Categorised | Columns

Mengundi itu suatu perjuangan

PENGAJARAN terpenting dalam kemenangan Sisters in Islam (SIS) baru-baru ini dalam menentang tindakan kerajaan mengharamkan buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism ialah, perubahan itu hanya akan berlaku jika kita sendiri berani melawan apabila ditindas.

Berjuang banyak caranya. Berjuang tidak semestinya menggunakan kekerasan atau mengorbankan diri. Antara usaha perjuangan juga ialah dengan mengundi semasa pilihanraya.

Pengundi-pengundi tidak lama lagi akan diberi kesempatan untuk mengundi apabila Parlimen dibubarkan. Persoalannya, nak mengundi untuk siapa? Barisan atau pakatan politik manakah yang boleh menjamin hak rakyat, terutamanya hak wanita?

yati_lead

Para ahli SIS bersama peguam selepas kemenangan di mahkamah (gambar dibekalkan oleh Norhayati Kaprawi)

BN atau PR?

Apabila memikirkan persoalan di atas, mari kita lihat contoh pengharaman buku terbitan SIS. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang tidak setuju dengan hasil kajian dan kritikan oleh ahli-ahli akademik dan aktivis-aktivis wanita yang menyumbangkan artikel-artikel di buku SIS tersebut. Jakim yang meminta bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, untuk mengharamkan buku SIS pada tahun 2008, tiga tahun selepas buku itu diterbitkan.

Menteri pula gagal membentuk pendiriannya sendiri dan menilai sama ada tuntutan Jakim itu benar ataupun salah di sisi undang-undang. Menteri kemungkinan menyerahkan kuasanya begitu saja pada Jakim kerana yakin bahawa dalam hal urusan agama, Jakimlah yang paling arif sekali dan tidak mungkin salah.

Buku SIS yang diharamkan

Walaupun pengharaman buku SIS dilakukan oleh agensi-agensi di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), namun sikap berdiam diri parti-parti pembangkang seperti PAS boleh dilihat sebagai tidak peduli atau mungkin turut menyokong tindakan kerajaan BN. Walaupun ideologi politik mungkin berbeza, namun dalam hal tidak menghormati hak wanita, kadang-kadang pendirian antara parti-parti politik tidak begitu banyak bezanya.

Lihat sajalah ahli-ahli parlimen kita — berapa ramai yang perempuan? Secara keseluruhan tidak sampai 10%. BN dan Pakatan Rakyat (PR) kedua-duanya masih tidak mampu — atau mungkin tidak mahu — menambah bilangan wanita dalam barisan ahli politik mereka yang mempunyai kesempatan untuk menjadi ahli parlimen.

Parti PAS pukul canang mahu meletakkan lebih ramai calon wanita di pilihanraya ke13 ini. Apakah perubahan haluan itu kerana memang PAS mengakui perempuan juga mampu menjadi pemimpin seperti lelaki ataukah sekadar untuk memancing undi wanita dan menunjukkan ia mengikuti peredaran zaman? Apakah PAS juga berani menyatakan bahawa secara prinsipnya, ia menerima wanita untuk memegang jawatan tertinggi yakni jawatan nombor satu parti atau kerajaan?

Nyatanya, Enakmen Undang-undang Hudud PAS masih tidak menerima perempuan (dan bukan Islam) sebagai saksi, terutamanya dalam kes-kes jenayah berat. Dan jika Parti Keadilan Rakyat dan DAP tidak bersetuju dengan enakmen PAS itu, mereka haruslah menolaknya dengan mendesak PAS menarik balik Enakmen Undang-undang Hudud mereka di Kelantan dan Terengganu.

Diskriminasi gender

Manifesto Rakyat

Manifesto Rakyat: tiday berani berjanji menghapuskan diskriminasi gender (sumber: pakatanrakyat.my)

Manifesto PR yang baru dilancarkan juga tidak dapat menjanjikan perubahan-perubahan bermakna dalam memastikan hak-hak wanita terjamin. Manifesto tersebut menjanjikan dengan jelas hasrat PR untuk menghapuskan diskriminasi antara kaum. Namun ia tidak berani berjanji untuk menghapuskan diskriminasi gender atau menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap perempuan.

Sudah beberapa tahun lamanya SIS mengusahakan agar sistem kehakiman syariah dan Undang-undang Keluarga Islam diperbaharui bagi memastikan keadilan gender, agar wanita Islam tidak didiskriminasi dan hak-haknya terjamin. Kerajaan BN masih belum dapat merealisasikan pembaharuan tersebut. Namun, PR juga belum begitu mendukung usaha SIS.

Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga merangkap menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, menyatakan kerajaan bersedia untuk memperbaharui sebarang undang-undang, amalan dan corak pemikiran yang menghalang pembangunan wanita. Mungkin kerajaan boleh memulakannya dengan memperbaharui Undang-undang Keluarga Islam bagi memastikan hak-hak wanita terjamin, memastikan keadilan gender, dan menghalang wanita dari teraniaya. Jika kehidupan dan hak wanita bertambah baik, pastilah mereka boleh menyumbang terhadap pembangunan Malaysia dengan lebih baik juga.

