Categorised | Columns

Fatwa boleh dicabar


Ahli-ahli Katagender memprotes fatwa anti-pengkid pada 7 Nov 2008 (Gambar oleh Lainie Yeoh)

JANGAN cabar fatwa. Itulah arahan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tanggal 10 Nov 2008. Menurut laporan Utusan Malaysia, arahan tersebut dikhususkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam, Katagender dan Food-not-Bombs, yang berdemonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang pengharaman pengkid 23 Okt lalu.

Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, juga memberi amaran yang sama kepada “NGO bukan Islam” berkenaan pada 13 Nov. Pulak dah!

Laporan mutakhir untuk Zahid dan Musa — Katagender bukannya satu “NGO bukan Islam”. Ia merupakan satu kolektif pelbagai kaum dan agama, termasuk lelaki dan wanita Islam. Dan bantahan terhadap fatwa ini bukan hanya timbul di kalangan orang bukan Islam. Ramai juga orang Islam yang mempersoalnya. Artikel saya sebelum ini juga merujuk kepada isu ini.

Tapi menurut Zahid lagi, tidak wajar untuk sesiapa “mempertikaikan sesuatu hukum berasaskan logik akal semata-mata untuk kepentingan liberalisme bagi kelompok tertentu.”

Ini bukan satu pendapat yang baru, atau pendirian yang khusus kepada Zahid. Kira-kira tiga tahun yang lalu, presiden Angkatan Belia Islam Malaysia atau Abim, Yusri Mohamad, menggunakan hujah yang sama apabila beberapa kumpulan wanita membantah Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005.

Menurut laporan Utusan Malaysia, 12 Jan 2006, Yusri berkata, “[P]eruntukan yang ada dalam [Rang Undang-Undang Keluarga Islam] itu tidak seharusnya dibahas atau diperkatakan mengikut akal fikiran manusia kerana ia berasaskan hukum syarak.”


Presiden Abim Yusri Mohamad
Katanya lagi, “Kita juga perlu ingat tidak semua orang boleh bercakap mengenai hukum syarak kerana ia berasaskan Al-Quran dan hadis.”

Masa saya Tingkatan Dua, ustaz saya juga pernah berpesan supaya jangan mempersoal hukum agama. Nanti jadi gila, katanya. Jadi saya pun berhenti mempersoal apa sahaja tentang agama Islam, sebab saya takut nanti saya jadi gila.

Namun, saya terus terbaca dan terdengar perkara-perkara berbau diskriminasi terhadap wanita, bukan Islam, dan golongan gay, lesbian dan mak nyah — tetapi bertopengkan “hukum” atau “fatwa”. Inilah yang membuatkan saya hampir-hampir gila, bukannya soalan yang saya ada tentang firman Allah.

Menurut perintah

Tetapi, adakah perintah yang dikeluarkan oleh Zahid itu tepat? Benarkah di dalam Islam, orang Islam mahupun bukan Islam tidak boleh menggunakan akal dan logik untuk menilai sesuatu hukum?

Saya bukannya seorang ulama, tetapi saya merupakan seorang Muslim yang selalu mendapat ilham daripada kitab suci Al-Quran.

Allah berfirman dalam Surah Al-Jaathiyah, Ayat 5: “Dan [pada] pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga [pada] rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta [pada] peredaran angin, [semuanya itu mengandungi] tanda-tanda [yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya] bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.”

Bagi saya, jelas sekali Islam mementingkan penggunaan akal fikiran untuk menilai dunia dan kewujudan alam.

Tetapi besar kemungkinan pendirian saya akan diserang kerana saya tidak mempunyai tauliah sebagai seorang ulama. Jadi saya ambil satu contoh dari sejarah perkembangan Islam pada awal abad ke-20, yang diceritakan dengan lebih terperinci dalam Islam: A Short Introduction, oleh Abdulkader Tayob.

