Categorised | Columns

Hikayat pemansuhan pilihanraya sekolah

ENTAH bagaimana saya terjumpa segulung kertas lama di rumah saya. Di manakah saya mendapatnya? Tidak mungkin saya membelinya di kedai buku dan terlupa — kertasnya terlalu tua. Mungkinkah saya terbawa pulang setelah saya melawat Lembah Bujang di Kedah tahun 2009 lalu?

Apa-apa pun, saya terlalulah tertarik dengan apa yang tertulis di atas kertas yang semakin menguning ini. Ia seperti dipetik daripada sebuah hikayat lama. Saya pun tidak pasti apa hikayatnya, bila ia ditulis dan siapa penulisnya. Maklumlah, para sarjana bersetuju bahawa maklumat seperti tarikh tepat bila sesuatu hikayat Melayu pertama kali ditulis dan siapa pengarangnya agak sukar dijawab dan sering meninggalkan tanda tanya.

Yang saya hairan, hikayat ini juga mengandungi unsur mitos dan dongeng yang agak lain daripada hikayat Melayu yang lain. Saya juga hairan kerana ia terlalu mirip kepada kontroversi terbaru tanahair tentang pelantikan ketua pengawas di sekolah. Sebab itulah juga bulu roma saya menjadi tegang apabila terfikir dari mana agaknya datangnya gulungan nota bersejarah ini. Saya muatkan petikan yang paling menarik di sini untuk renungan kalian:

aka berganti-gantilah keturunan Raja Merong Wangsa Maju di atas takhta sampailah kepada Raja Ong Maha Peria Deria Pahit yang terlalu besar panjang dengan hebat terpandang sikapnya. Adapun Raja Ong Maha Peria Deria Pahit pun sangatlah besar hatinya hendak memasyhurkan negerinya dengan menarik pelaburan asing dan meluaskan liputan internet. Tetapi perangainya makin besar panjang makin kahar lakunya. Hatta, tibalah masanya tidak boleh silap sikit pun rakyatnya, habislah dikenakan laporan polis, kena tangkap rantai dipenjarakannya.

Adapun negerinya selama ini masyhur kerana mengamalkan sistem pilihanraya berdemokrasi, maka Raja Ong Maha Peria Deria Pahit terlalulah murka apabila rakyat tersalah pilih pemimpin. Hatta, pada suatu hari raja tengah dihadap oleh orang sekalian, termasuk wartawan akhbar cetak dan online, maka titahnya, “Hendaklah kita segera menghentikan sistem pilihanraya, bermula dengan ketua pengawas di sekolah. Awat tak, nanti jadi pulak pertandingan fofulariti dan folitik wang.”

Demi dibaca berita tersebut keesokan harinya, seorang murid sekolah biasa, Putera Garu Celana, terlalulah gempar. Maka katanya, “Hai, ni macam mana aku nak naik jadi ketua pengawas dekat sekolah aku? Muka hensem saja tak guna, mesti orang kena kenal dan kurniakan pangkat dekat kita sekali.” Difikir dan difikir, dicari dan dicari, akhirnya Putera Garu Celana mendapat penyelesaian. “Aku akan pakai media baru!”

Hatta, tanpa melengahkan masa, Putera Garu Celana terus mengemaskini profailnya di mashaf Facebook dan Twitter, dan terlalulah giat menambah Friends dan Followers. Bermula daripada semua kawan-kawannya di sekolah dan guru-gurunya, Putera Garu Celana berhempas pulas mencari sampailah himpunan Friends dan Followersnya melimpah-limpah, tiada tepermenai banyaknya.

Maka Putera Garu Celana pun kian masyhurlah di mashaf Facebook dan Twitter, kerana hari-hari bermain Mafia Wars, Farmville dan Facebook Scrabble dengan peminat-peminatnya. Malah, terpaksa juga dia mencari tukang urut untuk jari-jemarinya kerana terlalu khusyuk ber-retweet tiap-tiap hari.

Syahadan, tibalah masanya untuk memilih ketua pengawas di sekolah Putera Garu Celana itu. Dan sudah tentu Putera Garu Celana telah cuba menggunakan pengaruhnya di Facebook dan Twitter untuk terpilih ke pangkat tersebut, kerana itulah satu-satu strateginya setelah sistem pilihanraya dimansuhkan.

