Categorised | Columns

Orang Kristian juga berjasa pada Islam

Krismas!

Hari Krismas menjelang tiba!

HARI Krismas menjelang tiba. Saya dapat merasakan kemeriahannya walaupun saya sedang berada di bandar Lumajang di Jawa Timur, yang jauh dari Jakarta. Di tepi-tepi jalan kelihatan ada yang menjual bahan-bahan perhiasan untuk pokok Krismas.

Memandangkan 90% penduduk bandar ini adalah orang Islam, maka saya pun bertanya pada pasangan suami-isteri Muslim yang agak berumur sama ada yang berniaga itu adalah orang Islam ataupun Kristian. Dengan santai mereka menjawab bahawa rata-ratanya, yang menjualnya adalah orang Islam. Dengan bangga mereka mengatakan Indonesia negara bebas dan asalkan berupaya, lakukan saja demi mencari nafkah yang halal. Jelas sekali, pada pandangan mereka, rezeki halal bermakna wang yang didapati dengan usaha yang baik, tidak kira sama ada usaha itu membantu orang Kristian pula untuk menyambut Hari Natal.

Di Malaysia pula, semakin hari orang Kristian kian disasarkan dan disyaki sebagai golongan yang berkomplot untuk menjatuhkah ummah. Kalau mengikut kenyataan-kenyataan daripada beberapa kumpulan Islam dan ahli politik, memang orang Kristian di Malaysia adalah musuh orang Islam dan para musliman dan muslimin patut berjaga-jaga sekiranya tidak mahu negara ini menjadi negara Kristian kelak.

Hidup bersamping dengan orang Kristian

Teman saya, Ellen Pitoi menceritakan bahawa di Manado, orang-orang Kristian akan membantu orang-orang Islam, seperti meminjamkan kereta mereka dan juga menjaga keamanan bagi memastikan masyarakat Islam dapat beraya dengan meriah dan aman. Begitu juga, orang-orang Islam akan melakukan hal yang serupa semasa orang Kristian menyambut Krismas.

Saya difahamkan sebelum konflik di Ambon, suasananya juga begitu. Namun, hasil kesedaran beberapa kelompok Islam dan Kristian di Ambon, wujud usaha-usaha untuk mengembalikan kerukunan antara masyarakat dan menolak permainan politik keras pihak tertentu.

Mengaji Quran

Mengaji Al-Quran (© hasim | sxc.hu)

Rakyat Malaysia juga haruslah sentiasa menghargai dan mementingkan hubungan baik antara masyarakat majmuk kita. Haruslah kita sedari bahawa hidup di dalam masyarakat yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama adalah merupakan rahmat dari Tuhan. Al-Quran jelas menyatakan bahawa Allah s.w.t. sengaja mencipta manusia dari berbilang kaum agar kita saling kenal-mengenal. Jangan pula semakin kita merasa lebih Islam, maka semakin pula kita merasa janggal bergaul dengan teman-teman bukan Islam dan semakin kita nak menuduh orang Kristian dengan pelbagai benda yang tak berasas.

Belajar dari bukan Islam

Kiyai Maman Imannul Haq, pemimpin  pesantren atau madrasah Al Mizan di Cirebon, Jawa Barat mengulas tentang hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang mengatakan bahawa sesiapa yang mengenal dirinya, mengenal Tuhannya.  Menurut beliau, kata-kata itu sebenarnya pernah diucapkan sebelum itu, iaitu oleh guru Plato yang bernama Hermes.

Sangat jelas bahawa Nabi Muhammad banyak belajar tentang peradaban dunia, politik, ekonomi, konflik-konflik social, malah tentang agama-agama lain, hasil dari interaksi sosial baginda dengan orang dari pelbagai suku dan agama, terutamanya orang-orang Yahudi dan Kristian.

Nabi Muhammad tidak pernah bersikap anti-Kristian atau anti-Yahudi.

Prosesi harjalu penyerahan kepada Raja Nararya Kirana di Lumajang (© Akhmad Ridwan)

Prosesi harjalu penyerahan kepada Raja Nararya Kirana di Lumajang (© Akhmad Ridwan)

Menghormati orang Kristian

Kiyai Maman juga menceritakan tentang sejarah kalimat “samiallahuliman hamidah” di dalam sembahyang. Kalimat itu mula diucapkan kerana Sayidina Ali yang lambat sembahyang di masjid kerana beliau diperlahankan oleh seorang Kristian yang sangat tua yang berjalan di depan beliau.

