Categorised | Columns

Harga agama


(© Elvis Santana / sxc.hu)

SEBELUM membeli surat khabar, kita biasanya melihat-lihat sekali imbas tajuk-tajuk utama yang tertera di muka hadapannya. Dan pilihan kita biasanya akan lebih menjurus kepada akhbar-akhbar yang melaporkan berita-berita utama yang sedang hangat dihebahkan dan diperkatakan pada ketika itu. Tidak kiralah sama ada berita itu berkisar tentang hal-hal di dalam mahupun di luar negara.

Maka kalau kita perhatikan sejak terbukanya tirai tahun baru 2009 ini, berita utama yang sedang hangat dan menjadi perhatian umum adalah tentang serangan Israel terhadap Palestin. Malah bagi kami isu ini sudah pun berlarutan sejak tahun 1980an lagi.

Tetapi punca kami tertarik untuk membeli akhbar Utusan Malaysia 6 Jan 2009 bukanlah kerana tajuk utamanya berkisar tentang Israel-Palestin-Amerika. Tetapi kerana kami terbaca di ruangan karikatur Senyum Kambing di muka hadapan bahawasanya penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah untuk tahun ini berpeluang menerima RM1 juta. RM1 juta? Banyaknya! Kami pun beli akhbar itu untuk keterangan lebih lanjut.

Sebelum itu ingin kami tegaskan bahawa bukan kami tidak simpati tentang isu Israel-Palestin-Amerika. Cuma RM1 juta juga terlalu menarik untuk kami. Tidak, kami bukan lelaki pisau cukur yang mata duitan atau gigolo yang gilakan kereta sport panduan sebelah kiri.

Sepanjang yang kami tahu, anugerah Tokoh Maal Hijrah adalah anugerah yang dikhaskan untuk ulama yang berjaya, cemerlang dari sudut jasmani dan rohani serta ingin dijadikan contoh kepada masyarakat Muslim. Namun bila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata wang ini adalah untuk memartabatkan Islam serta menghargai ulama yang sumbangannya lebih besar dari penyanyi, kami jadi was-was, tidak setuju. Dan bila kami dapat tahu yang ucapan beliau itu disampaikan di pelancaran Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Terengganu, kami jadi prejudis.

Masing-masing ada tempat

Pertama, kalau benarlah tujuannya untuk mengangkat agama Islam, kenapa duit yang dijadikan kayu ukuran? Apakah martabat akan terangkat dengan duit semata? Duit itu harta, harta itu dunia, dunia itu sementara. Apakah kita ingin mendidik masyarakat untuk menjadi baik dan berjaya demi harta?

Kedua, jika benarlah ingin menunjukkan bahawa ulama itu lebih besar sumbangannya dari penyanyi, kenapa nilai duit yang dijadikan ganjaran? Dan kenapa pemberian wang ini semata-mata untuk membezakan ulama dengan penyanyi?

Bagi kami ulama dan artis itu ada tempat mereka yang tersendiri dalam masyarakat. Seperti garam dengan gula, dua-dua ada pentingnya, tapi berbeza fungsi dan keperluan. Jadi tidak sesuai disamakan atau dibandingkan.


(© Arjun Kartha / Sxc.hu)

Ketiga, andai jujur tujuannya RM1 juta ini, kenapa dicadangkan baru sekarang? Di satu majlis pelancaran di Terengganu pula. Kenapa di Terengganu? Apakah kerana pilihanraya kecil yang ditetapkan pada 17 Jan? Mungkin terlalu kejam tanggapan kami ini. Akan tetapi, sudah menjadi kebiasaannya serta jelas dan nyata bahawa di Malaysia ini isu berkaitan agama memang seringkali dijadikan propaganda pilihanraya.

Jadi kalaulah segala ini sekadar propaganda pilihanraya, memang celakalah segalanya. Bunyinya memang agak kasar dan kurang ajar, tapi itulah yang kami rasa jujur dari hati yang tidak bersegi. Seperti dialog dalam skrip Hamlet oleh William Shakespeare, “Budi bahasa juga kadangkala perlu membenarkan kejahatan.” Kerana kami percaya, kejujuran tidak semuanya dapat disampaikan dengan kelembutan.

