Categorised | Columns

Bintang rock masa kini

BERIBU-RIBU penonton sudah berkumpul di depan pentas persembahan, menanti-nanti ketibaan bintang pujaan mereka. Apabila diumumkan ketibaan bintang pujaan tersebut, gemuruh tepukan tangan dan sorakan dari penonton seolah-olah tiada tandingannya.

Bunyi tepukan dan sorakan ini tidak surut sehinggalah bintang pujaan mereka naik ke pentas. Setelah mengucapkan terima kasih, bintang pujaan ini mula bersuara. Para penonton kesemuanya diam, mahu menikmati sepenuhnya persembahan yang dinanti-nantikan ini.


Nizar (Gambar oleh theSun)
Siapa bintang pujaan ini? Mawi? Siti Nurhaliza? Maaf, bukan. Bintang ini tidak lain daripada menteri besar Perak pilihan rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Ya, setelah meletusnya kemelut politik Perak pada bulan Februari 2009, saham Nizar meningkat dengan mendadak di kalangan rakyat biasa seluruh negara. Tidak kiralah sama ada Nizar muncul di pentas ceramah politik ketika pilihanraya kecil, atau di mana-mana saja. “Aura”-nya seolah-olah menembus jiwa rakyat kebanyakan. Seperti bintang rock yang unggul, imej Nizar juga terpapar pada pelbagai bahan merchandise yang dijual dengan laris — topeng muka, t-shirt dan sebagainya.

Namun, bukan hanya Nizar yang menikmati populariti seperti ini — lihat saja pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain, seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Lim Kit Siang. Kesemuanya menjadi idola rakyat, dan di mana saja mereka berucap, pastinya mereka akan menarik beratus-ratus, malah beribu-ribu penonton dan peminat setia untuk menyaksikan “persembahan” mereka.

Dari satu sudut, saya rasa ini adalah satu perkembangan yang sangat sihat. Lanskap politik tanahair sedang berubah dengan pesat. Rakyat biasa sudah tidak malu atau takut untuk menyuarakan pilihan mereka dari kalangan parti atau pemimpin politik. Itulah demokrasi yang kita mahukan. Sesiapa sahaja bebas untuk menyokong mana-mana parti politik yang ada — tidak kira sama ada ia dari barisan pemerintah atau pembangkang.

Dengan keterbukaan ini, barisan parti dan pemimpin politik pula akan teruja untuk saling bersaing demi menawan hati rakyat. Rakyat pula yang akan membuat keputusan muktamad di peti undi kelak.

Antara fakta dan propaganda

Akan tetapi, dari sudut yang lain, muncul juga tanda tanya tentang fenomena “bintang pujaan politik” ini. Jika kita lihat “pentas persembahan” mereka, rata-ratanya amat handal berceramah kepada kumpulan penonton yang sangat besar — kadang-kadang mencecah berpuluh ribu pun ada.

Namun, apakah isi kandungan ceramah mereka? Ia terdiri daripada pelbagai bentuk bantahan dan sindiran terhadap barisan parti lawan, dalam kes ini Barisan Nasional (BN), dan juga promosi terhadap barisan sendiri, iaitu PR.

Dalam konteks politik Malaysia sekarang ini, sudah terlihat satu ketidakseimbangan yang amat menakjubkan. Para wartawan akan menjadi saksi — rata-ratanya rakyat lebih suka menghadiri ceramah PR daripada ceramah BN.


Ceramah di Jalan Berapit, Penanti

Mungkin ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Kerajaan BN sudah lama berada di tampuk kuasa, dan semakin hari semakin membuat keputusan yang tidak popular di kalangan rakyat. Jadi rakyat sekarang dahagakan alternatif kepada BN. Ini memanglah hakikat semenjak pilihanraya umum 8 Mac 2008. Tidak hairanlah rakyat berpusu-pusu ke ceramah PR tetapi tidak ke ceramah BN.

Namun, ceramah itu merupakan satu bentuk komunikasi satu hala. Penceramah berceramah, dan penonton mendengar. Fakta atau hujah yang dibawa oleh penceramah tidak mungkin dapat dipertikaikan pada masa itu juga oleh para hadirin. Apakah kita ada pengesahan bahawa segala fakta yang disampaikan oleh penceramah politik itu adalah benar, atau disebut di dalam konteks yang tepat?

Dan lebih daripada itu, apa pula nilainya apabila si penceramah mula mengutuk parti lawan, dan para penonton menyambut kutukan ini dengan sorakan dan hilai ketawa?

