Categorised | Columns

Nasihat Kak Nora tentang poligami

KALI ini, saya mahu muatkan di sini nasihat penulis kegemaran saya dari laman Malaysiabegini.com tentang isu yang sangat relevan bagi wanita beragama Islam di Malaysia — poligami.

Sebenarnya, saya tengah curi tulang tempoh hari dan cuba mencari maklumat tentang filem Iron Man 2 yang dibintangi oleh Robert Downey Jr. Tiba-tiba tersesat pula ke kolum Kak Nora. Namun, saya tidak kecewa.


Ke hadapan kakanda Nora yang ayu lagi bijaksana, assalamualaikum.

Kak Nora yang dikasihi, kakak (kandung) saya kini sedang mencipta nama sebagai artis fofular tanahair. Saya lihat dia sungguh berbakat di samping mempunyai raut wajah yang begitu anggun (tetapi tidak seanggun saya sebagai adik remajanya).


Robert Downey Jr (© Edgar Meritano | Flickr)

Namun, baru-baru ini, dia mula menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin. Lelaki ini memang ada pangkat, nama dan harta, Kak Nora. Tetapi setelah berkali-kali saya menyoal kakak saya, dia akhirnya mengaku bahawa isteri pertama lelaki ini tidak tahu tentang hubungan mereka. Walaupun begitu, lelaki ini tetap mahu mengambil kakak saya sebagai isterinya yang kedua!

Saya menghadapi dilema yang terlalu pedih sekarang, Kak Nora. Saya tahu poligami itu merupakan suatu amalan yang halal di sisi Islam, tetapi saya tidak tahu kenapa saya merasa gelisah semacam apabila memikirkan situasi ini. Mungkin kerana sebelum ini saya sangatlah berharap supaya kakak saya akan berkahwin dengan Robert Downey Jr satu hari kelak. Tapi kalau kakak saya nak berpoligami di Malaysia, bukankah saya pula yang berpeluang untuk sapu Abang Downey?

Payung Emas

Subang Jaya


Waalaikumussalam, wahai adindaku yang anggun lagi prihatin.

Akak sekarang pun menghadapi dilema dalam menjawab pertanyaan adik. Sebab adik kata kakak adik memang anggun (tapi tak seanggun adik), tapi adik kena ingat — akaklah yang paling anggun antara semua! Faham? “Mirror, mirror on the wall…!” Faham!

Bergurau, dik, akak bergurau. Sebenarnya dilema akak ini lebih kurang sama dengan dilema adik. Akak pun tahu poligami itu halal dalam Islam. Tapi dalam rumahtangga akak sendiri, memang akak tak pernah terdesak mempertimbangkan isu seperti ini.

Suami akak — nama glamournya Mr Macho — memang tak banyak komen tentang isu macam ini. Dia jurugambar fropesional, jadi bagi dia, “A ficture faints a thousand words.” Tapi akak boleh agak jugalah pendirian dia sebagai suami, sebab ada sekali kami telah menghadiri kenduri kahwin anak perempuan jiran kami. Lepas kenyang menjamah nasi minyak, kami berbual-buallah sekejap dengan jiran-jiran yang lain.

Yang lelakinya semua pakat berjenaka tentang betapa seronoknya kalau dapat berkahwin dengan isteri kedua, ketiga atau keempat. Kononlah mereka “berupaya” menjalankan tanggungjawab sebagai suami dalam keadaan tersebut. Lalu mereka bertanya terus-terang kepada Mr Macho, depan-depan muka akak, “Engkau bahagia kalau ada berapa orang bini?” Mr Macho memandang akak sejenak dan menjawab, “Separuh.”


Kak Nora dengan Mr Macho

Dia ingat kelakar, tapi malam itu apabila dia nak melaksanakan tanggungjawab untuk beroleh anak, akak pun bekerjasama separuh jalan sajalah. Kan dia sendiri yang minta?

Tapi itu gurau senda antara suami isteri yang penyayang seperti kami, dik. Kalau adik nak jawapan yang serius, akak syorkan supaya adik menghayati dengan lebih mendalam teladan dan akhlak Rasulullah s.a.w. Benar, baginda telah berpoligami, tapi kita kena kaji: apakah ciri-ciri poligami yang diamalkan?

Adakah baginda berkahwin dengan artis muda yang gebu lagi seksi, atau dengan wanita yang memerlukan bantuan dan perlindungan sesuai dengan keadaan zaman tersebut? Adakah baginda lebih suka menayang isteri yang muda, atau benar-benar berlaku adil kepada semua isterinya dalam semua aspek? Dan adakah baginda pernah berkasar terhadap mereka, atau menghormati segala hak dan maruah mereka?

Apabila membincangkan sunnah Rasulullah, kita juga seolah-olah lupa bahawa perkahwinan pertama baginda, dengan Siti Khadijah, merupakan hubungan monogami sehinggalah Khadijah meninggal dunia.

Mr Macho baru membaca skrin laptop akak dan menyampuk, “Nasihat atau khutbah ni?” Akak menjawab, “Awak pula, betul-betul macho atau kontrol macho ni?”

