Categorised | Columns

Menjawab pempolitikan agama

“KAMU asal dari mana?” tanya orang kulit putih itu.

“Kanada,” jawab Kevin.

“Bukan, bangsa kamu apa?”

“Oh, saya orang Pakistan.”

“Islam?”

“Tak, saya orang Katolik.”

“Bagus, sebab saya benci orang Islam.”

Begitulah pengalaman seorang teman saya, Kevin, semasa bermastautin di Melbourne, Australia. Kevin marah dan terus meninggalkan majlis tersebut apabila mendengar kata-kata orang putih itu.

Pada mulanya, saya pun ada banyak sangat soalan untuk Kevin, kerana sebelum itu saya tidak pernah berjumpa dengan orang berketurunan Pakistan yang bukan beragama Islam. Kebetulannya saya pun ada darah Pakistan.

Kevin dan keluarganya terpaksa menjadi suaka di Kanada kerana pada tahun 1970an, puak-puak Islam yang melampau telah mula menyerang dan membakar gereja-gereja di Pakistan.

Australia

Di Australia, saya sendiri banyak terkena tempias Islamofobia dan sindiran perkauman daripada segelintir orang putih. Saya ingat lagi, saya pernah dipandang serong dalam satu kuliah elektif kerana mempertahankan hak wanita Islam untuk memakai hijab di Australia.

Ramai, termasuk keluarga saya sendiri, yang merasakan bahawa saya terlalu vokal sekarang sebab terpengaruh dengan budaya Barat setelah belajar di Australia. Benar, Australia telah membuka minda saya.

Contohnya, di Melbourne, saya berkenalan dengan seorang pelajar dari Afrika Selatan, Ninette. Alangkah terperanjatnya saya apabila mendapat tahu satu hari bahawa sebenarnya Ninette berketurunan Yahudi. Dan teman lelakinya di Afrika Selatan merupakan seorang aktivis hak asasi manusia yang berkulit hitam. Ninette dan teman lelakinya banyak berkorban demi perjuangan menghentikan perkauman di Afrika Selatan.

Saya pernah bergurau dengan Ninette, “Nasib baik kita berkenalan di Melbourne. Kalau di Timur Tengah, pasti kita akan terperangkap dalam serangan berani mati antara satu sama lain.”

Dan hubungan saya dengan Australia masih bersambung hinggalah sekarang. Pada awal tahun 2007, saya berkesempatan bertemu dengan penulis Australia yang beragama Islam, Randa Abdel-Fattah, ehsan daripada Suruhanjaya Tinggi Australia.

Alangkah terkejutnya Randa apabila saya memberitahunya bahawa ramai pendukung hak Palestin di Malaysia menanam semangat benci terhadap orang Yahudi. Seolah-olah perjuangan untuk membebaskan rakyat Palestin adalah satu jihad terhadap golongan Yahudi dan Barat.

Randa memberitahu saya bahawa dia sebenarnya berketurunan Palestin, dan sering melawat sana. Dia banyak menyumbang ke arah usaha membebaskan Palestin, dan memberitahu saya bahawa kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan hak Palestin terdiri daripada golongan yang beragama Islam, Kristian, dan Yahudi. Isu Palestin adalah isu hak asasi manusia dan kolonialisme, bukannya satu isu perkauman atau pertelagahan agama, tegas Randa.

Politik perkauman dan …?


(© Lorant Fulop / sxc.hu)

Sejak keputusan pilihanraya 8 Mac 2008, ramai di antara rakyat Malaysia — terutama yang tidak berpuas hati terhadap kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh Umno — mendakwa bahawa kita sudah matang. Rakyat sudah menolak politik perkauman.

Benarkah rakyat Malaysia sudah menolak politik perkauman, sedangkan politik perkauman di Malaysia sangat bersangkut-paut dengan pempolitikan agama? Adakah rakyat Malaysia juga bersedia untuk menolak politik keagamaan?

Ramai juga suara-suara orang Melayu beragama Islam yang mengutuk sekeras-kerasnya sentimen perkauman yang diungkit oleh Datuk Ahmad Ismail dari Umno sebelum ini. Tetapi bila ada pihak yang tidak bersetuju pula dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tentang pengkid dan yoga, mereka dibidas dan diarahkan supaya jangan menyoal apa-apa.

Di sini saya ingin terangkan pendirian peribadi saya, walaupun ia mungkin menyebabkan saya agak terdedah. Antara keluarga saya sendiri, ada yang menghayati Islam dengan cara yang mungkin dilihat oleh dunia orientalis Barat sebagai “fundamentalist”. Ibu saudara saya sendiri merupakan seorang hajjah yang bertudung labuh.

