Categorised | Columns

Nasihat tentang filem hantu

Eeee, seramnyeeee! (sgi / sxc.hu)

Eeee, seramnyeeee! (sgi / sxc.hu)

SEBAGAI peminat pementasan teater The Woman in Black, berdasarkan novel oleh Susan Hill, saya pun tergedik-gediklah mencari maklumat terkini tentang adaptasi filem yang dibintangi Daniel Radcliffe. Entah bagaimana, terpesong pula dan terus khusyuk membaca nasihat terbaru daripada kolumnis pujaan ramai, Kak Nora. Ikuti pendapatnya tentang fenomena filem hantu.

Assalamualaikum Kak Nora,

Wassup, kak? I’m not the very good in the writing bahasa yang flower-flower, so sebelum apa-apa I’m the minta maaf dulu. Anyway, I’m the filmmaking student yang nak menceburi bidang pembikinan filem di Malaysia. My ambitions is one day I’m going to be the world-class filem director.

Ini masalahnya kak. Saya baru ditawarkan kerja sambilan untuk membantu dalam set pembikinan filem hantu berbajet besar, Klip 3GP Ibu Mertuaku Pontianak Maksima. It a really good jobs, kak, and will gives me lot of experiences and skills. Tapi sekarang saya susah hati pula, sebab ramai yang sedang memperkatakan aspek negatif cerita hantu dan tahyul.

Sebagai seorang Islam, saya tak tahu macam mana nak respond. Betul, kak, sebagai orang Islam kita perlu beriman sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Tapi saya bagi contoh, kak – datuk kepada sepupu girlfriend kawan saya ada ternampak hantu, baru bulan lepas, dekat dengan KLCC. Ceritanya agak seram, kak, dan saya tak berani mengupas dengan lebih lanjut di sini. My points is, bukankah itu bermakna bahawa filem hantu memaparkan benda yang benar dan wujud?

Dilema saya sekarang amatlah besar. Saya tak nak terjebak dalam industri yang dituduh memesongkan akidah umat Islam dan meracuni pemikiran berasaskan sains. Pada masa yang sama, saya tetap tertarik dengan pembikinan filem hantu. Selain potensi gaji lumayan, it also a chance for me to kaji fenomena yang sebelum ini meninggalkan tanda tanya.

Atau mungkinkah alternatifnya saya kena tukar arus dan bekerja dalam bidang teater muzikal berbajet besar? Please help  me, kak.

Harun Zaidin
Kampung Pandan


Waalaikumussalam adik Harun,

Pertama sekali, akak ucapkan tahniah kepada adik kerana berjaya mendapat kerja sambilan untuk filem Klip 3GP Ibu Mertuaku Pontianak Maksima. Bukan senang nak mendapat jawatan sebegitu sebagai student, jadi akak tumpang berbangga bagi pihak adik.

Sebenarnya, berterus-terang, akak juga meminati filem seram. Tapi akak jenis yang susah nak ditakutkan. Masa akak tengok filem Santau itu hari, memang akak rasa ceritanya best. Tapi rupa-rupanya hubsen akak, Mr Macho, yang naik bulu roma. Akak selamba je layan sambil makan popcorn.

Tapi ada filem yang betul-betul menakutkan akak, contohnya Ring, versi Jepun. Ya Allah, lepas akak tengok filem tu, akak tak tutup lampu bila tidur for one week dan akak alihkan muka televisyen ke arah dinding. Even lepas akak tengok versi Hollywood pun akak masih seram. Sekarang akak tengah curious – kenapa ye akak rasa seram sangat tengok filem ni?

Mungkin sebab masa tu akak bekerja sebagai wartawan, dan watak utama Ring pun bekerja sebagai wartawan. Tambah-tambah masa filem tu keluar pada tahun 1998, dunia tengah ting tong, dan masa itulah juga Malaysia mengalami kegawatan politik dan ekonomi. Dan masa itu jugalah akak terpaksa belajar menggunakan pelbagai teknologi baru – emellah, telefon bimbitlah, macam-macam.