Pada masa itu, komuniti Islam di India sedang dilanda kekeliruan tentang peranan teknologi dalam amal ibadat. Sekitar masa ini, alat pembesar suara mula digunakan dalam pelbagai konteks di serata dunia. Masyarakat Islam di India tidak tahu sama ada alat pembesar suara boleh digunakan dalam konteks sembahyang berjemaah.

Dalam sembahyang berjemaah di masjid, imam akan berdiri di hadapan dan menerajui semua bacaan dan gerakan yang akan dituruti oleh jemaah yang lain. Apabila bilangan jemaah terlalu besar, saf di belakang mungkin tidak dapat melihat atau mendengar imam. Jadi, beberapa orang mukabbir akan menyelangi saf-saf pada jarak tertentu dan mengeluarkan laungan yang menjadi panduan kepada jemaah lain untuk mengikut pergerakan imam.

Tetapi pada tahun 1963, satu fatwa yang penting diterbitkan oleh Mufti Muhammad Shafie dari madrasah Darul Uloom, Deoband. Darul Uloom diasaskan pada tahun 1867, dan mempelopori ajaran mazhab Hanafi. Ia merupakan salah satu institusi dakwah Islam yang paling terkemuka di dunia. Malah, saya terbaca dalam majalah Off the Edge edisi November 2008 bahawa Mursyidul Am PAS sendiri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, telah melanjutkan pelajarannya di Deoband pada tahun 1950an.

Tapi kita berbincang tentang Mufti Shafie, bukan Nik Aziz. Shafie telah mengeluarkan satu fatwa yang mengharamkan penggunaan alat pembesar suara dalam solat berjemaah. Ini bukan calang-calang fatwa. Impaknya pun amat serius kerana walaupun golongan Islam merupakan minoriti di India, populasinya tetap gergasi jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Namun, beberapa tahun selepas itu, alat pembesar suara mula digunakan secara berleluasa untuk solat jemaah dalam masjid-masjid di Mekah dan Madinah, tanpa sebarang pengharaman oleh ulama Arab Saudi. Jadi, Mufti Shafie terpaksalah mengkaji semula fatwanya, dan akhirnya menterbalikkan pengharamannya terhadap penggunaan alat pembesar suara.

Kepentingan umum

Jadi, bagi sayalah sekurang-kurangnya, sesuatu fatwa itu penting untuk mencapai kesinambungan dalam penghayatan agama Islam. Akan tetapi, fatwa boleh berubah mengikut keadaan dan keperluan semasa. Malah, fatwa boleh dicabar dalam konteks tertentu. Dalam sejarah Islam, para alim ulama sering mengeluarkan pendapat tentang hukum-hakam, tetapi mereka amatlah merendah diri dalam hal ini.

Imam Shafie sendiri pernah berkata, “Pendapat saya adalah betul, namun kemungkinan bahawa saya salah tetap wujud.” Dan pemikirannya telah menjadi asas kepada mazhab Shafie yang tersebar ke Asia Tenggara.


Gambar oleh Lainie Yeoh

Ketika pemerintahan Abbasid, khalifah Mansur pernah cuba mempamerkan Muwatta oleh imam Malik di Kaabah, sebagai panduan kepada rakyat di seluruh empayar Islam. Malik tidak membenarkan Mansur berbuat demikian, dengan hujah bahawa umat Islam di kawasan yang berlainan mungkin mempunyai pandangan dan tafsirannya sendiri. Kata Malik, “Kepelbagaian pendapat itu adalah rezeki Allah kepada ummah.”

Jadi, adakah perintah supaya orang awam tidak mencabar fatwa mengambilkira realiti sejarah tamadun Islam seperti ini? Zahid berkata bahawa pihaknya bersedia untuk menjelaskan fatwa pengharaman pengkid tersebut kepada pihak NGO. Malah, Zahid berkata bahawa Wilayah Persekutuan akan cuba mewartakan fatwa tersebut secepat mungkin.

