Categorised | Columns

Isteri ibarat pelacur?

“MAHU layanan kelas pertama, tapi belikan minyak wangi kita cuma di Petaling Street saja”.   Komen sinis dari para ibu yang perlu difikirkan.

Berat sungguh jawatan sebagai “Isteri”.  Banyak portfolio yang dipegang dan KPInya harus sentiasa cemerlang, kalau boleh, 100 peratus, tidak boleh kurang!

Biasanya dianggap tugas dan portfolio seorang isteri adalah :

i)  Teman setia: Sentiasa beri belaian manja, menghiburkan, memahami perasaan dan melayan suami

ii) Pakar Masak: Makanan sedap dan dihidang dengan menarik

iii) Pereka dalaman: Rajin mengemas dan pandai menghias rumah

iv) Pencuci rumah: Menyapu, mengelap lantai dan lap segala habuk

v) Tukang dobi: Pungut pakaian kotor, basuh, sidai, gosok dan lipat masuk almari suami isteri dan anak-anak

vi) Pakar Fesyen: Pastikan pakaian suami dan anak-anak kelihatan menarik

vii) Pengasuh: Menjaga anak-anak sepenuh masa

viii) Pendidik: Mengajar anak-anak budi bahasa, adat resam, pastikan buat kerja rumah serta ajar mengaji Qur’an

ix) Kaunselor: Pandai beri kaunseling terutamanya bila anak-anak meningkat remaja, dan juga bila suami “tension”

x) Ahli Kewangan: Buat belanjawan setiap bulan.  Harus cukup-cukupkan walau macamana pun.

xi) Pegawai Pelancongan: Anjurkan lawatan ke tempat-tempat menarik seperti Port Dickson, Genting Highlands atau Alamanda di Putrajaya

xii) Model: Cantik, bergaya dan wangi selalu

xiii) Khidmat seks: Pastikan beri layanan pada suami seperti pelacur kelas pertama

xiv) Pemberi zuriat: Mengandungkan anak. Semasa mengandung, tugas-tugas yang tersenarai di atas harus tetap dijalankan dengan sempurna juga!

Kalau upah orang lain buat, tak mampu rasanya suami nak bayar segala perkhidmatan di atas! Tetapi, boleh pula dia merungut kalau dia rasa isteri tidak menjalankan tugas dengan sempurna.

Akan tetapi, jika suami tidak menyediakan tempat tinggal, duit nafkah, makan pakai yang sempurna, isteri tidak seharusnya merungut.  Harus berpuas hati dengan apa yang ada.

Tugas siapa?

Tugas suami?

Oh, sejuk hati... (© hitormiss | Flickr)

Sekarang soalan cepumas.  Menurut Islam, tugas-tugas memasak, membasuh, mengemas rumah, menjaga anak semuanya itu adalah tugas isteri atau suami? Ramai ulama mengatakan semuanya itu tugas suami.  Jika isteri tidak mahu melakukannya, suami bertanggungjawab menyediakan pembantu rumah. Malah, jika isteri malas buatkan kopi apabila disuruh suami, maka isteri tidak boleh dianggap sebagai derhaka atau nusyuz, kerana ia bukannya tugas isteri.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad (saw) turut melakukan kerja-kerja rumah dan menjahit pakaiannya sendiri.  Dilaporkan juga bahawa Sayidina Umar minta suami bersabar bila isteri marah-marah dan berleter kerana isteri telah banyak melakukan kerja-kerja yang bukan tanggungjawabnya. Menarik, kan.

Seks dan anak sahaja?

Ada ulama berpendapat tugas isteri hanyalah untuk melayan kehendak seks suami dan melahirkan anak. Menarik juga. Ada ulama yang mengatakan walau di belakang unta sekali pun, isteri harus tetap melayan kehendak seks suaminya.

(© Keith Roper | Flickr)

(© Keith Roper | Flickr)

Saya justeru terfikir. Kalau di negeri Arab, kenderaan utamanya adalah unta, maka di zaman sekarang kenderaan utamanya adalah kereta. Lalu, jika rasa bosan terkandas di dalam kesesakan jalanraya, adakah harus isteri-isteri menurut kehendak suami yang mahukan layanan seks di tempat duduk belakang kereta? Menarik sekali.

