Categorised | Columns

Belajar dari Pisau Cukur


Poster Pisau Cukur (Semua gambar
oleh Red Films)

“OH my Dior!” Saya tersenyum lebar seorang-seorang lepas menonton filem Pisau Cukur baru-baru ini. Mula-mula saya ragu-ragulah juga sebelum pergi ke panggung wayang. Terus terang saya nyatakan di sini, saya memang meminati karya gandingan Lina Tan (penerbit), Rafidah Abdullah (penulis) dan Bernard Chauly (pengarah). Malah, saya amat terhibur dengan filem dan siri televisyen mereka, Gol & Gincu.

Jadi saya takut — kalau Pisau Cukur tidak setanding dengan Gol & Gincu macam mana? Tetapi, tidak sampai lima minit saya duduk menonton Pisau Cukur, segala keraguan saya hilang.

Tidak perlulah saya membuat ulasan Pisau Cukur di sini. Ya, barisan pelakonnya memang berbakat dan sedap dipandang mata. Arahan Chauly sungguh efektif, dan skrip oleh Rafidah pula lucu dan bijaksana.

Tetapi yang amat menarik perhatian saya ialah isu-isu yang berjaya disentuh oleh para pembikin filem ini. Ada isu poligami, isu status kewangan, isu hak wanita, malah isu seksualiti yang diselitkan oleh pembikin filem dengan penuh berani dalam jalan ceritanya. Mulut saya ternganga. Bukankah di Malaysia isu-isu seperti ini sering dianggap sensitif? Malah, mereka yang cuba membincangkan isu-isu seperti ini dengan kritikal sering menghadapi ugutan daripada pelbagai pihak.


Dari kiri: Sharifah Sofia, Maya Karin dan Umie Aida berlatih
sementara krew kecoh bersiap sedia

Jadi apa yang lebih mengkagumkan saya ialah reaksi para penonton Pisau Cukur — mereka semua suka! Penonton Malaysia yang berbilang bangsa dan agama sama sekali tidak tergugat dengan keterbukaan jalan cerita filem ini. Malah mereka memahaminya dan mengikut plotnya dengan penuh matang. Saya hairan — bukankah pihak berkuasa kadang-kadang menggunakan alasan seperti “menggugat keselamatan negara” dan “mengelirukan umat” apabila mengharamkan perbincangan isu-isu seperti ini?

Panas!

Saya ada teori mengapa Pisau Cukur berjaya dalam aspek ini — sebab Rafidah, Tan dan Chauly merupakan pencerita, bukan pendakwah.


Redza Minhat, Chauly dan Maya di set Pisau Cukur

Mereka mencipta watak yang betul-betul hidup dan mengambil hati penonton. Mereka mengolah jalan cerita yang agak luarbiasa, tetapi diselitkan dengan isu-isu yang boleh dihayati oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Mereka juga amat memahami kuasa komedi dan hiburan. Bukankah bagus kalau kita semua boleh senyum atau ketawa, sekalipun apabila membincangkan isu “sensitif”?

Mungkinkah ini disebabkan gandingan Chauly, Tan dan Rafidah merupakan satu gandingan yang majmuk? Saya rasa ini sedikit sebanyak menyumbang kepada jenis karya yang mereka hasilkan. Tetapi pemerhatian ini tidak tertumpu kepada mereka sahaja. Malaysia mempunyai pembikin filem yang lain yang cuba memaparkan Malaysia secara keseluruhannya — bukan hanya kepentingan satu-satu kaum atau kumpulan — di dalam karya mereka. Lihat saja karya arwah Yasmin Ahmad, Amir Muhammad, Saw Teong Hin dan rakan-rakan seperjuangan mereka.


Maya dan Nur Fazura

Sebab inilah saya sangat berpuas hati dengan Pisau Cukur. Saya berpuas hati kerana saya diyakinkan bahawa Malaysia tidak kekurangan bakat. Dan saya berpuas hati kerana bakat di Malaysia memang merentas kaum dan agama.

Kewartawanan beretika

Keesokan hari selepas menonton Pisau Cukur, saya terbaca pula artikel Ibu tahu Zaril gay dalam akhbar Kosmo!, 15 Nov 2009. Membaca tajuk artikel tersebut pun saya sudah bimbang. Maklumlah, saya sudah banyak membaca artikel yang mengecam dan mengutuk golongan lelaki lembut, wanita keras, mak nyah dan pengkid.


Nur Fazura menikmati aiskrim di set Pisau Cukur,
bersama-sama Redza dan Maya

Bukannya saya ingin memaksa semua orang untuk menerima golongan seperti ini. Tetapi sebagai wartawan, saya sering hampa kerana artikel-artikel yang mengutuk golongan ini jarang sekali memberi ruang kepada mereka untuk menjawab dan memberikan pandangan mereka.

Jadi saya agak berpuas hati membaca artikel Kosmo! ini. Wartawannya, Dewi Abdul Rahman, nampaknya jujur dan beretika apabila memetik pandangan Zaril (bukan nama sebenarnya). Sampai gambar Zaril pun dikaburkan untuk melindungi identitinya. Bukannya Dewi menyokong sepenuhnya pilihan Zaril. Malah, Dewi ada juga menyelitkan realiti bahawa ramai yang melihat golongan gay sebagai melanggar hukum alam dan agama.

Tapi saya rasa inilah tanggungjawab wartawan — mengetengahkan semua pandangan dalam mana-mana isu pun, sama ada yang pro atau yang kontra. Dan apabila sesuatu golongan atau seseorang individu diserang dan dikecam oleh pelbagai pihak, mustahak untuk kita mendapatkan sudut pandangnya dalam kata-katanya sendiri.


Eizlan Yusof tengah bermekap

Seseorang yang sangat alim dan warak tidak perlu mendakap dan merestui semua individu gay dengan serta-merta. Dan golongan gay tidak pula perlu memaksa diri berubah semata-mata untuk memuaskan orang lain. Yang pentingnya ialah kita semua dapat menghormati sudut pandang masing-masing. Mampukah kita berbuat demikian?

Benar, saya rasa ramai rakyat Malaysia yang kurang senang membincangkan perkara seperti ini. Malah, ramai yang mahu mengharamkan sebarang perbincangan yang terbuka. Tetapi setelah menonton Pisau Cukur dan membaca akhbar Kosmo! baru-baru ini, saya rasa tidak kurang juga rakyat Malaysia yang matang, yang mampu berbincang dengan rasional tanpa menyerang sesiapa. favicon


Shanon Shah kena mencukur muka tiap-tiap hari, kalau tidak nanti mungkin budak kecil dan haiwan peliharaan akan takut memandang wajahnya.

Baca ruangan Secubit Garam yang terdahulu

The Nut Graph memerlukan bantuan anda

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , , , , , , ,

One Response to “Belajar dari Pisau Cukur

  1. Juliana says:

    Shanon, thanks for this review. Wasn’t sure I really wanted to catch Pisau Cukur but now I definitely will. And thanks for improving my BM vocab!


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site