Harga diri

Kami setuju jika ulama diberi penghormatan yang sewajarnya. Kami cuma tidak setuju jika nilai material yang dijadikan kayu ukur ganjaran dan ketinggian martabat. Persoalan ini berbalik kepada apa yang kita sebenarnya inginkan? Kualiti atau kuantiti?


(© Ginny Warner / sxc.hu)

Kita telah diajar dan sering disogokkan sejak kecil lagi dengan budaya membuat dan mencapai sesuatu untuk ganjaran material. Contohnya masa kita kecil dulu, kita pasti biasa dijanjikan dengan basikal atau beg sekolah baru oleh ibu bapa jika berjaya mendapat nombor satu di dalam kelas. Atau kita juga akan diupah dengan duit jika kita menolong mencari uban di kepala ibu bapa kita. Biasanya sehelai dapat sepuluh sen. Bagi kami inilah antara puncanya yang menjadikan masyarakat kita sekarang sibuk menilai sesuatu dari sudut ganjaran material. Sehingga ulama yang sepatutnya menjadi contoh yang baik dari sudut agama pun ingin dinilai dari sudut material.

Tapi yang kami pelik bila hal ini dibawa ke dalam soal maruah, tidak pula ia dinilai dari sudut material. Tidak kira berapa mahal sekalipun harga seorang pekerja seks itu, masyarakat tetap memandang hina terhadap pekerjaan itu. Tidak tinggi pula martabat mereka walau semahal manapun ganjaran yang mereka perolehi hasil menjual maruah. Kenapa tidak?

Jawapannya pasti berbeza untuk setiap orang. Kerana masing-masing pasti punya alasan tersendiri. Jadi persoalan kami, kenapa cara kita menilai maruah itu tidak digunapakai ke dalam cara kita menilai martabat seorang ulama?


Fared Ayam dan Zahiril Adzim adalah graduan Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Mereka sering bekerjasama dalam menghasilkan karya teater yang mencerminkan realiti masyarakat Malaysia.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

3 Responses to “Harga agama”

  1. najmi gombak says:

    Duit Malaysia 1,000 ribu

    Bukankah Al-Fatihah itu lebih berharga dari bumi dan sekalian isinya? Ah, mungkin mereka ingin bersedekah. Eh tidak, ianya sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan ulama yang lebih besar dari penyanyi. Entah…Sudah jadi kebiasaan orang-orang zaman ini barangkali. Duit itu jadi segala yang menentukan tinggi rendah martabat dan harga diri. Orang banyak duit disanjung, disegani dan orang yang sebaliknya dipandang rendah saja, cukuplah jadi pengimbang ekosistem manusia.

    Duit dapat beli gula-gula. Duit dapat beli hormat, budaya, masyarakat, agama dan kepercayaan (zaman ini). Undi? Mungkin juga, barangkali. Cukupkah satu juta? Kenapa tidak 10 juta? 100 juta? Entah. Tidak mengapa, Maal Hijrah 1431 kita naikkan dua juta pula. Kalau turun nanti apa pula kata orang. Susah juga mahu tentukan nilai bukan?

    Ulama pewaris nabi. Jika benar mahu menghargai ulama, keutamaannya adalah dengan mempercayai sepenuh hati dan melaksanakan hukum Allah yang disampaikan. Paling kurang, cukup dengan ucapan “terima kasih”. Jadi yang sebetulnya ganjaran RM1 juta kepada Tokoh Maal Hijrah adalah sekadar pemberian tanpa tujuan. Jika ini yang digarapkan oleh pihak tertentu kepada media, artikel dan komen ini tidak akan wujud sama sekali (tanpa mengambilkira unsur-unsur politik).

    *Segala yang terbaik buat Fared Ayam dan rakan-rakan dari kenalan lama di kapal dagang.

  2. ???? says:

    Cayalah bro! Wa sokong lu.

  3. khairil says:

    Well written bro, cool stuff. Pada era sekarang ni semua dinilai ikut duit.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site