Sayidina Ali tidak berjalan mendahului orang tua itu kerana pada beliau, orang tua, walau apa pun agamanya, mesti dihormati. Akhirnya, apabila orang tua Kristian itu membelok ke kiri, barulah Sayidina Ali dapat melangkah laju ke masjid.

Rasulullah s.a.w. pun sengaja melambatkan sembahyang agar Sayidina Ali masih sempat berjemaah.  Maka, terucaplah kalimat itu iaitu “samiallah” yang bermaksud Allah Yang Maha Mendengar, dan “aliman hamidah” merujuk pada Ali sebagai orang yang memuji Allah.

Mengenang jasa baik orang Kristian

(© nkzs | sxc.hu)

(© nkzs | sxc.hu)

Nabi s.a.w. juga dengan rendah hati pernah meminta pertolongan orang-orang Kristian untuk mengajar orang-orang Islam menulis dan membaca.

Sejarah Islam sendiri menunjukkan orang-orang Islam Mekah di zaman Nabi s.a.w. pertama kali berhijrah mencari perlindungan dari kerajaan Kristian di Abissinia.  Nabi s.a.w. memerintahkan umat Islam yang dinaungi kerajaan Kristian itu agar menghormati dan turut sama melindungi negara itu.

Sebenarnya, sehingga kini pun, ramai orang Islam yang masih mencari perlindungan di negara-negara Barat, yang mana masyarakat dan pemimpinnya majoriti beragama Kristian atau rapat dengan tradisi Kristian. Hakikatnya, ramai orang Islam, malah termasuk yang mahu menegakkan “negara Islam”, apabila merasakan nyawanya terancam, lari mencari perlindungan suaka di negara-negara di Eropah dan Amerika. Antaranya termasuklah Imam Khomeini yang semasa pemerintahan Shah Iran, telah lari ke Perancis.

Maka, sepertimana orang Kristian harus menghargai dan berterima kasih pada orang Islam yang melindungi orang Kristian dalam keadaan dan sejarah tertentu, begitulah juga orang Islam juga harus menghargai dan berterima kasih dengan orang Kristian yang banyak juga membantu dan melindungi umat Islam yang tertindas.

Siapa itu kafir?

Pelajar-pelajar di pesantren Kiyai Maman di Cirebon dididik dari kecil agar memahami Al-Quran dengan cara pandang yang berbeza dari kelompok-kelompok aliran keras. Dari kecil mereka sudah diberi kefahaman bahawa perkataan “kafir” bukan bermaksud orang bukan Islam. Akan tetapi orang kafir bermakna orang yang melakukan kejahatan dan kezaliman seperti berlaku tidak adil atau menyakiti orang lain, merosakkan alam sekitar, dan menganiaya dan menghina perempuan.

Kiyai Maman mengingatkan bahawa Allah s.w.t. memperkenalkan diriNya sebagai “Rabbul Alamin” iaitu Tuhan untuk semesta alam, bukannya Tuhan untuk orang-orang Islam sahaja. Malah, menurut Kiyai Maman, Al-Quran tidak pernah mengatakan syurga itu hanya untuk orang-orang Islam saja. Al-Quran menyatakan syurga itu untuk orang-orang yang bertaqwa. Pada Kiyai Maman, taqwa itu adalah bersifat universal iaitu orang yang baik dan adil, yang beragama apa pun, layak masuk syurga.

Menolak tirani spiritual

Tarian kirab budaya

Tarian kirab budaya di upacara sambutan ulang tahun kota Lumajang yang ke-756 (© Akhmad Ridwan)

Sebenarnya saya ke Lumajang kerana diundang teman saya, A’ak Abdullah al Kudus, untuk menyaksikan upacara sambutan ulang tahun kota Lumajang yang ke-756. Pelbagai acara kesenian seperti nyanyian, tarian kebudayaan, pertunjukan fesyen, pencak silat, sketsa tentang sejarah kerajaan dahulu kala dan perarakan puluhan kuda berhias dijalankan. Kesemuanya ditontoni oleh semua lapisan masyarakat, yang muda dan yang tua.

Hati saya rasa sangat terharu dan kagum dengan semangat masyarakat di sini yang begitu meraikan dan mengangkat budaya dan tradisi agar tetap diamalkan dan dihargai sebagai sebahagian dari jati diri orang-orang tempatan. Saya kira penghargaan terhadap kebudayaan tempatan, walaupun kebudayaan itu mungkin tidak berasal daripada peradaban Islam, merupakan antara faktor penting dalam memastikan kerukunan di dalam masyarakat.

