Categorised | Columns

Sifat PAS

lukisan katak dan kala jengking
Katak dan kala jengking (oleh Lainie Yeoh)

INI kisah kala jengking dan katak. Si kala jengking perlu merentas sungai tetapi tidak mampu, jadi terpaksa meminta untuk menumpang atas belakang si katak. Si katak mula-mulanya enggan dan takut.

“Nanti kau mesti sengat aku punya,” keluh si katak. Si kala jengking dengan ikhlas berjanji, “Aku tak akan sengat engkau. Buat apa aku nak sengat engkau? Nanti kalau engkau lemas, aku pun akan lemas juga.” Jadi si katak pun bersetuju membawa si kala jengking di atas belakangnya merentas sungai.

Akan tetapi, sebaik sebelum sampai ke tebing seberang sungai tersebut, si kala jengking tiba-tiba menyengat si katak. “Kenapa kau sengat aku? Kan kau dah janji tak akan sengat aku?” Si kala jengking menjawab, “Aku kala jengking. Inilah sifat aku.”

Kali pertama saya mendengar kisah ini, saya tidak tahu sama ada mahu marah atau kesian terhadap si kala jengking. Malah, saya juga tidak tahu sama ada mahu marah atau kesian terhadap si katak. Dua-dua menjadi mangsa kepada sifat masing-masing.

Dan apabila saya terbaca bahawa Dewan Pemuda PAS sekali lagi mendesak pengharaman konsert — kali ini oleh Beyoncé — saya teringat kisah si kala jengking dan si katak. Saya langsung tidak terkejut dengan tindakan PAS ini. Saya juga tidak tahu sama ada mahu marah atau bersimpati atau hormat kepada PAS — bukankah ini sifat PAS? Saya juga tidak tahu sama ada mahu marah atau bersimpati dengan rakan-rakan PAS dalam Pakatan Rakyat, terutamanya Parti Keadilan Rakyat, yang tiba-tiba sunyi sepi dalam situasi ini. Adakah ini memang sifat mereka?

Betul, cadangan PAS untuk mengharamkan lagi satu konsert memang bermasalah. PAS sebagai parti Islam mahu mengharamkan konsert “sekular” yang kononnya “tidak bermoral”. Apakah beza di antara PAS dan kerajaan sekular di Perancis yang mengharamkan pemakaian tudung di kalangan wanita Islam kerana kononnya ia bertentangan dengan prinsip negara sekular?

Tetapi saya sudah banyak mengupas isu ini dari sudut pandang seperti ini. Malah, setelah saya bertemu dan berdialog dengan kepimpinan Dewan Pemuda PAS, saya dapati bahawa saya memang menghormati dan mesra dengan mereka, walaupun saya 100% tidak bersetuju dengan wacana dan tindak-tanduk mereka.

Jadi apa lagi yang boleh dikatakan? Ini memang sifat PAS. Sekarang, saya berminat untuk mengkaji apa pula sifat karyawan yang menjadi mangsa pengharaman pihak berkuasa.

Teladan Amir Muhammad dan Iran


Amir Muhammad

Di negara kita sendiri sudah ada beberapa contoh seperti ini. Saya teringat lagi betapa akhbar Berita Harian melatah dengan dokumentari separa muzikal arahan Amir Muhammad, Lelaki Komunis Terakhir, sehinggakan filem tersebut diharamkan oleh pihak berkuasa. Apa pula yang dibuat oleh Amir? Adakah Amir melatah balik? Adakah Amir terus merajuk dan tidak berkarya lagi?

Tidak sama sekali. Sebaliknya, Amir telah mempertahankan karya ini melalui laman blognya. Malah, Amir menjadi semakin kreatif dalam meneruskan karier perfilemannya. Siapa yang boleh jangka bahawa pengarah kontroversi Lelaki Komunis Terakhir merupakan orang sama yang keluar dengan filem Susuk, yang seram, kelakar dan cukup nakal?

