Categorised | Columns

Nasihat tentang golongan songsang

PENING kepala saya baru-baru ini bila tercetus huru-hara tentang “pesta seks bebas” yang kononnya diadakan di Kuala Lumpur. Mula-mula saya rasa mustahil ada orang berani berbuat demikian di tengah-tengah bandaraya KL, tapi hari demi hari ada saja berita tentang golongan “songsang” dan “luar tabii” yang mengangjurkan pesta ini.

Lalu saya pun cuba mengetahui dengan lebih lanjut tentang isu ini, dan terjumpa pula nasihat terbaru daripada kolumnis tersohor, Kak Nora. Walaupun tidak berkaitan secara langsung dengan kontroversi terbaru ini, saya rasa ada juga isi yang bernas dalam hujah Kak Nora.


Assalamualaikum Kak Nora,

Adam Lambert

Adam Lambert (Wiki Commons)

Tahniah kepada akak kerana sentiasa memberi nasihat dengan cara yang santai tapi sampai. Tapi saya minta maaf dulu, kerana saya agak keliru dengan pendirian akak untuk sesetengah isu. Contohnya, akak nampaknya suka menghalalkan hubungan sejenis, sampai sanggup mempertahankan liwat, Adam Lambert dan lelaki lembut. Bukankah perbuatan mereka ini semua tergolong dalam kategori “luar tabii” atau “songsang”?

Saya tanya bukan untuk memerangkap akak. Contohnya, saya sendiri ada seorang teman perempuan yang saya kenal dari zaman remaja lagi. Sekarang kami sudah menjangkau umur 30-an, namun dia masih belum berkahwin. Asyik mengejar karier sebagai penggiat seni. Sebagai seorang ibu, saya rasa kesian juga dekat ibu bapa dia — tidakkah mereka risau melihat anak dara mereka terumbang-ambing begini?

Dan saya lihat, ini semua bermula apabila dia mendengar lagu Annie Lennox pada dekad 1990-an. Astaghfirullah, kak, Annie Lennox ni pun lesbian, kan? Cuba dengar lagu popular dia, Norma I Love You. Siapa Norma? “Norma” nama perempuan, bukan lelaki! Kenapa dengan beraninya Annie Lennox menyanyi sebegini? Itulah kak, saya rasa kita sepatutnya mengelakkan budaya Barat. Sekarang saya risau tentang kawan saya — adakah dia juga terperangkap di dalam lembah kehinaan seperti Annie Lennox? Sebab itukah dia masih tidak berkahwin dan berani menghadapi jalan mati sebagai seorang seniwati di Malaysia?

Ning Baizura (© anuarsalleh | Flickr)

Ning Baizura (© anuarsalleh | Flickr)

Saya pun menyesal, kenapa saya tidak cuba mengubah citarasa kawan saya ketika zaman remaja? Contohnya menyuruhnya mendengar lagu-lagu artis tempatan yang meletopz ketika itu seperti Feminin, Fauziah Latiff, Ning Baizura dan Ramlah Ram.

Apakah nasihat akak tentang isu ini? Saya hanya mahu mencari kepastian.

Normala Jantan

Sungai Petani


Waalaikumussalam cik Puan Normala,

Terima kasih atas pertanyaan cik puan. Mula-mula sekali, akak nak jelaskan satu perkara yang penting. Akak tidak menghalalkan perbuatan-perbuatan yang disebut oleh cik puan. Tapi cik puan kena faham, akak juga tidak suka kalau sesiapa saja dianiaya hanya disebabkan oleh prasangka buruk kita sendiri. Cik puan mungkin rasa ini satu kontradiksi, tapi bagi akak tidak. Kalau akak nak huraikan di sini, nanti sampai besok pun akak tak habis menulis. Jadi akak biarkan di sini dulu.

Di sini akak nak kongsi sikit benda lucu. Akak ada seorang anak saudara yang terlalu comel dan gebu, namanya Adam. Baru belajar berkata-kata. Tempoh hari, masa Raya Haji, akak pun memakai baju kurung dan tudung baru. Tapi bila Adam melihat akak, terus dia menuding jari ke arah dada akak dan berteriak, “Songsang!”

Satu keluarga kami terpinga-pinga. Mr Macho, suami akak, memandang semacam saja ke arah akak. “Tidak abang, Nora memang bukan dari golongan songsang!” Tapi Adam berdegil dan menjerit dengan lebih kuat, masih menuding jarinya, “Songsang!” Akak pada masa ini sudah buntu, dan memandang-mandang payudara akak sendiri — mungkinkah bengkak sebelah atau jatuh sebelah lagi?