Bagi saya, ini bukannya satu tanda kematangan pemikiran politik. Bayangkanlah jika situasi ini berterusan — apa saja yang dibuat oleh BN akan dianggap dusta walaupun ia mungkin betul, dan apa saja yang dibuat oleh PR akan dianggap suci, walaupun ia mungkin dusta. Benar, situasi ini nampaknya amat mustahil pada saat ini, tetapi pihak rakyat perlu sentiasa peka terhadap apa sahaja kemungkinan.

Komunikasi dua hala


Penyokong PKR memakai tudung Anwar
Dalam persekitaran politik yang ideal, memang sepatutnya ada ruang untuk ceramah-ceramah seperti ini. Komunikasi satu hala itu tidak salah. Tetapi ia perlu diseimbangkan dengan komunikasi dua hala, yakni di mana seseorang pemimpin politik itu boleh disoal dan dicabar dari sudut pandang yang berbeza-beza.

Bagi saya, satu contoh yang amat baik ialah perbahasan di antara penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mantan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, pada 15 Julai 2008.

Ini barulah titik bermulanya perkembangan politik tanahair yang sihat. Sebab di sinilah kita dapat membuat bandingan dan penilaian antara dua pihak yang berbeza. Sayangnya, debat perdana seperti ini seolah-olah tidak mendapat sambutan. Ya, setelah debat Anwar-Shabery, rakyat Malaysia disajikan pula dengan debat di antara mantan ketua menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan ketua menteri kini, Lim Guan Eng pada 20 Ogos 2008. Tetapi setelah itu seolah-olah tiada lagi permintaan untuk debat besar-besaran seperti ini.

Dan ini amat menyedihkan. Kerana melalui debat seperti inilah yang rakyat akan dapat membezakan di antara fakta dan propaganda. Ceramah politik sebenarnya adalah peluang berpropaganda.

Propaganda itu sendiri bukanlah sesuatu yang keji. Setiap parti politik perlu berpropaganda — itulah satu-satunya cara parti politik dapat mengiklankan mesejnya. Tetapi kita sebagai rakyat perlu mempunyai ruang dan hak untuk menguji propaganda tersebut, supaya kita tidak termakan mesej yang palsu atau berat sebelah.

Dalam hal ini, parti politik itu ibarat peniaga, rakyat pula ibarat pengguna. Pengguna sepatutnya mempunyai hak dan kuasa untuk memastikan pihak peniaga tidak melalukan penyelewengan atau penipuan.

Kalau kita hanya menerima barangan jualan pihak peniaga tanpa membuat bandingan harga, kualiti dan isi kandungan barangan tersebut, apakah kita ini merupakan pengguna yang bijak? Kalau kita menerima bulat-bulat iklan daripada sesuatu jenama, tanpa menyoal jika kita benar-benar memerlukan barangan yang diiklankan, apakah kita merupakan pengguna yang pandai?

Tapi kebijaksanaan ini tidak perlu menjejaskan hubungan kita dengan idola kita. Tidak salah menyayangi Nizar, Anwar atau Shabery sepertimana Mawi dan Siti disayangi, dan tersipu-sipu meminta autograf mereka. Siapa kata hanya penyanyi dan pelakon layak menjadi selebriti?


(Gambar oleh Jasper Greek Golangco / sxc.hu)


Shanon Shah rasa seperti menonton pementasan teater yang hebat apabila menyaksikan pidato politik pemimpin PR.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , ,

One Response to “Bintang rock masa kini”

  1. Main says:

    Percaturan politik negara masakini memang menjurus kepada era yang mungkin belum pernah dirasakan sebelumnya. Antara faktor yg membawa perubahan ini ialah kewujudan generasi baru yang berpemikiran kritis dan ingin tahu, dipacu oleh teknologi perkomputeran berlandaskan internet. Mahu mendengar isu ‘baru’ bagi sebilangan dan ‘lama’ bagi sebilangan yang lain.

    Perkembangan positif ini kadang-kala tercemar akibat bawaan cerita yang disaluti emosi politik taksub menyebabkan banyak perkara negatif berlaku; tunjuk-perasaan jalanan, komen tanpa isi di laman-laman blog dan bermacam lagi. Lalu menimbulkan banyak tanda-tanya tentang relevan atau tidak isu-isu yang dibawakan. Ini natijah lambakan pengetahuan politik pacuan internet apabila digabungkan dengan ceramah-ceramah politik.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site