Benar, bila saya mengunjunginya setiap Aidilfitri, dia akan bertanya jika saya ada meninggalkan solat wajib atau puasa. Dan saya tahu dia bertanya kerana dia sayang kepada saya. Dia tidak bertanya untuk menghukum.

Bapa saya sendiri tidak pernah memaksa saya untuk mengerjakan solat, berpuasa atau membayar zakat. Tetapi saya tahu bahawa dia berasa gembira bila saya menemankannya menunaikan solat terawih di masjid, apabila saya membeli kuih kegemarannya sebagai sajian berbuka puasa, dan apabila saya menemankannya ke makam nenek saya selepas solat Jumaat.

Alangkah lainnya suasana dalam keluarga saya berbanding dengan persekitaran perundangan dan politik di Malaysia sekarang. Saya tahu, dalam Islam memang dianggap berdosa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang wajib, meninggalkan puasa pada bulan Ramadan, minum arak, dan sebagainya.

Tetapi ini adalah soal ibadat — dosa insan yang melakukan perkara-perkara ini adalah terhadap Allah semata-mata. Di Malaysia pula, kita ada Akta Kesalahan Jenayah Syariah. Perkara seperti meninggalkan solat Jumaat bukan lagi menjadi dosa antara insan dan Allah, tetapi menjadi jenayah yang boleh dihukum oleh penguatkuasa undang-undang Islam. Pendapat saya mungkin kontroversi, tapi saya sama sekali tidak setuju dengan undang-undang seperti ini.

Katakan seseorang itu mengerjakan solat Jumaat kerana tidak mahu ditangkap oleh pegawai jabatan agama. Maksudnya, solat itu dikerjakan bukan dengan niat kerana Allah taala, tetapi kerana takut dengan tindakan manusia. Akal saya tidak boleh menerima pendekatan seperti ini.

Malaysia untuk semua

Dan saya juga ada sanak saudara yang bukan Islam. Saya terpaksa mengaku, ada di antara mereka yang sudah ditanam dengan semangat perkauman dan prejudis terhadap orang Melayu dan Islam. Bagi saya lantaklah. Jagalah kubur masing-masing.

Namun, ada juga sepupu saya yang benar-benar hormat dan sayang kepada saya. Walaupun jurang agama, kaum, dan bahasa memisahkan kami, kami tetap yakin bahawa ada talian lain yang menyatu-padukan kami. Seorang sepupu saya yang berketurunan Cina mengaku kepada saya Aidilifitri lalu, “Aku suka datang rumah kau tiap-tiap hari raya, sebab rumah kau adalah contoh bagi negara Malaysia yang majmuk.”

Jadi, bila orang Islam seperti saya melontarkan soalan tentang undang-undang Islam di negara ini, kami bukannya menyerang agama Islam. Kami menujukan soalan kami kepada pihak penguatkuasa. Tapi nampaknya soalan-soalan kami tersangatlah mencabar bagi pihak yang berkuasa dan sektor tertentu dalam masyarakat.

Jangan mencabar saya!

Namun, orang yang yakin dengan kedudukannya selalunya tidak akan melatah kalau ditanya soalan yang mencabar sekalipun. Selalunya, orang yang kedudukannya sendiri goyah akan merasa tercabar, walaupun ditanya soalan yang tidak berniat jahat.

Saya ingat lagi kepada satu peristiwa yang diceritakan kepada saya oleh arwah Zaitun (Toni) Mohamed Kasim. Toni sedang berbincang dengan sekumpulan wanita daripada sebuah pertubuhan Islam yang agak kritikal terhadap wacana feminisme, hak asasi, liberalisme, dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya.

Mereka bertanya kepada Toni, “Kenapa awak suka sangat dengan Sisters in Islam? Kenapa awak tak sertai kami?”

Toni menjawab, “Sebab Malaysia yang saya perjuangkan menghormati dan melindungi orang seperti awak, tetapi Malaysia yang awak perjuangkan tidak menghormati atau melindungi orang seperti saya.”

Mereka terdiam. Kerana mereka tahu Toni berada di pihak yang benar. Antara lain, Toni telah bergiat aktif dalam Gabungan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk membantah apabila akta tersebut digunakan untuk memberkas aktivis Islam dari PAS dan sebagainya. Toni juga telah memperjuangkan hak suaka dari Myanmar dan Aceh, dan menyumbang kepada Jaringan Rakyat Tertindas, Majlis AIDS Malaysia, Sisters in Islam, dan Suara Rakyat Malaysia.

Apa yang orang ramai tidak tahu ialah, seperti saya, Toni juga mempunyai ahli keluarga yang sangat warak. Kakaknya sendiri merupakan seorang pakar perubatan yang bertudung labuh sepanjang masa. Ada yang merasa janggal – bagaimana seorang wanita yang bertudung labuh boleh bermanja dengan begitu senang dengan adiknya yang tidak bertudung dan lebih senang memakai t-shirt dan jeans?

