Categorised | Columns

Mengenang Layar Impian


Ella (Sumber: Facebook Ella & The Boys)
PINDAAN perlembagaan Umno — bersejarah atau tidak? Pergolakan MCA — mana hala tujunya? Pergolakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) — apa nak jadi? Apakah maksud sebenar keputusan pilihanraya kecil Bagan Pinang? Kepala saya sudah mahu pecah dengan kekalutan politik sekarang. Saya mahu kembali ke zaman yang lebih aman, yang tidak begitu sarat dengan skandal itu dan ini.

Saya teringat lagu kegemaran saya semasa di bangku sekolah menengah dulu — Layar Impian oleh Ella. Masa itu saya dalam Tingkatan Dua. Tun Dr Mahathir Mohamad perdana menteri ketika itu. Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dalam Umno, malah nampaknya sangat disenangi oleh Mahathir. Saya pula tidak tahu bahawa saya akan bekerja dalam dunia kewartawanan satu hari nanti. Malah, saya tidak yakin bahawa saya mampu mencipta lagu pun.

Benar, saya telah mula berjinak-jinak mencipta lagu pop dalam bahasa Inggeris. Idola saya ketika itu semuanya artis Barat — Bono dari U2, Suzanne Vega, The Beatles, Abba, dan sebagainya. Saya tidak berapa mendengar muzik pop Melayu masa itu. Setakat kenal pemenang Anugerah Juara Lagu tiap-tiap tahun bolehlah. Dan yang lebih penting, saya amat malu dengan kualiti lagu saya masa itu — tak ada kelas.

Kemudian, satu malam saya bersama-sama ibu bapa saya keluar makan di sebuah gerai, saya tidak ingat di mana. Tapi saya ingat lagi, di gerai itu ada peti televisyen lama. Tiada alat kawalan jauh. Masa itu pun tiada lagi rangkaian Astro — tuan punya gerai memasang rancangan Hiburan Minggu Ini, kalau tak silap saya. Tiba-tiba muncul Ella bersama gitarnya, memetik sebuah melodi yang amat menyentuh hati remaja saya. Itulah lagu Layar Impian. Tapi disebabkan pada masa itu saya tidak mengikut sangat perkembangan industri muzik tanahair, saya tidak mampu mengingati tajuk lagu tersebut.

Beberapa minggu kemudian, abang saya kembali dari universiti sempena cuti semesternya. Saya ingat lagi, dia menjemput saya dari sekolah. “Dengar lagu ini, Shanon,” katanya apabila saya masuk dalam kereta Fiat 124Y ayah saya. Dia memasang lagu Layar Impian. “Sedap tak?” dia tanya. Saya mengangguk. “Memang kelas,” saya jawab.

Perubahan zaman

Saya rasa dari saat itu saya jatuh cinta dengan Ella. Dengan rambut panjangnya, dengan kemahirannya menyanyi dan memetik gitar, dengan suara manjanya, dan dengan lagu itu — siapa yang tidak akan jatuh cinta dengan Ella?

Sekarang saya tahulah — memang ada orang yang tidak suka sama Ratu Rock itu. Contohnya apabila Dewan Pemuda PAS Selangor membantah kehadiran Ella dan ratu dangdut Mas Idayu ke konsert sempena pertandingan bola sepak Piala Sultan Selangor pada bulan Julai 2008. Mas Idayu pun saya suka, tapi itu cerita lain. Apa yang saya mahu kata ialah, tidak mengapa. Setiap insan ada citarasanya yang tersendiri.

Dan pada tahun 1992, citarasa saya berganjak jauh kerana Ella. Masa itu, saya tidak tahu siapa itu Nurbisa, penulis lirik Layar Impian. Saya tidak tahu bahawa Nurbisa itu nama pena arwah Loloq. Saya pun tidak tahu siapa itu arwah Loloq ketika itu. Saya tidak tahu siapa itu Satiman, composer Layar Impian.

