ahli-ahli politik, senjata yang paling berkesan untuk mempengaruhi manusia ialah dengan menggempar-gempurkan harapan-harapan besar dan membuat janji-janji yang mereka tidak boleh tunaikan. Dan bagi ahli-ahli agama pula, senjata yang paling berkesan ialah dengan menjual nama Allah dan Nabi – dan sedikit ilmu bahasa yang tidak difahami oleh pengikut-pengikut mereka sebagai aji-no-moto.

    Umat manusia boleh membebaskan diri mereka daripada belenggu-belenggu kepercayaan karut-marut ini sekiranya mereka bermula dengan perubahan sikap, iaitu sikap untuk berani “bertanya”. Video berikut adalah satu contoh reaksi ahli-ahli politik dan ahli-ahli agama apabila berhadapan dengan “pertanyaan” dan bagaimana mereka cuba menjawab penipuan-penipuan yang mereka ada-adakan.

    http://www.youtube.com/watch?v=P7bnHWN-LiE

    Sekiranya umat manusia tidak sanggup mengambil cabaran memberanikan diri untuk bertanya, selama itu mereka akan jadi “hamba abdi” kepada manusia lain.

  8. Angie says:

    Excellent article Ms Rohana. You have opened up our minds to start questioning the existing mindless ideology on the role of Malaysian women in religion and society. This article should be translated to English to have a wider audience reach. Bravo! Encore!

    Note from editor: we would be happy for the public to translate any of our articles to distribute to a wider audience, so long as the writer and The Nut Graph are duly credited, with appropriate links provided to the website. Due to limited resources in the newsroom, we cannot execute such translations ourselves. We are, however, very encouraged that more and more readers are inspired by pieces on our website. Thank you for your most valuable support.

    Shanon Shah
    Columns and Comments Editor

  9. Tanya says:

    What a fabulous article! I truly agree that we are currently being colonised by religious ideologies which stands the growth of gender equality. It is time we make a change to this mindset and not let our minds be bongsai!

  10. Melissa says:

    Well written article. We need more articles like this especially when ideologies (especially in the political arena) are not considered important or useful anymore. Just flowing with the currents will not get us far. Thanks Nut Graph for publishing articles like this — gets us thinking


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site