Categorised | Columns

Pergolakan penentu masa depan insan


(Source: myfreewallpapers.net)

DULU saya sangat gemar membaca majalah Mad khususnya kartun Spy vs Spy di mana perisik putih mencari apa jua jalan menghentam perisik hitam. Perisik hitam juga membidas perisik putih bila terbuka peluang tanpa mengira etika mahupun penderitaan, asalkan menang.

Kini, banyak pergolakan berpanjangan di luar negara dan nampaknya kian memuncak di Malaysia, termasuk kemelut yang berterusan di negeri Perak. Ramai  yang mempunyai pendapat bermacam-macam dan memihak kepada parti politik masing-masing.

Tapi saya ingin fokus kepada corak pemikiran dan rasional manusia yang terlibat dalam pergolakan dan juga peperangan. Topik ini sangat luas dan saya cuba hadkan permerhatian kepada beberapa pola yang kerap berulang.

Penghalalan cara

Pertamanya, bila  pemimpin parti menggalakkan ahli politik supaya melompat parti, penyokong parti tersebut akan bersetuju atas alasan matlamat menghalalkan cara, atau “the ends justify the means”. Ini ialah sikap Machiavellian yang kelihatan dalam kebanyakan parti politik di Malaysia. Tetapi bila berlaku dari parti lawan, ini dianggap sebagai satu kelicikan yang besar.

Keduanya, dalam peperangan pula, musuh dianggap seperti “separuh manusia” sehinggalah kekejaman dilakukan ke atas mangsa tanpa belas kasihan. Jika tidak, mana tergamak membunuh kanak-kanak serta orang tua yang tidak berdaya? Banyak sekali contoh seperti ini misalnya di Gaza baru-baru ini, di Vietnam, di Rwanda, dan juga di Bosnia. Ini juga berlaku semasa penjajahan Jepun di Malaysia dalam tahun 1940an, serta zaman Darurat di mana golongan Komunis dan sesiapa yang menyokong mereka dibunuh dengan kejam oleh askar tempatan dan British.


Kem pelarian di sempadan Zaire-Rwanda, 1994
(Domain awam; sumber: Wikipedia. Klik imej untuk
pameran besar)
Ketiga, peperangan akan meninggalkan kesan emosi dan psikologi yang berlarutan. Misalnya, penganalisis politik berpendapat yang keganasan ke atas rakyat Palestin akan membiakkan lebih ramai pengebom berani mati. Juga kebencian yang amat sangat terhadap Yahudi baik yang Zionis mahupun bukan Zionis. Kanak-kanak yang mengalami peperangan mengalami tekanan jiwa yang berterusan.

Saya berpeluang menemui sekumpulan muda-mudi Bosnia semasa lawatan saya ke sana tiga tahun dahulu. Mereka menceritakan pengalaman pahit termasuk kelaparan, kematian ahli keluarga dan saudara-mara, dan dikelilingi bunyi senjata api dan bom. Yang paling menyayat hati ialah jiran mereka daripada kaum Serbia dan Croatia berpaling tadah dan memihak kepada musuh, penceroboh Serbia, walaupun sebelum perang mereka berjiran baik.

Bila saya bertanya apakah yang mereka rasa sangat kehilangan dalam pengalaman ini, semua menyebut yang mereka kehilangan zaman kanak-kanak mereka. Sebab ketika itu mereka berumur di antara sembilan hingga 12 tahun. Dan mereka perlu menjaga adik-beradik dalam keadaan peperangan di Sarajevo, termasuk mencari makanan di hutan untuk keluarga, terutamanya untuk ibu dan adik-beradik perempuan kerana lelaki dewasa telah pergi ke medan peperangan. Kesedihan mereka berlarutan dan terbenam pula perasaan tidak percaya lagi kepada orang Serbia. Walaupun peperangan sudah tamat, kesedihan dan kebencian masih bergelora di jiwa.

Dulu dan kini

Saya terkenang pula peperangan di Vietnam pada lewat 1960an hingga 1970an di mana ribuan bom diletupkan di Vietnam untuk melumpuhkan semangat pejuang pembebasan Vietnam. Masa itu saya menuntut di London dan antara penuntut lain termasuklah seorang gadis dari Vietnam Selatan. Saya tidak ingat namanya tetapi ia merupakan seorang gadis yang baik hati, ramah dan mesra.

