Categorised | Columns

Nasihat tentang kebebasan akademik

Adam Adli (Sumber: Profil Twitter Adam Adli)

Adam Adli (Sumber: Profil Twitter Adam Adli)

BARU-baru ini, saya banyak mendengar pendapat yang bertentangan tentang tindak-tanduk aktivis mahasiswa Adam Adli. Ada yang menuduh tindakannya bodoh dan biadap, tetapi ada juga yang mempertahankan haknya untuk bersuara.

Walaupun tidak berkaitan secara langsung, saya rasa nasihat terbaru dari kolumnis pujaan ramai, Kak Nora, memberi perspektif yang penting.

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh Kak Nora,

Kak, mula-mula sekali biarlah saya ucapkan terima kasih kerana selalu memberi ilham ketika saya patah semangat melalui tulisan akak. Saya sebenarnya pensyarah muda di salah sebuah institut pengajian tinggi awam. Saya mengajar beberapa modul sastera Inggeris. Mula mengajar kira-kira setahun lalu setelah berjaya menghabiskan pengajian Doktor Falsafah di UK, di bawah tajaan Jabatan Pengajian Awam.

Dari mula lagi, saya memang rasa bahawa para pelajar saya bersemangat, tetapi hari demi hari seolah-olah semangat mereka dipatah-patahkan. Mungkin saya terlalu drama, tapi saya bagi satu contoh.

Jane Austen (janeausten.org)

Tempoh hari, ada seorang pelajar saya yang terus-terang tidak mahu membuat pembentangan tentang Jane Austen. Katanya, buat apa kita belajar sastera Inggeris? Ini sastera penjajah. Kenapa kita tidak belajar sastera Islam? Kenapa tidak diserap saja ke dalam program sastera Melayu? Terus-terang, kak, pelajar ini juga bergiat dalam gerakan hak pelajar, dan saya rasa mungkin dia terlibat dengan politik anti-kerajaan.

Bukannya saya marah dengan dia – dia bijak dan hatinya baik. Malah, saya sangat bersimpati. Saya memang kesian melihat pelajar yang bersemangat dikongkong dan tidak diberikan ruang untuk berfikir dengan lebih kritis. Saya cuba memberitahunya bahawa mendekati Austen tidaklah bererti kita menghalalkan penjajahan atau budaya kolonial. Tetapi kita boleh belajar daripada apa jua teks untuk mengenali masyarakat dan mengenali diri kita, dan juga untuk meluahkan apa yang terpendam. Ini akan membolehkan kita mengisi konteks kita sendiri dengan pendekatan sastera yang lebih bermakna dan kritikal, bukan hanya terhadap masyarakat sendiri, tetapi juga stereotaip kolonial dari luar.

Dia seolah-olah tidak mendengar. Dan kelewatan ini, saya rasa dia sudah hilang minat untuk belajar – salah seorang temannya dari fakulti lain telah digantung oleh pihak universiti kerana terlibat dalam aktiviti politik. Saya sedang cuba sedaya upaya untuk mengetahui apa yang sedang berlaku dan bagaimana saya dapat membantu. Tetapi tidak semudah itu, kak. Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akujanji masih ada.

Saya sudah mula ragu-ragu dengan keputusan saya untuk kembali ke Malaysia untuk mengajar. Saya ingat mula-mula, okay, tak apa. Lantaklah ada Auku, ada Akujanji. Tapi saya akan menggunakan kreativiti sendiri untuk memastikan pelajar saya mendapat yang terbaik. Sekarang saya sendiri sudah mula patah semangat. Apa yang boleh saya buat, kak?

Panik, hampa, Dayus (PhD)
Lembah Pantai


Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, dik.

Ni yang susah ni. Adik karang surat yang sungguh powderful, and then adik tekankan kelayakan PhD di penghujung. I am the very the terketar-ketar nak menjawab soalan adik. Tapi tak pa, akak pun PhD – Pandai hentam Dodol.

Maya Angelou (mayaangelou.com)

Mula-mula sekali, akak setuju dengan adik. Bukannya sastera Inggeris itu langsung tidak relevan dengan kita. Contohnya, akak kagum dengan puisi berjudul Still I Rise, oleh Maya Angelou. Sebelum membaca puisi tersebut, akak tak sangka yang mungkin ada sastera bahasa Inggeris yang boleh akak faham. Ini bukan saja akak faham, tapi menyuntik semangat yang sehangat-hangatnya dalam hati Melayu akak. Sampai takut Mr Macho dibuatnya. Akak sekarang mendeklamasikan puisi ini setiap kali Mr Macho ter-over macho, dan dia dengan sendirinya akan menjadi Romeo yang lebih romantik.

