Categorised | Commentary, News

“Allah” dan dakyah Kristian


(Gambar buku oleh Ivan Petrov; gambar sembahyang oleh Adrian Van Leen / sxc.hu)

SALAH satu alasan penganut Islam yang menentang penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam di Malaysia ialah perbuatan ini akan mengelirukan umat Islam. Ini pula kerana kononnya terdapat konspirasi Kristian untuk menyesatkan orang Islam supaya mereka murtad dan memeluk agama Kristian.

Dan alasan ini telahpun digunapakai oleh pemimpin politik, termasuklah ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat kawasan Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin. Tetapi mungkinkah isu murtad ini satu isu yang berasingan daripada hak untuk menggunakan kalimah “Allah”?

Dalam isu penggunaan “Allah” oleh orang bukan Islam, sudah terbukti bahawa ia satu fenomena yang biasa di Timur Tengah, Indonesia, malah juga di Sabah dan Sarawak. Jadi, isunya di sini ialah, adakah orang Melayu yang beragama Islam di Malaysia berhak untuk memegang hakcipta terhadap kalimah “Allah” dan melarang penganut agama lain daripada menggunakannya? Isu Kristian kononnya menyebarkan dakyah untuk menyesatkan umat Islam sebenarnya terkeluar daripada tajuk perbincangan.

Namun, ia merupakan satu topik yang nampaknya menghantui sebilangan besar umat Islam, terutamanya di Malaysia. Soalnya, adakah ketakutan umat Islam di Malaysia terhadap orang bukan Islam itu munasabah? Selanjutnya, apakah penyelesaian yang terbaik untuk meredakan ketakutan ini? Apakah dengan membendung hak warga bukan Islam untuk menggunakan kalimah “Allah”, kita dapat menyelesaikan masalah ini?


Langit masjid (kiri) dan gereja (Gambar oleh ctkirklees and beriliu / sxc.hu)

Strategi pendakwah

Sesungguhnya, tidak dapat dinafikan bahawa ada di kalangan puak Kristian yang giat cuba menyebarkan agama mereka kepada golongan bukan Kristian. Malah, terdapat judul-judul khas yang diterbitkan untuk mengajar orang Kristian cara-cara yang terbaik untuk mengKristiankan pengikut Islam. Besar kemungkinan golongan seperti ini juga wujud di Malaysia.

Tetapi tidakkah para muslimin dan muslimat di Malaysia juga cuba menyebarkan agama Islam kepada orang bukan Islam? Lihatlah saja pelbagai kursus yang mengajar muda-mudi Islam untuk mengIslamkan orang bukan Muslim. Ada yang disasarkan kepada penganut Kristian, ada yang bersifat lebih umum, dan ada pula yang khusus untuk komuniti Orang Asli yang diterajui oleh pihak berkuasa dan juga parti politik seperti PAS.

Dalam hal ini, tidak pula tindakan ini menimbulkan kemarahan orang ramai. Malah, orang Islam di Malaysia sungguh bangga apabila mendapat “saudara baru” — kita menggunakan kata-kata seperti “tenang” dan “sempurna” untuk menggambarkan kehidupan orang bukan Islam yang akhirnya memeluk Islam.

Sebenarnya tidak salah apabila kita tumpang bersyukur dan berbesar hati apabila ada orang yang akhirnya memeluk sistem kepercayaan kita. Tetapi soalnya, mampukah kita menghormati bahawa penganut agama lain juga akan turut bersyukur dan berbesar hati apabila mereka mendapat “saudara baru” sendiri?

Dakwaan tidak berasas

Sekiranya benar dakwaan bahawa orang Kristian berjaya mengKristiankan orang Islam, contohnya dengan menggunakan perkataan “Allah”, maka bukti yang kukuh perlu dikemukakan.


Harussani Zakari (Sumber: mufti.perak.gov.my)
Kita mesti ingat bahawa kes serangan ke atas gereja bukan satu perkara yang baru. Pada tahun 2006, sekumpulan orang Islam telah mengepung dan menyerang gereja di Jalan Silibin, Ipoh. Sebabnya? Kononnya gereja tersebut cuba mengKristiankan orang Islam. Punca maklumat? SMS yang disebarkan, termasuk oleh mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria.