Jika fatwa tersebut diwartakan, ia akan membawa kuasa undang-undang — mana-mana wanita yang dianggap memaparkan ciri-ciri pengkid akan dilihat sebagai penjenayah. Adakah ini dianggap sebagai contoh hikmah dan kebijaksanaan yang dibawa oleh Islam?

Saya sendiri bukannya mempersoalkan fatwa ini sekarang. Tetapi saya ingin tahu bagaimanakah pewartaan dan pelaksanaan fatwa ini akan menjamin keadilan dan kesaksamaan terhadap rakyat Malaysia?

Benar, kita tidak patut mempersendakan atau memperlekehkan mana-mana ajaran agama di Malaysia yang majmuk ini. Tetapi, bila sesuatu fatwa itu digunakan untuk membentuk dasar awam yang memberi kesan mendalam kepada kepentingan umum, kita semua berhak untuk melontarkan pendapat masing-masing secara terbuka.


Shanon Shah yakin bahawa rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum semakin mampu menangani perbezaan pendapat secara matang.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , ,

19 Responses to “Fatwa boleh dicabar”

  1. ayu says:

    Jika benar saya akan menjadi gila akibat menyoal isu agama…saya sedia terima :o ).

  2. Mohamed isa says:

    Saudara, adakah pengkid ini satu budaya yang baik yang saudara nak pertahankan? Islam adalah yang terbaik jadi kenapa nak jadikan ianya popular untuk perbahasan al-kisah pengkid ini? Saudara, buatlah yang terbaik berlandaskan Sunnah dan Al Quran.

  3. sham says:

    Sememangnnya pengkid mahupun lelaki lembut adalah kalangan yang diharamkan syurga ke atasnya. Malah dengan menggunakan logik juga ia satu tindakan yang luar batas manusia selaku lelaki mahupun perempuan dan merosakkan keturunan dan akhlak sebagai tugas Rasul untuk membetulkannya.

    Dalam satu hadis dinyatakan jelas bahawa: “Dilaknati Allah SWT dan RasulNya ke atas lelaki yang berupa-rupa perempuan dan perempuan yang berupa-rupa lelaki.”

    Bertindaklah atas dasar Quran dan As-Sunnah selagi kita menjadi hambaNya. Selagi segala yang digunakan milikNya, janganlah terlalu takbur.

  4. Amiruddin Haji Abu says:

    Yang haram itu tetap haram walaupun penggunaannya berleluasa seperti meminum arak. Tidak dinafikan bahawa wanita menyerupai lelaki itu bertentangan dengan ajaran Islam begitu juga sebaliknya.

    Saya jelas tentang perkara ini maka saya mengajar anak-anak perempuan saya supaya menjadi perempuan (perlakuan, kesantunan, pemakaian, keluhuran dan sebagainya).

    Allah yang memilih kita kepada gender kita kerana DIA tahu apa yang dilakukannya.

  5. junduLlah_pas_tuaran says:

