Categorised | Columns

Seni vs hiburan: siapa juri?

Corrected on 18 Aug 2008 at 3.00pm

Seni vs hiburan

ARTIS, orang seni, selebriti, karyawan, seniman atau apa saja gelaran yang seangkatan dengannya di Malaysia ini, secara kasarnya terbahagi kepada dua. Pertama, yang menjadikan seni sebagai komentar dan medium untuk menyampaikan atau menyebarkan perjuangan mereka; kedua, yang menjadikan seni sekadar tempat untuk mencari keselesaan dan populariti.

Percaya atau tidak, suka atau terpaksa, kedua-dua golongan ini tetap mengharapkan seni untuk memenuhi keperluan hidup mereka (tidak termasuk golongan yang menjadikan seni sebagai hobi semata). Itu hakikat yang tidak dapat ditolak oleh sesiapapun. Ini kesatuan antara dua golongan ini.

Namun, kesatuan ini juga ada pertembungan dan konfrontasinya. Persoalan yang timbul, adakah mereka yang berjuang dalam seni itu mampu memenuhi kehendak hidup mereka hanya dengan perjuangan itu sedangkan kita sedia maklum majoriti masyarakat Malaysia hari ini lebih terjurus, cenderung serta lebih menghargai seni yang bercorak hiburan semata?

Kita dapat lihat bagaimana Ramli Sarip dan M Nasir yang pada satu ketika dahulu begitu ghairah dengan perjuangan mereka dalam industri muzik khususnya, namun akhirnya tetap tercebur ke kancah hiburan realiti TV Akademi Fantasia (AF entah nombor berapa kita orang pun tak pasti sebab Astro belum ada subsidi untuk mereka yang tak mampu melanggan)… sehingga mamat Nasir Jani yang merupakan bekas teman seperjuangan M Nasir pun sanggup buang TV rumahnya sebagai tanda protes terhadap kejadian itu.

Adakah ini membuktikan bahawa pejuang-pejuang sebegini akan tetap tewas dengan kehendak hidup dan kehendak arus perdana? Pokok permasalahannya sekarang ini adalah masyarakat kita sendiri. Masyarakatlah yang bertanggungjawab untuk menjadi penilai dan penentu kepada pertembungan ini. Ia antara seni untuk seni, versus seni untuk masyarakat.

Suka ingin kami nyatakan di sini, teori sosiologi dan antropologi telah mengatakan seni terhasil sebagai meraikan hidup dan sebagai cermin kepada masyarakat. Jadi jelas perkara ini sedikit sebanyak telah menjawab persoalan di atas. Antara hiburan dan rasa seni yang tinggi harus ada kesatuan. Keduanya tidak mustahil untuk disatukan.

Tidak salah rasanya seorang yang berjuang dalam seni terlibat dalam seni yang bercorak hiburan semata kerana permasalahan ini mempunyai satu susur galur yang begitu panjang untuk diselesaikan. Ia memerlukan satu jangka masa yang panjang untuk mengalami perubahan seperti proses evolusi. Cuma pejuang-pejuang itu tidak harus meninggalkan terus perjuangan mereka akibat tekanan ini.

Keutamaan harus tetap diletakkan pada perjuangan mereka itu sendiri. Jika tidak sampai bila pun permasalahan ini tidak dapat diubah. Sejarah di Malaysia telah membuktikan pejuang-pejuang dalam seni memang terpaksa menerima hal ini. Kami ulangi, terpaksa! Ini realiti (bukan realiti TV ya).

Seni vs Hiburan
M Nasir (kiri) dan Dr Sam Rasputin dalam filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani (corrected)
Memang masih ada kelompok-kelompok radikal kental yang menolak 100% hiburan tidak kritikal ini. Contoh paling terdekat ialah Nasir Jani yang kami sebut tadi, seorang pengarah filem yang sering memaparkan ketidakpuasan hatinya terhadap sistem dan budaya di Malaysia (contoh filemnya yang agak kontroversi, Kembara Seniman Jalanan).