Yang amat menyedihkan, sebenarnya gereja tersebut mengadakan upacara penamaan untuk sekumpulan kanak-kanak Kristian. Kesimpulannya, terdapat juga penganut Islam di Malaysia yang sanggup bertindak ganas atas khabar angin tentang usaha untuk memurtadkan umat Islam. Pihak yang menyebarkan khabar angin tersebut tiba-tiba tidak mampu tampil dengan angka-angka yang dapat membuktikan kesahihan dakwaan mereka.

Malah, statistik kerajaan sendiri menunjukkan bahawa bilangan orang Islam yang murtad adalah sangat kecil dan bukan satu perkara yang patut digunakan untuk menakutkan umat Islam. Dan kemungkinan besar, jauh lebih ramai rakyat yang memeluk agama Islam berbanding agama lain di Malaysia.

Yang merumitkan keadaan ialah kadang-kadang dalam setiap agama, akan muncul segelintir penganutnya yang bukan hanya yakin dengan kepercayaan mereka sendiri, tetapi akan bertungkus-lumus untuk mematahkan kepercayaan terhadap agama-agama lain. “Kami betul, yang lain semua sesat” — itulah rumusan kepercayaan dan strategi seharian mereka.

Dan hakikat ini merentas jurang agama. Contohnya di Amerika Syarikat, seorang bekas penganut Islam yang kini menjadi pendakwah Kristian cuba merumuskan 10 perkara yang perlu diketahui tentang Islam kepada para pendakwah Kristian yang lain:

1 Allah dan Jehovah bukan Tuhan yang sama (bagaimana pula gereja Katolik di Malaysia akan menjawab dakwaan ini?).

2 Jihad (baca: peperangan) disarankan dalam Al Quran dan hadis.

3 Terdapat protokol tertentu dalam Islam (contohnya kaum wanita tidak dibenarkan berjihad).

4 Islam tidak menghormati kebebasan beragama.

5 Islam memandang kaum wanita lebih hina berbanding dengan agama Kristian.

6 Islam memandang rendah Nabi Isa (maaf, “Jesus”).

7 Islam memandang rendah kitab Injil.

8 Dalam Islam, tiada jaminan untuk masuk ke syurga kerana kepercayaan Islam lebih banyak bergantung kepada amal ibadat dan muamalat.

9 Islam berpecah kepada pelbagai mazhab.

10 Semakin hari semakin ramai orang Islam memeluk agama Kristian.

Benar, sebagai seorang Muslim, saya amatlah terkilan dengan dakwaan-dakwaan seperti ini terhadap kepercayaan yang saya anggap suci. Tetapi apabila melihat 10 butir ini, saya sendiri tahu bahawa lebih daripada separuhnya tidak berasas ataupun boleh dicabar. Masalahnya sekarang, ramai juga orang Islam yang membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas seperti ini terhadap kepercayaan Kristian.

Dan perbezaannya sekarang ialah bukannya penganut Kristian yang memegang kuasa di Malaysia. Malahan, institusi awam kita rata-ratanya semakin hari semakin diIslamkan.


Indira Gandhi
Di Malaysia, adakah golongan bukan Islam yang cuba memaksa M Revathi untuk memeluk Islam? Adakah golongan bukan Islam yang cuba mengIslamkan anak-anak M Indira Gandhi? Adakah golongan bukan Islam yang cuba merampas tanah komuniti Ahmadiyah? Adakah golongan bukan Islam yang beria-ia mahu mengisytiharkan mendiang Mohan Singh sebagai “saudara baru”?

Melangkah ke depan

Jadi, apakah langkah seterusnya? Bakar gereja lagi? Bakar masjid pula? Gunakan Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, atau undang-undang syariah? “Berdialog”?