Beberapa minggu berlalu dan satu hari saya terdengar jeritan yang kuat dari biliknya serta tangisan yang menyebak hati. Kami berlari ke biliknya dan mendapat beliau sedang merangkak-rangkak di atas lantai. Amat mengejutkan, dan setelah ditenangkan, dia menceritakan bahawa pukul 7pm beliau terdengar dari BBC yang bom bertubi-tubi dilepaskan oleh Amerika berdekatan dengan kampungnya. Hampir setiap malam beliau menangis dan kadangkala terus meraung dan merangkak lagi. Setelah satu bulan dia sendiri, dengan persetujuan pihak universiti, membuat keputusan untuk kembali ke Vietnam. Fikirannya amat terganggu dan dia tidak dapat meneruskan pelajarannya.


“Boat people” Vietnam diselamatkan
(Domain awam; sumber: Wikipedia.
Klik imej untuk pameran besar)
Baru-baru ini, warga Rohingya dari Burma telah disingkir balik ke laut oleh kerajaan Thailand. Terbiarlah orang-orang ini merana, dahaga dan mati kelaparan. Maka saya terfikir yang ada persamaan dengan “boat people” dari Vietnam dua hingga tiga dekad yang lalu.

Kebetulannya, saya baru membaca sebuah buku bertajuk  Learning True Love oleh Chan Kong. Dalam buku ini ada diceritakan yang bila pelarian ini sampai ke Asia Tenggara, iaitu Thailand, Malaysia dan Singapura, kesemua mereka dihalau balik ke laut. Jika mana-mana individu atau kapal laut memberi perlindungan kepada “boat people” ini, mereka akan didenda $4,000 setiap pelarian. Jadi nampaknya kekejaman manusia ini tidak banyak berubah dari dahulu hingga sekarang. 

Tamak haloba banyak tercipta dalam masyarakat yang mementingkan kekayaan perseorangan tanpa diiringi tanggungjawab sosial. Gandhi pernah berkata, “There is enough for everyone’s needs but not enough for everyone’s greed.”

Ada kalanya, ini  tercapai dengan saluran sah tetapi selalu juga dengan cara-cara tidak berperikemanusian — mengeksploitasikan orang lain seperti melacurkan wanita dan kanak-kanak; memberi gaji yang paling murah kepada pekerja tempatan dan asing; dan memeras tenaga kanak-kanak.

Bukan hanya ketika perang

Pengeksploitasian ini tidak hanya berlaku di dalam suasana peperangan antara negara. Ia juga berlaku semasa pergolakan dalam negeri bila terdapat cabaran terhadap golongan yang berkuasa, dan ini tidak terhad kepada golongan politik.


Cap mohor zaman Spanish Inquisition
(Domain awam; sumber: Wikipedia)
Contohnya, sebelum zaman Pencerahan kurun ke-18 di Eropah. Sejarah menunjukkan ketika zaman Spanish Inquisition bagaimana kejamnya pihak gereja ke atas individu yang dianggap “sesat”. Antara lain, beribu-ribu wanita dibunuh atas tuduhan yang mereka adalah ahli sihir sebab mereka mempunyai ilmu perubatan berasaskan sumber daun, akar dan kayu.

Pada zaman kini, kaum wanita masih menjadi mangsa dalam pergelutan pemerintahan konservatif seperti di Afganistan dan di kawasan Malakand, Pakistan, di mana Taliban membunuh sesiapa yang berani melawan.

Dalam suasana masyarakat yang pesat berubah, pastinya pergolakan akan berterusan. Pergolakan menentukan kuasa dan kedudukan pihak yang saling bergelut. Seringkali kita dapat menyaksikan kemerosotan kekuatan serta nilai-nilai murni yang diterajui oleh pengasas asal gerakan masing-masing. Ini boleh memudaratkan gerakan tersebut, tidak kira sama ada ia berbentuk parti politik atau pertubuhan lain.

Tetapi mungkin pula dengan pergolakan yang berterusan, akan timbul sesuatu yang positif. Mungkin akan wujud pemerintahan  baru yang benar-benar jujur dan pro-rakyat. Mungkin ia akan membawa rumpun nilai yang positif serta membina masyarakat adil dan saksama antara bangsa, lelaki dan perempuan, dewasa dan kanak-kanak, serta terhadap haiwan dan alam sekitar. Wallahu a’lam.


Rohana Ariffin dilatih dalam bidang sosiologi dan telah berkhidmat selama lebih dua dekad di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Dia bersyarah dalam bidang perhubungan industri dan kajian gender. Kini, dia menyandang jawatan naib presiden Parti Rakyat Malaysia.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , , , ,

Comments are closed.

Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site