Categorised | Columns

Puisi untuk Perak

KEMELUT politik di Perak telah mencetuskan pelbagai reaksi: marah, takut, terhina, tidak percaya, “padan muka”, riak, dan sebagainya.

Ada yang sanggup meluahkan perasaan ini dengan cara menyerang pemimpin-pemimpin yang terlibat secara peribadi. Puak yang pro-Barisan Nasional (BN) mengecam Menteri Besar Perak yang asal, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai pengkhianat dan penderhaka kerana enggan melepaskan jawatannya. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh dicemuh sebagai biadab dan kurang ajar, kerana membantah keputusan Sultan Perak untuk memecat Nizar dan cuba menggantikannya dengan wakil BN.

Di kalangan penyokong Pakatan Rakyat pula, ramai yang menggunakan kata-kata kesat dan seksis untuk mengutuk bekas ahli DAP, Hee Yit Foong. Pelbagai gelaran lucah juga dilemparkan kepada naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


(© Robsnowdream / Dreamstime)

Benar, pergelutan kuasa ini tidak seimbang. Kerajaan pusat masih di bawah pentadbiran BN, dan Menteri Dalam Negeri sendiri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, sudah mengugut untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tidak hairanlah pemimpin BN berani mengugut dan mengecam pemimpin Pakatan Rakyat dengan pelbagai cara. Dan tidak hairanlah penyokong Pakatan Rakyat terlalu marah sampai membuat tohmahan dan sindiran terhadap pemimpin BN.

Namun, apakah ini satu pendekatan yang produktif? Apakah penggunaan bahasa yang tidak sopan, sama ada dari pihak pro-BN atau pro-Pakatan Rakyat, akan dapat memartabatkan demokrasi di Malaysia? Tidak ada cara lainkah, yang lebih kreatif dan beradab, untuk menyuarakan kemarahan dan kecemasan kita?

Puisi dan politik

Masa saya kecil, saya telah menghafal pelbagai puisi kanak-kanak. Tidak kira di dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia. Ada puisi Hokkien dan Mandarin yang saya pernah hafal juga, tetapi kebanyakannya saya sudah lupa.

Kanak-kanak memang minat dengan puisi atau apa sahaja ungkapan yang rancak disebut. Asalkan susunan sukukata dan iramanya menarik. Puisi juga sangat efektif dalam memberi tunjuk ajar dan nasihat, meskipun imej yang dipaparkan agak lucu atau nakal.


Bila saya dewasa barulah saya tersedar bahawa ada puisi tradisional yang memuatkan sindiran atau kritikan politik secara tersirat. Contohnya ada penulis yang berpendapat Mary, Mary, Quite Contrary merupakan sindiran terhadap Mary Tudor (Ratu Mary I yang menduduki takhta England pada kurun ke-16). Hey Diddle, Diddle pula mungkin merupakan sindiran terhadap Ratu Elizabeth I, iaitu adik dan musuh ketat Mary Tudor.



(© Streuli Silvan / sxc.hu)

Ada yang berpendapat Baa, Baa, Black Sheep merupakan bantahan rakyat terhadap cukai eksport yang dikenakan di Britain pada tahun 1275 Masihi!

Tidak semua sarjana bersetuju tentang teori politik tersirat di dalam puisi-puisi ini. Tetapi saya tertarik dengan kemungkinan tersiratnya dimensi politik ini. Ini bermaksud bahawa puisi-puisi ini amatlah bernilai sebagai sastera rakyat.

Ini membuatkan saya terfikir, wujudkah kandungan politik tersirat di dalam pantun-pantun Melayu yang diajarkan kepada saya? Apakah Buai Laju-Laju mempunyai dimensi pemberontakan politik? Bagaimana pula dengan lagu-lagu yang pernah saya hafal? Chan Mali Chan? Jong Jong Inai?

Amat susah untuk dipastikan — di negara-bangsa Malaysia yang moden, nampaknya kajian kesusasteraan begini kurang popular, atau mungkin dilarang. Malah, nampaknya seni dan sastera sendiri kurang mendapat tempat di Malaysia — sama ada di sekolah, di pejabat, atau di rumah. Tidak kira sama ada ia seni dan sastera “tinggi”, atau seni dan sastera rakyat. Akan tetapi, seni dan sasteralah yang mampu memperkasakan jiwa dan sanubari kita untuk menjana perubahan politik dan sosial.

Walaupun kita mungkin tidak dapat melihat perubahan ini dengan jelas atau serta-merta, seni mampu mengubah wacana awam dengan cara yang kreatif dan mendalam. Dan kalau kita tidak begitu kenal atau ingat sepenuhnya pada yang lama, kita masih boleh bereksperimen dengan yang baru.

Suara rakyat

Pernah dengar puisi Jack and Jill? Mereka naik bukit untuk mengumpul air di dalam baldi. Akan tetapi, mereka tersungkur dan tercedera. Itulah mesej tradisionalnya.

Lihat pula bagaimana puisi ini diubahsuai untuk mengkritik pembuangan sisa toksik yang tidak terkawal:


(Domain awam; sumber: Wikipedia)

Jack and Jill went up the hill
To fetch a pail of water.
Jack drank quick and began to get sick
And soon began to totter.

Jill drank next and coughed and wretched,
Felt something inside rot her.
Both did frown and tumbled down
And joined the human slaughter.

Bagi saya, ini satu cara yang menarik untuk menyiratkan mesej yang kritis di dalam puisi tradisional.

Saya ingat lagi ketika Raja Petra Kamarudin, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng ditahan di bawah ISA pada bulan September 2008. Sekumpulan rakyat prihatin kemudiannya berkumpul di Bukit Aman untuk menyalakan lilin sebagai sokongan moral. Polis pengawal rusuhan berbaris di hadapan kumpulan rakyat yang memegang lilin. Kumpulan pemegang lilin memilih untuk menyanyikan lagu Suara Rakyat.

Bila saya mula-mula dengar Suara Rakyat beberapa tahun yang lalu, saya terasa janggal. Liriknya bersifat perjuangan, tetapi melodinya dipinjam daripada balada folk Amerika, Oh My Darling, Clementine. Tapi pada malam solidariti untuk tahanan ISA itu, saya teruja menyanyikan Suara Rakyat. Tidak kira berapa kali pun diulang nyanyiannya. Sebab inilah kenyataan identiti kita, sebagai negara berbilang bangsa yang pernah dijajah British. Inilah cara kita mengubahsuai seni, simbol dan sastera tradisional — dari Malaysia mahupun dari luar — untuk mengembangkan wacana demokrasi dan hak asasi.

Baru-baru saya menerima e-mail dan mesej Facebook tentang nada dering telefon bimbit baru yang amat melucukan. Ia berbentuk gabungan puisi dan rap oleh orang yang suaranya berbunyi seperti Crazy Frog. Ini rangkap pertamanya:

Oh si katak
Yang melompat
Tidak hormat
Makna demokrasi



Dengar dia!

Nah, setuju atau tidak dengan kandungannya, inilah yang diperlukan di Malaysia sekarang — pengembangan wacana demokrasi secara kreatif, menarik, dan tidak menyerang peribadi mana-mana individu.


Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Shanon Shah budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , ,

Comments are closed.

Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site