Categorised | Columns

Berlompat-lompat dulu, berjatuh-jatuh kemudian

Berlompat-lompat dulu, berjatuh-jatuh kemudian
Selepas 51 tahun, Malaysia sudah terlalu lama berbapakan parti politik yang sama (Umno) dan perlukan perubahan

SEBELUM ini, tarikh 16 Sept tidaklah sepopular atau se-hip seperti hari ini. Hari ini, sebut sahaja pasti ramai yang tahu apakah isu sebenar pasal tarikh ini. Tidak pula kami dengar tarikh ini dilaung-laungkan beberapa tahun lepas, baik oleh yang muda atau tua.

Tarikh 16 Sept ialah hari penubuhan Malaysia, atau Hari Malaysia. Setelah pencantuman Sabah dan Sarawak dengan semenanjung Tanah Melayu pada 16 Sept 1963, nama negara yang baru ini ditukar menjadi Malaysia. Ini sejarah. Kalau mahu tahu lebih, anda sedang membaca artikel yang salah.

Ia juga tarikh yang diwar-warkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan berlakunya perubahan pemerintahan di Malaysia akibat lompat parti.

Sejujurnya bagi kami, tarikh ini sudah “sell out”. Tarikh ini juga sudah basi kerana seolah-olah tarikh ini sudah menjadi trend yang terkini untuk mereka yang kononnya berhaluan kiri. Ia seolah-olah sudah menjadi dogma untuk mereka yang pro-pembangkang atau pro-Pakatan Rakyat.

Tapi, apapun bagi kami, perubahan pemerintahan secara drastik seperti ini sememangnya bagus dan perlu bagi sesebuah negara yang berdaulat. Kami katakan begini bukan kerana kami pro-Pakatan Rakyat atau bukan kerana benci Umno, tapi kerana kami percaya pada proses.

Proses yang kami maksudkan ialah proses pematangan. Ia seperti seseorang yang ditinggalkan kekasih tanpa sebab yang kukuh sedangkan dia telah meletakkan harapan yang tinggi pada cintanya itu. Ia juga seperti seorang anak yang tiba-tiba kehilangan kedua-dua ibu bapa, mungkin akibat kemalangan jalanraya dan terus kehilangan tempat bergantung.

Mungkin kedua-dua contoh ini kelihatan terlalu dramatik seperti drama-drama di televisyen menjelang Hari Raya (selalunya dilakonkan oleh Fauziah Nawi dan Rosyam Nor). Akan tetapi, apa yang bagusnya mengenai kedua-dua proses ini adalah pengalaman itu sendiri. Pengalaman akan mengajar seseorang itu tentang erti kehidupan. Itu fakta bukan trivia.

Berlompat-lompat dulu, berjatuh-jatuh kemudian
Negara, seperti kanak-kanak, perlu menjalani proses meniarap, merangkak, kemudian baru berjalan (© Benjamin Earwicker / sxc.hu)
Merangkak sebelum berjalan

Seperti seorang kanak-kanak, yang seharusnya akan melalui proses meniarap, merangkak kemudian baru berjalan. Begitu juga proses peralihan kuasa.

Bagi kami, ia satu proses yang wajib dilalui bagi setiap negara. Ia akan melengkapkan satu proses perjalanan. Ya, mungkin kesan daripada proses itu akan menghasilkan pro dan kontra. Tapi itulah kehidupan. Kita tidak akan belajar bangun sendiri kalau kita tidak pernah jatuh.

Kami berani mengatakan begini kerana sejarah telah membuktikan kebanyakan negara sudah mengalami proses seperti itu. Contoh terdekat ialah Indonesia dan Thailand yang telah mengalami proses peralihan kuasa berkali-kali secara reformasi. Mungkin kedua-dua negara itu jika kita lihat sekarang masih tidak banyak perbezaan walaupun setelah berlakunya peralihan tampuk pemerintah. Itu kerana mereka melaluinya dengan cara yang agak keras iaitu penggulingan dan rampasan kuasa junta tentera. Namun, rakyat kedua-dua negara itu lebih matang dan lebih tinggi kesedaran mereka terhadap politik negaranya akibat proses itu.

Tidak, kami sama sekali tidak suka melihat negara kita mengalami huru-hara atau darurat yang perit seperti mereka. Kami tegaskan sekali lagi, tidak.

Cuba kita lihat Iran, China, Rusia, Jerman dan Amerika Syarikat. Mereka juga pernah mengalami proses ini dan lihatlah mereka sekarang.