Apakah tujuan perkahwinan lebih kepada untuk memenuhi kepuasan seks suami, sehinggakan isteri diminta memberi layanan seks seperti pelacur kelas pertama?  Seorang teman mengingatkan bahawa daya hasrat seksual setiap orang, sama ada perempuan ataupun lelaki, adalah berbeza-beza.  Maka, anjuran sebegini boleh memberi tekanan perasaan yang tinggi terhadap isteri yang mempunyai daya hasrat seksual yang rendah.  Apatah lagi yang anak ramai atau nakal-nakal, sudah keletihan apabila suami pulang.

Sebenarnya, para suami pun ada yang daya hasrat seksualnya rendah akibat tekanan kerja yang sangat tinggi atau memang semulajadi.  Mungkin mereka akan mengalami tekanan perasaan yang lebih teruk jika isteri merasakan prestasi seksnya hanya “ala-ala” sahaja.

Suami pemimpin rumahtangga

Besar jawatan “Pemimpin” ini. Apakah benar semua lelaki secara semulajadi, memang mempunyai sifat kepimpinan yang baik? Adakah mat-mat rempit, peragut-peragut beg dan penghisap dadah yang kebanyakannya lelaki, memang dilahirkan dengan sifat kepimpinan yang tinggi?

Apakah anda tidak pernah bertemu dengan lelaki yang panas baran, lelaki yang fikir dia sentiasa betul dan semua orang harus ikut cakapnya, lelaki yang sering berhutang keliling pinggang sebab tidak pandai mengurus kewangannya sendiri atau lelaki yang memang mata keranjang? Apakah semua lelaki di tempat kerja anda mempunyai sifat-sfat kepimpinan yang cemerlang?

Ada universiti di mana cuma ada lebih kurang 35% pelajar lelaki, yang 65% lagi pelajar perempuan. Apa maknanya, rumuskanlah sendiri.

Tentu saja ada lelaki yang hebat. Begitu juga, ada perempuan yang hebat.

Namun, mengapa kerana kelemahan suami, isteri yang sering disalahkan? “Macamanalah suami tak mengamuk,  isterinya tak bersihkan rumah. Macamana tak bercerai, isteri tak pandai layan suami. Macamana suami tak berzina, nak berpoligami isteri tak beri. Macamana suami tak cari pelacur, isteri tak beri layanan seks yang hebat.”  Suami seperti tak ada daya tahan diri, kerana isterilah dia binasa. Takkanlah begitu lemah sekali kaum lelaki ini yang mengaku dirinya pemimpin keluarga.

Hubungan persefahaman

Perkahwinan adalah hubungan persefahaman yang baik antara suami isteri. Tidak akan harmoni rumahtangga bila ada yang bersikap diktator, autokratik atau feudal.  Lebih harmoni perhubungan bila ianya bersifat demokrasi, saling bertukar pandangan, bertolak ansur, memahami kehendak dan keadaan masing-masing. Al-Qur’an mengatakan “suami dan isteri adalah ibarat pakaian antara satu sama lain” (Surah Al Baqarah 2:187).

Quran (© insansains | Flickr)

(© insansains | Flickr)

Pada lelaki yang tidak mampu berkahwin, Nabi (saw) menasihatkan untuk berpuasa  dan “… orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendakah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya…,” (Quran 24:33).  Dan bagi mengelak zina, Al-Qur’an menasihatkan lelaki untuk “menjaga pandangan mereka dan menjaga kemaluan (daripada zina),” Surah An-Nuur, 24: 30.

Bayangkan, walau lelaki bujang pun, jika tak berupaya untuk kahwin, lelaki diminta kawal diri, takkanlah lelaki yang sudah beristeri tidak boleh kawal dirinya?  Jika isteri tidak setuju suaminya berkahwin lagi, bagaimana mungkin isterinya pula yang dikatakan akan menanggung dosa jika suami berzina dengan kekasihnya? Islam tidak menerima konsep tanggung dosa orang lain.

Apakah benar tujuan perkahwinan dalam Islam lebih kepada memenuhi kepuasan seks lelaki, sehinggakan kerana nafsu seks lelaki yang tinggi itulah maka Islam menganjurkan poligami? Suami mengurat dan ‘berdating’ dengan wanita muda yang menggoda, kemudian bila nak poligami, dia kata nak ikut sunnah Nabi.