Soalnya, apakah kita mahukan rakyat Malaysia menaruh prasangka sesama sendiri? Yang Islam menuduh yang bukan Islam melakukan itu dan ini. Yang bukan Islam menyangka bahawa agama Islam itu sendiri mengajar umatnya untuk berkasar dan tidak bertolak ansur.

Hakikatnya, ramai juga yang masih tidak bersangka buruk antara satu dengan lain. Mungkin syarat yang paling berkesan sekarang ialah supaya semua perbincangan dilakukan secara terbuka dan jujur.

Kejujuran bermaksud bahawa kita semua perlu mengaku bahawa setiap agama ada penganut yang gila kuasa, tetapi ada ramai penganut yang percaya kepada persaudaraan dan persefahaman yang merentas sempadan kepercayaan. Keterbukaan bermaksud bahawa kita semua perlu menghormati pandangan dan pengalaman masing-masing. Pihak minoriti tidak sepatutnya dipaksa akur kepada kehendak “majoriti” jika kehendak ini tidak berprinsip. Apakah jika pihak majoriti mahu memancung kepala minoriti, pihak minoriti perlu menyerah saja?

Dan akhirnya, kita tidak boleh lupa bahawa pihak kerajaan dan institusi-institusi awam sepatutnya memelihara hak-hak kita semua, sama ada untuk bersuara, merujuk kepada mahkamah, berdemonstrasi secara aman, atau menganut kepercayaan masing-masing. Apabila pihak berkuasa sendiri tidak menjalankan tanggungjawab ini, ia bukan lagi merupakan soal “dakyah” atau “kepercayaan” yang terpesong — ia menjadi isu kewarganegaraan, yakni penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.

The Nut Graph memerlukan bantuan anda
Silalah luang lima minit untuk mengambil tinjauan pembaca kami

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , , , , , ,

13 Responses to ““Allah” dan dakyah Kristian”

  1. Main says:

    Masalah yang teramat diberi penekanan lalu menyebabkan ada golongan yang mengambil peluang untuk menjuruskan isu ini ke tahap maksima: pertelingkahan fizikal melalui aktiviti subversif — molotov cocktail, etc.

    Secara peribadi saya tidak merasa takut pada penggunaan kalimah “Allah” dalam kesusasteraan atau Bible oleh penganut agama Kristian di Malaysia, cuma bila kita melangkah lebih luas ke alam masyarakat Malaysia, kita akan dapat melihat keperluan perundangan dan perlembagaan dalam membuat satu-satu keputusan bagi isu-isu tertentu.

    Penganut Islam sendiri harus memperkukuhkan pengetahuan agama dan beragama agar tidak mudah melepaskan perasaan pada isu yang sensitif pada jagatraya beragama di Malaysia.

    Sudah termaktub dalam al-Qur’an tentang ciri hubungan antara umat Islam dengan penganut agama lain. Elok dibiarkan dan disokong perlaksanaan perbincangan antara agama agar perhubungan tidak terjejas.

    Nice piece, man.

  2. TahanCing says:

    Assalamualaikum saudara,

    Saya sebagai seorang umat Islam yang berada di Sarawak. Secara jujur, sudah lama saya mengetahui golongan Kristian menggunakan “Allah” dalam kitab mereka, dan bila saya tanya mengapa, kebanyakan menjawab ala2 “I don’t know and I don’t care.” Saya tidak secara langsung membantah cara penggunaan mereka itu, tetapi terkilan dan dengan penuh harapan, mereka dapat memahami perasaan orang Islam dalam perkara sensitif seperti ini.

    Gerakan dakwah Kristian di Sarawak sememangnya berlaku dan sudah banyak sangat berita yang tidak digemburkan di mana golongan2 muallaf daripada suku kaum pribumi S’wak pulang kepada agama asal. Rata2nya sebab ialah kekurangan follow-up dengan golongan2 ini, tetapi apakah ini juga disebabkan oleh kekeliruan dengan penggunaan “Allah”? Perkataan “God” adalah kata umum, adakah “Allah” juga kata umum?