Siapa yang berani?

Nampaknya, kedua-dua BN dan PR masih belum berani menghapuskan diskriminasi gender dengan memastikan tidak ada lagi undang-undang dan peraturan yang tidak adil pada perempuan. Mereka tidak mempunyai “political will” atau kesungguhan politik dalam mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mempertahankan hak wanita dan menentukan wanita itu mempunyai kesempatan yang sama dan hak yang setaraf dengan lelaki termasuk dalam arena politik.

Seperti dalam kes pengharaman buku SIS, salah satu sebab wanita masih menghadapi keadaan seperti ini ialah kerana ramai ahli politik yang lebih rela melepaskan kuasa mereka kepada para ulama daripada menegakkan pendirian yang adil dan berperlembagaan.

Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar

Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar (sumber: kehakiman.gov.my)

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar menyedari masalah sikap lepas tangan ini sehingga beliau menegur, “Menteri (Dalam Negeri) tidak menggunakan akal fikirannya sendiri (semasa mengharamkan buku SIS), akan tetapi sekadar mengikut akal fikiran Jakim.” Buat masa ini, kita masih tidak tahu sama ada jika PR berjaya mara ke Putrajaya nanti, apakah menteri daripada PR juga akan cenderung bersikap yang sama dengan menteri dari BN.

Yang pasti, kita memerlukan menteri-menteri dan ahli politik yang membuat keputusan dalam hal berkaitan agama, tidak dengan begitu mudah bertaqlid buta dengan nasihat jabatan-jabatan agama. Buatlah pendirian sendiri dengan berani dan objektif, mengambil kira banyak aspek, terutamanya memastikan tindakan itu nanti untuk kebaikan Malaysia, mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan. Jika tidak, nanti menteri sendiri yang akan dikecam dan ditertawakan orang, ataupun didakwa di mahkamah.

Sikap autokratik mesti ditentang

Keputusan penghakiman mengenai pengharaman buku SIS di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan mengingatkan semua rakyat Malaysia bahawa kerajaan, menteri atau jabatan agama tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan atau tindakan tanpa mempunyai hujah dan alasan yang kuat. Ini terutamanya apabila ia melibatkan pencabulan hak dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tambahan pula, orang-orang Islam, terutamanya pegawai di institusi-institusi keagamaan atau tokoh-tokoh agama tidak boleh sekadar berselindung di sebalik nama Tuhan dan nama agama, tetapi hendaklah mengemukakan hujah-hujah sahih yang jelas terhadap segala tindakan mereka, terutamanya apabila mereka mahu menghukum dan menganiaya pihak lain.

Agamawan juga usah merasa yang hanya mereka sahajalah di pihak yang benar dan yang paling arif tentang apa yang baik untuk masyarakat dan negara. Dari penghakiman kes SIS, jelas mahkamah telah pun menegur dan mencegah mereka dari berbuat kezaliman dan bersikap kuku besi. Agamawan harus ingat bahawa mereka tidak boleh bersikap autokratik dan sesuka hati menindas serta menghukum sesiapa saja yang berbeza pendapat dengan mereka, atau pada sesiapa yang mengkritik mereka.

Jangan sia-siakan hak mengundi

Mengund

Janganlah memilih ahli-ahli politik yang tidak mementingkan hak wanita

Perubahan hanya akan berlaku apabila rakyat yang cukup matang dan berani membuat keputusan untuk menolak tindakan autokratik yang menyalahi hak asasi dan perlembagaan Malaysia. Buatlah pilihan yang bijak semasa mengundi nanti.

Jika kita memilih ahli-ahli politik yang tidak memandang hak wanita itu sebagai penting dan setaraf dengan lelaki, ia bermakna kita masih mahukan kaum wanita didiskriminasi, dianiaya, dizalimi dan ditindas. Tetapi jika kita sudah muak mendengar janji-janji kosong dan tindakan yang tidak berlandaskan hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia, kita boleh menggunakan undi kita untuk menyatakan ketidakpuasan hati kita nanti. The Nut Graph


Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita yang juga ahli Sisters in Islam, dan seorang pembuat filem dokumentari.

Related posts:

The bane of book banning
Lifting the SIS book ban

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , , , , , ,

2 Responses to “Mengundi itu suatu perjuangan”

  1. pencinta wanita says:

    Kalau dua-dua PR dan BN tak mementingkan hak wanita, apa pilihan yang I ada? I konfius nak undi yang mana, you pilihkan untuk I boleh tak?

    • Wave33 says:

      pencinta wanita yang pilih kasih, kalau lelaki tidak diperdulikan. Wanita yang mesti diutamakan dan lelaki ditepikan.

      Tapi bagi saya, saya ada priority yang lain, asal tak makan rasuah atau makan suap dari tangan wanita, saya akan undi tanpa was was. Pasal wanita atau tidak,tidak apa saja, asalkan wanita yang tidak pakai cincin yang berharga jutaan dan koleksi beg Birkin yang banyak. [...]

      Kalau pencinta wanita berkhidmat dalam tentera, tak perlu risau tentang mengundian, ada pegawai sudah buat pilihan untuk anda.

      Semua beres. Malaysia Boleh!


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site