Akan tetapi, kita dapat lihat apa yang terjadi dengan kehidupannya sekarang, bagaimana masyarakat melupakan dan tidak menghargai karyanya. Malah tidak keterlaluan jika kami katakan terdapat individu-individu yang tidak pernah tahu tentang kewujudan beliau, walaupun bagi kami industri seni sebenarnya memerlukan lebih ramai orang seperti Nasir Jani di Malaysia. Kerana pengkarya seperti Nasir Jani inilah yang akan menyumbang kepada kesedaran dan perubahan masyarakat terhadap penerimaan tentang fungsi seni itu sendiri kepada masyarakat.

Apa yang terjadi dalam ruang hidupnya ketika ini, kami sendiri kurang pasti. Kisah-kisah terakhir yang pernah kami dengar tentang beliau hanyalah kisah-kisah sedih dan duka kecewa seorang seniman. Tentang beliau yang marah memecahkan tingkap-tingkap kaca di Finas sebagai ekpresi tidak puas hatinya terhadap institusi itu yang baginya tidak langsung menyumbang ke arah memartabatkan filem Malaysia; serta tentang rumahnya dikepung polis akibat beliau dituduh terlibat dengan ajaran sesat.

Cuma baru-baru ini (tidaklah baru sangat) ada khabar berita angin yang mengatakan beliau akan kembali menghasilkan sebuah filem, sequel kepada karyanya dahulu, Kembara Seniman Jalanan. Sejauh mana kebenaran berita ini, kami kurang pasti. Mungkin hanya ura-ura. Mungkin dusta dalam berita. Tetapi kalaulah ianya benar belaka, kami teramatlah sangat menyokong beliau dengan sepenuh hati nurani kami yang bersih dan suci ini (hati-hati dengan hati kami).

Tidak dapat disangkal, mahu tidak mahu penggiat seni di Malaysia terpaksa melakukan lebih dari satu kerja untuk terus bertahan dalam industri. Contohnya seorang pengarah juga kadang-kadang harus berlakon, seorang pelakon juga kadang-kadang harus menjadi model, seorang penulis juga kadang-kadang harus melakukan kerja-kerja produksi di belakang tabir, seorang pelukis juga kadang-kadang harus menulis.

Ini kerana mereka juga manusia yang mempunyai tanggungjawab — keluarga, suami, isteri, anak serta cukai (tidak termasuk harga bahan bakar yang makin melambung). Industri di Malaysia masih kecil. Mengapa? Siapa yang mengecilkannya? Jawapannya sudah kami nyatakan: terlalu panjang susur galurnya untuk dihuraikan. Biasalah dalam hidup ini, kadang-kadang ada persoalan yang kita tahu jawapannya namun amat payah untuk kita huraikannya.

Jadi apa pun yang kita buat, segalanya harus seimbang seperti pepatah Melayu (sebab kami tak pandai pepatah lain): Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Apa pun yang kita pegang dan percaya dalam hidup kita, kita harus berani persoalkannya kembali, kerana kalau kita sentiasa meletakkan diri kita betul, kita akan menjadi seperti mereka yang kita benci. End of Article


Fared Ayam dan Zahiril Adzim adalah graduan baru Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Mereka sering bekerjasama dalam menjadikan teater sebagai medium untuk mereka berkongsi, mempersoal dan mengubah realiti masyarakat Malaysia.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon



One Response to “Seni vs hiburan: siapa juri?”

  1. an imaginician says:

    While there remains only one Angkasawan in this country, I think that in the case of art, everybody and anybody can be an artist. The power of imagination and creation have been in us ever since we saw that there was more to life than hunting and f**king in the bushes. Today, the Capitalistic masyarakat we are living in likes breaking everything down into little marketable units and it does it in very tricky ways. Reality-type singing competitions, phone cams and on-line videos do spread the “everyone is an artist” mantra, but always for a profit and very limited in its artistic potency. Thus the issue of finding a middle way between “seni” and “hiburan” should not be a discussion just for the “professionals”, but for you and me as well.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site