    Saya sebagai seorang Muslim yang peka dengan agama saya (menjalani fardhu2 asas) tetapi dengan penuh malu mengaku ilmu Islam saya amat sedikit. Tetapi saya rasa amat yakin, ramai lagi di kalangan Melayu dan Islam di Malaysia masih cetek pemikiran. Kekurangan ilmu inilah yang akan menggoyahkan iman kita dan seterusnya membuatkan kita berbuat sama ada sangsi kepada agama sendiri ataupun bertindak melolo dan agresif. Jangan terkejut dengan betapa daifnya kita sebagai umat Islam dengan ilmu. Ditambah dengan generasi internet yg mendapat “ilmu” tanpa halangan, umat Islam Malaysia secara khususnya berhadapan dengan cabaran yang amat getir. Kekeliruan ini saya saksikan sendiri dengan anak2 saudara saya dan golongan remaja di kampung saya.

    Oleh itu, saya amat faham dengan kenyataan beberapa pihak mengapa penggunaan “Allah” oleh orang bukan-Islam ini tidak disokong.

    Kekeliruan mengenai Islam akan berlaku. Marilah tingkatkan ilmu kita. Pemahaman antara agama amat-teramatnya kurang sama ada orang Islam memahami Kristian atau sebaliknya, begitu jua dengan golongan agama lain.

    Musuh2 MALAYSIA ramai sangat di sana, dan amat suka sekiranya negara kita kucar-kacir.

  3. Farouq Omaro says:

    Sepanjang pengetahuan dan pengalaman saya tidak ada gereja-gereja utama di Malaysia yang bergiat dalam usaha mengInjil kepada orang Islam. Kalau adapun mungkin atas inisiatif individu tetapi perkara ini bukan mendapat restu pihak gereja. Gereja Kristian di Malaysia banyak ruginya kalau didapati menyebar agama kepada Muslim.

    Sebaliknya pula, gereja Kristian di Malaysia sentiasa menjadi mangsa tuduhan-tuduhan tidak berasas seperti kes gereja di Perak tahun 2006 yang saudara Shanon sebutkan. Tuduhan bahawa orang Islam menerima wang ganjaran bila memeluk Kristian pula sama sekali tidak benar, kerana gereja sendiri bergantung kepada derma orang ramai.

    Sebaliknya pula agama Islam, orang yang memeluk Islam di Sabah misalnya diberi wang bantuan muallaf. Malah agama Islam di Malaysia mendapat suntikan kewangan yang besar dari kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Orang bukan Islam yang masuk Islam boleh dengan bangganya mengatakan dia adalah saudara baru atau muallaf, tetapi kalau ada orang Islam masuk agama lain, situasinya sangat berbeza.

    Jadi saya tidak faham kenapa pula ada watak-watak seperti Zulkifli Noordin di Malaysia ini. Sebenarnya kalau ada orang Islam yang mahu masuk Kristian pun, itu atas kehendak sendiri dan kadang-kadang penghalangnya tidak lain dan tidak bukan adalah pihak gereja sendiri yang mungkin ragu-ragu dengan niat sebenar seseorang Muslim yang mendakwa mahu memeluk Kristian.

  4. Im Malaysian says:

    Nicely worded.

  5. abd says:

    “Sebenarnya tidak salah apabila kita tumpang bersyukur dan berbesar hati apabila ada orang yang akhirnya memeluk sistem kepercayaan kita. Tetapi soalnya, mampukah kita menghormati bahawa penganut agama lain juga akan turut bersyukur dan berbesar hati apabila mereka mendapat ‘saudara baru’ sendiri?”

    Tahniah Shanon! Sebuah rencana yang ditulis dengan baik sekali!

  6. ben says:

    Saya suka cara artikel ini ditulis. Kadang-kadang, ketika saya pergi ke pasar malam, ada sesetengah gerai yang menjual VCD dakwah Islam, di mana mereka menayangkan VCD-VCD tersebut, ada sesetengah dakwah memang merendah-rendahkan (baca: menghina) kepercayaan kaum-kaum dan agama lain. Persepsi “Kami betul, yang lain semua sesat” memang bertapak kukuh dalam masyarakat kita. No offense. Thanks for writing such an honest article.