Malah, Amir telah menubuhkan syarikat penerbitan buku pula — Matahari Books — yang sudah muncul dengan judul-judul yang laris seperti Malaysian Politicians Say the Darndest Things (Jilid Satu dan Dua), New Malaysian Essays (Jilid Satu dan Dua), dan Kitab Pengetahuan Hantu Malaysia.

Abbas
Abbas Kiarostami
(© Mansour Nasiri
/ Wiki commons)

Lihat pula contoh negara Iran, pasca-revolusi 1979. Sebelum 1979, rakyat jelata Iran hidup di bawah kediktatoran sekular yang cukup kejam dan kotor. Tetapi setelah Ayatollah Khomeini berjaya mengasaskan republik Islam, para pendukung revolusi Islam seorang demi seorang mula kecewa dengan negara idaman Khomeini. Walaupun kerajaan Islam Iran lebih telus berbanding dengan sistem sekular di bawah pemerintahan Reza Pahlavi, ia masih bersifat kuku besi dalam menangani aktivis hak asasi manusia, aktivis wanita, karyawan dan penggiat politik pembangkang. Pelbagai judul buku, laman berita, rancangan televisyen, filem dan lagu diharamkan atau disekat oleh pihak pemerintah Republik Islam Iran.


Namun, lihat saja filem-filem yang muncul daripada republik Islam ini bermula dari dekad 1990-an. Pengarah-pengarah seperti Mohsen Makhmalbaf, Abbas Kiarostami, Majid Majidi dan Samira Makhmalbaf bukan hanya mendapat pengiktirafan daripada khalayak umum di Iran, malah menerima pelbagai anugerah filem di peringkat antarabangsa.

Mohsen
Mohsen Makhmalbaf
(© Fabien Dany / Wiki Commons)

Pada permukaannya, filem-filem mereka nampak sangat “mudah”, tanpa dihiasi dengan kesan visual yang canggih dan rekaan busana yang megah. Filem-filem Iran juga tiada unsur keganasan atau seks, tetapi masih mampu menghidangkan jalan cerita yang menarik dan bersifat kritikal. Saya ingat lagi kali pertama saya menonton Salaam Cinema arahan Mohsen Makhmalbaf, saya merasa seolah-olah membuat kawan baru. Jalan ceritanya senang saja — seorang pengarah mengadakan ujibakat terbuka untuk filem terbarunya. Tetapi dalam babak-babak yang seterusnya, penonton seperti dapat mengintai jiwa dan cita-cita rakyat Iran. Inilah sifat karyawan dan arena seni di Iran.

 

Apa sifat demokrasi?

Kebetulannya, Mohsen Makhmalbaf juga merupakan jurucakap Mir Hossein Mousavi, pencabar utama Presiden Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihanraya presiden Jun 2009 lalu. Dan kebetulannya, Mousavi dulunya memegang jawatan menteri luar negeri, dan kemudiannya perdana menteri, apabila Khomeini mengambil kuasa.

Dalam pilihanraya baru-baru ini, kemenangan Ahmadinejad dibalut dengan kontroversi — beratus ribu penyokong Mousavi telah berdemonstrasi untuk mendesak supaya undi dikira semula. Ini juga sifat pengundi dan pilihanraya di Iran. Benar, kita masih belum tahu kisah sebenar di sebalik keputusan pilihanraya di Iran, tetapi kita tahu sebilangan besar rakyat Iran sudah marah dengan Ahmadinejad dan segelintir ulama yang berkuasa di sana.

Ahmadinejad dan Vladimir Putin
Ahmadinejad dengan Perdana Menteri
Rusia, Vladimir Putin
(© www.kremlin.ru / Wiki Commons)

Perasaan dan pendirian orang umum di Iran pula masih giat dicerminkan dalam karya yang keluar dari Iran. Tradisi berkarya dan menuntut perubahan sudah sebati dalam jiwa mereka. Tetapi adakah ini benar-benar sifat mereka? Atau adakah ini merupakan ciri-ciri yang muncul akibat perlunya mereka berjuang untuk menegakkan pendirian masing-masing? Saya tidak tahu jawapannya, dan saya tidak ada sebarang teori untuk dikemukakan di sini.

