Categorised | Columns

Yahudi, Islam dan kejujuran

d bouma
Gary D Bouma
“SAYA perlu jujur sepenuhnya apabila membincangkan siapa saya, kemusykilan dan kepercayaan saya, dan bukannya mempamerkan wajah Kristian atau sebagainya yang direka-reka,” kata Profesor Emeritus Gary D Bouma. “Jika saya tidak jujur, orang akan bertanya: Apa yang sedang disembunyikan?”

Bouma ketika itu sedang berucap dalam Dialog Antara Agama Kelima anjuran kerajaan Australia di Perth dari 28 ke 30 Okt 2009. Saya pula ditugaskan untuk membuat liputan dialog tersebut setelah dipilih dan ditaja oleh Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia.

Menurut Bouma, inilah salah satu syarat utama yang perlu ditepati sekiranya kita mahukan dialog antara agama yang berkesan. Apabila dia berkata demikian, saya terus teringat kepada perjumpaan saya satu ketika dulu dengan kepimpinan Pemuda PAS pusat tentang isu pengharaman konsert. Saya tertanya-tanya, apakah saya benar-benar berlaku jujur ketika dialog tersebut? Apakah saya mendapat kepastian bahawa ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi juga berlaku jujur sepenuhnya apabila berdialog dengan saya?

Nasrudin
Nasrudin Hassan
Setahu saya, kami berdua memang berniat ikhlas dan berlaku jujur sepenuhnya. Habis kalau begitu, kenapa setelah “dialog” tersebut, pihak Pemuda PAS terus kekal dengan pendiriannya untuk mengharamkan konsert? Dan kenapa pula saya terus kekal dengan pendirian saya untuk membantah tindakan mereka? Ini pun belum lagi dialog antara agama — ini baru dialog sesama Muslim!

Dialog” merupakan satu konsep yang sangat menarik. Saya pasti jika kita bertanya kepada pemimpin politik kita — tidak kiralah dari Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat — sudah tentunya mereka semua akan mendukung betapa pentingnya berdialog.

Tetapi adakah mereka jujur? Apa pula pendirian pemimpin pertubuhan-pertubuhan lain, atau individu tertentu, tentang dialog? Jika mereka mahu berdialog, apakah mereka benar-benar jujur?

Apakah Jabatan Agama Islam Selangor mahu berdialog dengan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin? Apakah para pemimpin pertubuhan Islam, Pemuda Umno Johor Baru dan PAS Shah Alam mahu berdialog dengan Sisters in Islam? Apakah Sisters in Islam mahu berdialog dengan mereka?

mohd asri
Mohd Asri
Apakah pengheret kepala lembu di Shah Alam sanggup berdialog dengan komuniti beragama Hindu di sana? Apakah ahli majlis mesyuarat negeri Selangor dari PAS, Datuk Dr Hassan Ali, mahu berdialog dengan komuniti Ahmadiyah di Selayang?

Apakah Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat sanggup berdialog dengan Majlis Peguam Malaysia tentang isu antara agama? Apakah pihak penguatkuasa Islam di Malaysia sanggup berdialog dengan orang seperti Lina Joy?

Saya bertanya dengan jujur, bukan dengan nada yang marah atau ingin memperlekehkan sesiapa. Kerana saya tahu bahawa soalan sama akan ditujukan kepada saya: “Adakah kamu jujur? Adakah kamu sanggup berdialog?” Dan saya tahu bahawa saya juga akan terperangkap jika saya cakap tidak serupa bikin.

Kosher dan halal

Dialog hanya boleh berlaku dalam situasi yang tenang, di mana para peserta dialog tidak merasa bahawa mereka berada di dalam bahaya. Tidak kiralah sama ada bahaya tersebut berupa penahanan di bawah akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, atau ia berupa ugutan yang ganas dari pihak-pihak tertentu. 

Jadi saya amatlah terharu dengan pengakuan Rabbi Zalman Kastel, daripada aliran Yahudi Hasidic. Kastel berkata, “Kejujuran itu amatlah penting, tetapi kita juga perlu bertolak ansur dengan mereka yang perlu mengambil langkah tertentu sebelum berupaya berlaku jujur sepenuhnya.”

Dia memberi contoh dirinya sendiri — pada mulanya, dia merasa tidak selesa, malah takut untuk melawat masjid. Tetapi dia terus mencuba. Akhirnya, sekarang dia berkawan rapat dan bekerjasama dengan seorang pemimpin Islam Australia, Shaikh Haisam Farache.