  7. pope says:

    The Pope, the number one authority in Catholic Christianity himself don’t use the “A” word. Inikan pula, paderi-paderi and biskop-biskop di Malaysia yang lebih-lebih, memang mereka ini memandang rendah pada kedudukan Paus Kristian.

  8. Malaysian says:

    I like your bottom line. Power abused by the political party to remain in power, by using religion to divide the people.

  9. Malaysian says:

    One more thing: Datuk Najib and Datuk Hishammuddin insulted Muslims by asking them to remain calm. This is an insinuation that Muslims are lacking self control, easy to be provoked, quick to throw tantrums, and worse…savage and barbaric by burning cars, flags and churches. Shame.

  10. pope: Sebab Pope tak erti Bahasa Melayu?

  11. Anak Malaysia says:

    Shanon Shah dan rakan-rakan di The Nut Graph serta pembaca-pembaca sekalian, salam sejahtera hendaknya.

    Saya agak keberatan untuk turut serta dalam perbincangan mengenai isu yang diutarakan, bagaimanapun demi pengatahuan semua pembaca biarkanlah saya [berkongsi] apa yang saya tahu.

    Penyebaran agama Kristian kepada orang yg bukan Kristian dan bukan Islam di Sarawak:-

    1. Para agama Kristian menginjil dari rumah ka rumah.
    2. Melalui saudara mara yang sudah memeluk agama Kristian. Dalam pada itu mereka menerangkan kebaikan Kristian dan apa yang patut dan tidak patut dilakukan selepas memeluk agama tersebut, dan akan menyuruh mereka mengikuti seminar.
    3. Melalui perkahwinan, jika salah seorang daripada pasangan belum Kristian, maka adalah lebih baik yg belum itu memeluk Kristian. Akan tetapi tiada paksaan. Namun demikian pasangan yg kahwin itu mesti ada “sacrament” perkahwinan mengikut tatacara Gereja (bagi Gereja Katolik). Gereja lain saya tidak tahu, sama ada perlu atau tidak. Lama kelamaan jika ada panggilan Tuhan barulah yg bukan Kristian tadi memeluk Kristian. Jika tidak, tidak menjadi masalah asalkan pasangan tadi sudah dikahwinkan di gereja atau mengikut cara gereja seperti yang disebut di atas. Kerana kalau tidak kahwin mengikut tatacara gereja, perkahwinan itu tidak sah dari segi adat Kristian, dan yang sudah Kristian itu tadi akan menanggung dosa dan tidak akan dapat menerima “tubuh Kristus”.

    Menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam di Sarawak terutama di daerah saya:

    Setahu saya TIDAK ADA, kerana kami tahu mereka sudah ada agama, iaitu agama Islam. Kalau kami Kristian hendak mengInjil, ya itu menerangkan hal-hal Kristian. Kami akan bertanya apa agama dia/mereka, namun kami di Sarawak ini hampir-hampir serupa paras dan rupa. Kalau seseorang itu mengatakan yang dia itu Islam/Melayu maka kami tidak akan meneruskan niat kami.

    Sasaran kami ialah supaya orang yang tidak berugama atau yang masih menganuti agama nenek moyang kami dahulu, akan ada agama, tidak kira apa jenis agama. Kerana SEMUA AGAMA menyuruh orang baik-baik belaka. Kami juga tidak cemburu jika orang itu memeluk agama lain termasuk Islam atau Kristian lain, lagipun kami percaya bukan kita yang memilih tetapi Tuhan yang memilih.

    Jika ada orang Islam sudah menukar agama kepada Kristian itu adalah kehendak dia sendiri, itu pun pihak gereja tidak berani menerima dia secara senyap-senyap. Kalau dia betul-betul hendak menjadi atau memeluk agama Kristian, pihak gereja akan menyuruh seseorang itu menyelesaikan hal-hal dia dengan Jabatan Agama Islam terlebih dahulu, kalau tidak pihak gereja memang tidak berani menerima dia sebagai seorang Kristian.

