Categorised | Columns

Bila rogol dikatakan halal

“SEKUMPULAN WANITA BERSKIRT MINI BERHIMPUN DI JAKARTA”,
PAKAI SKIRT BANTAH GABENOR”

Bila baca tajuk berita sedemikian, imej apa yang terus terbayang di fikiran pembaca? Mungkinkah: “Whoo, perempuan seksi!” Atau: “Teruk betul wanita yang berdemo itu kerana pakai mini skirt.” Mungkin: “Inilah bila wanita kebaratan sangat…!”

Tetapi, berapa ramai agaknya yang merasa mahu tahu isu apakah yang membuatkan wanita-wanita itu berdemonstrasi?

Berita mengenai wanita berdemonstrasi di Jakarta baru-baru ini tersiar di akhbar-akhbar perdana di Malaysia. Mereka memprotes kenyataan gabenor Jakarta yang menyalahkan cara perempuan berpakaian sebagai punca mereka dirogol.

Mangsa yang diperkosa adalah seorang mahasiswi yang masih berpakaian seragam dalam perjalanan pulang dari kampus. Gabenor terus menuduh punca wanita diperkosa di dalam bas pengangkutan awam adalah kerana wanita memakai skirt pendek. Apakah kenyataan itu benar dan patut?

Justeru, para wanita berdemo dengan memakai pelbagai jenis pakaian untuk menunjukkan bahawa pakaian bukanlah menjadi penyebab wanita diperkosa.

Protes di Jakarta

Demonstrasi di Jakarta (photo courtesy of Kiki Febriyanti)

Masyarakat memangsakan mangsa

Antara faktor pemerkosaan adalah kerana penjenayah merasa mempunyai kuasa untuk melakukan kekerasan ke atas orang yang lebih lemah dari dirinya.

Hakikatnya, bayi, kanak-kanak kecil, nenek-nenek dan wanita yang bertudung labuh pun ada yang dirogol.

Malaysia masih ingat kes Nurul Huda Abd Ghani, murid Tahun 4 yang dirogol oleh tiga lelaki di pondok pengawal TNB di Johor Bharu. Juga kes Noor Suzaily Mokhtar, jurutera komputer yang dirogol dan dibunuh dengan kejam oleh pemandu bas.  Noor Suzaily tidak memakai skirt pendek semasa beliau menaiki bas tersebut.  Beliau bertudung kepala.

Apa yang sering berlaku, reaksi spontan ramai orang adalah untuk terus menyalahkan si mangsa. “Mesti kerana dia berpakaian yang menjolok mata”, atau “Gaya dia membuatkan lelaki tergoda”.

Jangan terperanjat jika reaksi sebegini turut datang dari orang-orang yang berpendidikan tinggi, termasuk yang dikatakan tinggi ilmu agamanya.

Bila rogol dianggap halal dalam Islam

Seorang pemimpin parti politik bergelar ulama berkata wanita yang tidak menutup aurat memang layak dirogol. Ceramah beliau tersiar di YouTube, ditonton lebih dari satu juta kali.

Baru-baru ini juga seorang pemimpin tertinggi di Acheh Barat juga mengeluarkan kenyataan yang serupa, iaitu wanita yang tidak berpakaian menurut Shariah layak diperkosa.

Fauzi Bowo Canisius, gabenor Jakarta (Wiki commons)

Mesej apakah yang diberi oleh tokoh-tokoh Islam ini? Ajaran Islam apakah yang disampaikan? Apakah pelaksanaan negara Islam mereka lebih kepada untuk menghukum? Adakah menurut kefahaman mereka, merogol wanita yang tidak menutup aurat itu hukumnya halal?

Dalil apa yang mereka pakai? Apakah ada ayat al-Qur’an yang mengatakan hukum perempuan tidak berpakaian sopan adalah dirogol? Apakah Rasulullah pernah mengeluarkan hadith yang sekejam itu?

Bercakap atas nama agama

Ini yang menjadi ironisnya.  Orang Islam marah benar bila orang Barat atau bukan Islam menuduh agama Islam sebagai mengamalkan diskriminasi, keras dan tidak berperikemanusiaan.  Akan tetapi, orang Islam seperti mereka jugalah yang mengatakan perempuan memang layak diperkosa jika pakaiannya tidak sopan.

Mereka bercakap atas nama agama.  Walaupun mereka mempunyai ilmu tentang Islam, namun mereka tetap merupakan manusia yang pemahamannya tentang agama dan kemanusiaan masih terbatas mengikut kadar pemahaman, tafsiran dan pengalaman mereka sendiri. Lantas, ternodalah nama Islam akibat pemikiran sempit dan sikap sadis mereka.

Teramat jarang sekali saya dengar tokoh agama di Malaysia yang kritikal tentang punca masalah keganasan seksual dan menawarkan pemikiran yang membina dalam usaha membanteras jenayah rogol. Usaha penyelesaian memerlukan pemikiran yang berupaya mengharmonikan objektif Shariah dengan konteks masyarakat moden.

Di Indonesia, saya berkesempatan bertemu beberapa tokoh Islam yang menawarkan cara pandang baru untuk masyarakat Islam di Malaysia.

Konsep dan objektif mahram

Ibu Nyai Masriyah Amva adalah seorang ulama wanita yang memimpin sebuah madrasah di Cirebon, Indonesia. Di dalam sebuah buku karangannya, beliau menceritakan pengalaman semasa di tanah suci Mekah dan Madinah.