Dik, mungkin itulah sebabnya sesetengah filem hantu menjadi sangat fofular. Sebab ianya berkait rapat dengan kesangsian dan kepincangan kita sendiri sebagai individu yang sentiasa menghadapi cabaran hidup. Contohnya, bukannya akak pernah ternampak sendiri hantu Jepun, tapi akak masih takut bila menonton Ring oleh sebab pengalaman hidup akak sendiri ketika itu. Itulah nilai seni di sebalik filem hantu – ia boleh membantu kita menuturkan ketakutan kita tanpa banyak berkata-kata.

Tapi sekarang, ada yang berkata bahawa industri perfileman Malaysia dibanjiri dengan cerita hantu dan tahyul yang meracuni minda orang ramai. Setahu akak, pada dekad 1960-an dan 1970-an, industri perfileman Barat juga dibanjiri dengan filem hantu dan tahyul, contohnya The Exorcist, Rosemary’s Baby dan The Omen. Ini semuanya kisah seram yang bertema hantu dan tahyul.

Bukankah ini satu fenomena yang menghairankan? Negara-negara Barat, yang kononnya maju dalam bidang sains dan teknologi pada ketika itu, juga tergila-gilakan filem hantu dan tahyul. Malah, Jepun dan Korea Selatan yang maju dalam bidang sains dan teknologi juga nampaknya minat dengan filem hantu dan tahyul sejak dekad 1990-an.

Jadi pada pendapat akak, mungkin kita kena alih fokus sikit bila memikirkan isu filem hantu dan tahyul. Bukannya untuk senang-senang menuduh pembikin atau penonton filem hantu sebagai meracuni minda dan akidah. Sebaliknya, kita perlu melihat, dari sudut sosial, kenapa begitu ramai rakyat Malaysia yang semakin hari semakin terdedah kepada perkembangan teknologi terkini juga semakin minat dengan filem tahyul?

Poster filem hantu 'The Woman in Black'

Ada kajian sosiologi yang menunjukkan bahawa minat terhadap kepercayaan tahyul dan hantu meningkat apabila masyarakat menghadapi cabaran baru dalam proses modenisasi. Ada pihak tertentu yang berkata bahawa ini sekadar reaksi yang menentang arus perkembangan sains dan teknologi.

Tetapi dari sudut sejarah dan kajian sosial, kita juga dapat melihat bahawa perkembangan sains dan teknologi di Barat dan juga negara-negara lain sering bercampur-aduk dengan kepercayaan tahyul dan hantu. Menurut Edward Tiryakian, perkembangan dalam bidang perubatan moden misalannya berpunca daripada minat masyarakat terhadap bidang astrologi, Zodiak dan sebagainya.

Akak tak mahu membuat kuliah sains sosial di sini, namun akak rasa persoalannya bukanlah “Adakah filem seram meracuni minda dan akidah rakyat Malaysia?”, atau “Adakah Malaysia dibanjiri filem seram?” Sebaliknya, mungkin kita perlu bertanya, “Memandangkan Malaysia merupakan negara yang menekankan perkembangan sains dan teknologi dan juga memperkasakan undang-undang Islam, mengapakah masih ramai rakyat Malaysia terlalu minat dengan filem hantu dan tahyul?” Mungkinkah kita semua dihantui sesuatu yang tidak mampu diberikan nama, yang hanya boleh diungkapkan melalui filem seram?

Dan di sini, akak bersetuju bahawa kita perlukan kajian ilmiah yang lebih mendalam untuk memahami fenomena kefofuleran filem hantu dan tahyul, sama ada di Malaysia atau di negara-negara lain. As for you, dik, just do your best. Kalau adik yakin kerja yang ditawarkan itu halal dan mampu memberi manfaat kepada adik, akak rasa adik bolehlah membuat keputusan dengan hati yang tenang.

Salam ikhlas lagi nakal,

Kak Nora


Shanon Shah tiba-tiba minat mendalami fenomena kefofuleran terbaru filem hantu di Britain.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , , ,

Comments are closed.

Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site