    Saudara:
    Segala dasar Islam hanya bergantung kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Apa yang kamu katakan agak menyimpang dari landasan logik akal. Memang Islam tidak nafikan bahawa logik akal penting dalam sesuatu penghujahan. Tapi harus diingat Al-Quran dan Sunnah adalah asas kepada logik akal. Sebagai contoh: bolehkah kamu terima bahawa seseorang manusia makan najis, sedangkan telah termaktub benda itu adalah MEROSAKKAN diri dan MEMBAWA KEHINAAN kepada manusia tersebut. Kamu boleh kata bahawa (atas logik akal seperti yang kamu katakan) si manusia tidak apa makan najis sebab atas logik akal atas kerelaannya dan kemahuannya (kebebasan individu). Sedangkan telah terangkum dalam suatu tatacara hidup bahawa makan najis itu adalah tertegah daripada norma kehidupan manusia. Ini sama maksudnya dengan isu pengkid. Telah termaktub dalam PERLEMBAGAAN kehidupan manusia yang NORMAL bahawa suatu yang menjadi landasan ke atas kehidupan, tidak akan terhapus dengan akal (entah betul atau tidak logik akal tersebut). Lagi satu segala penghujahan kamu mengenai Imam As-Syafie dan lain-lain komentar kamu tidak bersumberkan apa-apa yang boleh disokong oleh mana-mana ulama. Andai hari ini, saya menulis buku yang berbeza dengan Islam sebenar. Lepas itu kamu letak sebagai penghujahan dalam komentar kamu (sedangkan hujah saya adalah salah) justeru SEPATUTNYA orang lain dengan logik akal TIDAK boleh menerima penghujahan saya tanpa sumber yg kukuh. KERANA UNTUK PENGETAHUAN, UNTUK MENJADI INSAN TERBAIK ,SAYA MESTILAH BERPEGANG PADA AL-QURAN DAN SUNNAH SEBAGAI SUMBER YANG KUKUH. BEGITU JUGA SEPERTI MANA YG DILAKUKAN OLEH MAJLIS FATWA!

  6. kawan says:

    junduLlah_pas_tuaran:

    Amat teruja saya apabila melihat komen saudara/i, seakan-akan suara saudara/i semakin lantang dan bersemangat, sehingga menggunakan begitu banyak HURUF BESAR.

    Tetapi saya juga hairan. Kerana hujah-hujah saudara/i sikit pun tidak menjelaskan bagaimana perbuatan pengkid itu tertegah daripada norma kehidupan manusia. (Jika kata ianya termaktub atau ditegah dalam Al-Quran amatlah malas, kerana topik kita perbahasan dari segi logik … bagi saya ada berbilang sebab mengapa pengkid itu mungkin tidak baik, tetapi saudara/i tak menyentuh pun sebab-sebabnya.)

    sebaliknya, sdr banyak membincangkan soal najis, serta manusia yang memakannya. sudah menyimpang dari landasan sedikit …

  7. pemerhati says:

    Saya rasa tidak ada perbincangan yang baik dan telus serta penuh hikmah di antara dua pihak. Mengapa perkara ini berlaku? Satu pihak yang tidak faham melaung-laungkan hak mereka yang kononnya menindas hak mereka malah saya yakin mereka ini bukannya faham pun.

    Kedua, golongan yang rasa nak pertahankan institusi fatwa atas nama Islam. Saya masih tak nampak penghantar komen yang berdegar-degar nak pertahan Islam mampu menerangkan dengan baik di sini mengenainya.

    Kenapa tidak dipanggil kedua-dua pihak untuk berbincang? Sekiranya ingin disalahkan kerajaan kerana tidak menjalankan tanggungjawab, apa pula peranan PAS yang dikatakan pejuang Islam untuk menerangkan perkara sebenar?

  8. I says:

    Saya sebagai Muslim tidak mahu anutan agama saya ini sekadar defensif. Seringkali saya tanyakan pada diri sendiri dan kawan-kawan yang rapat: Apakah Islam itu semata-mata larangan? Apakah Islam itu sekadar the dos & the don’ts?
    Bukankah peranan AQAL tinggi martabatnya di dalam ajaran Islam? Saya juga tidak menolak bahawa logik akal tidak harus menjadi hakim dalam semua urusan agama kita. Kerana, usatazah saya yang mengajar waktu saya kecil dahulu selalu bilang: Kadang-kadang, apa yang ditetapkan Tuhan tak boleh difikir dengan akal manusia biasa. Ini satu pendekatan yang defensif bagi saya. Zaman berubah dan saya juga memikirkan perkara yang sama. Ada benarnya kata ustazah saya. Tapi, selama mana kita bijak mempertahankan keimanan ini jika kita semata-mata bergantung kepada hujah yang defensif? Apakah dengan mengeluarkan hujah-hujah yang defensif akan menjadikan kita penganut yang benar-benar memahami agama yang kita anuti? Saya juga yakin – selain ada perkara-perkara yang tidak dapat dibincangkan dengan mengikut ukuran akal manusia biasa – Islam juga datang dengan hikmah. Saya selalu merenung perkataan ini – wisdom of the dakwah.