Hakikat sejarah menunjukkan bahawa semasa Siti Khadijah r.a. masih hidup, beliaulah satu-satunya isteri Nabi Muhammad (saw).  Semasa Siti Khadijah meminang Nabi (saw) dan kemudiannya berkahwin, Nabi Muhammad (saw) berusia 25 tahun manakala Siti Khadijah r.a. berusia 40 tahun. Mereka berdua hidup bahagia dengan penuh kasih sayang selama 25 tahun iaitu semasa Nabi berusia 50 tahun dan isteri yang dikasihinya berusia 65 tahun.  Selain dari Sayiditina Siti Aisyah, kebanyakan isteri baginda adalah janda-janda dan sudah tua.  Maka, benarkah tujuan perkahwinan itu hanya untuk lelaki memuaskan nafsu seks dan mengembangkan zuriat?  Walaupun Rasulullah mempunyai seramai dua belas orang isteri, namun baginda hanya mempunyai tujuh orang anak sahaja, iaitu enam anak yang dilahirkan oleh Khadijah dan seorang anak dari isteri baginda yang bernama Siti Mariyah.

Sesungguhnya, konsep perkahwinan yang dianjurkan al-Qur’an adalah keluarga yang harmoni “dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan ketenangan/kebahagiaan dan Allah ciptakan di antara kamu berdua kasih sayang dan belas ihsan” (Surah Ar Rum 30:21)  dan “..dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isterimu) dengan cara yang baik,” (An Nisa’ 4:19).

Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem.  Filem dokumentarinya “Mencari Kartika” dan “Aku Siapa” menimbulkan perbincangan yang rancak dan menjadi bahan mengajar di banyak universiti di dalam dan luar negara.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , ,

6 Responses to “Isteri ibarat pelacur?”

  1. awan gebu says:

    Betul betul betul.

  2. didi says:

    Obedient Wives Club news gave the impression that Muslim men want prostitutes for wives, not one but four. Do you wonder why men don’t respect their wives, then? Should women respect these men?

    If they had emphasised on obedience to God, it would not have sounded so tacky or theologically unsound. Muslims are supposed to obey God first and foremost. When you obey God, you will do the right thing like taking care of your family needs properly. When you emphasise obedience to husband, it will be problematic. Muslims claim that there is no god but GOD but if you obey your husband more than God, you have made him god. What if [your husband] says,”I hate you. Go and die”.

    The Syariah maxim is “There is no obedience to what will cause disobedience to the Creator”.

    Why these people love to give a bad name to Islam is beyond me. Is it stupidity?

  3. Hafiz says:

    Salam Norhayati,

    Saya paham perasaan anda terhadap article tentang isteri sebagai pelacur first class..

    Saya turut tidak setuju dengan hal ini, institusi keluarga harus dibina dengan dasar tolak ansur, kesefahaman dan kerjasama antara suami dan isteri.

    Cuma ingin membetulkan satu info di sini: Islam TIDAK memperkenalkan poligami, ianya telah lama di amalkan oleh kaum-kaum terdahulu.

    Islam cuma menjadikan poligami lebih teratuk yakni di hadkan empat orang sahaja mengikut syarat tertentu.

    Tujuan poligami utama adalah:

    1. menyambung keturunan ataupun mendapatkan zuriat (jika isteri sedia ada tidak mampu melahirkan)
    2. membantu ibu tunggal yang kesusahan.

  4. farha says:

    Saya diberitahu bahawa tugas hakiki isteri ialah menjaga anak dan melayan suami, dan yang lain-lain itu adalah sunat sahaja…

  5. hazy says:

    It is so amusing to read the articles on the “obedient wives’ club” and how degrading it could be. Both husband and wife must respect each other, and no one is above each other. In terms of responsibility, we live in a modern society. Women work. What is the harm [in that]?

    Why would anyone want to give Islam another reason to be disliked? Come on, people, wake up. [If a man is going to stray], no matter how much the wife gives, the man will stray.

  6. Bundle of Crap says:

    Marriage is all about respect, trust and understanding. Taking the good with the bad of each person.

    If I need to “whore it up” just to keep my future husband from straying, I’d rather not get married.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site