    Bagi Kristian lain saya tidak tahu sama ada orang Islam sudah masuk atau memeluk Kristian. Tetapi dengan Roman Catholic TIADA.

    Mengimbau kembali zaman koloni dahulu, semua sekolah “Mission” di daerah saya ada mengajar “Bible Study” untuk semua murid tidak kira apa bangsa dan agama termasuk orang/murid Islam. Tetapi setahu saya tiada pun orang Islam menukar agama mereka kepada Kristian. Kebanyakan mereka yang saya maksudkan masih hidup dan ada yang menjadi pembesar-pembesar negeri Sarawak atau menteri atau telah bersara. Mereka tetap yakin dengan agama mereka dan kekal sebagai Islam sejati sampai sekarang.

    Penyebaran atau tersebarnya agama Islam di Sarawak terutama di daerah saya:

    1. Melalui perkahwinan, kalau seorang bukan Islam, dia mesti terlebih dahulu diIslamkan, kalau tidak, perkahwinan tidak akan diadakan atau dibatalkan.
    2. Melalui saudaramara yang sudah beragama Islam.
    3. Melalui agensi-agensi kerajaan, ini banyak cara, ada yang ditawarkan dengan perkerjaan tetap atau yang pangkat / kedudukan yg paling tinggi, atau kenaikan pangkat atau dengan habuan yg pelbagai. Namun demikian hanya segelintir sahaja yang terpengaruh.

    Untuk meredakan keadaan saya berpendapat, pihak agama ini seharusnya menukar prinsip “dari mempertahankan agama” lebih baik menukar slogan kepada “mempertahankan negara”. Saya tahu agama memanglah No 1 di dalam kehidupan kita, tanpa Agama siapalah kita, tetapi kita tidak perlu khuatir atau risau sebab kita ada Tuhan mempertahankannya, Tuhan kita lebih berkuasa daripada manusia. Serahkan sahaja kepada Tuhan.

    Bagaimanapun kita boleh mempertahankannya akan tetapi bukan dengan berkelahi atau cara kasar. Cara kita mempertahankannya ialah dengan mempraktikkannya dan mengikut ajaran yang betul, betul dalam tafsirannya. Bukan dengan bermusuh-musuhan dengan sesama manusia. Dan cara satu lagi ialah dengan memberi ajaran yang baik kepada umat. Dengan cara itu orang yang dari luar kita (tidak seagama) dengan kita akan melihat kebaikan kita maka dia / orang itu akan tertarik, dan jika ada panggilan Tuhan dia akan memeluk agama kita.

    Tetapi jika kita menunjukkan kekerasan dengan bermusuh-musuh sesama manusia, buat hal-hal yg melanggar undang-undang negara atau perlembaggan untuk menegakkan agama, jangan lagi orang di luar hendak memeluk agama kita, tengok pun takut. Orang yang sudah memeluk agama kita (saudara baru) pun mahu keluar balik, kerana dia bimbang dengan keluarga dia yang belum Islam/Kristian.
    Takut-takut hubungan keluarga dia yg telah terjalin sekian lama akan retak.

    Saya rasa pandangan/sharing saya ini sangat panjang, sekian dan terima kasih.

  12. Hayabusa says:

    @ pope, itu sebab Pope tak tahu cakap Melayu dan Arab, “God” is used in English because it is the general denotation for the Almighty, jadi apa salahnya guna perkataan “Allah” yang maksudnya dalam Melayu, sama dengan “God” dalam English?

  13. Firdaus says:

    Kebanyakan daripada 10 perkara yang disenaraikan dalam karangan di atas tidak salah, malah betul jika dilihat daripada segi amalan kehidupan kebanyankan umat Islam di Malaysia.

    Masalah yang paling ketara ialah percanggahan di antara apa yang disebutkan/disiarkan dengan apa yang diamalkan oleh umat Islam umum di seluruh dunia.

    “Hypocrisy” inilah yang akan, ataupun telah, mengakibatkan umat Islam dipandang rendah oleh orang ramai, termasuklah sebilangan kecil umat Islam.

    Cam ne arr bro?


Most Read in Commentary

Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site