Saya yakin ramai rakyat Malaysia, terutamanya di kalangan generasi tua, yang merasa nostalgia mengingatkan keakraban dengan saudara-mara dan teman-teman dari bangsa dan agama yang berbeza. Saya sendiri ingat semasa saya kecil, ibubapa, abang dan kakak-kakak saya mempunyai hubungan yang sangat mesra dengan teman-teman Cina dan India. Mereka saling kunjung-mengunjungi, terutamanya semasa musim perayaan.

Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Kiyai Maman dan seorang paderi wanita Kristian bernama Emmy Sahertian bahawa agama menentang kezaliman. Tidak mungkin agama yang tujuannya untuk membawa rahmat pada sekelian alam, dilihat dari perspektif sempit yang menyebabkan permusuhan. Ibu Emmy mengingatkan bahawa biasanya tirani politik bermula dari tirani spiritual. Pada Kiyai Maman, penguasa agama yang menyebarkan kebencian dan permusuhan sebenarnya tidak yakin dengan dengan diri dan agama mereka sendiri.

Yang harus diajar adalah nilai-nilai yang baik dari semua agama yang kemudiannya diangkat menjadi etika dunia.  Ibu Emmy memberitahu bahawa orang-orang Yahudi juga turut mengucapkan “shalom alaikhem” dari bahasa Hebrew, mirip seperti ucapan “assalamualaikum”.

Akhir kata, semoga kita semua menghayati dan menghargai kalimat Allah s.w.t. di dalam Al-Quran ayat 2:62 dan juga 5:69 yang hampir serupa, yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang mu’min, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Shabiin (penyembah api), siapa saja yang benar-benar beriman kepada Tuhan, hari kemudian dan beramal baik mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada kekhawatiran kepada mereka, dan tidak mereka bersedih hati.”


Norhayati Kaprawi percaya agama seharusnya menjadi suatu tenaga untuk mencapai keadilan, demokrasi, perdamaian dan kerukunan masyarakat. Dia adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , ,

7 Responses to “Orang Kristian juga berjasa pada Islam”

  1. Main says:

    Menilai manusia merupakan intipati ajaran Islam, landasan yang digunakan sebagai kayu pengukur banyak terdapat dalam al-Quran dan hadith; cuma kita kena berhati-hati agar akidah Islam yang dipupuk dalam tidak dipengaruhi oleh rasa kemanusiaan tanpa panduan.

  2. Chandra says:

    Could this be translated to English for the benifit of those whose Bahasa is limited to the pasar level.
    Thanks.

    • RearViewMirror says:

      Hi Chandra, just cut and pasted to translate.google.com. By the way, I hope you are not a Malaysian; otherwise, it is time to really learn our national language. We all have a part to play in national unity.

      • KW Mak says:

        @ RearViewMirror

        National unity is more than just language, it is about how we as a people are willing to help each other overcome our disabilities without being condescending.

        We all have our strengths and weaknesses.

  3. Anony says:

    Satu-satunya agama yang diakui disisi Allah SWT, seperti yang dinyatakan dalam firman-Nya:

    “Inna Addin `inda Allah Al-Islam” – Surah Al-Imran ayat 19.
    Maksudnya: “Sesungguhnya agama yang diakui disisi Allah ialah Islam”.

    Ulasan: Taqwa merupakan ciri-ciri manusia yang akan dapat masuk Syurga. Namun berdasar ayat Al-Quran di atas, sebelum Taqwa, sudah tentu seseorang itu perlu kepada agama yang diredhai Allah iaitu yang menjadi syarat utama manusia dapat memasuki syurga Allah. Iaitu beragama Islam.

    Jadi tidak timbul isu semua agama seperti dalam artikel di atas dapat memasuki Syurga asalkan ia berbuat baik.

    Tapi yang penting, hanya Allah sahaja yang berhak menentukan siapa yang dapat masuk syurga-Nya. Wallahu `alam.

  4. grace peace says:

    Rearview mirror, I totally second KW Mak. There are many kids in our country who’ve grown up with and scored distinctions in the national language but still feel alienated from the country they were born and bred in. They cannot escape a feeling of alienation and rejection from hurtful remarks against them, not to mention the perceived denial of opportunity because they are non-bumiputera. Surely, rearview mirror, this works against mutual acceptance, which is an essential first step to unity.

  5. Ed says:

    Chandra, some may not be aware that there are Malaysians who travel extensively to work in different nations, akin to global citizens but with firm roots in Malaysia – hence being less fluent in Bahasa. No worries, we’ll survive as a multilingual [people]. In any culture, or nation, it is character that sets one apart, along with understanding and acceptance of others, not solely the language itself.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site