Adapun guru-gurunya tidak bersetuju, sebab Putera Garu Celana tahu kontrol hensem saja dan tidak mempunyai apa-apa kemahiran dan kebijaksanaan pun. Maka mereka melantik Puteri Bedak Wangi sebagai ketua pengawas, tanpa pengetahuan murid-murid yang lain.

Maka dengan itu terlalulah berang jadinya Putera Garu Celana, lalu terus menubuhkan kumpulan I bet I can find 1,000,000 friends who will kill my enemies di Facebook. Demi usahanya yang gigih selama ini untuk mencari seberapa banyak pengikut online, maka terkabullah permintaannya dalam masa kurang daripada 24 jam.

Maka hari pun sianglah dan para pengikut Putera Garu Celana pun pergilah ke sekolahnya dan menyatakan kehendak datang melanggar di situ. Maka Puteri Bedak Wangi dan seluruh isi sekolah pun bertembung dengan kumpulan lawan, dengan tempik soraknya terlalu gempita bunyinya, seperti guruh di langit. Akan tetapi akhirnya binasalah juga Puteri Bedak Wangi dan isi sekolahnya, banyak yang mati bertimbun-timbun seperti gunung, darahnya mengalir seperti laut.

Adapun Raja Ong Maha Peria Deria Pahit itu mendengar tentang kejadian itu maka terlalulah murka jadinya. “Mesti ada kaedah nak kasi putera haprak ni pi mampuih,” titahnya.

Dipanggilnya polis untuk menahan Putera Garu Celana dan pengikutnya, tetapi polis juga yang mati bertimbun-timbun. Dipanggilnya hakim-hakim untuk mengadili Putera Garu Celana dan pengikutnya, tapi seorang-seorang mereka dipancung dan dicincang oleh pengikut Putera Garu Celana. Kenapa tidak, negeri tersebut sudah tidak kenal erti demokrasi dan hak asasi. Syahadan, Raja Ong Maha Peria Deria Pahit cuba pula untuk menghimpun pengikutnya sendiri di mashaf Facebook, tetapi malangnya baginda gagal kerana sebenarnya mahu membuka akaun Yahoo! pun baginda tidak tahu bagaimana.

Maka tibalah akhirnya bala tentera Putera Garu Celana di pintu gerbang istana Raja Ong Maha Peria Deria Pahit. Maka titahlah raja, “Hang mau apa?”

Maka dijawablah Putera Garu Celana, “Aku nak ditabalkan sebagai ketua pengawas, sebab muka hensem saja tak guna, mesti mau ada pangkat sekali.”

Telah demikian dimintanya, maka baginda raja pun terdiam berfikir. Betul, Putera Garu Celana itu banyak hensem mukanya. Tetapi khabar di seluruh negeri ialah bahawa dia memang bodoh berdengung.

Tetapi baginda dinasihatkan pula oleh seorang menterinya, “Ampun tuanku, tapi tuanku tengoklah. Sebongok-bongok dia pun, pandai pulak dia cari pengikut banyak sampai macam tu. Tuanku mampukah nak bertanding dengan dia?”

“Wahai Putera Garu Celana,” titah baginda raja, “Apa kata aku lantik hang jadi menteri aku?”

“OK, no hal,” jawab Putera Garu Celana. Maka Raja Ong Maha Peria Deria Pahit pun menjadi sangatlah mesra kasih akan Putera Garu Celana, tiadalah bercerai jauh dengan dia. Maka beberapa pula daripada perempuan yang baik-baik dan bangsa raja-raja dicari oleh baginda akan jadi isteri Putera Garu Celana, maka seorang pun tiada berkehendak di hati Putera Garu Celana, kerana segala impiannya semakin hampir tercapai. Hari ini jadi menteri, esok lusa mungkin jadi raja.


Sebagai anak Kedah, Shanon Shah selalu juga ralit melayan kisah-kisah dari negeri kelahirannya, contohnya yang terdapat di dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Baca ruangan Secubit Garam terdahulu

The Nut Graph memerlukan bantuan anda 
Silalah luang lima minit untuk mengambil
tinjauan pembaca kami

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , ,

3 Responses to “Hikayat pemansuhan pilihanraya sekolah”

  1. Z00L says:

    Hahaha! Bodoh berdengung!

  2. shrf says:

    Pedas memikat.

  3. sheila says:

    Another hilarious one! I really enjoy your articles…


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site