Categorised | MP Watch

Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang)



(Source: parlimen.gov.my)

RANTAU Panjang Member of Parliament Siti Zailah Mohd Yusoff’s response to the MP Watch: Eye on Parliament project, which asks all 222 MPs six questions.

Name: Siti Zailah Mohd Yusoff
Constituency: Rantau Panjang

Party: PAS
Years as MP:
2000-2006 (Dewan Negara Senator)
2008-

Government position: None

Party position:
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

Membership in parliamentary committees or caucus: None

Blog/website: http://sitizailah.blogspot.com


1

Adakah anda menyokong pemansuhan atau kajian semula terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), terutamanya fasal yang membenarkan penahanan tanpa bicara? Kenapa?

ISA adalah akta yang menyekat hak asasi manusia. Bagaimana rakyat boleh ditahan tanpa mengetahui apa kesalahannya dan tanpa dibuktikan?

Saya melihat banyak isu sosial kesan dari pelaksanaan ini. Pertama sekali, kita lihat tidak wujudnya keadilan apabila seseorang itu ditahan tanpa mereka dibuktikan bersalah. Yang kedua, yang menjadi mangsa ialah isteri dan anak-anak. Isteri dijandakan dan anak diyatimkan tanpa mengetahui bila akan keluar ayah dia, dan tanpa sebab. Ini memberi kesan terhadap pendidikan dan masa depan keluarga itu sendiri.

Jadi saya berharap kita menuju kepada negara demokrasi yang benar-benar menghormati suara rakyat dan hak kebebasan. Maka saya harap akta ini dikaji balik dan sekiranya tidak dapat memberi keadilan kepada rakyat, saya cadangkan akta ini dihapuskan terus.

2 Patutkah Malaysia menjadi sebuah negara Islam atau sekular? Kenapa? 

Kita memerlukan sebuah negara yang dapat memberikan keadilan kepada semua pihak. Dan kita melihat bagaimana negara kita sudah ditadbir selama lebih dari 50 tahun ini dengan satu dasar sekular, dasar yang ada sekarang, yang memisahkan agama dan pentadbiran. Kita melihat berbanyak-banyak perbincangan yang sedang berlaku.

Jadi pada pandangan saya, tidak kiralah apa nama yang kita hendak sebut, [sama ada] negara kebajikan [atau] negara keadilan [dan sebagainya]. Yang pentingnya negara yang kita hendak wujudkan adalah negara yang boleh memberi keadilan dan kebajikan kepada semua pihak dan dapat menjadi penyelesaian terhadap semua masalah [serta] tempat pergantungan rakyat.

Kita tidak mahu negara kita hanya menjadi satu negara yang mengambil satu pihak sahaja. Contohnya yang ada sekarang, satu pihak yang mendapat kekayaan, habuan, kroni-kroni tertentu, tapi satu pihak yang lain terus berdepan dengan tekanan ekonomi dan sebagainya. Jadi bagi saya, nama [negara] itu tidak [memberi] masalah, yang penting adalah sebuah negara itu memberi kebajikan kepada rakyat.

3Yang manakah tugas utama anda sebagai seorang Ahli Parlimen? Adakah Parlimen menyediakan infrastruktur dan sumber yang mencukupi untuk memenuhi tugas ini? 

Tugas sebagai Ahli Parlimen sebenarnya cukup luas dan banyak. Bukan saja kita membawa isu-isu ke Parlimen, kita juga adalah penghubung antara kerajaan dan rakyat dan pada masa yang sama kita [menjadi] tempat aduan rakyat. Di sini timbullah satu masalah apabila Ahli Parlimen tidak dilayan dengan layanan sama.

Ahli Parlimen [Pakatan Rakyat (PR)] tidak diberi peruntukan walaupun satu sen. Contohnya dalam kawasan saya sendiri, [saya] berdepan dengan banyak isu berkaitan dengan kepentingan rakyat [dan] infrastruktur. Sebagaimana yang terbaru, saya membuat soalan kepada Jabatan Perdana Menteri berkaitan isu peruntukan khas untuk setiap MP. Sepatutnya yang kita dapat [ialah] RM500,000 tetapi kerana kita Ahli Parlimen pembangkang kita tidak diberi satu sen.

Duit RM500,000 ini disalur melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan untuk kawasan Rantau Panjang. [Tetapi] rupa-rupanya untuk tahun 2009, RM480,000 dari [jumlah] RM500,000 ini digunakan untuk sumbangan kepada badan bukan kerajaan (NGO). RM9,500 sahaja untuk infrastruktur, sedangkan di kawasan saya sendiri ada banyak jambatan yang uzur dan jalan yang rosak, dan banyak keperluan sekolah.

Maknanya, sepatutnya RM500,000 yang disalurkan diletakkan keutamaan kepada infrastruktur untuk keperluan rakyat. Tetapi diberi sumbangan kepada NGO, dan saya yakin sumbangan ini [secara tidak langsung untuk manfaat] Umno dan Barisan Nasional. Siapa yang menjadi juruaudit kepada peruntukan, dan yang bertanggungjawab supaya peruntukan ini betul-betul untuk kepentingan rakyat? Inilah bagi saya cabaran sebagai Ahli Parlimen — apabila kita tidak mampu melaksanakan tugas kerana halangan-halangan yang dibuat oleh parti pemerintah sendiri.