Tapi akak faham maksud Mr Macho sebenarnya. Tak berguna jika akak hanya memberikan teori kepada adik. Biarlah akak senaraikan di sini beberapa pro dan kontra berpoligami, supaya adik dapat membawanya untuk pertimbangan kakak artis adik yang anggun itu:

  Umur suami


Menurut formula saintifik! (© morguefile.com)
Jika bakal abang ipar adik sudah tua, maka ini mungkin merupakan satu peluang keemasan bagi bakal isterinya. Ini menurut formula saintifik:

Suami X (Tua + Kaya) = Isteri tidak perlu tunggu lama untuk mewarisi harta peninggalannya.

Jadi, adik tidak perlulah risau tentang kestabilan kewangan kakak adik, dan sebagai balu muda dia pula masih berpeluang untuk mencari suami baru. Untuk memastikan kejayaan formula ini, kakak adik bolehlah melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dengan menghidangkan pelbagai makanan berkhasiat untuk suaminya, seperti lauk masak lemak, rendang, goreng pisang, pulut dan serawa durian.

  Aspek asmara

Ini berkait rapat dengan status umur dan kesihatan bakal abang ipar adik. Sebab status ini mungkin akan menjimatkan tenaga dan masa isterinya menurut formula saintifik berikut:

Kekerapan isteri melaksanakan tugas berahi = 1/(Umur suami X Taraf kesihatan suami)

Tapi formula ini tidak mampu memberikan gambaran yang sepenuhnya tentang aspek ini. Contohnya, kalau suami sudah tua dan kurang sihat, isteri muda perlu mempertimbangkan tahap “usaha” yang sesuai. Kalau terlebih ting tong, suami mungkin mati; kalau tak cukup ting tong, isteri yang mungkin tidak puas. Tapi kalau suami muda, dan semua isteri asyik nak ting tong, pun akan menimbulkan kesusahan. Fikir-fikirkanlah.

 3   Pandangan masyarakat

Di Malaysia, masyarakat sudah lali mendengar berita tentang tokoh politik atau korporat lelaki yang berkahwin dengan artis perempuan muda. Bergantung kepada keadaan, artis perempuan seperti ini pula mungkin dicap sebagai “perampas” atau dilihat sebagai Muslimah yang bertanggungjawab. Ini pula mengikut formula saintifik:


Justin Bieber (© Kerosene
Photography | Wiki Commons)
100% – (penghormatan masyarakat terhadap lelaki)% = Penghormatan masyarakat terhadap wanita, dalam peratus.

Tapi ini semua bukan masalah adik. Akak tahu, adik sebenarnya mencari peluang saja untuk merampas Robert Downey Jr. Bertaubatlah adik. Adik masih remaja, sedangkan Robert Downey Jr sudah berumur 45 tahun. Adik lebih sesuai mencari jodoh dengan Justin Bieber dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. You laiks?

Salam ikhlas dan nakal,

Kak Nora

Favicon


Shanon Shah tidak dapat mengesahkan kebolehpercayaan formula saintifik yang digunakan oleh Kak Nora.

Baca ruangan Secubit Garam terdahulu

The Nut Graph memerlukan bantuan anda

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , ,

11 Responses to “Nasihat Kak Nora tentang poligami”

  1. Ming Hock Chai says:

    I wish Kak Nora is real. Is she/he?

  2. lils says:

    This is the 2nd time I’ve read this Kak Nora article – cracks me up!!! :D Thanks for some lighter moments amid all the glum-drum news. Cheers!

  3. Azmi says:

    Wow, Kak Nora funya formula saintifik, fantastik.

  4. Pragalath says:

    Thanks for the light take on a heavy issue.

  5. Farouq Omaro says:

    Mereka yang mengamalkan poligami lupa betapa sakitnya perasaan anak-anak! Anak-anaklah mangsa paling teruk dalam poligami dalam 90% kes! Perkahwinan sepatutnya antara dua orang insan yang saling kasih mengasihi dan ikatan ini adalah sesuatu yang suci dan bukan diduakan atau ditigakan. Kerana inilah yang membezakan manusia dari binatang!

  6. plenteh says:

    I am a new fan of Kak Nora! :D

  7. Ida Bakar says:

    Lagi satu formula:

    Kebahagian sebagai isteri baru = (1 / (ke’garang’an madu satu x ke’garang’an madu dua x ke’garang’an madu 3)

  8. Nadia Ali says:

    Setuju dengan Farouq. Kadang-kadang kawin sampai 4, anak bersepah-sepah, nama pun tak ingat…what’s the point?

  9. Ellese A says:

    Just a slight suggestion to the Asmara formula-

    Masa ting tong = 1/(umur x kesihatan) x 1/(no isteri)

    Masa ting tong should be reduced proportionately with more wives. It’s advisable that to assume number of wives is 4 (or more) to take into account future potential. This is a case where once bitten twice, thrice etc is not shy. By assuming the number four you have a more realistic expectation and will be less dissappointed.

  10. reformist101 says:

    Bila Kak Nora nak bukak Facebook & Twitter?

    (Me like this)

  11. Mina says:

    Not everyone really knows the meaning behind polygamy. Bila gelora mula mengganas akal jadi cetek untuk berfikir. Rasa boleh beri keadilan kepada yang sedia ada mahupun anak-anak, tetapi tidak semudah itu…tanyalah kepada yang sewaktu dengannya, keluh kesah yang nampak nyata. Yang kira berjaya pun kena berusaha siang malam, pagi petang kalau tidak Hirosima meletup lagi.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site