Cuma ini yang saya tahu: Beyoncé akan tetap berjoget dan menyanyi kerana itu sifatnya. Dewan Pemuda PAS pula akan tetap cuba mengharamkan konsert Beyoncé atau mana-mana artis sepertinya kerana itu sifat mereka. Apa pula sifat rakyat Malaysia yang lain, yang berbilang kaum dan agama, merentas jurang umur dan jantina? Favicon


Shanon Shah menghormati Beyoncé kerana menangani kontroversi Kanye West-Taylor Swift dengan bijaksana, tetapi tidak pasti sama ada ini memang sifat Beyonce atau permainan media semata-mata.

The Nut Graph memerlukan bantuan anda

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , ,

4 Responses to “Sifat PAS”

  1. sugus says:

    Just to share … poster art for green Iran by Iranians and international artists:
    http://sdz.aiap.it/gallerie/11538#top

  2. Nutmeg says:

    Yalah, itu memang sifatnya. Tetapi bukankah kita manusia? Bukankah kita diberikan otak untuk pemikiran oleh Tuhan? Jika kita tidak menggunakan otak kita untuk menilai nafsu and sifat kita yang kurang baik, buat apalah kita memanggil diri kita ini sebagai manusia? Itulah bezanya antara manusia dan haiwan, satu ada otak tinggi untuk menukarkan sifatnya, satu lagi tidak dapat menukarkan sifatnya kerana adalah haiwan.

  3. uncle husim says:

    Everyone is entitled to their own opinion… no?

  4. gasakla says:

    Tapi siapalah PAS? Berbuih mulut sekalipun, kalau buat demonstrasi seluruh negara sekalipun, Beyonce akan tetap bernyanyi dan berjoget di atas pentas atas nama hiburan dan seni kan?

    Negara Islam adalah sebuah negara yang benar-benar mengikut kehendak Islam, dimana undang-undang dan perlaksanaan berpandukan Al-Quran dan Hadis. Selepas tu barulah al-qias dan ijtihad oleh ulama dan pandangan-pandangan kita atau teori-teori atau mitos-mitos atau segala seni yang datang dari kepala otak kita, sekecil zarah saja.

    Sejauh soal pemerintahan kuku besi di Iran, tidakkah anda tahu pemimpin yang kuku besi itu berfahaman liberal dan sosialis, yang naik kereta Merc dan duduk didalam istana presiden itu bukan pure Islam sepertimana yang digembar-gemburkan.

    Akhirnya di tangan Ahmadinejad, banyak masalah yang selesai walaupun kudis masih ada, disebabkan pengaruh Rafsanjani (boleh sifatkan beliau yang hampir serupa seperti Mustafa Ali, duri dalam daging) yang sama sekali merosakkan revolusi imam Khomeini yang pernah sama-sama diperjuangkannya.

    Dan untuk pengetahuan anda juga, Ahmadinejad seorang Islam radikal dan penganut syiah yang tegar. Baru-baru ini, menteri wanita pertama dilantik di Iran, orang yang sama yang mencadangkan pengasingan wad lelaki dan perempuan yang diamalkan diseluruh dunia. Dan cadangannya sama-sekali ditolak oleh pemimpin Iran suatu ketika dahulu.

    Tapi anda tahukah, yang segala pemimpin senior yang berbalut serban dikepala tapi kepala otaknya bersifat sosialis dan terang sangat si sosialis itu menghentam wanita yang dilantik, malah mengecam tindakan Ahmadinejad. (Bukan niat nak menghentam sosialis apa lagi nak menghina, tapi memang orang-orang itu sosialis, dan mungkin itu hanya segelintir sahaja.)

    Soal pemakaian tudung dan pengharaman pelbagai hal, sesuailah dengan prinsip Islam, antara dosa dan pahala. Memang tak pakai tudung tak semestinya jahat, tapi berdosa kan? Kiralah itu macam suatu pertolongan.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site