Berlompat-lompat dulu, berjatuh-jatuh kemudian
Presiden Iran Mahmoud Ahmedinejad. Iran sekarang tidak takut ugutan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-kutunya (Sumber: Wikipedia.org)
Iran pernah mengalami proses ini pada tahun 1979 yang diketuai oleh Ayatollah Khomeini. Kini lihat betapa kuatnya negara mereka sehingga program pengayaan uranium mereka tidak mampu diganggugugat oleh Amerika Syarikat dan sekutu-kutunya walaupun setelah dikenakan sekatan ekonomi.

Lihat juga bagaimana industri seni di China berkembang pesat akibat revolusi budaya yang berlaku pada 1966 hingga 1976 yang dilakukan oleh Parti Komunis. Ini yang patut kita lihat dan kaji.

Tak cuba, tak tahu

Sudah lebih 50 tahun negara kita diperintah oleh Umno. Belum pernah lagi kita (rakyat negara Malaysia) berani untuk mengubah perkara ini. Memang Umno telah menjalankan tanggungjawabnya selama lebih 50 tahun ini. Kami faham dalam dunia ini tidak akan ada benda yang sempurna. Bukan kami tidak bersyukur dengan apa yang ada tapi hidup perlukan perubahan.

Seperti kita, habis belajar kita perlu bekerja sendiri tanpa mengharapkan duit mak bapak lagi. Bila dah kerja kita perlu beli kereta. Kalau tak macam mana awek nak suka. Kalau awek tak suka, macam mana kita nak kahwin. Bila dah kahwin kita perlu beli rumah. Bila dah ada rumah, kita perlu beli perabot. Begitulah seterusnya, kalau nak dicerita panjang lagi. Tapi itulah kehidupan. Ini bukan soal kita perlu bersyukur atau tidak dengan apa yang kita ada. Memang hidup ini takkan pernah cukup dan sempurna kalau diikutkan nafsu, tapi kita perlu menghampiri kepada kesempurnaan.

Cuba lihat pada negara kita sekarang. Harga minyak, harga barang, korupsi, hak asasi, bunuh diri akibat tekanan hidup, kemiskinan, jenayah yang makin menjadi-jadi, tidak termasuk gosip dan spekulasi Altantuya dan Saiful Bukhari yang sememangnya membingitkan gegendang telinga dan hati.

Kenapa ini semua berlaku? Bagi kami jawapannya mudah. Kerana kita terlalu lama berbapakan parti politik yang sama, Umno.

Berlompat-lompat dulu, berjatuh-jatuh kemudian
Kumpulan Black Panther, yang muncul pada dekad 1960-an, memperjuangkan hak rakyat Amerika berketurunan Afrika berdasarkan ideologi radikal kiri (© MDCV, sumber: Wikipedia.org)
Kita sebagai rakyat, tak perlu takut untuk mengubah semua ini kerana kuasa di tangan kita, rakyat. Macam Black Panther cakap, “Power to the people”. Macam makan ayam tandoori, lain kedai mamak, lain rasanya. Macam nasi lemak, lain kedai lain pedas sambalnya. Kita takkan tahu kalau kita tak cuba.

Tanggungjawab pemerintah adalah membangunkan rakyat dan menggerakkan negara. Rakyat tugasnya adalah memilih pemerintah. Apa guna ada pemerintah kalau hidup terus-terusan susah? Kalau tak bagus, kita tukar. Kalau dah tukar pun tak bagus lagi, kita tukar lagi. Apa yang susahnya? Kuasa di tangan kita. Kalau kita pula yang tak bagus, kenalah bermotivasi dengan Dr Fazley (Asmara Ini) atau Haji Datuk Dr Fadzilah Kamsah (tapi kena rajin bangun pagi-pagi).

Memang pening, pusing dan senoneng kepala kalau nak difikirkan tentang hal ini. Itu tak termasuk baju raya yang masih tak ditempah lagi walaupun kakak telah memberikan kainnya sebulan sebelum bulan puasa lagi. Namun proses tetaplah proses. Tetap wajib dilalui. Hidup tak lengkap tanpa pengalaman. Baju tak siap tanpa jahitan. Politik tak lengkap tanpa lompatan.

Ish, berselokalah pulak kami. Apapun kita sebagai rakyat harus sentiasa siap siaga untuk menerima segalanya dengan hati yang terbuka serta keberanian yang membara terhadap segala yang berlaku terhadap negara kita, bukan dengan jiwa yang luka menghadapi raya. End of Article


Fared Ayam dan Zahiril Adzim adalah graduan baru Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Mereka sering bekerjasama dalam menghasilkan karya teater yang mencerminkan realiti masyarakat Malaysia.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon



Comments are closed.

Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site