Categorised | Columns

Hip-hop versi Islam

Hip-hop versi Islam
The Platform Magazine diterbitkan di United Kingdom

TERUS-terang saya mengaku, saya memang takut dengan muzik hip-hop. Sebab bagi saya, hip-hop itu sinonim dengan pakaian longgar, air muka bengis dan senikata rap yang agak ganas. Jadi, memang terlalu out of character bila saya membeli majalah The Platform Magazine June-July 2008, tapi saya amat tertarik dengan labelnya, For Muslim hip-hop culture and arts, dan Your original Muslim hip-hop source.

Apa? Budaya hip-hop versi Islam?

Mula-mula saya agak waspada juga dengan majalah ini. Mungkin ia hanya hip-hop pada permukaan, tapi sebenarnya merupakan terbitan dakwah konservatif. Atau mungkin sebaliknya hanya bertopengkan Islam, tapi sebenarnya merupakan satu terbitan hip-hop yang ganas lagi bahaya. Jadi saya membelek dulu kandungannya sebelum membaca dengan lebih mendalam.

Subjek-subjek temuramahnya memiliki nama seperti Shaykh Mumisa, Abdul-Karim Hattin, Amir Sulaiman dan Rajae el Mouhandiz. Dimuatkan juga resipi untuk gulab jamun, iaitu sejenis hidangan pencuci mulut India yang mampu menaikkan kolesterol anda ke tahap maksima kalau tak berjaga-jaga.

So far so good.

Hip-hop versi Islam
Rajae el Mouhandiz (Sumber: The Platform Magazine, Jun-July 2008)
Saya memilih untuk membaca dua artikel wawancara dulu. Yang pertama dengan seorang artis wanita, Rajae el Mouhandiz. Dia berketurunan Maghribi tetapi bermastautin di negara Holland. Rambutnya keriting dan lebat.

Amboi! Mustahil, saya rasa, untuk majalah yang bertemakan “Islam” di Malaysia untuk memaparkan artis wanita yang tidak bertudung. Ini membuatkan saya lebih tertarik membaca tentang si Rajae ini.

Stigma

Dia memang mengaku, ada stigma besar terhadap wanita Muslim yang mahu menyanyi dan merakamkan album. Rajae memberi contoh lagu hitnya, Oualad Al Islam, yang pernah dipersembahkan secara live di Holland dan Maghribi. Yang menariknya, persembahannya di Holland, sebuah negara Barat, dikecam habis-habisan oleh masyarakat Islam di sana. Akan tetapi, persembahannya di Maghribi, di hadapan 40,000 penonton, dipuji habis-habisan walaupun dalam akhbar Islam sekalipun.

Rajae berkata bahawa dia cuba menerangkan kepada kaum Islam di Holland bagaimana dia disambut di Maghribi dan juga tentang kandungan muziknya, yang bertemakan isu keamanan di dunia. Akhirnya segelintir kaum Islam di Holland meminta maaf kepadanya dan mula menerima muziknya.

Namun, Rajae berkata dia juga menghadapi prejudis daripada golongan berkulit putih yang bukan Islam. Katanya, “Muslims are afraid to represent me because I’m a woman… Whites are afraid of me because I’m a Sufi.”

Dan Rajae juga lantang mempertahankan satu konsep yang sering dicaci oleh ramai pihak berkuasa di Malaysia – feminisme. Katanya, “I teach young Moroccan girls about Islamic feminism.”

Wawancara dengan Amir Sulaiman, seorang rapper beragama Islam berkulit hitam dari Amerika Syarikat, juga amat menarik. Oleh sebab muzik Amir bersifat kritikal, pihak FBI telah menyoalnya tentang kegiatan “anti-Amerika”-nya. Dia pernah diharamkan menaiki kapal terbang untuk ke luar negeri, walaupun sekatan ini kemudiannya ditarik balik.

Hip-hop versi Islam
Amir Sulaiman (Sumber: The Platform Magazine, Jun-July 2008)
Amatlah menarik bagi saya untuk membaca tentang artis seperti Amir dan Rajae, yang amat berani dan berprinsip, tetapi menghadapi dugaan tersendiri sebagai golongan minoriti di negara masing-masing.

Kenapa takut pula?

Setelah membaca dua artikel ini, saya terpaksa bertanya pula kepada diri saya sendiri: “Kenapa sebelum ini aku takut dengan hip-hop?” Dan saya sedar bahawa sebenarnya saya tidak takut kepada hip-hop.

