Categorised | Columns

PAS tetap konsisten

PAS memang konsisten. Malah, baru-baru ini nampaknya Dewan Pemuda PAS Pusat bukan saja konsisten tentang isu di Malaysia, tetapi juga isu di negara lain seperti UK dan Iran.

Dalam kenyataan media pada 9 Dis 2009, Pemuda PAS “mengutuk keras tindakan Liga Pertahanan Inggeris (EDL) yang membangkitkan sentimen perkauman dan anti-Islam di kalangan rakyat Britain”. Pada 5 Dis, kira-kira 500 ahli EDL yang agak mabuk telah berarak di Nottingham dan melaungkan slogan yang mengutuk Islam. Kumpulan EDL tersebut telah bertindak ganas apabila pihak polis cuba mengawal keadaan.


Patutkah kerajaan Britain mengharamkan “sebarang bentuk perhimpunan”?

Jadi saya menyokong keprihatinan PAS tentang isu ini. Akan tetapi, Pemuda PAS juga berkata, “Kerajaan Britain tidak sepatutnya membenarkan sebarang bentuk perhimpunan yang jelas membangkitkan sentimen perkauman dan anti-agama.” Saya hairan — masalah demonstrasi EDL tersebut, bagi saya, ialah ahli EDL bertindak ganas. Sebagai seorang Muslim, saya memang marah dan tersinggung dengan tindakan mereka mengutuk Islam, tetapi prinsip saya ialah saya akan menggunakan hak bersuara saya untuk mencabar mereka secara aman. Kalau mereka mengugut saya dengan keganasan, saya akan melaporkan kepada polis.

Tetapi saya tidak nampak kenapa kerajaan Britain perlu mengharamkan “sebarang bentuk perhimpunan”. Bagaimana kalau ada penganut Katolik di Britain yang mahu berarak tentang isu seperti penderaan seksual kanak-kanak oleh paderi Katolik? Ya, mungkin sebilangan besar penganut Katolik yang lain akan melihatnya sebagai “sentimen anti-agama”, tetapi ia juga merupakan satu isu kemanusiaan. Tapi itu saya. PAS lain.

Contohnya, apabila muncul laporan tentang keganasan pemerintahan Presiden Mahmoud Ahmadinejad terhadap penunjuk perasaan di Iran, PAS telah bertemu sendiri dengan duta Iran di Malaysia, Mahdi Khandagh Abadi. Ketika pertemuan pada 24 Jun itu, “PAS mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Ahmadinejad yang memenangi pilihanraya tempoh hari dan dengan tegas akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Iran dalam menghadapi krisis dan propaganda jahat barat, khususnya Britain dan kumpulan penentang yang ditaja oleh barat.”

Perkembangan di Iran

Yang peliknya, menurut bacaan saya, inilah laporan tentang perkembangan di Iran sejak pilihanraya presidennya Jun lalu:

tavoli
Majid Tavoli
(domain awam /
Wiki Commons)

Demonstrasi, terutamanya oleh penuntut universiti, masih berterusan. Malah, seorang aktivis mahasiswa, Majid Tavakoli, telah ditahan oleh kerajaan Iran pada awal bulan Disember ini. Dalam cubaannya untuk melarikan diri, Tavakoli dilaporkan menyamar sebagai wanita.

Akan tetapi setelah ditangkap, media milik kerajaan telah mencetak gambar Tavakoli berpakaian chador sebagai strategi untuk memalukannya. Saya sendiri tidak faham kenapa memakai chador itu memalukan — bukankah kerajaan Iran mewajibkan wanita memakai chador?

Tetapi strategi kerajaan Iran tidak berkesan. Sekarang sudah ada video yang menunjukkan kira-kira 80 lelaki Iran yang mengenakan chador sebagai tanda menyokong Tavakoli dan membantah kepimpinan Ahmadinejad. Setakat 16 Dis, video tersebut sudah ditonton oleh 60,000 orang.

Jun lalu, Neda Agha-Soltan, seorang wanita berumur 27 tahun, mati di tengah-tengah demonstrasi anti-Ahmadinejad setelah pihak berkuasa Iran cuba mematahkan perhimpunan tersebut. Adakah dia dibunuh? Jika begitu, siapa pembunuhnya? Sampai sekarang, rakyat Iran mahupun pemerhati di seluruh dunia tidak tahu jawapan sebenarnya kerana kerajaan Iran belum menyiasat atau bertindak.


Ahmadinejad (© Daniella
Zalcman / Wiki Commons)

Oktober lalu, anak perempuan penasihat kanan kepada Ahmadinejad telah melarikan diri ke Jerman untuk mencari suaka. Narges Kalhor telah menghadiri festival filem Nuremberg untuk menayangkan filemnya, Darkhish, tentang penderaan politik dan kediktatoran. Bapanya, Mahdi Kalhor, tidak tahu bahawa dia sebenarnya ke Jerman untuk mencari suaka.

Pada 10 Dis, pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa Amnesty International berkata bahawa pencabulan hak asasi di Iran pasca-pilihanraya 2009 merupakan yang paling teruk dalam tempoh 20 tahun. Contohnya, seorang lelaki yang ditahan diberitahu bahawa anak lelakinya telah diculik dan akan dirogol jika dia tidak membuat “pengakuan”. Selepas pilihanraya tahun ini, Amnesty International menganggarkan lebih kurang 4,000 rakyat Iran diberkas. Lebih kurang 200 masih ditahan di penjara.

Tetapi kejadian-kejadian ini kebanyakannya dilaporkan oleh media atau pertubuhan Barat. Bak kata duta Iran kepada wakil-wakil PAS, media Barat seperti CNN dan BBC memang sengaja mahu menjatuhkan maruah Iran di mata dunia, dan PAS memilih untuk mempercayai duta Iran.

sabu
Mohamad Sabu
Akan tetapi, Amnesty International pernah lantang bersuara mempertahankan PAS di Malaysia. Contohnya, apabila pihak polis Malaysia menahan aktivis dan pemimpin politik, termasuk naib presiden Mohamad Sabu dan beberapa penyokong PAS, yang menunjuk perasaan di hadapan Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei 2009.

PAS tetap konsisten

Namun demikian, PAS tetap konsisten menyokong kerajaan Iran. Contohnya, PAS tetap membela program nuklear Ahmadinejad, walaupun program tersebut ditentang oleh Ayatollah Besar Hussein-Ali Montazeri di Iran. Malah, di Malaysia pun PAS tetap konsisten apabila menggesa pihak berkuasa untuk bertindak ke atas sesiapa yang menyoal atau mengkritik pelaksanaan undang-undang syariah.

Ya, sekarang memanglah jelas bahawa pendirian PAS konsisten tanpa mengira isu-isu di UK, Iran atau Malaysia. Menakutkan kerana benar. favicon


Shanon Shah menghormati PAS, tetapi hairan dengan pendirian parti tersebut tentang Islam, demokrasi dan hak asasi.

Baca ruangan Secubit Garam yang terdahulu

The Nut Graph memerlukan bantuan anda

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , ,

Comments are closed.

Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site