Shanon Shah dengan rabbi Kastel
Rabbi Kastel bersama penulis Shanon Shah
(© Australia-Malaysia Institute)
Saya sendiri berkesempatan berbual panjang dengan Rabbi Kastel pada malam pelancaran dialog tersebut — kami duduk sebelah-menyebelah di meja makan. Rabbi Kastel dengan hidangan koshernya, saya dengan hidangan halal saya. Kami berbincang tentang pelbagai isu — isu kedudukan wanita dalam Islam, kepelbagaian mazhab dalam agama Yahudi, pendirian ajaran Hasidic tentang homoseksualiti dan sebagainya.

Dalam beberapa isu, memang kami tidak bersetuju. Tetapi itu bukan tujuan “dialog” kami. Pada malam itu, saya hanya mahu kenal Rabbi Kastel dengan lebih rapat. Saya ingin tahu apakah impian Rabbi Kastel, apakah kemusykilan yang mungkin bermain dalam hatinya. Saya rasa Rabbi Kastel juga ingin mengenali saya sebagai seorang individu.

Dan kami tidak takut. Apa, dia takut saya akan menahannya di bahawa Akta Kesalahan Jenayah Syariah? Apa, dia akan menembak saya sampai mati?

Saya terfikir pula tentang dialog yang cuba diterajui oleh wakil kerajaan Selangor dengan pihak yang memprotes pemindahan kuil Hindu di Shah Alam. Betapa ganasnya tindak-tanduk mereka dan kata-kata yang keluar dari mulut mereka yang hadir. Dialog apa seperti itu? Bagaimana untuk berdialog dengan berkesan dalam keadaan seperti itu?

Siapa yang bertanggungjawab untuk memastikan bahawa dialog berlangsung dalam keadaan yang tenang dan jujur? Saya berkeras bahawa ini tanggungjawab negara. Kita semua akan bertelingkah, kalau tidak kerana agama mungkin kerana isu lain. Kita semua ada cacat cela — kadang-kadang kita akan meluahkan pendapat bukan berdasarkan logik tetapi berdasarkan emosi.

Tetapi pihak negara — kerajaan dan institusi-institusinya — yang bertanggungjawab untuk memastikan bahawa perselisihan kita diselesaikan secara adil, tenang dan bertatasusila.

Bertemu dan berpisah

Pada penutup dialog tersebut, Rabbi Kastel mengucapkan selamat tinggal kepada saya. Mula-mula saya ingat dia sudah lupa dengan saya. Atau mungkin dia sudah menyampah kerana saya banyak sangat bertanya soalan itu dan ini. Jadi saya terharu. Saya memeluknya. “Selamat berjaya,” dia berkata kepada saya.

beyonce
Beyonce
(© Chrisa Hickey / Wiki Commons)
Anehnya, begitu jugalah saya mengucapkan selamat tinggal kepada ustaz Nasrudin selepas dialog kami. Kami berpelukan, dan masing-masing mengucapkan selamat Aidilfitri.

Saya tidak kecewa. Satu dialog tidak akan mengubah segala-galanya. Ya, saya sempat berbual dengan Rabbi Kastel, tapi ini tidak bererti penjajahan Israel ke atas Palestin akan berakhir besok. Samalah dengan pertemuan saya dengan ustaz Nasrudin — bukannya ustaz akan tiba-tiba melalak-lalak di konsert Beyonce besok, dan bukannya saya pula akan menyertai Pemuda PAS.

Tapi sekurang-kurangnya dengan membuka pintu dialog, kita akan senang hatilah sikit dengan mereka yang tidak sependirian dengan kita. favicon


Shanon Shah mula-mulanya terkilan bahawa Rabbi Zalman Kastel tidak meminati siri komedi The Nanny. Tetapi atas semangat menghormati dialog dan kepelbagaian, Shanon sedar bahawa tidak semua orang Yahudi akan meminati Fran Drescher. Shanon ialah anggota bersekutu Sisters in Islam.

Baca ruangan Secubit Garam yang terdahulu

The Nut Graph memerlukan bantuan anda

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , ,

One Response to “Yahudi, Islam dan kejujuran”

  1. Pragalath says:

    Saya berpendapat umat Islam di Malaysia juga perlu kembali kepada budaya ijtihad.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site