    Saya tidak setuju dengan kenyataan Pak Menteri kita serta yang seangkatan dengannya supaya jangan mempersoalkan apa-apa yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya menghormati institusi tersebut di atas kapasitinya menjaga kemaslahatan ummah. Tetapi, kenyataan yang keluar dari Pak Menteri dan yang senagkatan dengannya seolah-olah menggambarkan semua orang Islam perlu menerimanya dengan patuh tanpa banyak soal. Sejak bila Islam mengajar kita untuk menerima keimanan dengan cara dipaksakan kepada kita segala yang telah ditetapkan – semata-mata?!

    Ia seoalah-olah menutup pintu dialog bagi yang keliru dan mereka yang tidak memahami duduk perkara yang sebenar? Islam bukankah sejak diwahyukan ke atas umat manusia – dialog menjadi salah satu intipati dalam proses penyebarannya seluruh pelusuk dunia?

    Apakah Pak Menteri yang kolot (tapi, kononnya mengetahui semuanya tentang agama) dan yang seangkatan dengannya serta para penguasa agama mahu mengajar umat di negara ini semata-mata terima tanpa mempersoal mana yang patut? Apakah kalian semua yakin bahawa umat kebanyakan di luar sana sangat memahami wisdom di sebalik isu ini atau sekadar menutup mulut mereka kerana tak mahu mempersoal yang bukan-bukan supaya tidak dicap sebagai Muslim Liberal atau pengancam ketuanan Melayu atau yang paling ektrem takut masuk jail bawah ISA?

    Zaman berubah dan pendekatan untuk memahamkan umat terbanyak (baca: bukan umat Islam sahaja) tentang Islam tidak boleh lagi bersifat defensif. Defensif tidak membuka mata kita untuk menjadi seorang penganut yang baik yang Tuhan mahukan.

    Di Malaysia kita mengenal Islam dengan diajarkan dulu larangan-larangan – the dos & the don’ts. Bila kita membesar, ia perkara biasa bila mana umat terbanyak terperangkap dalam budaya otak tersepit begini.

    Kepada yang berkuasa – hentikanlah penjajahan minda ke atas umat dengan cara begini. Keluar dan buka pintu dialog dan penjelasan yang lebih matang.

  9. aimin says:

    Ini bukan pasal rambut pendek pakai seluar…tapi gejala pengkid ini adalah bila mereka melakukan hubungan seksual secara songsang, adalah haram dan golongan ini Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa mereka yang melakukan hubungan sejenis, Baginda Rasulullah tidak akan mengaku sebagai umatnya. Dalam konteks ini kita dapat lihat secara waras kenapa gejala pengkid ini wajar dibanteras. Jangan menggunakan kononnya golongan ini adalah sebagai petanda peringatan kepada umat manusia yang lain mengenai kiamat, nampak sangat minda dan ilmu golongan ini cetek dan enteng. Bertaubatlah bukan uuntuk org lain tapi untuk diri sendiri. Azab di kubur nanti lebih teruk dari apa yang kamu semua rasa di dunia ini.

  10. LEE USOP says:

    TAK PERLU DIPERSOALKAN ATAU DIBAHASKAN LAGI, YANG HARAM TETAP HARAM.

  11. Amiruddin Haji Abu says:

    Ya Allah Ya Tuhanku. Selamatkanlah umat Islam di negeriku ini dari gejala yang mengarah kerosakkan iman. Kami tahu azab seksamu amatlah berat sepertimana yang telah Engkau turunkan terhadap umat Nabi Lut.