Saya cuma takut dengan artis seperti Eminem, 50 Cent dan golongan seangkatan dengan mereka, kerana tema-tema dalam muzik mereka sering memeluk keganasan, menghina wanita dan mengecam golongan gay dan lesbian. Tapi saya rasa terpulanglah kepada citarasa masing-masing. Pasti ada di Malaysia yang suka melayan muzik 50 Cent dan Eminem. Jangan paksa saya layan sekali cukuplah.

Saya pula suka Kanye West, yang banyak menyentuh topik keadilan sosial, begitu juga dengan Neneh Cherry dan Arrested Development masa saya kecil dulu. Mereka ini pun artis hip-hop juga. Malah di Malaysia pun kita ada artis hip-hop yang amat popular, tetapi saya kira sekarang genre hip-hop di sini sudah dipinggirkan sedikit berbanding dengan genre indie.

Hip-hop Yahudi

Jadi, sesuatu genre muzik sebenarnya boleh diolah dan dipersembahkan dengan pelbagai cara. Contohnya dalam hip-hop ada gaya gangsta rap, political hip hop, dan seperti yang dipaparkan dalam The Platform Magazine, ada hip-hop Islam juga.

Hip-hop versi Islam
Adakah kita perlu mengharamkan hip-hop kalau wujud versi Yahudi, seperti Matisyahu? (Sumber: Matisyahu @ Facebook)
Hip-hop Yahudi pun ada! Pernah dengar tentang artis Yahudi dari Amerika Syarikat yang bernama Matisyahu? Muziknya adalah gabungan reggae, hip-hop dan muzik Yahudi klasikal. Salah satu lagu hitnya ialah Jerusalem (Out of Darkness Comes Light).

Tapi kita tahu di Malaysia, kalau sebut sahaja perkataan “Yahudi,” nescaya akan keluarlah pelbagai teori konspirasi dan syarahan tentang bagaimana imbangan kuasa global sedang diporak-perandakan oleh puak Yahudi, dan bagaimana mereka mendalangi Amerika Syarikat untuk menghancurkan umat Islam belaka.

Dari segi ini pun, The Platform Magazine mampu mencabar. Artikel The Information War menceritakan tentang sebuah stesen radio di Baitul Maqdis, RAM FM, yang merupakan usahasama antara komuniti Yahudi dan Palestin. RAM FM ditubuhkan oleh Issie Kirsh, yang berbangsa Yahudi, pada tahun 2003.

Formatnya berdasarkan Radio 702 di Afrika Selatan, yang juga diasaskan oleh Kirsh. Matlamat Radio 702 ialah memupuk harmoni antara kaum dan mencabar rejim apartheid. Kata Kirsh: “I wanted to do the same thing [in Jerusalem] — to get Israelis and Palestinians to talk together.”

Malangnya, pihak berkuasa Israel telah menggeledah stesen tersebut atas alasan “mengganggu siaran radio yang lain” dan memberkas pekerja RAM FM. Mereka dibebaskan, tapi sekarang hanya stesen RAM FM di Ramallah yang dibenarkan berfungsi.

Hip-hop versi Islam
Artis Islam Poetic Pilgrimage (Sumber: The Platform Magazine, Jun-July 2008)
Yang mengagumkan saya, artikel ini langsung tidak memuatkan retorik anti-Yahudi, tetapi mengkritik pengharaman bersifat politik yang dilakukan oleh rejim Israel.

Dan inilah yang membuatkan saya kagum dengan pendekatan yang dibawa oleh majalah Islam ini. Dalam artikel The Way Forward, penulisnya, Dawoud Kringle, mengecam industri muzik yang hanya mementingkan keuntungan kewangan tanpa merangsang perkembangan sahsiah.

Namun, katanya, “Yet simply pointing to it and saying ‘THIS IS HARAM!’ is only a first step; and rather a clumsy and ham-fisted step at that. The Muslim authorities, who ban such music and whatever else, are putting a band-aid on a gunshot wound. They can make all the bans and fatwas they wish. It will amount to nothing.”

Katanya, sejarah Islam membuktikan bahawa muzik sebenarnya memainkan peranan penting dalam perkembangan politik, rohani dan intelek tamadun Islam dan juga tamadun-tamadun lain.

Kesimpulannya, “Music is a microcosm of all created things, a powerful force of nature; and an eloquent indication of who we are. [This] holistic combination is a treasure that the Muslim community offers humanity.” End of Article


Shanon Shah akan terus menghasilkan muzik pop, kerana takut nanti lidahnya terseliuh kalau mencuba nasib dengan rap.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon



Comments are closed.

Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site