Kemudian baru akak faham. “Oh, Adam suka kerongsang Mak Ngah, ye?” Adam ketawa dan berlari-lari. Lega hati akak. Akak pun mengejar Adam dan mencium-ciumnya sampai puas. Kemudian akak terfikirlah pula. Mungkinkah Adam betul? Mungkinkah akak pun hampir-hampir songsang? Cuba cik puan tengok, akak sudah berapa tahun berkahwin dengan Mr Macho, tapi kami masih tidak mempunyai anak. Bagi sesetengah orang, memang kaum Hawa dilihat sebagai tidak lengkap kecuali jika mereka menjadi ibu.

Dan ramai yang memaksa akak untuk menerangkan dengan panjang lebar, kenapa akak masih belum menimang cahaya mata. Seolah-olah mereka mahu kesian dekat akak, atau ingin mengetahui jika akak yang sendiri mengundang keadaan ini. Justeru, bolehlah mereka menilai, malah menghukum akak dengan kata-kata.

Nah, bagi akak, perangai yang sebegini tidak ubahlah seperti orang yang suka melemparkan tohmahan dan tuduhan terhadap golongan yang dianggap “luar tabii” atau “songsang”. Sebenarnya akak tidak kesian terhadap kawan cik puan. Mungkinkah dia bahagia tidak berkahwin dan bergiat dalam bidang seni? Apakah yang menyebabkan cik puan terlalu obses dengan kehidupan peribadi dan keputusan profesionalnya? Akak sendiri tak kisah. Jodoh di tangan Tuhan. Bab kariernya pula, mungkinkah ini rezeki dan kurniaan Allah terhadapnya?

Inilah yang merisaukan akak apabila pelbagai pihak lantang bersuara mengutuk dan mengugut golongan yang dituduh “luar tabii” dan “songsang”. Sebab nanti terlalu cepat kita menaruh prasangka buruk antara satu sama lain. Bukan saja menaruh prasangka, malah mudah sangat menjaga tepi kain orang. Ya, akak tahu, ada pihak yang dengan bangganya melaungkan “identiti” mereka yang unik, walaupun bercanggah dengan nilai majoriti. Tapi kalau kita tak suka, kita buat tak endahlah saja. Atau cakap kita tak setuju, tak payah mengugut macam-macam. Atau kita boleh cuba mendengar betul-betul, apa sebenarnya yang mereka cuba sampaikan.

Kita balik kepada contoh Annie Lennox tadi. Lagunya bertajuk No More I Love You‘s, cik puan. Akak pun suka lagu ini sebenarnya. Kadang-kadang bila nak bergurau dengan Mr Macho, akak nyanyikan beberapa rangkap. Bila akak buat macam tu, naiklah pula semangat machonya, hikhikhik.

Tapi akak tak salahkan cik puan. Ha, ni cik puan kan orang Kedah, mesti cik puan faham. Akak ada kawan dari Kedah. Mula-mula bila dengar lagu Desy Ratnasari dia kata, “Eh, awatlah artis Indonesia loqlaq sangat? Dia nyanyi lagu Spenda Biru!” Akak suruh dia bertenang. “Hoi, ting tong! Tajuk lagu tu Tenda Biru lah!” akak jawab. Berdekah-dekah kami ketawa. Ini pun lagi satu teladan, bukan? Biar kita betulkan fakta kita dulu sebelum membuat apa-apa tuduhan. Kalau tidak nanti jadi fitnah.

Salam ikhlas dan nakal,

Kak Nora. 

favicon


Shanon Shah pernah mewawancara rakyat Malaysia beragama Islam yang diugut, dicaci dan dibelasah oleh orang yang seagama kerana dipandang sebagai “pondan.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , ,

2 Responses to “Nasihat tentang golongan songsang”

  1. Assalamualaikum Kak Nora. Saya suka dengan pandangan Kak. Saya hanya nak memperbetulkan normala jantan yang lagu dinyanyikan Annie Lennox itu bukannya Norma I Love You tapi No More I Love You. Jadi jangan terus jump to the conclusion menyatakan yang orang itu lesbian ataupun sonsang yer kalau tiada bukti, lagipun dia ni di luar negara dan normala dekat Malaysia… jauh benar tu nak nampak dengan mata normala sendiri. Kalau normala ni seorang Islam tak mungkin normala berani memfitnah seorang manusia yang sestatus normala, iaitu manusia jugak cumanya dia bukan Islam. Jadi jangan la senang-senang nak serahkan diri ke dalam lobang neraka yang dikhaskan oleh Allah untuk orang yang suka memfitnah. Jadi nasihat saya normala fikir masak masak sebelum mengeluarkan kata-kata atau pendapat. Laknatullah bukan hanya untuk orang songsang sahaja, tetapi untuk orang yang suka menghina, memutuskan silaturahim dan memfitnah (dosa yang amat dasyat sekali). Sekian terima kasih.

    • Pembaca Sampai Habis says:

      Ini kes tak baca artikel sampai habis la ni. Hai, Nabil, hang baca tak sampai habis? Hahahaha!


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site