    Ampunkanlah mereka sekiranya mereka bertaubat.

    Amin.

  12. lagos69 says:

    Kepada Shanon Shah,

    Diminta jangan digunakan ayat-ayat Al-Quran itu sekerat-sekerat seperti dalam tulisan anda dari surah Al-Jaathiyah, Ayat 5. Gunakan Al-Quran itu sepenuhnya barulah anda menjadi Muslim sejati.

    Tahukah anda perkataan Islam bermaksud “penyerahan”, atau penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah. Malangnya kita semua kadang-kadang lalai dalam arus kemodenan duniawi.

    Saya tak nafikan wujudnya pengkid ini, sebab itu juga merupakan sebahagian dari tanda-tanda hari kiamat. (Rujuk tanda-tanda hari kiamat.) Perkara ini membuat saya ingat tentang hari kiamat dan kekuasaan Allah dalam hidup kita. Allah lebih tahu akan wujudnya orang-orang seperti pengkid ini sejak duhulu lagi.

    Umat Islam umumnya dikehendaki memegang rukun Islam, yang merupakan lima tanggungjawab yang menyatukan Muslim ke dalam sebuah masyarakat. Hukum Islam (syariah) pula telah digunakan untuk membangunkan hukum yang menyentuh pada hampir semua aspek kehidupan dan kemasyarakatan.

    Di sini saya tak mahu berbahas tentang hukum hakam kerana ia tiada jalan penyelasaian, cuma kita berserah kepada Allah yang Maha Mengetahui dengan cara mengerjakan solat sunat istikharah.

    Di sini saya cadangkan kepada mereka beragama Islam yang tidak bersetuju tentang FATWA ini, anda digalakkan mengerjakan solat sunat istikharah di masjid atas bimbingan ustaz/ustazah.

    Solat sunat istikharah iaitu sembahyang untuk mengetahui penentuan tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara yang dilakukan oleh seseorang yang dia sendiri tidak dapat dipastikan. Dengan ibadah ini Allah menunjukkan petanda-Nya, kalau baik diteruskan dan kalau tidak baik tidak diteruskan. Sembahyang ini dilakukan sebanyak dua rakaat. Lakukannya selama beberapa hari.

    Selepas solat sunat itu maka berdoalah kamu:

    “Ya! Tuhan sesungguhnya aku memohon petunjuk yang baik dari-Mu dengan ilmu-Mu, aku mohon kekuatan dari-Mu dengan kekuatan-Mu. Aku meminta dari-Mu dari kelebihan-Mu yang banyak, maka sesungguhnya Engkau berkuasa aku tidak berkuasa, Engkau mengetahui dan Engkaulah yang paling mengetahui perkara-perkara ghaib. Ya! Tuhan jika Kamu mengetahui bahawa perkara ini baik untukku pada agamaku, duniaku, dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang maka tentukannya untukku dan permudahkannya kepadaku, jika kamu mengetahui perkara ini tidak baik untukku pada agamaku dan pada duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang maka elakkannya dariku, dan elakkan dariku daripadanya, tentukanlah kebaikan untukku di mana sahaja aku berada sesungguhnya Engkau berkuasa diatas segala sesuatu.”

    Insyallah anda akan mendapat petunjuk-Nya.

    Tapi jangan lupa pula mengerjakan solat-solat yang wajib.

    Terima kasih.

  13. safuan says:

    Macam mana penulis boleh bandingkan penggunaan pembesar suara dengan wanita menyerupai lelaki. Jurang isu ni sangat berbeza. Pembesar suara tiada tertulis dalam Al Quran. Tetapi ini sudah tertulis dalam Al Quran. Cukuplah dengan apa yang berlaku di Malaysia. Allah akan hantar bala pada bila-bila masa. Aku mendoakan kepada insan yang terlibat diampuni Allah dan menerima hidayah serta diampuni dosa-dosanya. Fikirkanlah.