Bagi wanita yang berasal dari negara yang secara amnya menyediakan ruang kebebasan untuk wanita bergerak ke mana saja, beliau hairan bagaimana wanita seperti beliau yang berada di kota-kota suci Islam malah lebih terdedah pada gangguan lelaki. Betapa kota yang menempatkan rumah Allah sangat tidak ramah pada perempuan.

Ibu Nyai Masriyah Amva (Sumber: kebonjambu.org)

Beliau justeru sedar bahawa perempuan adalah korban dari budaya dan undang-undang yang membunuh kekuatan-kekuatan wanita, yang membuatkan wanita terpaksa bergantung pada lelaki untuk jaminan keselamatan dirinya. Beliau lalu menyeru kerajaan Arab Saudi untuk menyediakan suasana yang aman dan kondusif agar wanita dapat bergerak bebas dan beribadah pada Tuhannya tanpa perlu bimbang dari gangguan lelaki.

Kiyai Husein Muhamad, seorang ulama tradisional di Indonesia yang berkelulusan dari universiti Al-Azhar, Mesir, memahami keadaan sukar yang dialami para wanita termasuk Ibu Nyai Masriyah.

Beliau lalu menjelaskan bahawa pada zaman Nabi yang masyarakatnya mengamalkan hidup nomad serta keadaan tanah Arab yang berpadang pasir, dengan kedudukan bandarnya yang berpuluh-puluh atau beratus-ratus batu jauhnya, memang boleh difahami mengapa wanita perlu ditemani mahram, yang biasanya adalah orang lelaki. Tujuannya agar keselamatan wanita terjaga dari anasir buruk seperti dirompak, diculik, diperkosa atau dibunuh.

Akan tetapi, di dalam sistem negara moden seperti Malaysia dan Indonesia, beliau berpendapat bahawa negaralah yang seharusnya berperanan sebagai mahram dalam memastikan keselamatan semua rakyatnya terjamin.

Ia boleh dilaksanakan dengan menyediakan sistem yang baik dan efisien. Ini termasuklah menyediakan lampu-lampu bagi memastikan jalan terang, sistem pengangkutan yang cekap yang mana kesemua kakitangan dan pemandu bas hendaklah berdaftar dan tiada rekod jenayah.

Negara yang berperanan sebagai mahram juga termasuk pasukan polis yang cekap dan mesra rakyat, dan sistem perundangan yang cekap dan tegas dalam menghukum pelaku jenayah. Penting juga dari segi pendidikan ialah memberi ilmu mempertahankan diri, menerapkan dalam sistem pendidikan agar manusia saling menghormati antara satu sama lain walaupun mereka berbeza dari pelbagai segi, termasuklah  agar lelaki menghormati orang perempuan, dan sebagainya.

Menggunakan akal dalam agama

Ramai ulama mendakwa dalam Islam tidak boleh menggunakan akal fikiran, harus berdasarkan keimanan.  Pada saya, kenyataan sedemikian bertentangan dengan wahyu Allah yang pertama, iaitu “Bacalah”. Tentu saja membaca memerlukan akal fikiran yang tajam bagi memproses informasi yang dibaca dengan menghubungkannya dengan alam dan hidup kita.

Dalam hal ini misalnya, apakah beriman atau meyakini itu adalah dengan meyakini apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin Islam yang mengatakan perempuan boleh dirogol? Bukankah pandangan mereka juga hasil dari menggunakan akal fikiran mereka?

Jika kita benar-benar meyakini Islam adalah agama yang baik, adil, penyayang dan mencintai keamanan, maka umat Islam harus mengelak dari mengambil sikap menyalahkan, tetapi menggunakan akal fikiran dalam mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat kita di zaman ini.


Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem. Filem dokumentarinya Mencari Kartika dan Aku Siapa menimbulkan perbincangan yang rancak dan menjadi bahan mengajar di banyak universiti di dalam dan luar negara.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , ,

3 Responses to “Bila rogol dikatakan halal”

  1. abby says:

    Bestnye article ni! Saya amat sokong pandangan penulis ni.

  2. Greg Lopez says:

    A good article.

    Islam, like any other religion, must encourage critical thinking and not blind faith. It needs faith and reason.

  3. idris says:

    That rape is never the victim’s fault is without question (else it wouldn’t be called rape). Even if a woman walks stark naked into a prison full of convicted rapists and gets raped, it still wouldn’t be her fault (although her sanity would be in question).

    Let there be no misunderstanding about my stand on this, before we move on. I take issue with the assertion that dress has nothing to do with rape. I think this possibility has not been honestly investigated for fear of being labeled sexist/narrow-minded/a religious zealot etc. or of angering feminists. Just because one suggests that dress may have something to do with the possibility of being raped doesn’t mean one is suggesting that the victim was ‘asking for it’.

    So what of the possibility that dress and rape may have some connection, no matter how weak? People often cite young children and grandmothers being victims, not to mention the case of headscarf-wearing Noor Suzaily Mokhtar, as proof that this is not the case.

    I would think statistical studies should separate rape cases by, among other things, age group and social status of both the perpetrator and victim, time and location, and whether the two knew each other beforehand. We might find, for example, that in a certain area, among 25- to 35-year-old victims for whom the perpetrator was not previously known to them, a higher proportion of them might have been wearing a certain kind of dress.

    As far as I know no study has taken into account all these factors. Doubtless, as the author said, rape has to do with power. But what of the likelihood that person A has a higher chance of being a victim that person B, and that dress may influence the chance involved? No honest investigation. Please point if otherwise.

    Even if it were somehow proven that dress had something to do with it, the onus to change would still be on men.

    And by the way, I have seen a lot of headscarf=wearing women… with extremely tight baju kurung/kebaya.


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site