4Adakah anda akan menyokong penggubalan satu Akta Kebebasan Maklumat? Kenapa?

Ya, saya sokong penggubalan akta ini. Bagi saya, kebebasan maklumat itu perlu [walaupun kita memerlukan] strategi untuk menjaga keselamatan negara, tetapi jangan [kita dihalang] mendedahkan perkara yang sebenarnya.

Seperti contoh, Apco atau isu-isu yang hangat sekarang yang melibatkan kepentingan negara. Sekiranya perkara ini tidak ditegur dan didedahkan, maka rakyat akan terus tertipu dan kita sendiri sebagai pimpinan tidak dapat memainkan peranan untuk menyekat apa-apa sahaja yang akan menjejaskan kepentingan negara. Bagi saya, dari segi penggubalan akta ini kita kena melihat sama ada ia boleh menjaga kepentingan negara itu sendiri dan bukan pihak-pihak yang ada kepentingan.

5Kalau anda hanya boleh melakukan satu langkah untuk mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen, apakah langkah itu?

Kita mempunyai pelbagai parti politik. Bagi kami di bawah parti PAS, kita memanfaatkan sistem demokrasi yang ada dan mengambil jalan damai dan tidak menggunakan jalan kekerasan, [berpatutan dengan amalan] sistem pilihanraya di Malaysia. Maknanya, kita menggunakan saluran sistem pilihanraya untuk menyuarakan hak rakyat.

Bagi saya, [untuk] mengukuhkan sistem demokrasi di Parlimen, caranya ialah [supaya] sistem pilihanraya itu diadakan dengan telus. Kita tidak mahu ibarat satu permainan bola sepak, kita main di padang tidak rata. Pihak kerajaan di tempat yang tinggi dan pihak pembangkang di tempat cerun, dan gol [mereka] luas [manakala] gol kita sempit.

Kita lihat banyaklah nama-nama pengundi yang mati dan belum dibersihkan, pengundi pos yang namanya bertindih [dalam daftar pemilih]. Kita lihat kes sebelum ini di Terengganu ada satu nama, namanya di sembilan tempat. Inilah satu penyelewengan, penipuan. Untuk kita mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen ini kita perlu kembali kepada sistem keadilan sebenar. Kita lihat sistem demokrasi yang di Barat, contohnya, mereka lebih telus. Contohnya, apa yang dibuat dalam negeri lain, seperti penggunaan cat dakwat tangan, tapi [sistem] dakwat itu tidak digunakan di sini.

6Adakah anda berpegang kepada pengasingan kuasa antara kerajaan, Parlimen, dan mahkamah? Kenapa?

Kalau kita lihat antara Parlimen, kerajaan dan mahkamah, seharusnya, saya bercadang supaya kerajaan betul-betul mempunyai peranan sebagai pemerintah, dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Dan Parlimen adalah tempat menapis suara rakyat [manakala] mahkamah adalah satu institusi untuk mempertahankan keadilan bagi semua pihak.

Dan apa yang kita lihat sekarang ini, tidak ada pengasingan kuasa [yang sepatutnya]. Sebagai contoh isu royalti untuk rakyat Kelantan. Kita melihat bagaimana walaupun kami di Parlimen menyuarakan hak rakyat di segi undang-undang dan akta [apa yang] sepatutnya kita dapat, kerajaan sebagai pemerintah menggunakan kuasa kabinetnya untuk mengarahkan sesuatu yang di luar daripada ketetapan di dalam akta.

Akta Pembangunan Petroleum 1974 menetapkan mana-mana negeri yang mengeluarkan hasil sama ada di darat atau laut, mereka berhak mendapatkan 5% royalti. Tetapi kerana keputusan politik yang dibuat oleh kerajaan [pusat], maka mereka telah menafikan hak royalti. Sedangkan negeri yang mereka perintah, seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu mendapat royalti, kami di negeri pembangkang tiba-tiba diberi hanya wang ehsan dengan nilai yang amat sedikit sedangkan negeri kami adalah bumiputera Melayu.

Kita tidak mahu kepentingan politik tertentu menyebabkan keadilan tidak diberi. Begitu juga mahkamah, apabila isu melibatkan tahanan politik atau pimpinan pembangkang. Kita tidak menghina mahkahmah, tetapi seolah-olah isu rampasan kuasa di Perak, sebab [ia] melibatkan negeri di bawah PR, mahkahmah [seperti] digunakan oleh pihak kerajaan untuk menyatakan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak layak sebagai menteri besar. Tetapi dalam kes Kota Siputeh, mereka melakukan sebaliknya.

Jadi ini saya lihat ini sebagai satu double standard, seolah-olah ada [yang] dipergunakan oleh pihak kerajaan dalam menentukan kuasa mahkamah, seolah-olah hakim itu dapat dibeli. favicon

Untuk jawapan MP-MP yang lain, rujuk Full MP list

The Nut Graph memerlukan bantuan anda

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , ,

Comments are closed.

Most Read in MP Watch

Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site