Categorised | Columns

Kau petik gitar, nyanyikan lagu…


(© Jesse Therrien/sxc.hu)

MULANYA ada Puteri Gunung Ledang: the Musical (PGL). Kemudian muncullah Putra: the Musical, Cheng Lock: the Musical, P Ramlee: the Musical, muzikal Ismail: the Last Days, Impak Maksima: the Musical, muzikal itu dan muzikal ini.

Letih tangan kami menaip kalau nak ditaipkan semua muzikal yang pernah dipentaskan di sana sini, termasuklah muzikal lain yang pernah dipentaskan sebelum PGL. Yang terbaru, yang terpanas, yang ter-up-to-date, yang kami dengar ialah Cuci: the Musical. Berasal dari filem, macam Impak Maksima, Cuci akan juga dilontarkan ke pentas Istana Budaya untuk dijadikan muzikal. Ini betul-betul, bukan main-main.

Jika kami penggemar muzik hip-hop, persoalan kami akan berbunyi begini: “Wassup with all these musical thangs, huh?” Kalau kami mat rempit: “Apa barang muzikal-muzikal ni?” Kalau kami mak ayam (you alls): “Muzikal? Ada aku kisah?”

Tapi dengan maaf, kami tegaskan di sini dan di mana-mana anda membaca artikel ini, kami bukanlah penentang teater muzikal. Tapi kami cuma ingin bertanya mengapa begitu ramai yang menjadikan muzikal sebagai propaganda mereka?

Adakah kerana mereka tahu, sedar dan yakin bahawa teater muzikallah satu-satunya jenis teater yang paling mendapat tempat di hati penonton berbanding dengan jenis-jenis teater yang lain? Dan teater muzikal mampu mengaut untung yang besar untuk kocek mereka? Walaupun kebanyakan skrip muzikal mereka bagi kami entah apa-apa kerana sekadar hiburan dan keindahan semata tanpa memberi gambaran sebenar realiti masyarakat kita? (Ooops!)  

Jika dilihat secara kasarnya, fenomena ini kelihatan menyumbang ke arah memartabatkan serta mengangkat lagi industri teater di Malaysia. Namun itu secara kasarnya saja.


Adegan dari muzikal Puteri Gunung Ledang (© Wan Izhar)
Ini kerana jika dilihat dengan lebih mendalam serta kritikal, terdapat beberapa hal yang perlu dikaji terlebih dahulu sebelum kita layak bersetuju dengan kenyataan di atas. Kami percaya setiap yang berlaku itu pasti akan menghasilkan kesan atau akibat yang pro dan kontra.

 

Bukannya cemburu

Sebelum fenomena muzikal ini melanda Malaysia, kita boleh lihat betapa kurangnya pengetahuan am masyarakat kita tentang teater itu sendiri. Dulu kalau kita cakap tentang teater, pasti perkara pertama yang terbayang di minda masyarakat yang tidak punya pengetahuan formal tentang seni, adalah bangsawan atau ceritera-ceritera yang berunsur zaman pahlawan dahulu kala.

Kami ibaratkan dengan lelaki yang berambut panjang dan seluarnya koyak, mesti orang ingat penghisap dadah atau Mat Indon (satu gelaran kurang manis terhadap orang Indonesia). Memang tipikal dan klise. 

Namun setelah kemunculan PGL dan yang seangkatan dengannya, perkara pertama yang terbayang di minda mereka bila disebut “teater” adalah Istana Budaya atau muzikal. Mereka menganggap teater itu mesti produksi yang besar, memerlukan belanja besar, pelakonnya ramai dan mesti ada artis terkenal.

Anda lihat kontranya?

Inilah masalahnya. Inilah persoalannya yang kerap kali mengganggu kami sebagai penggiat teater. Kami bukan iri hati atau makan hati apatah lagi merajuk membawa diri akibat teater kami tak dikenali. Kami terganggu kerana kami melihat ini dari sudut teater itu sendiri.

Pertama, kami tidak suka dengan tanggapan silap kebanyakan masyarakat tentang teater kerana bagi kami itu akan mengecilkan lagi industri teater Malaysia yang memang sudah sedia kecil ini. Cuba anda bayangkan, kami sendiri pernah ditanya oleh pakcik pemandu teksi tentang pekerjaan kami. Bila kami menjawab teater, mereka terus menyebut Istana Budaya dan PGL.


Adegan dari muzikal Puteri Gunung Ledang jugak (© Wan Izhar)
Bagi kami, ini kesan yang tidak baik kerana jelas bahawa penyalahertian terhadap teater itu akan menyebabkan kewujudan cabang, jenis atau genre teater lain tidak diketahui dan tidak dipedulikan. Seolah-olah Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPac) tidak pernah wujud. Seolah-olah Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Panggung Taman Budaya sebelah balai polis Jalan Bandar, dan Annexe @ Central Market semuanya tidak pernah wujud. (Kami hanya menyebut sebahagian panggung teater di Kuala Lumpur, selebihnya sila Google sendiri.)

Sehingga pernah kami katakan bahawa ada pementasan teater yang pelakonnya hanya seorang, mereka terkejut. Kami lagilah terkejut bila mereka terkejut. Tapi jangan risau, kami berjaya cover untuk menjaga hati mereka.

Raikan kepelbagaian

Memang menakutkan bagi kami, situasi ini. Lebih menakutkan dari filem Jangan Pandang Belakang. Tapi inilah hakikatnya.

Jadi bagaimana ingin kami katakan yang fenomena muzikal buatan Malaysia ini memberi impak yang baik serta menyumbang ke arah pengembangan industri teater di Malaysia? Jika secara tanpa sengaja ia juga sebenarnya menutup kewujudan, kerancakan dan kepelbagaian teater di negara kita?

Ingin kami tegaskan di sini, kami tidak sama sekali meletakkan tanngungjawab dan kesalahan ini di atas bahu fenomena muzikal ini. Kerana bagi kami jika ingin dibincangkan hal ini, banyak faktor lain yang sebenarnya lebih layak dipersalahkan. Bukannya kami ingin mencari orang atau individu yang ingin disalahkan.


Eeeyer, seram!
Kami lebih suka untuk memikirkan dan mencari jalan penyelesaian. Tetapi, itulah, prosesnya memang akan sangat panjang. Dan pastinya melibatkan sistem pendidikan serta sistem pemerintahan. (Ooops!)

Cuma apa yang kami benar-benar harapkan di sini adalah agar segalanya biarlah seimbang. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Ibarat demokrasi, semuanya sama rata.

Tak kisahlah berapa banyak muzikal yang ingin dipentaskan dalam setahun, tak kisahlah berapa banyak lagi filem yang ingin dijadikan muzikal teater selepas ini. Tapi harapnya janganlah sehingga segala itu menutup sebahagian yang lain, yang juga bagus untuk masyarakat dan menyumbang ke arah pengembangan dan pembangunan industri seni.

Macam dialog dalam filem P Ramlee, Seniman Bujang Lapok: “Lu punya nasi lu makan, gua punya nasi gua makan. Apa salah makan sama-sama?”


Fared Ayam dan Zahiril Adzim adalah graduan baru Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Mereka sering bekerjasama dalam menghasilkan karya teater yang mencerminkan realiti masyarakat Malaysia.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon



Comments are closed.

Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site