Speaking of Mr Macho, akak ada story yang mungkin dapat membantu adik. Mr Macho is from keluarga orang susah, dik. Dulu masa dia dekat sekolah menengah, nak mengulangkaji untuk SPM pun susah – kampungnya tak ada bekalan elektrik. Namun, Mr Macho mencuba juga dan akhirnya lulus SPM dan alhamdulillah dapat masuk universiti tempatan. Tetapi di universiti, budak-budak kaya dari bandar semuanya memandang hina terhadap Mr Macho. Pedih hatinya. Susah-susah belajar dekat kampung, kena taram pula bila sampai ke bandar. Rasa macam benci seluruh dunia dan mahu berhenti saja dari universiti.

Tetapi Mr Macho ada seorang pensyarah, dik, yang sangat mengambil berat terhadapnya. That one pensyarah, dik, made all the difference. Walaupun Mr Macho tak mengaku, that one pensyarah telah memberikan ilham kepada Mr Macho untuk meneruskan perjalanan, dan juga untuk berjinak-jinak dengan seni fotografi. Sekarang? Mr Macho sudah memenangi pelbagai anugerah dan hadiah fotografi dan sudah berkali-kali dijemput mengadakan pameran yang sangat berkualiti. Dan fotografinya berkisar tentang golongan masyarakat terpinggir – menyuntik semangat dan menyokong perjuangan mereka. Semua kerana that one pensyarah.

Tapi itu cerita Mr Macho. Sekarang kita cerita tentang adik. Minta maaflah adik, akak cakap tak berlapis sikit, tapi adik jangan nak mengada! Ting tong atau apa? Mengajar tak sampai setahun dah nak berputus asa. Kenapa manja sangat?

Ya, akak tahu ada Auku, ada Akujanji. Eh, akak ni penulislah, dulu wartawan. Ingat akak tak tahu tentang undang-undang? Akta Keselamatan Dalam Negeri pernah dengar tak? Akta Mesin Cetak dan Penerbitan? Akta Komunikasi dan Multimedia?

Yes, akak setuju. Isu pergolakan politik tanahair akan memberi kesan terhadap pengalaman pembelajaran anak-anak kita. So? Itu bermakna adik nak putus asa? Come on! Cuba adik fikir betul-betul. Now is the time yang terpenting untuk adik menunjukkan peranan yang boleh dimainkan oleh tenaga akademik di tanahair. Tak nak melanggar undang-undang, tak mengapa. Tetapi adik boleh cuba bermacam-macam cara untuk memberdayakan para pelajar adik, especially this one. Akak rasa dia memang cinta dengan tanahair, tetapi dia marah kerana melihat potensi kita terpendam. Tajamkan mindanya, kuatkan semangatnya, dan isikan hatinya dengan nilai-nilai murni yang akan membolehkannya membina masa depan yang cerah demi tanahair.

Akak share satu rangkap dari Maya Angelou:

Out of the huts of history’s shame
I rise
Up from a past that’s rooted in pain
I rise
I’m a black ocean, leaping and wide,
Welling and swelling I bear in the tide.
Leaving behind nights of terror and fear
I rise
Into a daybreak that’s wondrously clear
I rise
Bringing the gifts that my ancestors gave,
I am the dream and the hope of the slave.
I rise
I rise
I rise. 

Dodol (Wiki commons)

Dodol (Wiki commons)

Maaf kalau akak terkasar bahasa, ya, dik. Ingat, akak punya PhD is only for Pandai hentam Dodol.

Salam ikhlas lagi nakal,

Kak Nora 


Shanon Shah sedang menyambungkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah, dan dengan tergedik-gedik sudah mula mengajar pelajar prasiswazah.

Post to Twitter Post to Google Buzz Post to Delicious Post to Digg Post to Facebook Post to StumbleUpon

Tags: , , , , , , ,

One Response to “Nasihat tentang kebebasan akademik”

  1. Ahmad says:

    “Mula mengajar kira-kira setahun lalu setelah berjaya menghabiskan pengajian Doktor Falsafah di UK, di bawah tajaan Jabatan Pengajian Awam.”

    Jabatan Pengajian Awam??? Agak parah kalau lulusan PHD merujuk JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) sebagai Jabatan Pengajian~~~~


Most Read (Past 3 Months)

Most Comments (Past 3 Months)

  • None found

Advertisement


<

Advertisement


<
  • The Nut Graph

 

Switch to our mobile site