  14. puchong guy says:

    Debat keabsahan akal dalam agama sudah bermula ribuan tahun lalu. Masing-masing pihak telah mengarang seribu buku. Soalnya di sini, bukan tentang siapa benar atau salah tetapi keterbukaan kita menghargai perbezaan dan kepelbagaian.

    Kes pengkid kali ini hanya salah satu rentetan “Islam gelap” di Malaysia yang cenderung emosional, tidak rasional, defensif, dan simplistik sekali.

    Kedua, hujah bahawa NGO bukan Islam tidak harus terlibat dalam masalah umat Islam, itu sungguh tidak dapat dipertahankan sama sekali.

    Masalah apa pun di kalangan umat Islam Malaysia, tidak saja memberi kesan kepada umat Islam semata-mata, sebaliknya seluruh rakyat tak kira Islam ataupun tidak.

    Orang ini tak ada internet di rumah ke? Islam bukan dunia jauh yang terpisah seribu batu.

  15. Raf says:

    Assalamualaikum and peace be upon you,

    Kita sebagai umat Islam di Malaysia hendaklah menerima keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana di kalangan merekalah adanya orang-orang yang belajar dan mengamalkan Islam dengan sebetul-betulnya. Daripada kalangan mereka sahaja yang layak membuatkan keputusan dan hukum. Kita hanya mampu mempersoalkan dan wajib patuh kepada keputusan yang dikeluarkan, walau sepahit manapun ianya memberi kesan kepada kita.

    To be honest, we are not perfect, no one can claim they are right or what they bring is true but truly, there are some people who are better in knowledge than the others. Naturally, we learn from someone that is more knowledgeable, not one who is less knowledgeable.

    Tanya diri, adakah kita persoalkan semua ini kerana iman kita?

    Kerana dengan iman itu, kita adalah Muslim.

  16. pagarmerah says:

    “Diminta jangan digunakan ayat-ayat Al-Quran itu sekerat-sekerat seperti dalam tulisan anda dari surah Al-Jaathiyah, Ayat 5. Gunakan Al-Quran itu sepenuhnya barulah anda menjadi Muslim sejati.”

    Kalau begitulah, macam mana pula dengan ayat-ayat yang digunakan untuk menjustifikasi poligami, yang itu pun digunakan sekerat juga kan? Kebanyakkan masa. Dan banyak lagi ayat-ayat yang digunakan sekerat untuk menjustifikasi niat/tindakan mereka. Terutamanya untuk menjustifikasikan posisi wanita. Where were all these when that was going on?

  17. pulasperut says:

    Tidak semua perkara boleh dinilai dengan logik akal. Haram tetap haram. Berhati-hati dengan pendapat dan pemikiran you saudara.

  18. rakan says:

    pulasperut:

    Saudara,

    “Tidak semua perkara boleh dinilai dengan logik akal. Haram tetap haram. Berhati-hati dengan pendapat dan pemikiran you saudara.”

    Saya memang kurang mengkaji subjek ini; boleh saudara nyatakan kenapa “tomboy” itu haram? Hanya kenyataan saudara saya khuatir tidak mencukupi; nanti terpesong pula saya, kerana mengikut kata-kata seorang manusia. (Sunnah yang disampaikan melalui hadith dirakamkan oleh manusia juga, bukan?)

    Kedua: Apakah saudara bermaksud dengan menggunakan akal dan logik yang dikurniakan Allah ini saya mungkin terjerat dalam perangkap iblis?

  19. mike says:

    Rakyat Malaysia ramai yang baik dengan semua dari pelbagai kaum dan agama … namun ada yang suka menyebarkan fitnah dan ini yang mangakibatkan tercetusnya salah faham antara kita. Kalaulah kita ni semua cuba memahami agama dan tradisi (culture) dan bertolak ansur kan senang hidup kita


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site