Tapi realiti siapa sebenarnya yang janggal? Realiti Toni dan kakaknya atau realiti mereka yang memandang serong terhadap para muslimat seperti ini?


Shanon Shah tidak mahu mana-mana agama diperalatkan untuk tujuan politik.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , ,

3 Responses to “Menjawab pempolitikan agama”

  1. Melvin Cheah says:

    Adakah masyarakat Australia lebih diancam keganasan fundamentalist masing-masing kerana kebebasan bersuara, ataupun lebih aman kerananya?

    Ramai sangat orang yang berpendapat bahawa sekiranya mereka yang menjaja ideologi berpuak berdasarkan agama ini diberi kebebasan menyuarakan pendapat mereka, maka Malaysia akan hancur dalam api perang dalaman antara masyarakat-masyarakat berlainan agama dan bangsa.

    Tapi bukankah ini kurang benar, di negara-negara di mana kebebasan bersuara dimaktubkan dalam perlembagaan?

    Sememangnya demonstrasi anti-perkauman masih sering berlaku di Barat yang dikerjakan minoriti negara barat, tapi suara yang menyokong keamanan, dan “coexistence” mampu lebih kuat, kerana mereka bebas membincangkan hal ehwal hubungan antara kaum, manakala kita dihalang daripada perdebatan jujur tentang isu ini kerana kita dianggap kerajaan masa ini sebagai tidak cukup matang untuk mendengar pendapat berlainan.

    Tapi bagaimana kita nak matang, sekiranya kita harus dimanjakan oleh kerajaan “Father Knows Best” ini?

    Kebebasan bersuara boleh membenarkan pendapat moderat tentang isu perkauman lebih menonjol daripada teriakan si penghasut.

  2. AA says:

    Muslim di Malaysia lebih kenal agamanya kerana larangan-larangan semata-mata. Larangan itu dan larangan ini. Saya juga memakai hijab lewat. Memakainya setelah benar-benar faham bahawa agama adalah total submission to your Almighty God. Tak mahu memakai hijab kerana orang selalu mengatakan Muslimah wajib pakai hijab. Memakainya tanpa ada “rasa” yang “benar-benar” – hentikanlah!

    Saya selalu memikirkan sampai kadang-kadang bingung. Kenapa orang Islam di Malaysia ini faham Islam dengan mengenal larangan-larangan terlebih dahulu? Jauh sekali dibandingkan cara sebenar Rasulullah saw menyampaikan dakwah? Selalu juga saya fikirkan – inikah yang Tuhan mahukan? Cara beragama dan pemahaman beragama yang begini?

    Kalau semua hukuman, fatwa atau apa sahaja perundangan yang ditimbulkan oleh penguasa agama – TIDAK BOLEH DIPERSOALKAN – kenapa wahyu pertama adalah IQRA’ (baca)? Kalau begini caranya – nampaknya kita di Malaysia ini mahukan (baca: menanamkan) pemahaman agama yang defensif? Salahkah kalau kita mahukan ia ofensif?

    Antara tradisi ilmu yang sangat efektif ialah soal dan jawab. Apakah dengan menyoal banyak-banyak kita akan jadi murtad? Salahkah mempersoal untuk diri sendiri mencari kebenaran kerana saya merasa nikmatnya beragama dengan cara itu. Kenapa Islam di Malaysia ini ragamnya begini?

    Ya, Australia membuka mata saya. Saya juga melaluinya. Roh Islam ada di Barat. Tapi, tidak di sini. Mengapa? Ini soalan yang tak sudah-sudah dalam benak saya. Hingga ibu saya sendiri memesan – cukup-cukuplah berfikir yang demikian. Tapi, setiap kali itu saya akan terus menjawab – MENGAPA?

  3. deepo says:

    Saya setuju dengan kenyataan bahawa perjuangan rakyat Palestin bukan berdasarkan kaum dan agama. Tetapi perjuangan orang Kristian, Islam dan Yahudi. Masalahnya rakyat Malaysia selalu menyalahkan Yahudi semata-mata dalam perkara ini. Zionis itu adalah political party, bukan keagamaan. Inilah perkara yang kita kena faham.

    Contohnya, Umno di Malaysia yang menggunakan nama Islam untuk perjuangkan politik mereka. Di Palestin, orang Yahudi menggunakan cara yang sama. Tapi hanya orang-orang politik Yahudi je. Bukan semua orang Yahudi….Tapi sungguh kesian orang-orang Islam tidak melihat perkara ini dengan akal dan fikiran.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site