Tetapi ini yang saya tahu. Layar Impian mendorong saya untuk mencipta lagu dalam bahasa Melayu. Layar Impianlah yang memberikan saya keyakinan untuk berkarya dalam bahasa yang saya fikir pada mulanya milik orang Melayu yang lebih “tulen” daripada saya.

Bila saya berumur 14 tahun, bahagian yang paling menarik perhatian saya ialah rangkap ini:


  (Imej oleh Dopavi / Dreamstime)
Jika mimpi cinta kita
Bisa kuzahirkan
Jadi lukisan yang menarik
Pasti aku sentosakan
Malam pesta bila engkau
Lafazkan janji dan memelukku
Sepanjang tarian
Hingga pipi aku terasa
Basah dalam tangisan
Yang penuh kesyukuran

Saya kan remaja masa itu. Jadi kalau pasal bab-bab jiwa macam ini memanglah saya suka, bukan? Saya pun merasa agak terkejut, sebab pada masa itu pun saya sudah banyak diberikan amaran supaya jangan bergaul tanpa batasan. Ini pula lirik yang menggambarkan dua kekasih berpelukan dan menari di pesta pada waktu malam. Saya membesar di Alor Star, jadi saya terfikir-fikir, “Pesta kat mana ni hah?”

Tapi sekarang, rangkap yang paling menyentuh perasaan saya ialah:

Tapi kini bila dewasa
Aku mula sedar betapa mimpi
Hanyalah suatu permainan
Jiwa insan dalam kesepian

Kadang-kadang bila tengah geram dengan perkembangan semasa tanahair, hati kecil saya berkata, “Shanon, jangan mimpilah kalau hang nak negara yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya.” Saya bukan hanya insan, tetapi warganegara dalam kesepian.

Kuasa seni

Akan tetapi, inilah kuasa seni yang jujur lagi ikhlas. Aneh tetapi benar — masa saya remaja dulu, lagu inilah yang saya dengar untuk mengubati luka cinta yang tidak dibalas. Sekarang, lagu inilah yang saya dengar apabila saya tengah tension dengan kerja. Setelah 17 tahun, lagu ini masih indah dan bermakna bagi saya. Inilah namanya karya klasik.


(Imej oleh Miguel Saveedra / sxc.hu)
Okay, mungkin penerbitan lagu ini ada cacat celanya sikit. Contohnya, reverb yang dikenakan — masya Allah, macam gema dalam gua!

Tapi itu semua kita tolak ke tepi. Yang pentingnya, lagu ini membawa makna yang cukup besar untuk saya. Lagu inilah salah satu lagu yang menzahirkan zaman remaja saya. Lagu inilah yang saya simpan dalam kaca jadi perhiasan. Lagu inilah yang memberikan saya keyakinan sebagai seorang pemuzik dan penulis.

Dan di sinilah saya tidak tahu bagaimana untuk menguraikan betapa pentingnya seni untuk mengubat jiwa seseorang itu. Mengikut wacana hari ini, mungkin orang akan mengutuk Ella habis-habisan: “Apa? Pesta maksiat di mana? Kau menari dengan siapa?”

Bagaimana hendak menerangkan kepada mereka ini bahawa lagu ini sebenarnya bukan tentang pesta atau pipi yang basah? Bagi saya, perjalanan ke alam dewasa kadang-kadang pahit dan sunyi. Lagu ini sekurang-kurangnya menenteramkan dan memaniskan keadaan sedikit.


Shanon Shah masih remaja di hati.

The Nut Graph memerlukan bantuan anda

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , ,

3 Responses to “Mengenang Layar Impian

  1. benny says:

    Saya pun suka lagu ni. Memang best la. =)

  2. rudy says:

    Ya Shanon, lagu itu memang sedap. Terlalu jarang untuk lagu Melayu seindah itu.

    —-

    Lagu kegemaran saya pada ketika itu juga termasuk “Camar Yang Pulang” oleh Aishah. They don’t write songs like that anymore.

    Shanon Shah
    Columns and Comments Editor

  3. Main says:

    You put it right. Hope you’ll reach the mainstream.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site